Thursday, September 6, 2012

ZIARAH PERSAHABATAN DARUL AMAN

   Cikgu Hajjah Maimunah dan abang Haji Johar menanti penuh debaran ketibaan kami ke mahligai mereka di Air Hitam, Kodiang Kedah Darul Aman. Setiap jam pastinya kak Munah menyampaikan keresahan penantian dengan menelefon kami. Kepastian hatinya mengetahui di mana kami tika itu. Pasangan pesara guru yang pernah bertugas di SM Perempuan Jalan Pudu Kuala Lumpur dan pesara tentera ini , telah menetap di desa mereka setelah bersara wajib sebagai anggota Perkhidmatan Awam. Usia kak Munah dan abang Jo dalam lingkungan 65 tahun tidak menampakkan keuzuran pada wajah dan tubuh kedua-dua mereka. Pancaran keriangan wajah  di wajah mereka melayan kerenah kami tika bersama , melupakan aku bahawa mereka sebenarnya bukan kenalan karibku, tapi buat Imah.

    3 Julai 2012,  jam 9 pagi Imah memandu kereta ........ dari rumah kakaknya di Manjoi Ipoh. Tiba di depan rumahku Imah melepaskan peninjauan sekitar laman rumah. Aku memetik beberapa tangkai buah longan yang terakhir di pokok untuk dinikmati Imah. Sebelum meneruskan perjalanan aku mambawa Imah ke rumah Aishah , adikku  untuk memperkenalkan Imah kepadanya. Setelah sedia, kami meneruskan perjalanan ke utara. Hebatnya Imah dia memandu dan terus memandu tanpa aku menggantikannya. Oleh kerana kami sudah bersarapan, kami tidah singgah ke mana-mana R&R sepanjang Highway PLUS. Kami bercadang untuk makan tengahari di Kedah sahaja.

     Sampai di Toll Juru aku mencadangkan Imah untuk singgah di kampung temanku di Tikam Batu. Aku telah mendapat maklumat awal daripada Yasmin supaya kami exit Bertam untuk lebih mudah ke sana. Imah menyetujui cadangan, manakala aku pula  dengan penuh yakin aku tahu jalan ke sana. Sebenarnya aku pun tak pasti, tapi kena cuba juga kali ini sebagai detik kekuatan untuk aku hadir lagi pada masa depan dengan visi yang lebih mencabar. Mataku melilau memerhatikan papan tanda jalan menuju Sungai Petani. Alhamdulillah , Allah permudahkan semua usaha. Aku bertambah yakin apabila ternampak Jambatan Merdeka.

     
  Kami menyusuri jalan kampung yang sempit menuju ke rumah Mak Lang Ma. Beberapa kali salam kami tidak disahut lalu kami ke belakang rumah meninjau jika ada penghuni di belakang. Pintu rumah terbuka, aku meninjau di dalam . Terlihatlah Lang Ma sedang terbongkok-bongkok menuju kepada kami. Aku memeluk dan menciumnya kerana lama tak jumpa. Lantaran banyak rasa terhutang budi aku dan Nadia ketika tinggal dengannya sekitar tahun 1981. Setelah memujuk Lang Ma supaya duduk barulah kami memperkenalkan diri. Beberapa kali Lang Ma masih bertanya "Kamu siapa". Kami tak jemu menjawab pertanyaannya.... kerana usia dan keuzuran diri menyebabkan Lang Ma demikian.


    Lang Ma mengajak kami makan tengahari sebab juadah telah siap disediakan oleh menantunya Liza. Tapi kami menolak ajakan deangan berhemah , alasan sudah makan. Kami menghabiskan masa 30 minit menemani Lang Ma sambil menantikan kepulangan Liza. Akhirnya kami mamilih untuk meneruskan perjalanan kerana tidak mahu menempuhi hujan dalam perjalanan. Aku menyampaikan sedekah RM50 pemberian puteriku Azie untuk Tok Langnya. Lang Ma yang berjalan terbongkok-bongkok tetap nak menghantar kami hingga ke kereta .

      Aku cuba menelefon Mah Majid untuk ke rumahnya yang berdekatan dengan rumah Lang Ma (ibunya) Panggilan aku tidah dibalas lalu ternampak Fendi di depan rumahnya. Imah terus memandu masuk ke laman rumah menyebabkan Fendi terpinga-pinga melinatkan gelagat kami. Aku lantas keluar merungkaikan kemusykilan, Fendi tersenyum lebar,"Haaaah, kak Kamariah, ingatkan sapa tadi!". Sofiah dipanggil keluar oleh suaminya Fendi sambil memberitahu kadatangan kami. Mereka pun tinggal berdua sahaja dek kerana berpencen. Kami dijemput masuk berbual seketika di ruang tamu rumah itu. Imah memberitahu destinasi kami seterusnya. Fendi mempelawa kami bergerak bersamanya kerana mereka pun nak ke Kodiang,dan  akan melalui jalan yang sama . Aku menolak dengan pelbagai alasan kerana aku punyai agenda maha penting selepas ini. Sopiah sempat memaklumkan kami temanku itu pergi ke Johor kerana ada perkahwinan. Aku tak hairan dengan kisah temanku.

     Melalui jalan lama ke Sungai Petani, masih kelihatan pemandangan kampung seperti dulu. Kami melepasi  pekan Tikam Batu, aku memberitahu Imah jalan ke kampung Datok K suami Siti Nurhaliza. Kami meninjau tempat makan tengahari sepanjang perjalanan . Ternampak sebuah gerai kampung lalu kami singgah makan mihun sup dan teh ais. Tumpuanku lebih kepada Taman Sri Pinang yang kami temui semasa mencari kedai makan tadi. Selesai makan, kami menuju lokasi penting berpandukan alamat pada diari yang kubawa. Tersilap pulak pada alamat itu tercatat Lorong 3/4... aku panik seketika kerana tiada jalan seperti itu. Imah mencadangkan kami masuk ke Lorong 2/3A. Alhamdulillah...... Allah permudahkan segala urusan dan memakbulkan solat hajatku semalam kerana kami temui rumah nombor 76,Jalan 2/3A.

    Inilah rumah yang telah aku lawati bagi kali ke-3 tapi Allah belum takdirkan aku menemui pemiliknya "Betina" Aku pernah dibawa Fendi dan Sofiah pada tahun 2009 ke sini , hanya berjumpa 2 anak lelakinya. Pada awal tahun 2010 aku datang sendiri tapi sempat menemubual anak keduanya Ramzan. Rumah murah , didepannya ada perabot dan sofa usang , kotor dan tak terurus. Sedang aku  mengambil gambar ,rupa-rupanya jiran di depan rumah memerhatikan gelagat kami. Aku berkenalan dengan jiran tersebut. Dia memberitahu "Suami Betina tu , Rosli sudah lama tidak balik rumah. dah bercerai. Betina tu  kerja kilang. Anak-anaknya bersekolah, petang baru balik. Dia belum kahwin lagi. rumah itu milik bekas suaminya"...  Aku memperkenalkan diri sebagai rakan"betina" tu. Kami meninggalkan Taman Sri Pinang untuk mencari lebuhraya. Aku menyesal tidak mengambil nombor telefon jirannya itu.... Adalah perancangan Allah untuk aku seterusnya, demikian aku memujuk hati sendiri.

     Rahimah kebingungan dengan gelagat aku yang pelikkkkkkk. Akhirnay aku menceritakan kisah sebenar.
Imah ketawa besar.... tak menyangka aku pandai berlakon.  Menyusuri jalan lama ke Sungai Petani, mengimabau banyak sekali memori silam.Ketika berulang alik dari Kangar keTikam Batu, kampung temanku. Tika itu mandi air perigi dan menggunakan tandas lubang yang bertangga tinggi, baunya memecahkan rongga hidung dan jauh pula dari rumah. Itulah prasarana tika itu, mula-mula kahwin orang bendang padi.

     Kami bertanyakan pemilik gerai cara termudah ke utara memandangkan langit mendung menantikan hujan petang, semasa makan di gerainya tadi. Kami memerima pendapatnya supaya menggunakan highway supaya lebih selesa dalam waktu  terdekat itu. Kami exit Alor Setar Utara menuju ke Air Hitam. Telefon kak Munah berdering lagi tanda kerisauan hatinya yang kami tak sampai-sampai lagi. Namun kami mencadangkan kak Munah agar tidak masak untuk kami sebab sudah makan.... Sebenarnya perut kami masih perlukan makanan yang padat,tetapi demi tidak menyusahkan kak Munah kami berbuat demikian.

     Akhirnya pondok Polis Air Hitam kami temui di sebelah kiri Jalan Putera (Jalan lama ke Kangar dari Alor Setar). Dalam tercari-cari antara rumah kampung, yang mana satu rumah kak Munah, tetiba terlihat lambaian tangan seorang wanita ke arah kami. "Hah... itu pun kak Munah, melambaikan tangannya di tepi jalan tu." Imah meleraikan kebuntuan kami. Lega amat hati kerana pencarian nan suspens dah terrungkai, tepat jam 12 tengahari.Kami sudah memijak bumi Kampung Lubuk Pinang, Air Hitam, Kedah. Keramahan Kak Munah dan susminya Abang Jo menyambut ketibaan kami, amat terasa mereka seperti keluarga sendiri. patutlah Imah suka berkawan dengan mereka, teramat frendli.


  

  Teratak pesara guru dan tentera warna hijau serona dedaun pohon palma dan sawah padi di sekitar kediaman nan mendamaikan ini. banyak pokok bunga kesukaan aku dan pokok buah2an yang berbuah lebat dan bertumbuh subur ditanam di keliling pagar teratak ini. Di tepinya sebuah kereta antik "             " dan motor Vespa antik kesayang abang Jo menjadi kegunaannya menghantar cucu ke sekolah dan menziarahi saudara-mara di desa itu.



   Petang itu kami ke Pasar Kerpan di Simpang Empat, mencari-cari bahan masakan malam .Aku inginkan ikan atau apa-apa bahan yang tiada di Ipoh atau dah lama tidak dimakan. Tapi , serupa saja....Akhirnya kami memilih ikan biasa saja untuk dimakan dengan kari ikan masakan Abang Jo.

    Malam pertama di Air Hitam, kami dibawa menziarahi adik kak Munah di Taman Mahsuri, Bandar Darul Aman, Kak Robiah dan suaminya Ibn Hajar. Kami melalui jalan kampung sambil menikmati penorama sawah padi nan menghijau sepanjang jalan dari Air Hitam ke rumah kak Robiah. Sepanjang jalan yang dibina berpuluh tahun dahulu selari dengan parit besar yang dipenuhi air bagi keperluan sawah padi. Anak-anak ikan berlompatan di air petanda belum tercemar lagi air di situ. .

      Di lokasi   perumahan awam kos rendah, tapi amat sibuk sebab rumah kak Robiah adik kepada
kak Munah terletak di tepi jalan utama ke taman itu. Kami berbual panjang sambil abang Hajar menyediakan buah durian, manggis dan rambutan buat santapan kami. Walaupun durian kecil-kecil tapi banyak ulas dan isinya tebal, juga kerana buah durian kampung. Selesai solat malam, kami minta diri pulang ke rumah kak Munah semula.

    5 Julai, Khamis kami berpuasa sunat kerana  Nisfu Syaaban . Pagi-pagi lagi kami bersiap ke Kuala Jeruju, Mukim Jerlun. Di sana ada adik abang Jo dan emak saudaranya  tinggal di perkampungan nelayan. Dalam perjalanan kami singgah dipinggir kunci air yang banyak gerai desa menjual hasil tangkapan nelayan dan menjual makanan. Abang Jo membeli makanan buat buah tangan , manakala aku dan kak Munah ke gerai ikan. Ikan, udang, siput dll amat segar sebab baru tiba dari lautan, dan rezeki para nelayan pada pagi itu. Mereka ramah sekali dan sangat berkerjasama antara satu sama lain semasa memunggah hasil tangkapan .


                                                     

    Menyusuri jalalan kampung yang muat untuk  sebuah kereta , kami menikmati panorama desa nan masih indah kedaraannya. Belum dicemari pembangunan batu konkrit dan lebuhraya melebar. Kampung Jeruju bersempadan antara pantai laut air masin dan bendang air tawar . Rumah-rumah desa yang berselerak , sunyi mungkin awal pagi kami tiba. Akhirnya kami tiba ke teratak kak Hinzun.

 
 Pemilik teratak desa ini ialah Hinzun bte Ismail, beralamat di lot 19, Penempatan Semula Kampung Jeruju,Air Hitam, 06150 Alor Setar. Selain menyediakan Home Stay, kak Zun juga mengusahakan IKS Sos Cili buat pasaran tempatan dan luar daerah jika ada pesanan. Pengalaman menyaksikan sendiri cara memproses sos cili, tidaklah sesukar mana pun. Tambahan pula bagi perusaan IKS desa seperti kak Zun banyak bantuan daripada kerajaan. Khidmat nasihat, bantuan pemasaran product, bantuan penyediaan keperluan bahan dll. Jiran Kak Hinzun pula mengusahakan kuah rojak buah. Harga sebekas kecil RM5. Sos kak Hinzun pula sebotol RM2... huh... murahnya. Kami membeli 10 botol masing-masing buat ole-ole dibawa pulang.


    Seleai solat Dhuha kami ke Muzium Padi , destinasi nan menjadi idaman jika aku ke utara. Sebelum ni aku lihat foto muzium ni di FB Yasmin, memang menarik dan mengagumkan. Masih terfikir hingga ke hari ni, bilalah Perak nak bina Muzium Kelapa pula?... Moga suatu hari nanti menjadi kenyataan.

 

                                                                                                         
 
        Selama sejam kami di bawa berputar di menara muzium sambil duduk menikmati panorama sawah padi dan desa tradisional serta dihembusi kedinginan udara meredup pemandangan mata. Aku terlena    seketika dibuai lamunan semalam, kelmarin, dahulu dan sebelum sejarah diri aku kenali. Tambahan pula kesan berpuasa, keletihan mata meredakan kepenatan berjalan-jalan dimuzium itu.

       Hari masih panjang, waktu berimfak masih jauh dan boleh dipenuhi pelbagai aktiviti. Setelah cucu sulung kak Munah tiba di rumah, kami berlima menuju ke Alor Setar. Walaupun kemungkinan hujan menemani kami sepanjang destani, kami teruskan jua kerana Imah belum pernah ke sana. Banyak perubahan sekitar Pekan Rabu dibandingkan tahun1987, kali terakhir aku menjejakinya. Alhamdulillah... Allah masih beri aku peluang sampai di situ lagi walaupun dengan situasi dan niat berbeza. Dulu aku bersantai bersama keluarga tercinta, tapi kini aku menemani Imah sambil mengisi kekosongan diri.



    Tak banyak berubah senario gerai-gerai di Pasar Pekan Rabu ni, cuma lebih sibuk berbanding tahun 1987. Ramai peniaga daripada pengunjung yang membeli barangan dagangan di situ. Aku mengabadikan dodol, kuih bangkit kelapa untuk buah tangan pulang ke Ipoh  disamping  beberapa kuih keperluan Suhaiz cucu kak Munah. Aku menemani Imah memilih jubah idaman dari sebuah gerai ke gerai lain. Banyak sudah yang dicuba pakainya, namun banyak juga yang tak melekat di hatinya. Syafiq cucu sulung Kak Munah amat berhemah, menampakkan identiti atau jati diri sebagai penuntut sekolah agama swasta di Kangar, Perlis, kerana sabar mengiringi kami. Di hujung jejantas yang kami gunakan , aku terpanggil membeli buah berangan goreng, yang telah lama tidak dirasa untuk dibawa pulang.

      Kami berbuka puasa bertiga kerana Abang Jo dan cucu-cucunya tidak berpuasa. Lazat sekali gulai asam pedas, pari panggang cecah air asam dan sambal belacan bikinan kak Munah. Menambah selera berbuka dengan ulaman yang dipetik di tepi rumah . Jam 9 malam itu aku mengalah dengan keletihan diri yang berjalan sepanjang siang. Imah masih bertahan dapat menemani Kak Munah berbual untuk malam terakhir kami di terataknya.

    Pagi terakhir aku ditemani Suhaiz membeli sarapan  juadah kampung yang dijaja ditepi Jalan Putera tidak jauh dari rumah kak Munah. Sambil berjalan kaki, aku puas menikmati panorama kampung sawah padi yang damai, tapi jalan raya tetap sibuk dengan kenderaan berulang-alik antara Alor Setar dan Kangar. Kami memilih nasi lemak, nasi kerabu, nasi dagang, kuih putu piring, karipaf, pau kelapa dan pulut panggang untuk dimakan bersama pagi itu. Memang enak makan juadah masakan orang kampung dan harga pun murah. Aku menikmati nasi kerabu dan beberapa kuih. Selesai bersarapan kami perlu bersiap untuk ke dusun adik kak Munah pula sebagai menghargai jemputan keluarga mereka.

Rumah Dusun kak Robiah
Jamuan Roti Kuah Durian






Menikmati manggis








                            Kak Robiah (bertudung perang)                                                                                                                   








      Seronok amat tika berada di dusun kerana lokasinya di tepi jalan raya , selalunya dusun jauh di tengah kebun atau berbukit-bukit. Banyak kemudahan di dusun kak Robiah ini, lantaran memang menjadi sewaan kepada peminat Home Stay yang pinginkan panorama dusun. Semua pokok berbuah lebat, terutamanya durian dan rambutan. Selesai bermahabah di dusun kak Robiah, kami dibawa oleh Tuan Haji Shahabudin ke Home Stay miliknya di Guar Napai, Air Hitam Kedah. Memang menarik penempatan di kawasan itu yang merupakan penghuni tanah rancangan FELDA. Kenangan bersama adik-beradik kak Munah amat menggembirakan dan akan kekal dalam lipatan memori indah .

Haji Ibn Hajar pemilik dusun
Home Stay Hj Shahabudin

    Alahai.... sudah tiba di hujung pertemuan kami dengan keluarga kak Munah di Kampung Lubuk Pinang,Air Hitam ni. Pengalaman terindah sepanjang semusim bersama  keluarga adiknya serta abang kak Munah dan keluarga Abang Jo menyimpulkan banyak memori manis. Sukar dibalas atau dilupakan. Aku mempelawa kak Munah bercuti di Ipoh awal cuti sekolah November ni sebelum mereka ke Kuala Lumpur. Mereka setuju sebab cucunya minat ke Lost World of Tambun. Insyaalah, moga Allah jua mempertemukan kita di Ipoh pula.
      
        Jam 1 petang kami meminta diri pulang ke Ipoh . Kak Munah membekalkan buah durian, rambutan dll sebagai buah tangan kami. Aku turut dibekalkan anak pokok nona dan pelbagai benih  sayuran. Sudah kutanam kesemuanya, moga kak Munah dapat menyaksikan pokok-pokok tersebut bertumbuh subur pada kunjungan mereka November ini. Sesungguhnya.... Darul Aman.... memori indah.