Tuesday, March 5, 2024

TRANSJAVA 11- 19 November 2023 : Jakarta- Bandung- Semarang- Jogjakarta- Bromo- Malang- Surabaya- Madura

        Kembaraan kali ini tanpa dirancang, cuma nak menguji ketahanan diri. Imah mengajakku temankannya ke Kajang meninjau Travel Agent di bandar tersebut. Aku OK saja kerana dapat melepaskan kerinduan kepada Sate Ramli Kajang. Sekitar Oktober Imah memandu kereta membawaku ke destinasi baru. Waze menunjukkan arah pemanduan ke pejabat Nusa Travel.  Tika memasuki ruang pejabat di tingkat 3, Naja staf di situ menyantuni kami. Amat mudah perbincangan antara Imah dengan Naja. "Ada 4 seat kosong je lagi. Tarikhnya 11.11 23. Cuti  sempena Deepavali pula tu. Ada diskaun untuk warga emas macam mak cik berdua!!!!". Haha... terpaku diri di situ mendengarkan kata-kata Naja. Imah memujukku lantaran aku kurang minat untuk repeat ke Indonnesia.

          Aku terkejut melihatkan Imah terus mengeluarkan wang untuk bayaran penuh pakej. Wow RMxxxx dibawanya bersama. Dia bayar tunai!. Memang Imah nekad nak pergi sangat-sangat.  Tanpa berfikir panjang aku pun bersetuju untuk menemankannya melancong. Aku tak bawa wang tunai, lalu membuat bayaran trasnfer online deposit Pakej Transjava. Hahaha.... ke Indon lagilah Opah Kama ni.... Penutup kembara ke Kajang, kami menjamu selera di Megat Sate Kajang. Tak jadilah makan Sate Ramli dek kerana cadangan Naja, "Sate Wak Rono memang enak, trylah". Benar juga, enak sekali.

Kembara Jeep Savana & Lava Merapi 

Lava Jeep Tour Merapi Jogjakarta

Laluan Pakej TransJava


            Tarikh 11 November  2023 jam 4.00pagi Nizam menghantar kami ke KLIA2. Naik pesawat Air Asia je. Semua familiku di rumah Cyber ni masih tidur nyenyak kecuali cucunda sulung Nur Natrah. Dia yang melepaskan pemergian kami. Sempat dia mengusik opahnya,"Opah lari ... Raichu nangis!!"  Allahhuyassir wallatuassir robbirtamim birkhoir, Aamiin.

Ke KLIA2 jam 4.00pagi

Raichu mengesat matanya

           Setengah jam perjalanan, kami tiba di KLIA2. Jam 5 pagi selesai urusan Check in bagasi. Sesi berkenalan antara jemaah sementara menantikan taklimat daripada ketua rombongan(TL). Peserta yang muda seramai sebelah tangan je. Selebihnya warga emas melengkapkan jumlah kami 25 orang. Ramai jemaah terdiri daripada pasangan suami isteri. Yang lainnya ditemani anak dan rakan, seperti aku juga. Alhamdulillah terdapat seorang jemaah orang Cina Taiping, Foong namanya. Tapi dah macam orang Melayu. Dia merupakan bekas pemain hoki negara. Namun semuanya seperti sebuah keluarga Malaysia.

        Dah lama tak naik pesawat Air Asia dari KLIA2 ni. Walaupun seat kelas ekonomi namun sepadanlah dengan 1 setengah jam penerbangan. Duduk di barisan tepi tingkap, seat 3 seater agak selesa juga. Jam 9.00 pagi kami berangkat dan selamat tiba di Soekarno-Hatta Internasional Airport jam 10.35pagi. Alhamdulillah... kali ketiga menjejak kaki di tanah seberang...Indonesia.



Soekarno-Hatta Internasional Airport Jakarta



         Tiba di airport Pak Didi atau nama sebenarnya Raden Bagus Soepardi Sugiano, menyambut ketibaan kami. Orangnya tinggi lampai, bersuara lantang, peramah dan penuh ilmu sebagai Pemandu Pelancong (TG). Sepanjang 9 hari bersama beliau, banyak imfo berkaitan lokasi lawatan dan isu semasa yang dikongsikan. Beliau amat menitikberatkan tentang menu makanan halal sepanjang kembara bersamanya. Kami langsung tidak ada peluang menikmati makanan yang dijual penjaja di jalanan. Terbaik Pak Didi !!



Bas agak uzur digunakan sepanjang kembara

Memilih seat di sebelah pintu belakang bas

         Sepanjang laluan disajikan panorama kota Jakarta. Banyak sekali bangunan pencakar langit seiringan kemodenan tamadun kini. Namun di celah-celah kemodenan tersebut masih terdapat penempatan  padat penduduk yang mendiami rumah-rumah ala-ala setinggan.  Dek kerana kami melalui Lebuhraya Transjava yang tinggi, kelihatan seolah-olah penempatan penduduk di tanah rendah. Pernah terbaca Jakarta dilanda banjir besar suatu ketika dulu. Tetapi menurut kata Pak Didi, kini pemerintah telah membina sistem perparitan canggih yang mampu mengepam ke laut limpahan air hujan. Justru kini sudah jarang berlakunya banjir besar di Jakarta.

Kelihatan jelas dari Lebuhraya



Penempatan penduduk hampir dengan sekolah di Jakarta.
Nama sekolah pada atap bangunan sekolah


Binaan tebing tinggi dan pondok pam di kiri kanan parit 

           Kami dibawa menikmati makan tengah hari di Restopran Simpang Raya, Jakarta. Jam12.00pm tiba di lokasi. Sudah bersedia pengawal di situ yang menunjuk arah supaya bas parkir di dalam kawasan restoran. Memang ada ruang parkir bas disediakan. Kawasan luar restoran bersih walaupun lokasinya di tepi jalan yang sibuk.

          Memasuki ruang restoran, kami disambut oleh 3 orang petugas di situ. Mereka iringi kami masuk ke dewan makan yang sesuai untuk jemaah yang ramai. Sebuah dewan makan berhawa dingin dan lapang. Sudah tersedia disajikan di atas meja makanan berhidang. Aneka menu nasi berlauk dalam setiap sehidangan untuk 4 orang makan. Nasi putih, ayam goreng, telur dan tempe goreng. Ada juga sayur, gulai, minuman air kosong dan buahan disajikan. Jus buahan boleh di pesan tapi bayar sendiri. Imah mengajak aku merasai jus Avocado. Tika meneguknya, Wow...enak bangat!!!






        Jam 1.30pm  bas dipandu menuju ke MONAS (Monumen Nasional). Dikenali juga dengan nama Tugu MONAS. Ia merupakan tugu peringatan setinggi 132 meter. Didirikan untuk mengenang jasa dan perjuangan rakyat Indonesia untuk mendapatkan kemerdekaan dari penjajah Hindia Belanda. Terdapat muzium di dalamnya. Tugu ini didirikan mulai 17 Ogos 1961 tika pemerintahan Presiden Soekarno.

      Tidak jauh dari MONAS terdapat White House yang merupakan Istana Presiden Indonesia. Pak Presiden Indonesia mendiami bangunan ini sebagai kediaman rasmi. Merakamkan gambar sahaja di depan bangunan bersejarah. Di sekitar lokasi terdapat banyak sekali kereta kuda berhias bergerak di sepanjang jalan di Medan Merdeka. Semuanya cantik dihiasi dengan pelbagai bunga yang berwarna menarik. Pernah aku menaiki kereta kuda ini bersama anak dan cucu tika berada di Pulau Lombok dulu. 





White House Jakarta



        Singgah bersolat di Masjid Istiqlal. Masjid "Kemerdekaan" maksudnya. Ia merupakan masjid nasional di Ibu Kota Jakarta. Masjid terbesar di Asia Tenggara dan menduduki tempat ke-6 di dunia dari segi kapasiti jemaah. Dibuka secara rasminya pada 22 Februari 1978. Letaknya bersebelahan dengan Istana Merdeka dan di depannya pula ada Gareja Katedral Katolik serta Gareja Immanuael. Ruang mengambul wuduk di Masjid Istiqlal mendepani laluan masuk ke tempat solat. Justru memudahkan jemaah. Ruang solat tiada pemisah tinggi yang menghalang pemandangan antara jemaah lelaki dan wanita. Amat selesa bersolat di Rumah Allah yang indah ini.

Masjid Istiqlal Jakarta


Ruang solat wanita di kiri dan di kanan ruang solat lelaki


Laluan masuk dari tempat wuduk
 ke ruang solat



Gereja Katedral Jakarta di depan masjid


Cantik terusan di kota Jakarta 



          Menamatkan aktivi kembara pada 11.11.23 dengan menjamu selera malam di Kedai Makan Tekko Jakarta. Jam 7.30pm dah tiba Kedai Makan Tekko. Kami disambut oleh staf berunifofm batik dengan ramah sekali. 2 barisan meja makan disajikan menu berhidang. Setiap hidangan untuk 4 orang. Menu nasi putih, lauk-pauk dan istimewanya sambal belacan yang teramat pedas. Enak dan puas hati makan di sini.




Hidangan untuk 4 orang


Ikan Terbang





        Selesai makan malam kami mendaftar masuk di Hotel Orchardz Jakarta.  Menginap 1 malam sahaja di Jakarta. Mengambil peluang untuk mengintai di luar hotel. Dari jendela bilik kelihatan panorama pusat Kota Jakarta. Padat dengan bangunan tinggi yang  menghimpit rumah-rumah kecil kediaman penduduk. Berdekatannya kelihatan juga stesen keretapi dan jalan raya yang sesak. Oh... memang padat penduduk di Jakarta ni.

Hotel Orchardz Jakarta


View Jakarta dari kamar hotel



Sarapan di Orchardz Hotel


            Memasuki hari kedua kembara di Pulau Java, meraikan perut dengan aneka makanan sarapan yang enak bangat. Disajikan menu makanan tempatan orang Jawa, makanan barat, aneka minuman panas dan dingin serta menu pencuci mulut. Di Orchardz ni mencuba nasi goreng dan bihun goreng serta ayam goreng dalam portion yang serba sedikit. Kononnya baru berkenalan makanan di perantauan takut perut terkejut pula. Alhamdulillah, terbaik  semuanya. 

         12 Nov sekitar jam 9.00pagi bas menurunkan kami di Stesiun Keretapi Gambir, Jakarta. Menggunakan tiket individu untuk melepasi Check Point ke kawasan  menunggu tren. Masa banyak lagi, Pak Didi sibuk merakamkan gambar jemaah di stesen itu. Jam 9.30pagi kami menaiki Keretapi Agro Parahyangan 44, dari Gambir, Jakarta ke Bandung. Bukan Speed Tren tapi keretapi KTMB seperti ETS dan ERL di negara sendiri. Kami difahamkan Kereta Api Indonesia(KAI) merupakan Mode pengangkutan awam terawal di Pulau Java. Jakarta memiliki jaringan laluan keretapi yang komprehensif . Terdapat Cafe dan surau di dalam tren ni disamping tandas yang bersih. Selesa berada di dalamnya. 

          Sepanjang 3 jam perjalanan ke Bandung, dari jendela tren  kami  disajikan panorama penempatan desa yang indah. Menempuhi pekan-pekan kecil yang padat penduduknya. Berselang-seli dengan panorama sawah padi nan menghijau sejuk mata memandangnya. Terdapat juga tanaman pokok getah, kebun sayuran dan dusun buahan. Semuanya  hidup subur di tanah yang berbukit. Sesekali kelihatan kolam ternakan ikan air tawar berdekatan kediaman penduduk. Tren melalui beberapa terowong di bukit-bukau dan melalui di atas jambatan panjang. 

        Suatu keanihan pabila melihatkan pintu pagar jalanraya yang merentas jalan keretapi, hanya menggunakan palang kayu. Lagi pelik pabila melihat tidak kelihatan pula pagar pemisah antara jalan keretapi dengan kediaman penduduk. Hmmm... memang berdisiplin masyarakat di sini tentang keselamatan di sekitar laluan keretapi... moga begitu.
        


Berpakaian warna HIJAU sempena Hari Kebebasan Palestin

Cikgu Muriaton dari Johor

Satu gerabak kami punya



Jualan di Troli bergerak dalam tren.
Tak dapat merasai kopi dek habis stok 



Stesen Gambir

Antara stesen disinggahi mengambil penumpang

Stesen kedua Bekasi



Tiada pagar keliling rail keretapi






Sawah padi menghijau




        Setelah menyinggahi 3 stesen mengambil penumpang, kami tiba di Kota Bandung jam 12.30 tengahari. Bandung atau dikenali dengan nama  Bumi Parahyangan dan Paris Van Java merupakan panggilan lain untuk Bandung. Hujan rahmat yang lebat meraikan ketibaan kami di Stesen Bandung. Keluar dari gerabak kami berjalan kaki dan menaiki escalator di bawah laluan berbumbung. Alhamdulillah, selamat menapak di bumi Bandung buat kali pertamanya. Sementara menantikan bas kami dari Gambir tiba di Bandung, kami sempat merakamkan gambar kenangan. Ada banyak gerai makanan di stesen itu, namun tidak menyinggahinya kerana sudah menghampiri waktu makan tengahari.




        Jam 1.30pm kami dibawa ke Kedai Makan Rijsttafel Resto. Hujan masih renyai dan belum mahu berhenti. Waktu makan tengahari mesti dipatuhi. Rumah makan ini menyajikan masakan Nusantara menu warga Bandung. Menikmati menu nasi putih, gulai ayam, ayam goreng dan ulaman serta sedikit sambal belacan. Masih memesan jus Avocado di sini kerana belum puas menikmatinya. Makanan di sini juga lazat dengan menu masakan lokal.



           Jam 4.00pm kami dibawa ke Gedung Oh Best sebuah gedung textile. Di entrans gedung ini ramai penjual produk tempatan memujuk kami membeli. Ada buah Salak, buah limau, kraftangan dll yang dijualkan. Memasuki di dalam gedung Oh Best kelihatan textile batik memenuhi ruang pameran dan jualan. Boleh beli kain dan buat tempahan  baju di sini. Pabila siap  tempahan akan dihantar terus  ke hotel seperti yang dijanjikan. Ada batik cetak dan batik tulis dengan harga .... kayangan. Oh... zaman menempah pakaian batik sudah berlalu. Memadailah beli yang murah-murah untuk kenagan bolehlah!! Best sekali tika di sini pabila setiap pengunjung disajikan secawan kopi panas. Ada pula bilik yang dikhaskan untuk menunggu pasangan yang memilih  kain.


Jemaah tak membeli


        Singgah lagi tempat membeli-belah di Heritage Uniqlo. Terletak di Martadinata, Bandung. Menyediakan koleksi pakaian peria, wanita dan kanak-kanak yang berkonsepkan perusahan retail Jepun. Dari jam 7 hingga 8.00pm berada di sini. Sama juga, aku jalan-jalan jamu mata. Sudah berpesan pada hati "Berat bagasi tiada yang nak tolong nanti". Lagipun jenama Uniqlo ni ada di mana-mana di pusat beli-belah di negara sendiri. 


        Jam 7.30pm menikmati dinner di Kedai Makan Warung Dulu Kala. Memasuki ruang kedai ini para pengunjung pastinya terpesona dengan dekorasi di dalamnya. Pada ruang dinding dan siling dihiasi dengan pelbagai barangan antik dan barangan terpakai. Kreatif sangat pemilik kedai kerana turut menyajikan KaraOke di suatu sudut kedai. Disamping menikmati juadah makan malam, tetamu terhibur dengan persembahan yang didendangkan. Menu makanan di sini sama dengan tempat makan sebelum ini  menyajikan menu nusantara.




        Sebelun ke hotel penginapan, dapat menyaksikan view malam di Kota Bandung. Tapi kota ini tidaklah semeriah macam di kota Jakarta. Kelihatan ramai pengunjung pada malam hari, keluar meleraikan lelah bekerja pada siangnya.  Jualan makanan pun banyak di kedai makan atau pun di Food Truck dan di Stall Lipat. Ada juga pasar malam yang dibuka selain tempat-tempat beriadah untuk pengunjung bersantai.


Pasar malam khas untuk makanan non halal

        Tiba di tempat penginapan jam 8.30pm. Menginap di Hotel Cemerlang Bandung selama 2 malam. Lokasi hotel ini di pusat Kota Bandung berdepan jalan kota yang sangat sibuk. Pak Didi memberi imfo ada gerai makan ubi kayu bakar madu leleh dan warung mengopi yang dibuka pada waktu malam berdekatan hotel. Oh.. tak berani merayap malam-malam nak melepasi jalan yang sibuk. Lebih-lebih lagi tubuh berusia ni semakin kurang bertenaga selepas seharian beriadah. 




        Selesai bersarapan aku ditemani Nordiyana dan Norazlina melangkah kaki ke Toko Kartika Sari. Tanggal 13 November seawal jam 6.50pagi kami melintasi jalan nan sibuk, melalui lorong di tepi longkang dan akhirnya tibalah di sebuah lokasi yang asing bagiku. Sebuah premis ole-ole  yang menjual aneka roti, cookies, pastri, kuih dll yang sesuai dijadikan buah tangan pengunjungnya. Imah tidak mengikuti kerana sakit kaki. Justru aku belikan makanan kering yang krispi dan sedikit pastri.

Sarapan di Hotel Cemerlang

Nor Diyana kenalan dari Penang

Kartika Sari menjual pelbagai Coklat & manisan



       Jam 9.00pagi kami dibawa ke Pasar Terapung Lembang. Lebih dikenali dengan nama  Floating Market yang dibuka sejak tahun 2012. Destinasi sini menyediakan aneka makanan sehinggalah jualan sayuran di atas gerai-gerai yang terapung. Gerai-gerai terapung di tepi tasik menjual aneka makanan dengan menggunakan token untuk berbelanja. Pengunjung boleh menikmati makanan di depan gerai terapung di atas Tasik Situ Umar. Turut disediakan servis bersampan di tasik, kabin untuk disewa dan trek pejalan kaki. Banyak pokok hiasan taman seperti ala-ala taman Korea di sini. 

Entrans jalan ke Floating Market

Kaunter jual tiket









Aneka rona gerai jualan makanan di atas air



          Jam 11.00pagi di bawa ke lokasi visata lain pula, Farm House (FH). Ketika memasuki Farm House Lembang, di Bandung ni terasa bagai berada di negara Eropah. Lebih jauh melangkah membawa kita seolah-olah berada di New Zealand pula. Dengan suhu nyaman antara17-24 Celcius terlupa diri telah melangkah banyak di dalamnya. Suasana di FH ini diinspirasikan daripada filem The Hobbit dan bangunannya mirip senibina Eropah. Sesuai sangat membawa kanak-kanak untuk beridah di sini. Banyak aktiviti seperti memberi makan haiwan (kambing, arnab), mengenakan pakaian tradisi dan menjamu selera di gerai -gerai di situ. Yang terpenting ialah mengabadikan gambar kenangan di sekitar Farm House.

          Entrans ke FH ini dipagari dengan kepingan  keratan akar pokok besar yang dijadikan sebagai pagar. Sangat menakjubkan kemahiran dan idea mereka menggunakan keratan akar pokok sebagai dekorasi yang kreatif. Penat berjalan boleh singgah menghilangkan lelah di gerai makan yang tersedia. Selesai lawatan di dalam FH ini, dapat pula minuman percuma. Pengunjung bolehlah menukarkan tiket masuk dengan sekotak minuman susu di kiosk  bersebelahan pintu keluar FH.








Entrans Farm House




Nor Diyana dan Norazlina



Menyediakan kostum sewaan untuk bergambar






Boleh claim susu segar selepas lawatan


Sibuk ambil foto kawan, sendiri
kena Candit Shoot


       Untuk menikmati makan tengahari, kami dibawa ke Restoran Sederhana jam 11.30pagi. Menyajikan menu masakan padang dan makanan resepi lokal. Masih menerima makanan nasi putih dengan aneka lauk-pauk. Seperti hari-hari sebelumnya, aku memilih sedikit nasi tetapi melebihkan lauk dan sayuran. Ulam tidak berani disentuh kerana sambalnya sangat pedas.






        Selesai makan menuju ke lokasi berbelanja pula. Kali ni giliran aku dan Imah menggunakan peruntukan yang disediakan untuk shopping. Jam 1.00pm bas menurunkan kami di hadapan gedung beli-belah bertingkat. Namanya Pasar Baru Bandung. Kemudian kami dibahagikan kepada kumpulan kecil yang diketuai seorang pembantu yang dilantik agent travel. Pembantu ini memudahkan pergerakan serta menjimatkan masa pengunjung di dalam bangunan ini. Awal-awal lagi pembantu tersebut menanyakan fokus pembelian kami. Kemudian ia membawa kami menuju ke gerai yang menyediakan barangan yang ingin dibeli. Aku membeli 3 helai blous untuk dipakai tika kembara ini kerana aku membawa blouse untuk 6 hari sahaja. Tertarik dengan sepasang telekung bersulam benang biru. Terbelilah satu...hahaha, hadiah untuk diri. Selepas berbelanja, kami minum di sebuah gerai di tingkat atas bangunan itu,

           Gedung yang dikenali juga dengan nama Pasar Baru Trade Center merupakan sebuah bangunan 8 tingkat. Boleh berjalan kaki sahaja dari Stesen Keretapi Bandung ke Pasar Baru Bandung ini. Ada sesuatu keistimewaan dengan harga barangan yang terdapat di sini. Boleh tawar-menawar harga sehingga pengunjung berpuas hati barulah membeli. Barangan jualan tiada harga tetap. Gedung ini menjual aneka pakaian muslim, telekung dll yang bersulam. Koleksi batik tradisional sehingga batik ternama ada dijual. Barangan keperluan pengantin dan ibadah juga disediakan di sini. Selain itu terdapat koleksi aksesori hiasan wanita seperti tas tangan . Di Pasar Baru Bandunglah Syurga  membeli-belah  Wanita.



Membasahi tekak sebelum beredar tajaan
Wan Zaliha & Nor Azmi

Pembantu berbaju hitam

Depan Pascal Shopping Centre


            Jam 4.40pm jemaah dibawa ke Cihampelas pula. Ohhhh....badan letih... tapak kaki sakit. Sahabatku Imah lagi bertambah sakit tumitnya. Hujan menrenyai tika tiba di lokasi. Aku tidak berbelanja kerana tiada barang yang menarik minat di sini. Cihampelas ni terkenal sebagai sentral produksi seluar jeans. Banyak outlet di dalamnya yang menawarkan pelbagai jenis pakaian terutamanya seluar jeans dengan pelbagai rekaan dan saiz. Sehinggakan kawasan itu dipanggil "Jeans Street". Menurut sejarah, dulunya Cihampelas merupakan penempatan penjajah Belanda. Banyak gedung mewah yang didirikan di kawasan itu. Bangunan Cihampelas mengambil nama sempena  nama jalan di Kota Bandung.






            Seawal jam 6.00pm sudah tiba jadual makan malam pula. Kali ini merasakan menu juadah di Restoran Pesona Kampung Sunda. Masakan resepi kaum Sunda, menurut kata Pak Didi. Masih mengekalkan makanan berhidang untuk 4 orang makan bagi setiap hidangan. Saiz ayam goreng di sini agak kecil dan kurang berdaging. Seperti ayam kampung yang belum cukup matang. Berbanding dengan ayam di tempat kita yang saiznya besar, daging tebal dan banyak lemak. Sup ala-ala Tom Yam pula ada jagung di dalamnya. Tapi masih enak dimakan. Gendang-gendut tali kecapi, kenyang perut nak balik hotel mandi.


Kedai Makan Pesona Kampung Sunda Bandung

Pesona Kampung Sunda Bandung

Portion yg biasa dimakan,
berlapik daun pisang

Ala-ala Tom Yam


Dekorasi ruang dapur


         Tika di Bandung kami menginap di Hotel Cemerlang, selama 2 malam. Di Semarang pula disediakan Hotel Fave untuk berehat satu malam. Berbanding dengan di Bandung bilik-bilik hotelnya mengelilingi ruang makan di tingkat 1. Manakala Hotel Fave lebih moden yang menyediakan ruang makan yang luas dan selesa. Pilihan makanan pun banyak. Di anjung terbuka Cafe Hotel Fave pengunjung boleh menikmati sarapan sambil menyaksikan panorama penempatan sekitar. Boleh dikatakan Fave Hotel 4 bintang berbanding dengan Hotel di Bandung 2 bintang sahaja.


Kamar hotel di Bandung

Kamar tidur sekeliling ruang makan di tingkat 1

Sarapan di Hotel Cemerlang di Bandung

Hidangan makanan di meja tengah, hidangan
minuman di tepi kanan di Hotel Bandung

Penginapan di Semarang


Anjung Cafe Hotel Fave Semarang

Sarapan di hotel Fave Semarang


             Hari ke-4 kembara Transjava pada tanggal 14 Jan 2023. Seawal jam 6.41am sudah bersarapan. Kelihatan semacam terlalu awal  waktu sarapan itu jika berada di negara sendiri  Oleh kerana waktu  di Indonesia 1 jam lewat daripada waktu di Malaysia, jadi kepala tua ni sering keliru. Mujurlah pada skrin fon ada dicatatkan waktu untuk 2 negara ini. Jam 6.41pagi  di sini bersamaan jam 7.41pagi di Malaysia. Walaupun tika itu jam 6.00 pagi sang suria dah terang benderang menyinari bumi Bandung.

       Pak Didi memaklumkan perjalanan dari Bandung ke destinasi berikutnya selama 6 jam. Aduh...menaiki bas tua yang ehemmmm... memang menyakitkan punggung.  Jam 8.30 pagi kami meninggalkan kota Bandung menuju ke Semarang. Melalui Central Highway Transjava dari Bandung ke Semarang. Oh... Semarang telah ku kunjungi bulan Disember 2019. Tika itu bercuti di sekitar kawasan pedalaman desa, tempat bibikku. Tapi kali ini persinggahan di kota Semarang pula.

        Perhentian pertama kami di  R&R 203 untuk berehat selama setengah jam. Waktu ini jam 10.30pagi, baru 2 jam perjalanan. Ramai warga emas dalam kumpulan ini, tapi paling senior adalah aku, 68 tahun. Masing-masing bersegera turun  untuk ke tandas. Ada juga yang ke gerai makan meneguk kopi dan menghisap rokok. Kami mencuba minuman jus buahan serta keropok pisang. 

         Perjalanan seterusnya menyaksikan panorama lebuhraya yang cantik. Masih baru tetapi tidak banyak kenderaan yang menggunakannya, mungkin kerana bayaran TOL yang mahal. Difahamkan Lebuhraya Transjava ini dibina oleh konsultan dari Malaysia. Ada banyak kesamaan rekabentuk dan tempat kemudahan awam dengan lebuhraya di negara kita. Cuma di sini disediakan masjid nan indah dan besar berbanding dengan hanya surau kecil di negara kita untuk pengguna lebuhraya bersolat. Kekadang tika berada di R&R di sini terasa berada di bandar dengan kedai makan yang besar dan menarik.

Sawah padi menghijau sejuk mata memandangnya

Panorama sepanjang Central Highway
Bandung ke Semarang

Cirebon tempat Bibik Saroah... next trip, insyaAllah

R&R 203

Singgah minum di Cafe terjumpa seorang
pensyarah Universiti Jakarta

        Jam 11.40am singgah pula di R&R 207 Cirebon.   Alhamdulilah, dapat juga pengalaman menikmati sajian di sebuah restoran di R&R.  Makan tengahari pula di sini. Kedai makan di sini sederhana besarnya tetapi boleh memuatkan 50 jemaah sekali makan. Menyajikan makanan nasi putih dengan pelbagai masakan lauk-pauk.  Menu lebih-kurang sama dengan kedai-kedai makan sebelum ini. Selesai makan, kami bersolat di sini. 

R&R 207




Menu lunch tika kembara






           Hentian ke-3 perjalanan Bandung ke Semarang di R&R 309 pada jam 3.05pm. Menikmati juadah makan petang di sini sambil berehat setelah 2 jam perjalanan. Kami dicadangkan untuk merasa keunikan masakan tauhu dan sukun gorengan di sini. OKlah rasanya, untuk melalikan tubuh yang dah penat sepanjang berada di dalam bas hari ini. Oh.. sudah tidak jauh perjalanan nak ke Semarang.


Tauhu Sumedang



        Akhirnya kami tiba di Lawang Sewu di Semarang jam 4.20pm. Selesai dengan selamatnya perjalanan 6 jam dari Bandung ke   Semarang. Mujurlah melalui lebuhraya, tidak banyak kenderaan dan cuaca cerah anugerah Tuhan, Alhamdulillah. Memasuki Lawang Sewu yang merupakan sebuah muzium dikenakan tiket masuk. Aku memilih untuk hanya berjalan-jalan sekitar tingkat 1 dalam bangunan dan di kawasan laman muzium ini. Kemudiannya turun untuk menikmati kelazatan jus Avocado di sebuah gerai di laman muzium. Sambil minum dapat pula menikmati alunan muzik dari pemuzik di situ. 

        Lawang Sewu bermakna seribu pintu dalam bahasa Jawa. Bangunan ini miliki 1000 pintu dan jendela. Dahulunya bangunan ini merupakan pejabat pusat perusahan Keretapi Hindia Belanda. Tetapi kemudiannya dimiliki  Syarikat PT Keretapi Indonesia. Bangunan peninggalan  zaman Belanda ini  dibina tahun 1904. Setelah tidak digunakan lagi, ia dijadikan muzium.






Pemuzik di laman Lawang Sewu


Aneka minuman dijual di sini

Batang kayu jadi bangku panjang



Bahagian luar Lawang Sewu


        Sebelum menikmati makan malam, singgah pula di Jalan Pandamaran, Semarang. Masa menunjukkan jam 5.30pm, tapi sudah gelap malam. Tidak ramai pengunjung di Pusat Oleh-Oleh dan Resto Kampoeng Semarang.  Aku hanya menjamu mata di ruang niaga di tingkat bawah kedai ini. Dek keletihan, aku tidak membeli aneka jualan di sini. Berehat semula di dalam bas.

        Pusat Oleh-Oleh & Resto Kampoeng Semarang, Jawa Tengah adalah pusat perniagaan barangan kulineri dan hasilan kerja tangan yang diusahakan penduduk tempatan. Secara rasmi dibuka pada tahun 2012 oleh Gabenor Jawa Tengah. Perniagaan yang berkonsep "One stop  shopping & Leisure " meletakkan pusat niaga ini terbesar di Semarang. Selain ruang jualan produk kulinari dan kelengkapan rumah tangga, terdapat juga di belakangnya ruang jualan kraf tangan  untuk souvenir. Paling terkenal ialah Produk WeBe yang merupakan aksesori wanita Semarang. Setelah lelah memilih jajan pengunjung boleh makan minum di Cafe yang disediakan.



        Kembara terakhir hari ini di Restoran Simpang Raya, Semarang. Jam 6.30pm kami disajikan makan malam masakan orang Semarang pula. Disediakan makanan berhidang nasi putih dengan pelbagai jenis lauk. Memang enak makanan di sini. Alhamdulillah, selesai makan kami dihantar menginap di Hotel Pave, Semarang. 




Banyak menu untuk 4 orang makan

          Jam 7.40pagi jemaah dibawa mengembara ke Jogjakarta pada tarikh 15 November 2023.  Seketika melalui kota Semarang, terlihat beberapa bulatan jalanraya yang didekorasi terindah. Di Pulau Jawa ini memang banyak dibina bulatan jalan yang pelbagai bentuk. Mungkin mengelakkan penggunaan lampu isyarat jalan raya. Masih menyaksikan panorama desa yang berselang seli dengan pemandangan di pekan-pekan kecil di sepanjang Central Highway Pulau Jawa ini. Penduduk mungkin tidak ramai menampakkan jarak kediaman tidaklah padat. Kedai-kedai desa di tepi jalan yang menjual barangan runcit dan buahan keluaran lokal. Banyak sekali tanaman pokok salak tika memasuki Magelan, Jawa Tengah .

            Setelah 2 jam perjalanan kami disinggahkan di kawasan rehat di Magelan. Apa lagi rutin sang warga emas. Turun  bas je mencari tandas. Selainnya duduk menikmati minuman ringan yang dijual di bangunan Cofee Kedai SSS Sofia Safira Rest Area. Ada banyak gerai makan yang menjual aneka juadah tempatan.

Bulatan jalan di Semarang




    
            Akhirnya tiba di lokasai wisata pertama di Kota Jogjakarta pada jam 10.30pagi. Persinggahan kami di depan Taman Wisata Candi Borobudur. Kali pertama melihatkan sebuah kawasan yang luas 2500km persegi. Borobudur ialah kuil atau candi agama Buddha yang terletak di Desa Borobudur, Magelan, Jawa Tengah. Borobudur adalah patung Buddha dari mazhab Mahayana. Ia merupakan monumen Buddha terbesar di dunia. Ia dibina tika pemerintahan Dinasti Jawa antara tahun 750 hingga 850 masihi.

            Selesai merakamkan gambar di depan Borobudur, kami dibawa menikmati menu enak Magelan. Berjalan melintasi jalan raya menuju ke barisana gerai di depan kompleks Borobudur. Singgah menikmati Bakso Magelan dan aneka jus buahan. Memang enak rasa baksonya yang menggunakan bebola daging, atau ayam yang besar.


Entrans ke Borobudur


Gerai Bakso Magelan




        Jogjakarta (Yogyakarta) merupakan sebuah daerah di pulau Jawa. Jogjakarta adalah ibu kota di daerah yang sama nama Jogjakarta. Masih mengekalkan warisan seni dan budaya tradisi rakyatnya. Antaranya terdapat Komplek kesultanan/ Kraton kurun ke-8 di sini. 

      Jam 12.45tengahari singgah pula di Pondok Makan Moro Lejar. Sebuah kawasan tempat menjamu selera yang sangat popular di kalangan pencinta kulineri. Terletak di Cangkringan 20km dari Jogjakarta. Menyediakan banyak gazebo yang dikelilingi kolam ikan air tawar dan tanaman di lanskapnya. Sambil makan dapat menikmati panorama sekitar yang menarik. Menu keramat di kedai makan sini ialah ikan bakar. Boleh bersolat di dalam surau unisex yang tersedia di suatu sudut. Kenalah bersolat bergilir antara jemaah lelaki dan wanita.


Entrans 




Hidangan untuk seorang makan




         Alhamdulillah, sudah selesai kewajipan sebagai Muslim dan sudah cukup bekalan perut untuk aktiviti seterusnya. Semangat masih kuat untuk meneruskan kembara berikutnya. Jam 2.12pm kami sudah tiba di Kaliaden. Antara stesen mengambil penumpang untuk aktiviti kembara dengan menaiki jeep. Setiap jeep membawa 4 penumpang sahaja. Kami dipandu melalui perkampungan yang terbakar akibat letusan Gunung Merapi. Singgah di Muzium Merapi yang terletak di KM 22 Kaliurang, 6 Sleman, Jogjakarta. Banyak  Jeep menantikan pelanggan di sekitar Kaliurang. Sebelum ke lokasi Lava Tour, kami dibawa  melawat Muzium Mini Sisa Hartaku. Kami dapat melihat imfo berkaitan letusan gunung Merapi di kawasan itu. Terdapat juga di hadapnya barisan gerai yang menjual makanan dan cenderamata.

           Kami menaiki jeep yang sama untuk Volcano Jeep Tour pula. Hujan renyai mulai turun memaksa kami memakai baju hujan. Pengalaman menaiki jeep walaupun kali pertama  memang tidak menakutkan. Tapi tak bolehlah mengambil gambar kerana kedudukan di dalam jeep tidak stabil. Jeep melalui jalan berliku, berlubang, meredah cerun dan mendaki bukit memanglah menggoncangkan seluruh anggota tubuh, terutamanya  jantung!!!

           Menurut imfo di Muzium Mini Sisa Hartaku, Gunung Merapi telah memuntahkan laharnya  pada 25 Oktober 2010. Letusan lava telah membawa turun jutaan bongkah batuan panas dan pasir. Ranap terbakar segala isi kampung-kampung yang berdekatan. Kesan bencana alam ini menyebabkan semua penduduknya terpaksa berpindah menetap di tempat lain. Kini kawasan tersebut menjadi lokasi tarikan pelancongan yang dinamakan "Volcano Merapi Tour".





Perkampungan hangus terbakar kini
pokok-pokok baru tumbuh

Barisan gerai jualan aneka ditepi muzium




            Tiba di Batu Alien jam 3.10pm. Ia terletak di Dusun Jambu, Kepuharjo, Cangkringan Sleman. Di sini terdapat banyak bongkah batu volcano yang diletuskan tika erupsi Gunung Merapi tahun 2010. Penduduk sekitar menjadikan lokasi bekas bencana di lereng Gunung Merapi ini sebagai kawasan tarikan pelancong. Dinamakan Batu Alien kerana rupa bongkah batu besar menyerupai makhluk Alien. Tatkala melihat batu besar tersebut akan kelihatan tekstur wajah yang ada mata, hidung, telinga dan mulut yang menghadap ke atas. Kami masih bersemangat meneroka kawasan wisata ini walaupun dalam hujan renyai. 





Bongkah batu besar paling kiri yang  berwajah
Alien menghadap ke langit



            Merapi Jeep Lava Tour merupakan sebuah kawasan berkawah yang terbentuk setelah erupsi Volcano  Gunung  Merapi pada 25 Oktober 2010.  Pengalaman gila-gila dan menakjubkan tika menaiki Jeep Old School. Pemandu jeep yang profesional memandu jeep melalui kawah-kawah berair dan berdebu. Sebanyak 6 pusingan penumpang jeep dibawa berpusing melalui lereng yang sendeng, lopak-lopak air dan laluan berbongkah batu. Pengunjung boleh memakai pelitup muka untuk mengelakkan debu. Baju hujan dapat menyelamatkan daripada percikan air lumpur dalam kawah yang dilalui jeep. Sangat puas hati.... pada usia 68 tahun dapat melepasi cabaran ini. Alhamdulillah.





Trek Volcano Jeep Tour Merapi

Selepas Volcano Jeep Tour



            Walaupun penat dan sakit badan akibat goncangan, namun terpaksa juga meneruskan perjalan seperti dalam itenari. Jam 6.20pm singgah di Grosir Batik Yudhistira. Tatkala memasuki tingkat bawah bangunan bertingkat ini, tetiba bekalan elektrik terputus. Hahaha... semua menggunakan lampu fon untuk menerangkan diri. Sebenarnya ramai yang nak ke tandas di tingkat atas untuk menukarkan pakaian yang kotor terkena percikan lumpur. Terpaksa dibatalkan niat kami. Grosir Batik Yudhistira adalah sebuah gedung batik terbesar di Jogjakarta. Ia terletak di JI Tamansiswa. Toko batik ini menjual batik kegunaan harian dan pakaian rasmi.




            Penutup kembara hari kelima di Pulau Java adalah menikmati makan malam di Pondok Bakaran. Mereka menyajikan makanan buffet menu lokal. Nasi putih dengan aneka lauk dan sayuran. Terbaik kali ni baru terjumpa ayam celup tepung. Lancarlah memasukkan makanan ke dalam mulut. Di Jogjakarta kami bermalam di Hotel Horaios satu malam.  Ahaha.... ada juga teman-teman yang mencuba Kopi Arang di Jogja ni. Serbuk kopi yang dibancuh dengan air dan dipanaskan dengan arang panas di dalam gelas. Teruslah minum.... Nasib baik tak cuba. Rupa-rupanya minuman ini dilarang meminumnya di negara kita.




Hotel Horaios Jogjakarta


Dewan makan yang luas di Hotel Horaios Jogjakarta



Laman resepsi



View dari kamar hotel




                16 November..... Duduk yang terlalu lama lagi, 6 jam di atas bas. Kali ini melalui Lebuhraya Transjava dari  Jogjakarta-Bromo pula. Pemanduan merentasi jaluran highway Transjava di Jawa Timur pula. Seawal jam 8.00am sudah meninggalkan hotel. Kami dibawa  menuju ke Bakpia Pathok 25, Kembang Jaya, di Maguwoharjo Jogjakarta. Premis ini mengambil nama sempena nama jalan di situ, Jalan Bakpia Pathok 25. Sebuah pusat berbelanja oleh-oleh kulinari lokal seperti kuih-muih, keropok dll. Populariti gedung ini dengan menu tradisi kaum Tionghoa, Indonesia yaitu kuih kering Bakpia. Ia diperbuat daripada campuran tepung terigu yang berintikan manisan kacang hijau atau ubi. 


           Melihatkan panorama yang sama  di sepanjang laluan yang ditempuhi. Tika bas singgah mengisikan minyak di sebuah hentian, aku terlihatkan pondok Mesin ATM. Bergegas turun mengeluarkan wang kertas Indonesia untuk berbelanja. Banyak tempat shopping yang telah dikunjungi, tidak menggunakan Kad ATM. Wang tunai yang dibawa tak banyak. Alhamdulillah, berjaya mengeluarkan wang diperlukan. Allah permudahkan. 

Bumbung TOL




                                                                                                          
           Sudah 3 jam berada di dalam bas yang SUAM dek kerana pendingin hawanya meragam. Berkipaslah kami untuk yang berada di seat belakang. Kekadang berjuang dengan ketirisan air hujan dari bumbung bas yang bocor. Namun kata-kata pujukan pemandu pelancong meredakan ketidakselesaan kami. Kata Pak Didi,"Group ni paling sabar yang pernah kami temui". Yalah tu!!! Mujurlah sudah mendekati tempat  singgah di Pringsewu Express Resto untuk berehat dan makan tengahari. Jam baru 11.00pagi, namun mentari dah terik memancarkan cahayanya. 

            Selesai makan kami menunaikan solat jamak di Masjid Nurul Jannah. Masjid dekat dengan tempat makan, mudahlah jemaah berjalan kaki sahaja ke situ. Sebuah masjid kecil namun kelihatan amat indah rekabentuknya. Kamar mengambil wuduk bersebelahan dengan ruang solat. Ruang solat pula untuk semua jemaah lelaki dan perempuan. Cuma kain dipasang merentangi tengah masjid sebagai pemisah ruang solat lelaki dan wanita. Demikian budaya mereka disini.




Majlis kejutan daripada Pringsewu Express Resto





            Sepanjang perjalanan mata tak boleh lena dek suhu panas di dalam bas. Di luar pula cuaca panas terik menyebabkan bahangnya masuk ke dalam bas. Mengelakkan keboringan, aku merakamkan gambar melalui jendela bas. Kekadang iri hati melihatkan kekawan boleh lena... berdengkur pun ada. Tapi sayangnya mata tua ini enggan lena. Alhamdulah, dapat juga merakamkan foto untuk penulisan Blog Kerana Aku GURU
Antara bulatan jalan yang menarik




Bulatan jalan

            Tanggul Angin adalah lokasi persinggahan seterusnya. Waktu itu jam 3.30pm. Lokasi ini terletak di Punggur, Central Lampung, Indonesia. Sebuah gedung menjual aneka barang daripada kulit buatan tempatan. Antaranya jaket, tas tangan, kasut, wallet, tali pinggang dll. Melihatkan di luar bangunan ini sangatlah tidak menarik, tetapi tika berada di dalamnya, sangat kagum. Terasa  bagai berada di Venice tatkala membeli produk kulit di sana sekitar tahun 2013 dulu. Sebagai tanda memori di sini, tergunalah kad Credit untuk membayarkan harga beg teman baikku. Sahabat suka duka, susah senang sentiasa dia ada.






          Setelah satu jam perjalanan, singgah pula di Lapindo Sidoarjo. Waktu menunjukkan jam 4.21pm. Kawasan Lapindo Sidoarjo terletak di Dusun Balongnongo, Desa Renokenongo dan Desa Jatirejo. Ketiga-tiga desa ini  terletak di Gresik dan Sidoarjo, Jawa Timur. Menurut imfo bencana menimpa penduduk di sekitar adalah angkara kecuaian manusia. Ketika kerja-kerja penggalian tanah di situ, tetiba lumpur panas  tersembur dari perut bumi. Semasa kejadian kerja-kerja penggalian sumur dilakukan oleh oleh Syarikat PT Lapindo Brantas. Selama 3 bulan sejak 29 Mei 2006, Lumpur panas telah menenggelamkan seluruh kehidupan termasuk pertanian, perindustrian dan kediaman di 3 buah kecamatan. Kini masih boleh kita temui mangsa-mangsa bencana alam tersebut yang meraikan kunjungan pelancong di situ.



Tembok tinggi dibina supaya air lumpur
tidak mengalir ke kawasan sekitar



Kini sudah tidak kelihatan bumbung2 rumah,
hanya lumpur memenuhi seluruh kawasan bencana

Ada sebahagian lumpur sudah kering

Penempatan yang terselamat dari banjir lumpur


            Penamat kembaraan selama 6 jam hari ini dengan perhentian terakhir di Hotel Nadia pada jam 7.18 pm. Sangat sejuk tika menapak di laman hotel ini. Sebuah kawasan wisata di tanah tinggi Gunung Bromo. Sebelum sampai ke sini, kami melalui jalan di lereng bukit yang bengkang-bengkok. Merasai perjalanan dalam kegelapan malam, akhirnya tibalah kami dengan selamat. Hotel Nadia menghidangkan menu Buffet untuk dinner kami. Walaupun menyajikan menu biasa-biasa, namun sangat enak pula dimakan  dalam suasana kesejukan malam.

Bangunan masjid terlalu dekat dengan 
lebuhraya kami lalui



Baru dapat sotong goreng celup tepung

Tidur di sini tak perlukan pendingin hawa dek kerana
udara sejuk di Gunung Bromo


            Sebelum subuh 17 November, pada jam 2.45am kami sudah bersedia untuk menjejaki "The Golden Sunrise of Bromo". Panorama pagi di Gunung Bromo yang menjadi pilihan utama para pelancong ke Bromo. Gunung Bromo dengan ketinggian 2329meter masih aktif. Masih menampakkan asap keluar dari kawahnya. Ada banyak lokasi untuk melihat sunrise di gunung ini, tetapi di Pananjakan 1 yang ketinggian 2770 meter adalah yang terbaik dan popular.

           Bangun tidur setelah pintu bilik diketuk seseorang. Setelah selesai urusan di tandas kami tidak menukarkan pakaian lain. Dengan terus memakai T Shirt tidur yang tebal, disarungkan lagi dengan sehelai kardigen, cukup untuk menghalang kesejukan sekitar. Di laman hotel ada enam buah jeep sudah bersedia untuk membawa kami ke lokasi. Kami terus menaiki jeep dengan 4 orang penumpang bagi setiap jeep. Tiba di Bromo Tengger Semeru pada jam 4.00 pagi. Kami menunaikan solat subuh di Surau Syariah Mandiri, Tengger Semeru. Masih bercampur jemaah lelaki dan wanita bersolat di situ. Cuma jemaah lelaki bersolat di bahagian depan surau dan yang wanita bersolat di belakang.

            Selesai solat kami dibawa berjalan kaki ke lokasi permulaan pendakian menjejak sunrise. Dalam kegelapan subuh terlihat kaki bukit untuk didaki. Mencuba beberapa langkah, dadaku terasa semput. Imah mengeluh kesakitan kakinya bertambah. Kami redho dengan kelemahan fizikal lalu menarik diri dari pendakian tersebut. Hanya kami berdua, jemaah paling senior pula yang tidak sertai kembara tersebut. Sedih.... kesal... tapi tak mahu menyusahkan jemaah lain jika terjadi sesuatu kepada kami.

Jeep untuk Bromo Sunrise menunggu di laman hotel




            Walaupun tak naik Pananjakan 1 Gunung Bromo untuk melihat sunrise, tetapi Allah izinkan kami menikmati menu tempatan di situ. Bersarapan kopi tarik, pisang dan ubi goreng di Vitara Cafe. Kemudian kami berjalan-jalan di sekitar pekan melihat panorama sekitar. Kami masih dapat melihat sunrise dari kaki gunung sini. Ketemu pula dengan pasukan penyelamat Tentera Udara Indonesia yang turut bergambar berdekatan kami. Mereka menghulurkan bantuan merakamkan gambar kami. Difahamkan pasukan tersebut datang untuk tugasan menyelamat mangsa kapal terbang yang terhempas di hutan berdekatan.


Pemilik cafe yang mesra datang berbual



Sunrise dari kaki Gunung Bromo



View dari Pananjakan 1 Gunung Bromo


22 Jemaah yang berjaya menjejak
sunrise di Gunung Bromo

Penanjakan 1 lokasi Sunrise View

         Jam 6.25am jeep yang sama membawa kami ke suatu kawasan lapang di kaki Gunung Batuk. Sang suria sudah memancarkan cahayanya menambahkan keindahan panorama sekitar. Pemanduan melalui lereng-lereng bukit dan laluan kampung membawa kami dengan selamat untuk Savana Tour. Kawasan di sini pernah terbakar pada tahun ini atas kesilapan sang Wedding Planner yang menggunakan bunga api untuk sesi bergambar pengantin. Kini kawasan sini tiada pokok cuma terdapat sedikit rumput, selain hamparan pasir dan batu-batuan. Kami singgah merakamkan gambar di sini.

            Padang Savana Bromo ini berada di selatan Gunung Bromo. Sebuah lokasi wisata yang luas dan indah. Dikenali juga Bromo Tengger Semeru. Ia mendapat jolokan nama Bukit Teletubbies kerana  bentuknya mirip sebuah bukit dalam filem Teletubbies. Padang  yang amat luas ini ada kalanya menghijau pada seluruh kawasannya. Nasib kami pula hanya dapat melihatkan lautan pasir sahaja di sini.



Lum Sau Foong bekas pemain hoki negara

           Jam 6.51am tiba pula di lokasi menjejak Kawah Gunung Bromo di Semeru Lawang ST. Sebuah padang luas di kaki Gunung Bromo. Ramai pengunjung sudah berada di kawasan tersebut. Kelihatan     banyaknya kuda sedang menantikan pengunjung untuk disewa. Antara tarikan pelancong di sini adalah aktiviti berkuda. Dengan berkuda mudahlah mengharungi laluan berpasir halus untuk sampai ke tangga pendakian ke puncak Gunung Bromo. Boleh juga berjalan kaki antara pilihan pengunjung untuk ke sana. 

        Kawah Gunung Bromo dapat dilihat dalam jarak dekat tika berada di puncak gunung tersebut. Dengan pendakian anak tangga berjumlah 256 akan tiba di puncak. Tika berada di puncak jelas kelihatan padang pasir yang mengelilingi Gunung Bromo, Gunung Semeru dan Gunung Batuk.  Padang pasir ini juga disebut sebagai Padang Pasir Berbisik. Di puncaklah pengunjung dapat melihat dengan jelas Kawah Gunung Berapi yang masih aktif. Menyaksikan sendiri kepulan asap yang masih keluar dari kawah tersebut. Tika berada  di sekitar kawah pengunjung dapat mengabadikan keindahan panorama ciptaan Allah sebagai memori menakjubkan.


Kuda-kuda untuk disewa ke kaki Gunung Bromo

Kawasan padang pasir menuju ke tangga
kawah Gunung Bromo


256 anak tangga yang gagal aku daki demi menjaga
keselamatan jantung sendiri

Menyaksikan kawah Gunung Bromo




            Sepanjang pendakian rakan-rakan di Gunung Bromo, aku dan Imah bersantai di sebuah gerai di entrans ke Pasar Pagi Semeru di kaki gunung. Tetiba perut meragam dek terbangun awal pagi ni. Berjalan sendirian menapak di atas dataran pasir mencari tandas. Jauh amat!. Nun di belakang pasar terdapat bangunan yang dicari. Bayaran dikenakan untuk menggunakan tandas awam di sini. Kena sabar walaupun terpaksa berbaris panjang menantikan giliran. Selesai menunaikan hajat, aku mengambil peluang meninjau Pasar Pagi Semeru. Berbagai barangan jualan di sini adalah produksi penduduk lokal. Ada peniaga yang menjual makanan, pakaian, sayuran dan buahan. Aku membeli sebiji buah durian untuk merasakan keenakan buah tempatan. Alhamdulillah, enak bangat!! Tak berani nak makan banyak durian bimbangkan kesihatan diri.
        
Pasar Pagi Semeru 




Sarapan di Hotel Nadia selepas Savana Tour 

           Checkout Hotel Nadia jam 9.50am. Jemaah meneruskan kembara ke Surabaya destinasi terakhir Pakej TransJava. Pak Didi memberitahu Sura bermaksud ikan jerung dan Baya pula kependekan buaya, demikianlah terhasilnya nama Surabaya. Surabaya adalah ibu negeri wilayah Jawa Timur. Ia bandar kedua terbesar di Indonesia selepas Jakarta. Sambil mendengar penerangan Pak Didi, aku masih merakamkan gambar sekitar di kiri lebuhraya yang dilalui. Setelah 2 jam perjalanan kami berhenti rehat di R&R Sukapura, di Lebuhraya Bromo-Malang. 



R&R  Transjava -Malang


          Keseluruhan tanah di sini berwarna hitam. Petanda memang subur dan amat sesuai untuk pertanian. Masih kelihatan sawah-sawah padi dan penempatan penduduk desa. Jam 1.10pm singgah untuk makan tengahari di Brawijaya Garden Restro Malang. Sebuah restoran yang besar di bangunan dua tingkat dan miliki ruang makan di banyak sudut restoran. Makanan sama rasanya dengan menu yang disajikan sebelum ini. Konsep moden rekabentuk restoran di tepian lebuhraya ini, amat memukau mata tua ni. Selesai makan jemaah menunaikan solat di sebuah masjid di hujung restoran.







            Tidak jauh dari Briwijaya Resto terdapat bangunan bernama Pusat Oleh-oleh Buah Tangan. Bangunan dua tingkat ini menjual  buahan segar dan aneka snek daripada buahan untuk dibawa pulang ke tanahair. Tingkat atas bangunan merupakan ruang makan dan Cafe untuk tetamu. Dekorasi menarik bangunan ini membuatkan diri lebih memilih untuk  memandangnya dari dalam bas sahaja. 


             Sejam perjalanan tiba pula ke Kebun Epal Batu Malang. Kota Malang merupakan bandar kedua terbesar di Surabaya. Ada banyak kebun epal diusahakan penduduk di Malang. Pertanian epal di Malang sesuai dengan cuaca dingin di kawasan pergunungan yang menghasilkan buah epal tanpa musim.  Malang juga dipanggil dengan nama Kota Bunga dan Epal. Jika di ladang A kehabisan tuaian buah epal, di ladang-ladang lain masih mengeluarkan buahnya. Antara tarikan pengunjung ke ladang-ladang epal di sini kerana promosi yang mereka berikan. Selain menikmati panorama sekitar kebun, pengunjung boleh memetik sendiri buah dan memakan epal sepuasnya. Buah epal juga boleh dibeli di sini untuk dibawa pulang.









         Selesai lawatan di kebun epal, kami dibawa menikmati makan malam di Resto Ayam Bakar Primarasa, di Surabaya. Dinner pada jam 6.36pm terasa pelik. Namun perbezaan waktu 1 jam antara Malaysia dengan Indonesia menghilangkan rasa kejanggilan tersebut. Makanan di tanah Jawa ni semuanya sedap. Tidak banyak beza dengan masakan Melayu di negara sendiri. Cuma Tom Yam  mereka agak kurang diterima tekak... mungkin tekak ini dah terbiasa  resepi Tom Yam dari negara Thai. 

        Dua malam berada di Surabaya disediakan penginapan  di Hotel Regantris Cendana. Hotel 4 bintang ini memang cantik dari luar dan dalamannya. Seronok merakamkana gambar kerana banyak elemen menarik di hotel ini untuk diabadikan. Satu yang kurang puas hati adalah ruang makan hotel ini. Agak sempit dan kurang selesa tika pengunjung yang ramai datang bersarapan.






Penginapan 2 malam di Surabaya

Ruang makan sempit di hotel ni


Pagi 18 Nov dari kamar hotel



View 19 Nov sebelum check out hotel


Sarapan pertama di Regantris

            Tanggal 18 November mengadakan wisata ke lokasi bersejarah pula. Jam 9.22am kami sudah diturunkan di depan entrans Monumen Kapal Selam atau lebih dikenali dengan Monkasel. Monumen ini adalah sebuah muzium kapal selam yang terletak di Embong Kaliasin, Genteng, Surabaya. Lokasinya menarik di tengah-tengah kota. Monkasel merupakan kapal Selam milik KRI Pasopati 410, buatan Soviet pada tahun 1952. Kapal ini berjasa membebaskan Irian Barat daripada penjajahan Belanda. Kapal ini dijadikan muzium bagi memperingati keberanian dan jasa para pahlawaan Indonesia. Selain lawatan di dalam perut kapal, pengunjung dapat menyaksikan tayangan filem berkaitan sejarah peperangan di Laut Aru semasa pembebasan Irian Barat.











            Kami berjalan kaki menuju lokasi wisata berdekatan. Menemukan monumen yang menarik di suatu lokasi sibuk. Letaknya di Arena Skate Board JI Ketabang Kali, juga berdekatan Monumen Kapal Selam. Sebuah tugu yang tinggi dengan binaan sekor ikan jerung di posisi atas dan seekor buaya di bawahnya. Monumen / Tugu Sura dan Buaya ini menjadi ini landmark kota Surabaya. Tugu buaya yang sedang bertarung dengan ikan jerung Hiu, menjelmakan nama Surabaya. Menurut lagendanya kedua-dua haiwan gagah dan ganas ini bertarung satu sama lain.  Akhirnya mereka berbahagi wilayah kekuasaan. 





           Seperti dalam itenari pakej lawatan, tempat  shopping  tidak sesekali ditinggalkan untuk disinggahi. Jam 10.40am singgahlah  di Pusat Grosir Surabaya atau PGS. Lokasinya di Jalan Dupak Bubutan. Terdapat sebuah terowong keretapi di bawah bangunan ini. Pengangkutan tren ini bagi memudahkan pengunjung datang ke sini. Gedung berbelanja 6 tingkat ini menjual bermacam barangan untuk para pengunjung. Antaranya aneka produks textil, makanan, keperluan di dapur, pakaian dll. Banyak Cefe makanan di bangunan ini. Kami mencuba Chicken Sreng Sreng yang sangat popular di kalangan pengunjung.







Mencuba keenakan makanan drp tauhu

Lama mencarinya, ketemu di sini

          Dibawa pula ke Restoran Sederhana yang terletak di celah-celah bangunan tinggi di kota ini.  Jam 12.20tengahari. bersedia pula untuk makan tengahari. Selesai makan  kami dibawa ke tempat membeli-belah terakhir. Jam 2.50pm sudah tiba di lokasi yang dinamakan ITC. Kami bergerak sendiri kerana bangunan ini tidak besar. Membeli barangan batik untuk kegunaan diri di sini. Perhabiskan wang Indon yang dimiliki berbelanja di Indonesia Trade Center (ITC). Pusat beli-belah ini terletak di Gembong 20-30, Kapasan, Kecamatan Somokarno, Surabaya. Bangunan 7 tingkat ini mula dibuka  pada September 2006. Terdapat pusat komputeran di tingkat 2 dan di tingkat paling atas adalah pusat pameran dan konvension.




          Pada malam terakhir di pulau Jawa, mengembara pula ke sebuah pulau. Merasai panorama malam melalui Jambatan Suramadu yang menghubungkan Surabaya dan Pulau Madura. Nama jambatan ini adalah gabungan nama Surabaya dan Madura. Justru lahirlah SuraMadu. Tidak banyak yang dapat dirakamkan dalam kegelapan malam di atas Jambatan Suramadu. Jam 6.00pm tiba di Pulau Madura. Kami singgah di Pasar  Madura. Tidak banyak gerai jualan yang beroperasi tika itu. Ramai yang membeli snek berasaskan ikan yang banyak dijual di pasar ini. 



            Makan Malam terakhir tika di Surabaya di Kedai Makan Soto  Ayam Lamongan Surabaya. Jam 7.30pm kami tiba, sudah ramai pengunjung memenuhi ruang depan resto tersebut. Menu nasi putih dimakan bersama kuah sup. Tiada dah sambal dan ulaman dalam sajian terakhir ini. Suka atau tidak itu sahaja yang disajikan. Namun enak juga rasanya.


Set 1 orang makan (nasi, sup isi ayam, sohon,
pes cili, keratan limau, kicap & serbuk perasa)



         Tanggal 19 November panggilan pulang sudah tiba. Check out awal jam 8.30am setelah selesai menikmati sarapan. Setengah jam perjalanan sudah dapat ketemu banyak bulatan jalan di kota ini. Bulatan jalan nan indah-indah dekorasinya. Jalan kota menuju ke Lapangan Terbang Juanda. Airport ini dinamakan Bandar Udara Internasional Juanda. Ia sebuah kawasaan pendaratan pesawat dari seluruh dunia. 

              Tidak ramai pengunjung di Lapangan Terbang Juanda melancarkan kami check in bagasi. Tika ini kecoh para jemaah kami terlebih berat bagasi. Terpaksalah bagasi yang terlebih berat di check in berpasangan dengan bagasi jemaah lain yang lebih ringan. Kali pertama cara begini, terasa pelik pula. Sebelum menaiki Pesawat Super Jet kami dijamu Nasi Bungkus Ayang Geprik oleh rakan kembara Lum Sau Foong. Nasi yang dimasak oleh bekas pembantu rumahnya yang menetap di Surabaya.  Kenyang sangar dan lazat pula tu. Jam 12.30 tenghari kami diterbangkan pulang ke (KLIA1) Kuala Lumpur Internasional Airport. Jam 4.15pm selamat mendarat, alhamdulillah.













Duduk sebaris Tour Leader

             Waktu di Indonesia dibezakan selama 1 jam. Jika di Malaysia jam 4.00 pm waktu di Indonesia pula jam 3.00pm. Indonesia awal sejam dari negara kita. Tika berada di Pulau Jawa ini, masuk Waktu Subuh paling mengejutkan sekitar jam 3.30 ke 4.00pagi. Selepas bersolat subuh suasana sekeliling sudah mulai cerah. Antara jam 4.20 hingga jam 8.00pagi pejabat-pejabat, pusat perniagaan dan banyak lokasi wisata masih belum beroperasi. Terfikir sendiri apalah nak dibuat selama tempoh 4 jam tersebut. Ada harinya terpaksa sambung tidur selepas  solat subuh sehinggalah waktu bersarapan. Kemudian bangun bersiap diri terus keluar untuk bersarapan sekitar jam 7.00pagi. Makan sarapan pun dengan santai samentara menunggu perjalanan seterusnya pada hari berkenaan. Terasa selesa trip seperti ini.




Waktu solat Surabaya

            Sepanjang pengalaman melancong di perantauan dengan kenderaan bas, semuanya memberikan perkhidmatan yang terbaik. Walaupun duduk lama berjam-jam di dalam bas, namun tidak terasa "Stress" kerana amat selesa. Tetapi jika bas yang meragam, pendingin hawa jadi pemanas suhu dalam bas dan kerusinya  tertanggal hingga menyebabkan pengguna jatuh terduduk, tak marah ke??? Pabila hujan, tiris pula membasahi penumpang, tak stress ke??? Demikianlah jika Allah mentakdirkan kita yang diujiNya. Allah nak lihat tahap kesabaran kita tika bermusafir. Disamping doa orang-orang yang bermusafir Allah makbulkan. Justru... kami banyak berdoa. Semua servis yang diberikan dalam Pakej Transjava sepanjang musafir ini memanglah terbaik. 5 bintang!! Cuma yang satu ni sahaja...bas. Justru sedikit kesulitan ini ibarat luka kecil yang pedih tapi tidak memudaratkan. Demikianlah bisikan hati nan dalam.

Bumbung bas berlubang menyebabkan
air hujan masuk ke dalam bas

Tempat aircond berlubang



        Menyedari diri sudah tidak kuat, banyak aktiviti yang tidak dilakukan. Menjejak kawah gunung Merapi Bromo antaranya. Walaupun itu idaman setiap pengunjung menatapnya walaupun sekali seumur hidup, namun terpaksa dilupakan. Bimbangkan kemudaratan diri jika menaiki 256 anak tangga menuju ke puncak. Juga pendakian menjejak  Matahari Terbit di puncak Gunung gagal dilakukan. Aku menerima ketentuan Maha Pencipta. Namun, Alhamdulillah masih terlalu banyak perkara lain yang Allah izinkan untuk 2 warga emas ini nikmati. Allah berikan yang kita perlukan bukan yang kita mahukan. 

         Suatu Pengajaran yang amat menyenth hati ini. Dek kerana diri inilah yang paling tua di kalangan jemaah yang bermusafir, banyak sekali dipertemukan dengan adik-adik yang berhati mulia. Banyak bantuan dan sokongan yang mereka berikan. Mereka datang dekat berkenalan, berkongsi pengalaman dan makanan. Namun masih ada yang antaranya yang sedikit kelainan.... itulah lumrah sifat insan. "Jika nak kenal hati budi sebenar seseorang, tunggulah semasa bermusafir". Daripada 26 insan yang terlibat dalam Trip Transjava ini, semuanya beragama Islam, kecuali seorang. Yang seorang bukan Islam inilah Allah gerakkan hatinya untuk menyediakan makanan bungkus percuma untuk semua jemaah sebelum pulang ke tanah air. Terima kasih adinda Lum Sau Foong.

            Perihal berbelanja pun sekadar membeli barangan yang diri perlukan dan oleh-oleh untuk insan yang tersayang. Menjadikan memori dari tanah seberang, memadailah dengan membawa pulang 2 seluar panjang, 3 blouse dan sepasang telekung bersulam. Buah tangan untuk cucu-cucu  hanya coklat dan sedikit jajan



              Sepanjang merakamkan memori Kembara di Tanah Seberang dalam wadah "K..A..G.." ini, ada gambar-gambar yang dikongsikan rakan kembara. Ada beberapa foto yang dishare daripada koleksi kembara di laman sosial media. Selebihnya daripada koleksi  kamera fon sendiri dalam gaya rakaman Orang Lama. Alhamdulilah, sebuah karya yang biasa-biasa untuk tatapan anak cucu kemudian hari.


......Opah Kama 3.3.2024