Saturday, June 30, 2012

Keringatku.. Bicara Hatiku... Bersemadi di Kebun Pesara (siri 1)



    Sesiapa yang melalui Jalan  Chepor Indah 44,  pasti terjuling mata mereka lantaran tarikan megnet bunga-bunga raya dan  ros jepun yang kembang mekar nan pelbagai warna mulai jam 9 pagi.Turut menggamit perhatian para pengguna jalan itu ialah lambaian manja dedaun pisang dan petikan jarijemari dedaun pokok sukun. Setia menyambut kunjunga tamu ke sini si pokok cempedak, pokok limau dan bunga siantan dan banyak lagi.


Entrans ke Kebun Pesara
Pohon bunga raya meneriahkan pagar kebun
Laluan masuk kebun Pesara tahun 2007
Aliran anak Sungai Chepor
     Melangkah saja ke dalam kebun, akan terdengarlah  kicauan sang unggas  meriah  berterbangan menikmati buah-buahan dan tumbuhan di situ. Alunan muzik alam ini diselangi nyanyian  burung-burung terkukur di tebing sungai . Mata pengunjung pastinya terpukau menyaksikan air sungai nan mengalir penuh kelembutan serta dapat melihat aksi akrobatik hidupan air... anak-anak ikan . Jika menapak ke dalam sungai ketika bukan musim hujan, airnya cuma ke paras lutut, sebaliknya di musim hujan hingga ke paras dada. Pada hujung minggu lebih ramai peminat "Galeri Alam" ini datang mamancing, manjala atau mamukat ikan. Talapia, ikan putih, haruan dan spesis yang aku pun tak faham namanya bebas hidup di habitat yang masih dara  ini.

       Lama sungguh hayat topi yang digunakan, sejak tahun 2007. Cuma boot hitamku sudah berlubang  lalu ditukar kasut baru Mei lalu.Tshirt dan seluar kebun... koleksi pakaian sukan anak-anak yang mereka tak gunakan lagi , yalah mereka dah dewasa. Kena pakai 2 lapis Tshirt kerana terlalu terik cahaya matahari, akibatnya kulit ku semakin menggelap kini.  Tuala kecil pun kena 2 helai, satu di kepala dan satu lagi keliling leher untuk menyerap peluh. Huh... peluh bekerja di kebun ni rupa-rupanya  jika dikumpulkan boleh dapat sebotol 1 liter,bagi tempoh jam 8.15 hingga 11.30 pagi. 2 liter air beku yang dibawa pasti cair dalam masa 10 minit diletakkan di meja di bawah pondok. Kekadang tak cukup air jika cuaca terlalu panas.  Apa lagi , aku merendamkan kaki di dalam air sungai nan sentiasa dingin. Tiap kali berendam kaki, terasa lapang kepala, macam ia kosong tanpa sebarang memori atau sifar masalah.

           Cuba lihat asal-usul kebun ini, gimana ku dapat kederat dan kekuatan untuk membersihkannya sehingga menjadi sebuah tapak untuk menabur bakti kepada bumi Allah ini. Teman hidupku hanya memandang kosong sahaja, pada setiap kali aku meneroka tapak ini berseorangan dengan berbekalkan sebilah parang panjang dan sabit rumput.  Ada juga petanda sokongan daripadanya, dia paling suka MEMBAKAR himpunan rumput dan pokok-pokon yang telah aku potong. Aku jadi "Badangnita" mungkin kerana temanku tak berminat berkebun sebab dia dibesarkan sebagai pesawah kot. Aku bersyukur kerana ibu bapa dan opahku pernah ketika aku kecil dulu membawa kami adik-beradik berkebun di Bagan Datoh. Maknanya "Strong Determination" mengatasi "Hard Burden" .

                     


       Sejarah awal penerokaan tapak kebun ini dilakukan oleh Wak Idris, seorang pekerja Indonesia yang aku upah awal tahun 2006 .Ketika itu tiada laluan masuk  ke kawasan ini, hutan seluruhnyanya dan sungguh menakutkan. Keluasan tapak asal yang dibukanya 30 meter persegi yang merupakan  rintis untuk aku meneroka kawasan sekelilingnya  dan  aku buat bersama keluarga, gitu harapanku. Memulakan tanaman kami ialah pokok buah-buahan yang asas sepeti pokok kelapa, pisang, nangka, cempedak, rambutan dan tumbuhan herba. Tika itu aku masih bekerja, hanya selepas jam 5 petang dan hujung minggu baru aku boleh berkebun. Hairan bila difikirkan.... tak penatkah? Pagi kerja hingga jam 5 pm, balik rumah memanaskan lauk-pauk yang dibeli semasa di sekolah untuk makan malam. Lepas itu ke kebun.... dari mana datang segala tenaga .. semangat juang...idea...  Aku pun tak mampu mencari jawapan. Allah maha mengetahui , ada perancangan dan persediaanNya untuk masa depan aku rupanya . Alhamdulillah ... lagi kasih aku kepadaMu.

     Terima kasih anak-anakku Azie, Yumi dan Ala yang pernah bersamaku di peringkat awal menrealisasikan idea berkebun ni. Mereka suka memetik buah-buah  rozel yang ditanam di tebing sungai. Teramat banyak buahnya hingga dapat kami kongsikan kepada jiran-jiran sebagai tanda perkenalan dan memulakan persahabatan. Sewaktu cuti semester sekolah, lama jugalah  anak-anak menemaniku berkebun. Pabila mereka masuk semula ke asrama, maka tinggallah aku keseorangan. Adalah  temanku  tapi di mana dia?   Sibuk entah ke mana, surau konon....walau pun pencen banyak masa terluang  ....... Aku memujuknya untuk menjaga kebun hasil usaha anak-anak  , lama baru dia menerima cadanganku. Alhamdulillah.

      Lama kelamaan temanku itu  sudah menampakkan minat berkebun dengan usahanya membersihkan hutan di sekitar kebun kami. Dia membelikan Yumi pancing untuk digunakan pabila Yumi balik bercuti hujung tahun. Pernah Yumi memancing ,ikan tak dapat tapi mata kail tersangkut di pokok seberang sungai..ha...ha... Banyak sudah anak pokon yang dibeli dan ditanam oleh temanku  . Kebun kami semakin luas hingga melepasi 4  lot rumah bunglo . Ramai pulak kekawan temanku ini yang meneroka reserve sungai berdekatan kebun kami. Akhirnaya kami dikenali 'Pekebun Pencen" . Temanku sudah mula menjual hasil taninya serai, lengkuas, daun limau purut dan  pisang, ke "Kedai Keluarga "milik Encik Azhar, rakan karibnya. Aku menambah pendapannya dengan membekalkan bunga kantan untuk dijual. Pendapatan yang menjangkau RM60 seminggu cukup untuk temanku ini menjamu selera digerai Yob di seberang taman kami, selain duit poket  dan duit rokoknya.

Nangka madu
    Benar kata pepatah.."Kita tuai apa yang kita semai". Menikmati keenakan buah nangka madu yang pertama amat teruja  . Buahnya tak besarmana pun  tapi isinya banyak dan tiap ulas isinya  tebal berwarna kuning kunyit.Tidak termakan kami berdua buah nangka ini. justru jiran-jiran terdekat pasti dapat merasa sama . Tika ini adikku Aishah masih tinggal di Grik , cuma hujung minggu baru mereka dapat menikmati buah yang aku simpan uktuk mereka sekeluarga. Melihatkan banyak pokok sudah berbuah,lebih-lebih lagi 8 pokok betik yang berbuah lebat , aku pernah membawa Penolong Kanan sekolah Fair Park ke kebun ini. mereka suka dengan senario di situ malah memetik sendiri buah betik dan ulam-ulaman untuk dibawa pulang.

 
       Memikirkan baja yang sesuai memang tak perlu pening kepala. Kenalanku   seorang wanita Cina yang menjual baja merupakan penasihat tetapku malah pernah kubawanya  ke kebun untuk meninjau situasi dan memberi pendapatnya. Baja campur N5P5K10 menjadi pilihan tetapku supaya pokok cepat berbunga dan berbuah. Disamping itu baja organik asli "najis ayam" aku gunakan untuk tumbesaran pokok. Setiap kali bertandang ke kedai tani, 2 guni baja yang dipesan pasti menuntut RM300 dikorbankan untuk tumbuhan di kebun dan laman mini di tepi rumah.

        Hujan.... amat membantu untuk menyiram tumbuhan yang ditanam,tapi kekadang memerangkap aku  sehingga basah kuyup kerana tidak sempat balik . Aku berjaya mengumpulkan sekitar RM400 untuk menempah sebuah dangau murah dari kedai logam di taman ini. Rahmat Ilahi, aku tidak perlu lari balik ketika hujan atau tidak lagi duduk di tunggul pokok ataupun menumpang teduh di bawah pokok. Semuanya dipermudahkan dengan dangau kecil yang kelihatan  pelik rekabentunya ini. Sebuah meja kecil diletakkan di dangau  untuk
memudahkan kami meletakkan barangan dan tempat bersarapan tiap pagi. Inda dan Ira, anak buahku suka bersantai di dangau ini sambil menikmati bekalan makanan yang dibawa oleh emak mereka.

       Sebelum bulan ramadhan 2011, banyak sayuran yang ditanam dikebun. Aku mencangkul sendiri batas sayuran. Sehari dua batas sepanjang 10 kaki dan lebarnya 2 kaki mampu kucangkul. Allah memberikan aku tenaga yang super sepanjang berkebun  sebagai pelali kepada "segala kemelut " yang ditanggungi. Sayuran yang ditanam mendatangkan hasil yang menggembirakan dan menjadi penyuntik semangat untuk terus berkebun. Sekali lagi jiran-jiran dan kenalan-kenalan yang singgah ke kebun dapat berkongsi hasilan ini. Alhamdulilah.

            terung panjang                                         kailan                                           lobak merah



 Jagung                                  Labu Air

Keasyikan  menjaga anak ku Nadrah dalam pantang dan menatang cucu kedua Daria Aleesa menyebabkan pokok sayuran di kebun semuanya merajuk. Selesai aku mengasuh Daria selama 3 bulan,aku menerima kehadiran cucu ketiga seorang   putera pula, Izz Faris  pada Disember. Justru bergandalah merajuk pokok-pokok di kebun. Akhir Mac  anakku Nazmi pulang ke Wellington setelah sebulan balik bercuti di rumah, barulah aku dapat menjengah semula di kebun. Banyak sekali perlu dirombak, layout kebun, tanam semula pokok , membaiki tebing sungai di kebun yang runtuh akibat arus sungai nan deras dan banyak lagi yang perlu aku fikirkan serta selesaikan.

Momot kemanjaan Nazmi
     Nak tahu rahsia kemaksimum staminaku  tika berkebun?     Nah... Teman setia yang sentiasa menemaniku di kebun. Setiap pagi dan petang Momot menantiku di pondok untuk mendapatkan nasi  ikan rebus . Nampak saja kereta berhenti, suara Momot dah kedengan dengan manjanya. Tuhan hanya meminjamkan temanku sementara.... Momot telah diambilNya setelah sebulan menghidap pneumonia. Walaupun telah menerima rawatan doktor haiwan, Momot tetap pergi...... Kini aku keseorangan meneruskan aktiviti...

     Kekadang adikku dan anak-anaknya datang, sambil makan kami  berbual. Kenalan juga ada yang datang berhajatkan buah sukun, serai, lengkuas  atau sayuran kampung. Ada juga yang datang menjamu mata melihatkan pemandangan di pinggir sungai. Tidak dinafikan ada juga yang memandang " sinis" ke arahku  yang berpakaian macam nyonya kebun sayur... kotor... Itu bukan alasan untuk aku tunduk dengan "onak , sindiran, keperlian dll kata negativ insan-insan nan tak sihat minda. Diri aku milik aku, susah senang sendiri tanggung,Allah sentiasa bersamaku walau di mana berada ;  pedulikan.....

       Bercerita tentang kebun pesara ini belum tiba ke noktanya selagi aku bernafas. Ada banyak lagi ingin aku titipkan dan kongsikan buat tatapan insan yang sudi meneroka pengalaman seorang peneroka wanita yang meniti hari-hari pencennya. Semoga anak cucuku dapat menikmati coretan hati  ini apabila aku dah tiada . Insyaalah .                              



    Kisah Berbudi di bumi Allah.... suatu anugerah  buat insan sepertiku. Lama dah tak mengUpdate kisah kebun ni... Jun 2014 nak sambung lagilah  citra para penghabitat kebun di pinggir Sungai Kuang. Aku bermulakan dengan  foto-foto sepanjang tahun 2013.... Natrah tinggal denganku sejak 2011 manakala Izz Faress pula sejak April 2013. Merekalah paling suka memeriahkan kebun ini pada waktu pagi dan tika pokok mangga berbuah lebat.


 
20.10.13 memungut buah mangga di kebun


        April Tahun 2013 tugasan di kebun hanya pada hujung minggu Sabtu dan Ahad sahaja, lantaran mengasuh 2 orang cucu di rumah, Natrah dan Iz Farees. Banyak pokok sudah mengeluarkan hasil terutamanya nangka dan cempedak. Bunga kantan, pisang, serai dan daun limau purut boleh dijual di kedai Keluarga, dapatlah membeli baja untuk kebun ni. Jika ada saudara-mara dan kekawan datang ke rumah, mereka pasti mengajak ke kebun.

Liza Husin anak saudara dari Kedah 29.9.2013

memproses serai Mak Cho jual di teluk Intan

Imah memungut bunga kantan 2013



Bunga kantan sekali pungut tiap minggu

Buah markisa dibuat jus

Jantung pisang

mempelam padi

      Sekitar tahun 2014 banyak pokok berbuah lebat terutama pokok nangka. Aku sudah boleh membaja dan punya lebih masa terluang buat berbakti di kebun ini, lantaran ada Bibik Ton yang menjaga cucu-cucu di rumah.

20.2.14 cempedak terakhir


                  
 8.6.14 mengejar rerama di kebun


          nangka ke 7 sepanjang bulan Mei 2014

 Rezeki terdampar di tebing sungai


Juadah dihantar   Jiran Ina ke  Kebun  

        Lebih 3 tahun mengusahakan kebun ditepi jalan 44 ini, rupa-rupanya menjadi tarikanan  insan yang lalu-lalang malah ada yang berani mencuri buah pisan dan kantan. Ada juga jiran pemilik tanak bersebelahan yang membuang sisa buangan rumahnya di tepi kebun ini. Amir pemilik tanah juga amat berani mananam pokok durian di dalam kebun ini. Bukan sahaja manusia najing liar pun minat tinggal di dalam kebun ini. Kekadang ada beberapa kucing datang menemaniku tika berkebun sebelah pagi. Demi keselamatan.... Jun 2014 aku mengupah Din suami Ning memasang pagar berduri mengelilingi kebun ini. 


PENCEROBOH MOKHTAR  & AMIR 


Mokhtar membuang runtuhan tembok batunya ke kebun

sisa runtuhan Mokhtar

Bahan berbomoh Mokhtar di tepi kebun


pokok durian Amir tanam di dalam kebun kami


WAJAH BARU KEBUN




Laluan masuk ke pondok

Tangga menuruni ke sungai

Laluan ke tepi sungai


BENCANA ALAM

    Pabila hujan lebat di hulu sungai Kuang, maka kebun- kebun di pinggiran sungai ini jadi sasaran rempuhan arus kuat bersama bongkah kayu dan sampah lalu memusnahkan tanaman dan apa saja yang berada di laluannya. 







      Musuh kebun kedua penyangak atau pencuri buah pisang, bunga kantan dll.Apa saja yang boleh dijual mereka kebas semua.... walaupun haram memakannya. Kecurian ini rancak tahun 2014 ini, tetapi sebelumnya tak pernah terjadi. tak apalah.... Allah jua membalas perbuatan khianat mereka.




14.6.2014 curi pisang yang ganas ,musnahkan pokok lain

Laluan curi 14.6.2014

Pisang dipotong terus dari tandan guna sabit 26.6.14

laluan curi sama kali kedua, buka pengikat dawai duri

     Tidak boleh marah, tapi banyak sabar dan memikirkan alternatif yang menguntaungkan diri. Mulai esok 1 Ramadhan semua hasil kebun dipungut untuk dikongsikan bersama jiran-jiran dan keluarga.



      Tika kemarau , musim Al Nino maka terpaksa mengangkut air dari rumah dengan kereta. Penat tu kurang tetapi sakit lutut itu yang banyak. Kesihan kepada makhluk Allah yang banyak berjasa memberikan kami nikmat rezeki, maka giliranku membalasnya dengan menyiramkan dengan air paip dari rumah.

gambar tong air







                                                                                                                        





Monday, June 25, 2012

ADAKAH INI MENGHAPUS DOSA SEMALAM....

     Kegelisahan terus-terusan  meruntun jiwaku selama dua minggu. Aku biarkan ia berlalu dengan meneruskan aktiviti rutin sebagai pesara wanita. Pelbagai helah imaginasi  kubuat demi memadamkan memori ngeri tahun 1999 , walau sekali try pun aku tak ingin. Semua kepedihan lalu  itu telah lama ku delete dari hard disk ciptaan Ilahi. Saban hari menatap wajah emasku di cermin...semakin menambah kegusaran hati. Anak-anak dan adikku memujuk untuk menamatkan segera segala spekulasi.

     Jumaat 15 Jun 2012 meredakan sedikit keresahan dengan pandangan "tak seberapa meyakinkan" daripada seorang pengamal perubatan dari klinik di Klebang. Penangan pil antibiotik selama 5 hari menampakkan reda segala demam, keresahan dan sakit-sakit di sekitar leher. Malah bonjolan semakin mengecil... Alhamdulillah. Dr Puvin Vijayakumar, mantan anak didikku yang bertugas di Hospital Ipoh menasihatkan aku berjumpa pakar ENT. Yang terdekat dengan rumah ada  di sekitar Fair Park. Aku teringat akan Dr Pakar ENT  Dr Yoong yang pernah merawat emakku. Berpaksikan doa dan solat hajat, hatiku mungkin Allah telah gerakkan bertemu Dr Yoong... nekad ... pasti...tak takut lagi...

Thyroid Nodule
      Jam 10 pagi 21 Jun  aku memparkir kereta Honda City di depan sebuah klinik .Dalam hati dipenuhi keyakinan akan dapat berjumpa pakar serta mesti cepat selesai semua masalah sebelum tiba bulan puasa nanti. "Oooo, Dr Yoong jam 1 petang baru mari," jawapan ringkas petugas di klinik itu kepada soalan kemarukku. Berdiri lesu di depan klinik... berfikir apa entahlah. Aku 
terpandang "Klilik Pakar ENT George Thava ". Langkah kakiku  maju sendirinya  menyeberang Jalan Fair Park. Ramai  pula  fakir rawatan  seperti aku menanti giliran. Selepas mendaftar ,teringin nak ambil angin di luar klinik, tapi  tak berani sebab jerebu kuat tika ini.

        Pembantu doktor memberi keyakinan kepadaku bahawa dengan kupon parkir 1 jam sempat selesai aku membuat pemeriksaan dengan doktor. Menghampiri jam 11.50 am aku dipertemukan dengan Dr George A. Thavarajah, Consultan ENT Surgeon. Peramah dan meyakinkan, Dr G memeriksa leher aku sambil mnyuarakan beberapa soalan sejarah kesihatanku. Dr G mencadangkan dua pilihan ; membuat ujian darah "thyroid" dan ultra sound. Mulutku bertubi-tubi melontarkan soalan-soalan cemas sehingga Dr macam resah nampaknya. Aku menerima cadangannya menjalani ujian kesihatan di Hospital Fatima di Ipoh Garden. Aku jadi bingung seketika....  patutkah  aku bertanya pembantu Dr pelan nak ke hospital itu, sedangkan aku memang selalu melalui jalan itu semasa bertugas di SK Kepayang sekitar tahun 2007. Aku malu sendiri.... 

Hospital Fatima Ipoh
Alhamdulillah.... Allah permudahkan perjalananku ,lalu disambut pengawal keselamatan di pintu masuk. Mungkin aku kelihatan 'pucat... keletihan... kelesuan dll.. ia menemani aku terus ke kaunter Unit Radiologi. Malang sekali tidak diterima kerana sudah menghampiri waktu rehat jam 12.45 pm. Pemuda Melayu nan baik hati itu memotivasiku ," Kak tak pa, kita pergi lab, kak boleh buat ujian darah dulu kan." Aku yang dah jadi "bingung" akur dengan cadangannya. Hanya ucapan terima kasih mampu ku hadiahkan kepadanya." Ya Allah, berilah nur rahmatMu kepada pemuda yang membantu aku tadi," amin.
      
Makmal Ujian Darah
      Sesi ujian darah penuh kemesraan. Tak terasa 
darah dah siap diambil dalam masa amat singkat.
Selalunya ,sukar nak cari urat yang sesuai di tangan 
kiriku untuk dicucuk jarum. Bijaksana jururawat 
warga emas tu.. Aduhai, sempat pulak dia mengumpat
bahawa petugas di unit radiologi tu malas sebab
sepatutnya dia boleh terima pendaftaraan aku tadi.
Aku tak terkata.... Yalah, sorang diri hadapi
situasi sedemikian... menjadikan aku setaraf anak
                                             kecil .... yang ikut perintah saja.

     Pandainya jururawat ni. Selesai ujian darah ia mengesyurkan aku berehat-rehat sambil makan tengahari  di kafeteria, sementara menanti temujanji jam 2 pm nanti. Mujurlah semasa datang tadi aku sempat menjeling ke tempat makan yang dimaksudkannya itu. Aku membayar RM89 untuk ujian darah yang keputusannya akan diketahui dalam tempoh 3 hari. Keputusan itu akan dihantar ke klinik George. 

     Aku memang lapar, ada pelbagai lauk  dijual di kafeteria .   Aku cuma mampu memilih nasi putih berlauk ayam masak kicap dan sayur campur mayonis. Murahlah... RM 4 sahaja. 
 Mengelamun sambil menjamu selera sendirian, kebetulan
 staf hospital belum ramai rehat di situ. Sempat aku 
 melayari Facebook meninjau-ninjau berita terkini. Namu 
 aku masih  tak mampu juga  merongkai kelesuan dan
 kegusaran hatiku.  Jam 1.35pm aku menuju ke tandas ,
 masih mencari-cari tandas yang ada getah paip  untuk 
 bersuci . Akhirnya ketemu jua. 


Laluan Unit X-Ray
    Jam 1.45 pm aku dah berada di kaunter unit          
radiologi. Tiada seorang pun di situ. Aku melayan 
diri dengan menonton Tv 8 yang setia bersiaran
walaupun tiada penonton. jam 2.05pm barulah datang seorang wanita, terus mengadap komputernya. Setelah 2.10 pm aku masih tak dipedulikan oleh 2 orang petugas 
di situ.Lantas  aku menanyakan, berapa lama lagi harus aku tunggu.Si wanita tu cepat-cepat membelek borang-
borang pesakit di mejanya. Barulah dia nak bertanya  
Unit Radiologi
petugas di bilik radiologis, Dr Minsyeh Kimin.  
            
     Sekali lagi aku disuruh tunggu "SEKEJAP" lagi walau pun jam  dah 2.45pm. Aku terpaksa menunggu lagi di luar bilik radiologi 5 pula kerana ada pesakit termuntah di dalamnya. Mujurlah aku tak jadi berpuasa sunat hari ni,jika tidak hanya  dapat "lapar dan dahaga saja". Jam 3.15pm barulah giliran aku tiba. Berkali-kali radiologis wanita itu meminta maaf kepadaku sepanjang  pemeriksaan dijalankan. Mungkin dia lihat wajahku yang "tension" menanti giliran. Kena bayar lagi RM100, tapi servis macam hospital kerajaan saja. Tapi hospital kerajaan  lama pun kita redha sebab menawarkan secara percuma lantaran aku "Pesara Kerajaan".

     Jumaat 22 Jun panggilan telefon memaklumkan agar aku ke klinik ENT George kerana keputusan ujian darah sudah diperolehi. Jam 11 pagi aku baru belik dari kebun.. letih nak tunggu rebah je. Mindaku kembali perputar-putar , semua kenangan pahit muncul semuanya tanpa kubuka fail lama tersebut. Aku memilih untuk pergi keesokannya S,abtu pagi. Aku memberitahu Azie sekiranya ia ingin keluar bersama, bolehlah aku jadi penumpang je. Oh , jawapannya tidah menyebelahiku.

     Kegawatan parkir pada 21 Jun mengetuk-ngetuk rongga ingatan agar mencoret kupon parkir 1 jam, walaupun keretaku parkir depan klinik. Tidak lama mendaftar, aku pun memberikan laporan ujian darah kepada petugas di kaunter, sambil meninjau-ninjau pengunjung klinik itu. Oh, tak sampai 5 orang... Semuanya dalam usia 60-an...

   Aku dipanggil menghadap tuan doktor.. Beliau menerangkan dengan ringkas," Oh, ujian darah tiada tiroid. Hormon pun ok, tak perlu susah hati lagi." Aku menarik nafas lega... terima kasih Allah, "Love U more''... Doktor  sekali lagi menarik perhatian ku dengan berkata," Saya cadangkan you  perlu berjumpa Dr Loo .Dia pakar surgical , ada peralatan laser untuk mengambil sample tisu  dalam "nodule" ketulan di leher itu. Saya tak punya peralatan bagus itu di sini . Saya refer you kepadanya, Boleh jumpa dia bila-bila masa." 


    Aku melontarkan soalan bodoh ," Perlukan saya jumpa Dr Loo dalam masa terdekat? Saya bimbang". Setelah menerima jawapan yang kurang motivasi daripada Dr G, aku pun membuat keputusan balik rumah je.  Aku nak ikut cara adikku Noriza yang menangani kes "Cyst" yang dia dan Wani ada di leher masing-masing. Kami bertiga senasib kini. Aku akan cuba merawat secara Islam. Aku mula membaca semua doa yang aku pelajari untuk semua penyakit. Antaranya, Bismillah 5, Ayat Syifa', surah an-Anbia ayat 83 "Inni massannidhurru anta arhamurrohimin" yaitu doa Nabi Ayyub AS, 3 Qul serta ayat Qursi. Cuma air Zam-zam belum diminum kerana dah habis .Kini aku bertawakal. Semakin hari aku lihat ketulan itu semakin kecil... Alhamdulillah.








Saturday, June 9, 2012

Aku...... Nazmi Kembara Rindu 2

    Kini setiap rongga mindaku dikerah untuk mengingati ratusan kenangan semasa Nazmi pulang bercuti sepanjang 11 Februari hingga 9 Mac 2012.  Rencah penawar kerinduan, aku fokus kepada aktiviti ketika kami bersama sepanjang musim kepulangannya ke Malaysia. Banyak perkara yang kami lakukan bersama... ada juga yang Nazmi buat bersama kakaknya  dan dengan abang sepupunya Aiman.

Nasi Goreng Tradisional
    Aku saban hari didominasikan dengan menu kesukaan puteraku ini.  Selepas puas ber-online dengan maha Pencipta sewaktu subuh... aku   ke dapur menyediakan sarapan kegemaran  Nazmi. Bermula dengan
nasi lemak ala mamak Penang , sambal pedas ikan bilis dan
kacang tanah. Sarapan ini kena diselangselikan pula dengan pulut
 bersama rendang daging atau rendang ayam. Kekadang dengan
ayam masak merah pun ngam dimakan bersama pulut lemak ni.

    Mi goreng basah, bihun dan nasi goreng Cina, resepi tradisional, paprik, tom yam dll yang mudah serta segera dimasak memang  pasti keutamaan di kepala otakku. Roti dengan telur hancur atau roti goreng dicelup telur pun dia ok. Roti canai ... huh memang favourite dia sejak kecil lagi, yang dimakan bercecahkan gulai daging Perlis. Sesekali aku gorengkan karipaf, popia, cucur badak atau kuih-muih segera .... Tapi kesian , dia makan sikit je. Di dalam peti sejuk  kami, wajib ada makanan sejuk beku paling disukainya. Burger ayam serta daging, aneka bebola segera, dan pelbagai nugget tersedia untuk Nazmi pilih dan menggorengkan  sendiri.

     Tengah hari... masakan berat kesukaannya gulai kurma daging dan ayam masak merah. Tom yam campur pasti disediakan dengan udang celup tepung dan kailan goreng (kailan yang ku tanam di tepi rumah). Menu petang yang  dihidangkan untuknya cucur udang, roti jala dengan kari daging, atau sandwich sardin. Sebut je resepi bubur manis... bukan pilihan atau citarasa Nazmi.Kekadang Mak Andak Aishah mengutuskan hidangan laksa dan mi kuah yang menggandakan selera Nazmi.

     Semua menu kesukaan Nazmi yang aku coretkan di atas... tidak bertahan lama. Kena diserasikan pula  dengan makan-makan di luar. Penaja utama kami Kak Uda Azie... Nazmi sebut je nak makan apa... Azi pun start  enjin Proton  Pesona  terus memacu  kami ke sana. Aku hanya penumpang terbaik.. ikut sahaja kemahuan mereka dua beradik yang amat ngam fasal makan. Setiap minggu pasti ada makan di luar... yalah di perantauan sukar dapat pilihan makanan yang pelbagai, tak  macam di tempat sendiri. Lagi pun Azie punya pendapatan sendiri dan telah menyediakan peruntukan khas untuk kegunaan adiknya ini ketika pulang bercuti dengan kami.

Nan Yang Kopitiam Medan Gopeng
    Permintaan sulung Nazmi melerai rindu ialah masakan Nyonya . Azie membawa kami ke Nan Yang Kopitiam di Medan Gopeng walaupun pilihan utamanya di Nan Yang di tengah bandaraya Ipoh. Disebabkan masalah parkir kami menyetujui bersantai selera di sini, tapi terbaik juga.Seronok melihatkan gelagat Nazmi semasa memilih menu yang disediakan. Seolah-olah semua sedap... semua nak dimakannya. Seperti yang kuduga .. nasi goreng dan jus buah pasti antara pilihan utama. Ini kerana mereka terbiasa dengan nasi goreng emak sendiri sejak kecil, justru bila dah besar... terorder juga.


Secret Recipi Medan Gopeng
Secret Recipe di Medan Gopeng jadi pilihan kami menjamu selera lantaran mudah parkir kereta. Layanan mesra para petugas di sini dan tempahan makanan yang cepat membuatkan kami tak lama berbual. Melihatkan senario di luar, mengingatkan Nazmi lokasi dia berulang-alik ketika ke Kuala Lumpur semasa masih menuntut di Intect MARA. Di sebelah bangunan tempat kami makan ini, letaknya Wisma Bhajan tempat Nazmi dilahirkan. Seribu kenangan Nazmi dan famili telah diabadikan semasa kami menetap di Rapat Setia dan Desa Indah Ipoh suatu ketika dahulu.

Steam Boat istemewa di sini
      Pak Teh Farid, Shahmi, dan aku menikmati jamuan tajaan Nazmi pula. Destasi kami kali ini di Jusco Ipoh . Nazmi mamandu Honda City, kereta yang secara bebas dipandunya ketika berada di Malaysia kerana kereta antik ini aku sendiri yang menggunakannya , jadi kutahu ragam kereta ini. Pesanan steam boat berkuah tom yam, minuman jus buah , ice cream dan salad buah menjadi menu pilihan kami. Restoran ini juga merupakan lokasi kesukaan Azi menjamu selera dengan kekawannya.  Di hadapan restoran ini ada satu lagi destinasi selera kegemaran Nazmi, restoran Jepun yang menyajikan pelbagai sushi dan lain-lain makanan Jepun dengan harga yang berpatutan.

  

      KFC dan Pizza Hut di Tesco Ipoh merupakan tempat menarik melerai selera   Nazmi. Sekiranya aku ada urusan di Pos Mini di sini, pasti Nazmi menunggu aku di tempat makan ini. Kekadang sempat aku makan bersama Nazmi sementara menantikan giliran membuat urusan di kaunter pos ini, menampakkan betapa ramai pengunjung datang ke situ. Foto berkaitan serupalah dengan restoran KFC dan Pizza Hut di merata Malaysia. Di Chicken Rice Shop, tentulah nasi ayam menjadi pilihan disamping menu snek yang disajikan. Hah... rojak mamak dan ABC (ais batu campur) sedap sekali nan menggelorakan  selera Nazmi.

    Mid Night Show merupakan aktiviti Nazmi dan Aiman ketika mereka cuti bersama. Entah cerita apa yang mereka tonton.. aku tak ambil pusing asalkan mereka keluar ke tempat yang aku tahu dan keluar dengan orang yang aku kenal.

   Berkelah di Air terjun Ulu Chepor yang cuma     
8 minit dari rumah menggamit nurani Nazmi ketika     bersama Kak Yang Ala dan Abang Azim . Puas berendam di air yang dingin dan dihiasi panorama alam yang mengagumkan... hingga lewat petang baru mereka pulang. Hairan juga ..... kenapalah anak menantu aku ni suka sangat berkelah waktu petang...  Si Daria Aleesa yang bayi tu pun mereka bawa berendam. Natrah cucu sulungku  takut dengan air terjun  mungkin bunyi air terjun yang kuat  agaknya.


      ..... entahlah, banyak lagi sebenarnya yang nak dicoretkanku ,tapi lain kali je lah kusambung sebab dah berat mindaku ini lantaran dipaksa-paksa memuntahkan memori . Lagi pun semuanya kenangan kami telah lama sangat di "save" dalam fail hati, berat amat kerana "memory full". Jumpa lagi, insyaalah.




Wednesday, April 25, 2012

Yang Arif , Saya Setuju

   Menghampiri usia 57 tahun semakin bertambah pengalaman, semakin  bermacam ujian kehidupan, semakin bertambah hidayah dan inayah Allah SWT kepadaku. Semakin aku hampir denganNya, semakin pilu hati nuraniku, terpanggil untuk memuhasabah diri... apa yang telah aku rafakkan untukNya.

    Dulu aku  menonton kisah sesi perbicaraan  di mahkamah hanya  di Tv. Tahun lepas aku berkesempatan menghadiri perbicaraan adik perempuanku di Mahkamah Tinggi Ipoh. Aku mengagumi kehebatan adikku berhujah mempertahankan hak anak-anaknya yang  yatim. Tanggal 24 April 2012, tanpa diduga aku pula telah menapak di kamar perbicaraan , bersendirian , tanpa bimbingan insan yang berpengalaman, cuma keramahan mulutku yang banyak bertanyakan maklumat daripada kawan-kawan untuk ku jadikan bekalan .

Pejabat Tribunal Pembeli Rumah Putrajaya
      Mahkamah Tribunal Pembeli Rumah, di Tingkat 4, Persiaran Perdana, Presint 4, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. "Oh, itu ofis YB Menteri Shafie Apdal," kata pemamdu teksi "Sunlight KL" yang menghantar aku ke sana dari Kondo Desa Idaman, Puchong Prima. Perjalanan selama 30 minit tidak terasa lantaran kemelut kerisauan di hatiku yang membuak-buak, bimbang aku tak boleh menjawab segala persoalan yang bakal ditanya nanti. Sebelum jam 7.30 pagi aku sudah tiba di lobi bangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Perut memang lapar amat kerana kali terakhir aku makan jam 5 petang semalamnya. Kafeteria terletak di depan mataku di tingkat bawah dan ada pilihan lain pula di bangunan sebelah. Selera makan sudah menghilang jauh...tidak kecundang dek kepedihan perutku. Sorang-sorang menaiki lif ke Tingkat 4, oh tiada seorang pun. Nasib baik tempat duduk selesa disediakan. Nah, perut sakit pula mengajak ke bilik kecil. Setelah menaiki lif ke tingkat 5, aku duduk semula di depan pejabat tribunal sambil membelek-belek dokumen yang dibawa. Hisss.. baca dah banyak kali , satu apa pun aku tak faham, gitulah  jadinya.

     Kemudian datanglah staf tribunal dan pemohon-pemohon tribunal macam aku. Tanpa dididuga, Yah juga dipanggil bersama pagi tu. Kami berbual topik-topik profesional... amat berhati-hati takut tersentuh topik sensitif tu. Jam 9 pagi kami dipanggil masuk oleh perugas tribunal ke bilik Perbicaraan 3. Aku sengaja duduk paling depan sebab pada senarai nama , aku nombor 1. Petugas, lelaki  muda yang berbangsa Cina itu amat fasih berbahasa Melayu dan menguruskan kami. Setelah semua semakan selesai dilakukannya, datanglah peguam yang mewakili para pembeli rumah, termasuklah peguam dari Perspektif Perkasa Encik Admund Loo. Berusia dalam 70an, beliau memperkenalkan diri, kemudian diikuti oleh peguam lain untuk syarikat perumahan lain pula.

      Peguam Admund Loo mencadangkan kami mengadakan MOU di luar perbicaraan (sebelum Hakim masuk). Syarikat bersetuju menawarkan gantirugi seperti yang kami tuntut RM50 ribu (had maksimum tuntutan melalui tribunal). Dalam kepala aku teringatkan  jumlah sebenar gantirugi kelewatan yang lebih RM73 ribu itu. Tapi aku tak mampu membiayai kos guaman dan tak ada pengalaman dalam urusan ini, lantas tawaran tribunal menjadi pilihan terbaik kerana aku cuma gunakan wang RM10 sahaja. "Siapa nak bagi kita duit free macam tu, jika dapat seribu pun terima je," itu basihat adikku Nab.

   Cadangan peguam kami terima sebulat hati dengan bayaran 10 kali mulai 24 Julai 2012. Ini bermakna kami akan menerima bayaran gantirugi pertama berjumlah RM 5 ribu pada 24 Julai 2012 dan berakhir sehingga 24 April 2013. Tetiba terdengar petugas berdiri sabil menyebut ".........". semua berdiri. Rupa-rupanya hakim masuk ke kamar perbicaraan. Seorang wanita Cina dalam usia 50an, lembut tutur kata dan sentiasa mengukir senyum, memperkenalkan diri sebagai Chia Kim Meang ,President Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.

     Selama setengah jam saja giliranku dipanggil menghadap.Kad pengenalanku diberikan kepada pengerusi. Beliau membbelek-belek dokumenku di mejanya. "Adakah anda bersetuju dengan cadangan pemaju memberikan gantirugi berjumlah RM5 ribu?" soalan sulung pengerusi. Aku pun menjawab," Yang Arif saya setuju" seperti yang diajarkan kepada kami tadi. "Pihak penentang hendaklah membayar kepada pihak yang menuntut RM50,000.00 (Ringgit Malaysia: Lima Puluh Ribu Sahaja) sebagai gantirugi ke atas kelewatan penyerahan milikan kosong," kata pengerusi lagi. "Jumlah tersebut hendaklah dibayar dalam 10 ansuran mulai 24.7.12."Faedah pada kadar 8% setahun hendaklah dibayar oleh penentang ke atas pembayaran lewat dari tarikh keingkaran hingga tarikh pembayaran penuh dibuat. Penentang hendaklah memberikan kepada pihak yang menuntut CEK LEWAT TARIKH (post-dated cheques) begi kesemua ansuran tersebut pada atau sebelum 24.7.2012," demikian hujah pengerusi seterusnya.

     Setelah menunggu di luar selama 2 jam, kami dipanggil masuk semula ke bilik perbicaraan oleh petugas tribunal. Kami diberikan sesalinan "Award dengan persetujuan" subperaturan 23(2)" sebagai dokumen rasmi keputusan tribunal. Salinan Award itu bakal digunakan dalam proses seterusnya di mahkamah sivil jika penentang ingkar perintah. Ada juga lagi mulut-mulut yang tak puas hati dan tak yakin dengan kemampuan pemaju membayar gantirugi kami. Aku berbisik kepada Yah," Saya bersyukur dapat rumah siap dan sudah diduduki. Biarlah rugi sekupang daripada rugi seringgit. Hakikatnya saya tak rugi besar pun. Bayaran itu pun saya anggap rezeki yang Allah nak beri, dapat ke tidak hanya kuasaNya. Cuma saya berdoa nak bawa anak-anak mengerjakan Umrah dengan wang tersebut."

     Selesai menjamu selera sebagai sarapan dan makan tengah hari di kafeteria bersebelahan lobi, aku menelefon teksi untuk pulang ke Puchong Prima. Sebelum itu aku sms mantan anak didik ku Anul dan Intan, sekiranya mereka free nak bertemu melepaskan rindu. Sayang sekali  mereka sedang berada di luar kawasan. Teksi pula tiada  nak mengambil aku pulang. Aku menurut cadangan penyambut tetamu untuk menaiki bas "Rapid KL" sahaja untuk ke Putrajaya Central bagi mandapatkan teksi di sana.

       Naik bas punbanyak yang  lupa... lupa nak masukkan duit tambang ke bekas di depan pemandu semasa naik. Pemamdu tu pun diam je pasal tambang.Aku masih  panik dengan kata-kata driber bas tu tadi,  "Lama kak ooi, jauh ke stesen  , saya kena pusing ni, tapi tak apa saya hantar kak ya." Agaknya dia lihat  muka kesian aku, lantas dia menawarkan bantuan. Tak pernah aku menaiki bas pusing-pusing sekitar Puterajaya. Dari Presint 4 ke Presint 2, ke Presin.... hinggalah presint 11, aku tak nampak bayang stesen bas pun. Penumpang sorang demi sorang turun hingga habis. Aku mula memikirkan peristiwa gadis melayu dibunuh driber bas di KL beberapa tahun lalu. Aku baca doa dan ayat macam-macam minta Allah selamatkan aku. Terkedu aku pabila pemandu bas tu bersuara,"Kak duduk mana?" dan pelbagai soalan yang telah aku jawab. Tapi aku terlupa banyak soalannya  lantaran takut agaknya. Keindahan Putrajaya aku dah tak peduli, aku cuma nak nampak stesen bas je. Akhirnya tepampang tunjuk arah ke Putrajaya Central, aku bernafas panjang, terima kasih Allah.

Bas Ekspres Plus Liner
    Aku ternampak kiosk Bas EkspressTransnasional ,kakiku tanpa di arah terus melintas jalan ke sana. Aku meminta tiket ke Ipoh untuk 25 April 12 jam 9 pagi. Kerani bertugas memberitahu, "Hairan tak boleh booking pulak kak," Aku lagi hairan, kata Ticket On-line. hisss... cubaan untuk aku belalar lagi. Kaki terus melangkah ke stesen teksi di sebelahnya. Di kaunter aku membayar RM34 untuk perjalanan ke rumah kak Yong. Aku diberikan kupon lalu menaiki teksi yang setia menanti penumpang. Menghampiri Puchong Permai aku minta dihantarkan ke Kiosk Transnasional untuk membeli tiket balik Ipoh.

    Alhamdulillah.... aku memiliki tiket dihajati dan diberikan pelan lokasi hentian bas Plus Liner di restoran Seri Bandung di belakang Tesco Puchong. Setelah menaiki teksi yang ku tempah semalamnya, aku tiba di depan Restoran Seri Bandung seperti diberitahu kerani kaunter semalam. Aku bersarapan sementara menanti ketibaan bas sambil menikmati bahan akhbar Kosmo. Apabila bas tiba aku memilih duduk di sit paling depan di tingkat atas bas. Luas pemandangan.... tak ramai penumpangan... selesa. Alhamdulilah... selamat dan selesai semua urusanku.

     Terima kasih Allah .... alhamdulialah..... syukur Allah.... telah mempermudahkan semua urusan yang kulakukan seorang diri . Allah telah memberikan aku  puluhan keberanian, ratusan ketabahan,  ribuan keyakinan, dan jutaan keikhlasan dalam mengharungi semua liku sepanjang menguruskan isu tuntutan gantirugi pembeli rumah di Cyberjaya ini. Aku hanya mengusahakan , Allah jua yang mentakdirkan. Walau apa pun, kupanjatkan doa moga segala yang Allah SWT  takdirkan nanti hanya untuk anak-anak tersayangku yang berempat itu.


     

Wednesday, April 4, 2012

Jantung dup dap dup dap....

    Tanggal 21 Feb 2011 aku gembira membaca nota FB Nz sibuk berkemas rumah di Wellington setelah 3 bulan ditinggalkan kerana pulang bercuti. Terkedu juga sebab di rumah jarang sekali Nz berkemas, malah kamarnya pun kak Ning yang uruskan.... Syukurlah puteraku dah bijak melakukan yang terbaik dalam hidupnya.

   Beberapa hari kemudian tiada coretan dalam fb Nz, hairan juga. Aku nak sangat melihat gimana keadaan rumah yang baru dikemaskan olen anak-anak di perantauan itu. Aku terus menunggu. Kemudian aku telefon terus Nz bertanyakan khabar. Suara Nz berbual lain macam... Lantas ku teka, " Adik lelah ke?" Dia mengaku konon sikit je.   Kepala  otakku berputar ligat memikirkan Nz yang lelah. Puas aku pujuk Nz agar berjumpa doktor, jawabnya "ya".
    Sehingga Isnin berikunya, Nz pun memulakan kuliah. Aku call bertanyakan khabarnya. Tak jawab fon. Aku hantar pesanan di fb kepada Megat,rakan serumahnya bertanyakan keadaan Nz dan kenapa ia tak jawab fon. Megat menyatakan Nz masih semput tapi tak serius. Jika panjat bukit ke kuliah, barulah semputnya bertanbah berat.
    Huh.... aku jadi bertambah tak tenang. Aku cal Ayong, Ala, dan adik-beradikku memohon doa agar Nz cepat sembuh. Sedihnya, mereka pula sangkakan Nz  terlibat dalam Tsunami di Christchurch. Semua pun jadi susah hati. Hari-hari airmataku tidak dapat ditahan-tahan daripada mengalir. Entah... agaknya sebab Nz terlalu jauh untuk ditemui.
   Solat hajat dan doa tak putus-putus kupohon agar cepat Nz sembuh biar mudah ia belajar. Akhirnya Nz hantar sms ingin Skype. Kami berbual panjang, sayangnya Nz tak nampak kami sebab internet lemah tetapi wajahnya amat jelas pada skrin. Dapat kulihat keadaannya setelah dikatakannya telah sihat. Syukur kehadrat Ilahi telah memakbulkan doa kami memulihkan putera kami di perantauan.

Aku Nazmi Kembara Rindu 1

     Tetiba aku diberitahu bahawa ada "orang" takut seseorang  balik dari perantauan . Takut lagi duitnya melayang, "Hah, ni masalah besar ni, nak duit tambanglah tu ". Ada "orang" menyembunyikan diri kerana amat takut kepada kelemahan diri yang kurang iman.Call tak angkat. SMS dia  tak jawab.Semua itu kerana peluang dia  berada di kejauhan bersama "orang-orang" di bendang. Tapi aku sekelumit pun tidak tersentak dengan kisah "orang" itu, kerana aku anak-beranak bukan begitu.

     Saban hari aku menghimpun doa moga Allah permudahkn segala urusan Yumi di perantauan, dipeliharakan keselamatan, diberikan kesempurnaan kesihatan, baik tingkah laku mahupun  perkataan, disayangi pensyarah dan kekawan, segala hajat dimakbulkan Tuhan, dan  sentiasa mendapat hidayah Tuhan. Sudah 2 tahun dia di Wellington , kami  kerap berhubungan melalui telefon . Setiap hari "chat" melalui facebook. Kekadang jika internet ok , kami "skype" melerai kerinduan. Perkara disembang sama je tiap kali, tapi tak pulak terasa jemu pada setiap sesi perbualan berlangsung.

Yumi berlibur di New Zealand
      "Adik apa khabar,.....makan apa tadi...., .....,belajar macamana...,
duit cukupke..., test bila ... dll. Demikian antara soalan "lumrah sebagai  muqadimah bualan kami. Jika "skype" lain sikit mukhadimahku; "eh, rambut dah...., nampak berisi ya..... ditanya juga benda-benda di sekitar lokasi berskype. Seronoknya dapat tunjukkan  secara live jika ada barang atau makanan yang nak diberitahu.

    Setelah menghantar pulang kak Yong dan anak-anaknya di Puchong
Prima, pada keesokan paginya  aku dan Azi memberanikan diri 
memandu Proton Pesona ke LCCT, destinasi yang belum pernah kami sampai sebelum ini. Aku berkeyakinan penuh kepada puteriku ini untuk memandu kerana adanya bantuan dari "GPS" .Setiap minit "GPS"  membebel menunjukkan jalan yang perlu kami lalui sehinggalah tiba di LCCT dengan selamat. Tiba di situ, pening pula biji mata nak mencari "Marry Brown" tempat Yumi menunggu kami sejak ketibaannya jam 7.30 pagi 11 Februari 2012. Akhirnya Yumi menerjah kami yang terpinga-pinga sedang  mencarinya.
         "Hei kak Uda", ayat Yumi meleraikan pencarian kami. Huh.... rambut Yumi dah pendek, badan dah kurus banyak, putih kulit tubuh . Apa lagi, setelah berpelukan, kami beriring tangan ke tempat parkir kereta untuk ke Kajang.  Azim dan Daria telah lama menunggu di rumah, manakala Nadrah bertugas di sekolah.

Daria "All Black"
        Di tingkat 3, quarters warden SMAP Kajang kami menemukan 
Yumi dengan Daria Aleesa untuk julung kalinya. Daria terpinga-pinga melihat    kami bertiga dengan bagasi masing-masing dalam kemengahan kerana menaiki   tangga . Daria disarungkan kemeja T "All Black" ole-ole Yumi untuk anak buahnya itu. Aku dan Azi turut menyarungkan kemeja sama . Izz Faris pula diberikan keesokan harinya. Ada sehelai lagi "All Black" yang Yumi tak berupaya memberikan kepada "orang" lantaran takdir Allah.

      Kami bermalam di rumah Daria .Yumi banyak membualkan kisahnya di perantauan sambil ronda-ronda di pasar malam di hadapan SMAP Kajang. Aku berikan Yumi peluang memilih sendiri makanan yang disukainya, beli sebanyak yang ia mahu dan makan sepuas hatinya. Kelihatan Yumi ceria
bersama kami ronda-ronda pasar malam itu.


Izz Faris & Pak Su
        Keesokan harinya kami ke rumah kak Yong pula . Kali ini  pertemuan
Yumi dengan "juniornya " Izz Faris yang berusia 2 bulan. . Setelah  memerah kekuatan otot-otot kakiku yang telah berjasa selama 56 tahun, akhirnya aku , Yumi dan Azi berjaya sampai ke destinasi. Di Tingkat 3, Pangsapuri Seri Idaman kami meleraikan kerinduan, terutama Yumi kepada kakak sulungnya Kak Yong Nadiah dan anak-anak saudaranya . Semasa menerjah  di muka pintu, Natrah dah bersedia dengan senyuman manisnya yang melebar tu. Apabila ternampak aku, 'Kakak" panggilan untuk Natrah, terus menerpa aku sambil menjerit "Opah".Apa lagi kak Yong melontarkan soalan sulungnya yang tersimpan sekian lama sejak dalam berpantang lagi. "Hah... mana coklat? Dah lama mengidam ni sampai dah bersalinkan Izz  tak dapat makan ni"

                              
                                     Kami menjamu selera dengan coklat ole-ole  New Zealand yang pelbagai perisa.
Nur Natrah "All Black"
Kemudian Yumi  menghulurkan "T Shirt All Black" pesanan kak Yong sebelun Yumi balik untuk Izz Faris. Natrah asyik membelek-belek ole-ole Pak Su . Kesian pulak, lantas Natrah disarungkan T.shirt hitam sepasang dengan seluar dan kasut. Huh.... tersenyum lebar Natrah ,asyik menyebut "cantik...cantik.... Sesi bergambar pun bermulalah dengan pelbagai gaya dan ragam Natrah.

    Sambil menikmati nasi beryani dan nasi putih berlauk ikan 3 rasa serta gulai untuk makan malam, kami berbual panjang . Sesekali suasana disulami tangisan Izz Faris yang kuat meragamTopik kali ni lebih tertumpu kepada kerjaya kak Yong dan kak Uda, sambil menonton rancangan e-TV yang  baru. Semalam sahaja kesempatan di rumah Natrah kerana Isnin esoknya Azi  bertugas.

     Selepas menikmati makan tengah hari kami bergerak ke Ipoh. Yumi duduk di sit belakang menyambung tidurnya. Azi memandu terus dari Puchong Prima ke Chepor Indah. Yumi terpaksa memendamkan hasrat memandu kereta sejak sekian lama di perantauan lantaran lesen memandunya telah mati. Pabila menghampiri jalan ke rumah dari highway, Yumi menyaksikan perubahan pembangunan di sekitar perjalanan kami. Banyak pembangunan sedang rancak dilaksanakan  antaranya pembinaan TAIPAN ,KAMDAR dan Stesen Bas Meru Raya yang sudah 80% siap. Bermakna kami tak perlu ke Terminal Bas Medan Gopeng sekiranya siap stesen bas di Meru Raya ini yang perjalanan cuma 10 minit dari rumah

      Akhirnya tibalah kami di rumah. Kepulangan kami disambut oleh kucing-kucing yang kelaparan mungkin atau kerinduan belaian kami.

      Sampai di sini dulu Kembara Rindu Nazmi. Esok... lusa... dan ....kembara seterusnya akan menyusul.