Wednesday, April 25, 2012

Yang Arif , Saya Setuju

   Menghampiri usia 57 tahun semakin bertambah pengalaman, semakin  bermacam ujian kehidupan, semakin bertambah hidayah dan inayah Allah SWT kepadaku. Semakin aku hampir denganNya, semakin pilu hati nuraniku, terpanggil untuk memuhasabah diri... apa yang telah aku rafakkan untukNya.

    Dulu aku  menonton kisah sesi perbicaraan  di mahkamah hanya  di Tv. Tahun lepas aku berkesempatan menghadiri perbicaraan adik perempuanku di Mahkamah Tinggi Ipoh. Aku mengagumi kehebatan adikku berhujah mempertahankan hak anak-anaknya yang  yatim. Tanggal 24 April 2012, tanpa diduga aku pula telah menapak di kamar perbicaraan , bersendirian , tanpa bimbingan insan yang berpengalaman, cuma keramahan mulutku yang banyak bertanyakan maklumat daripada kawan-kawan untuk ku jadikan bekalan .

Pejabat Tribunal Pembeli Rumah Putrajaya
      Mahkamah Tribunal Pembeli Rumah, di Tingkat 4, Persiaran Perdana, Presint 4, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. "Oh, itu ofis YB Menteri Shafie Apdal," kata pemamdu teksi "Sunlight KL" yang menghantar aku ke sana dari Kondo Desa Idaman, Puchong Prima. Perjalanan selama 30 minit tidak terasa lantaran kemelut kerisauan di hatiku yang membuak-buak, bimbang aku tak boleh menjawab segala persoalan yang bakal ditanya nanti. Sebelum jam 7.30 pagi aku sudah tiba di lobi bangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Perut memang lapar amat kerana kali terakhir aku makan jam 5 petang semalamnya. Kafeteria terletak di depan mataku di tingkat bawah dan ada pilihan lain pula di bangunan sebelah. Selera makan sudah menghilang jauh...tidak kecundang dek kepedihan perutku. Sorang-sorang menaiki lif ke Tingkat 4, oh tiada seorang pun. Nasib baik tempat duduk selesa disediakan. Nah, perut sakit pula mengajak ke bilik kecil. Setelah menaiki lif ke tingkat 5, aku duduk semula di depan pejabat tribunal sambil membelek-belek dokumen yang dibawa. Hisss.. baca dah banyak kali , satu apa pun aku tak faham, gitulah  jadinya.

     Kemudian datanglah staf tribunal dan pemohon-pemohon tribunal macam aku. Tanpa dididuga, Yah juga dipanggil bersama pagi tu. Kami berbual topik-topik profesional... amat berhati-hati takut tersentuh topik sensitif tu. Jam 9 pagi kami dipanggil masuk oleh perugas tribunal ke bilik Perbicaraan 3. Aku sengaja duduk paling depan sebab pada senarai nama , aku nombor 1. Petugas, lelaki  muda yang berbangsa Cina itu amat fasih berbahasa Melayu dan menguruskan kami. Setelah semua semakan selesai dilakukannya, datanglah peguam yang mewakili para pembeli rumah, termasuklah peguam dari Perspektif Perkasa Encik Admund Loo. Berusia dalam 70an, beliau memperkenalkan diri, kemudian diikuti oleh peguam lain untuk syarikat perumahan lain pula.

      Peguam Admund Loo mencadangkan kami mengadakan MOU di luar perbicaraan (sebelum Hakim masuk). Syarikat bersetuju menawarkan gantirugi seperti yang kami tuntut RM50 ribu (had maksimum tuntutan melalui tribunal). Dalam kepala aku teringatkan  jumlah sebenar gantirugi kelewatan yang lebih RM73 ribu itu. Tapi aku tak mampu membiayai kos guaman dan tak ada pengalaman dalam urusan ini, lantas tawaran tribunal menjadi pilihan terbaik kerana aku cuma gunakan wang RM10 sahaja. "Siapa nak bagi kita duit free macam tu, jika dapat seribu pun terima je," itu basihat adikku Nab.

   Cadangan peguam kami terima sebulat hati dengan bayaran 10 kali mulai 24 Julai 2012. Ini bermakna kami akan menerima bayaran gantirugi pertama berjumlah RM 5 ribu pada 24 Julai 2012 dan berakhir sehingga 24 April 2013. Tetiba terdengar petugas berdiri sabil menyebut ".........". semua berdiri. Rupa-rupanya hakim masuk ke kamar perbicaraan. Seorang wanita Cina dalam usia 50an, lembut tutur kata dan sentiasa mengukir senyum, memperkenalkan diri sebagai Chia Kim Meang ,President Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.

     Selama setengah jam saja giliranku dipanggil menghadap.Kad pengenalanku diberikan kepada pengerusi. Beliau membbelek-belek dokumenku di mejanya. "Adakah anda bersetuju dengan cadangan pemaju memberikan gantirugi berjumlah RM5 ribu?" soalan sulung pengerusi. Aku pun menjawab," Yang Arif saya setuju" seperti yang diajarkan kepada kami tadi. "Pihak penentang hendaklah membayar kepada pihak yang menuntut RM50,000.00 (Ringgit Malaysia: Lima Puluh Ribu Sahaja) sebagai gantirugi ke atas kelewatan penyerahan milikan kosong," kata pengerusi lagi. "Jumlah tersebut hendaklah dibayar dalam 10 ansuran mulai 24.7.12."Faedah pada kadar 8% setahun hendaklah dibayar oleh penentang ke atas pembayaran lewat dari tarikh keingkaran hingga tarikh pembayaran penuh dibuat. Penentang hendaklah memberikan kepada pihak yang menuntut CEK LEWAT TARIKH (post-dated cheques) begi kesemua ansuran tersebut pada atau sebelum 24.7.2012," demikian hujah pengerusi seterusnya.

     Setelah menunggu di luar selama 2 jam, kami dipanggil masuk semula ke bilik perbicaraan oleh petugas tribunal. Kami diberikan sesalinan "Award dengan persetujuan" subperaturan 23(2)" sebagai dokumen rasmi keputusan tribunal. Salinan Award itu bakal digunakan dalam proses seterusnya di mahkamah sivil jika penentang ingkar perintah. Ada juga lagi mulut-mulut yang tak puas hati dan tak yakin dengan kemampuan pemaju membayar gantirugi kami. Aku berbisik kepada Yah," Saya bersyukur dapat rumah siap dan sudah diduduki. Biarlah rugi sekupang daripada rugi seringgit. Hakikatnya saya tak rugi besar pun. Bayaran itu pun saya anggap rezeki yang Allah nak beri, dapat ke tidak hanya kuasaNya. Cuma saya berdoa nak bawa anak-anak mengerjakan Umrah dengan wang tersebut."

     Selesai menjamu selera sebagai sarapan dan makan tengah hari di kafeteria bersebelahan lobi, aku menelefon teksi untuk pulang ke Puchong Prima. Sebelum itu aku sms mantan anak didik ku Anul dan Intan, sekiranya mereka free nak bertemu melepaskan rindu. Sayang sekali  mereka sedang berada di luar kawasan. Teksi pula tiada  nak mengambil aku pulang. Aku menurut cadangan penyambut tetamu untuk menaiki bas "Rapid KL" sahaja untuk ke Putrajaya Central bagi mandapatkan teksi di sana.

       Naik bas punbanyak yang  lupa... lupa nak masukkan duit tambang ke bekas di depan pemandu semasa naik. Pemamdu tu pun diam je pasal tambang.Aku masih  panik dengan kata-kata driber bas tu tadi,  "Lama kak ooi, jauh ke stesen  , saya kena pusing ni, tapi tak apa saya hantar kak ya." Agaknya dia lihat  muka kesian aku, lantas dia menawarkan bantuan. Tak pernah aku menaiki bas pusing-pusing sekitar Puterajaya. Dari Presint 4 ke Presint 2, ke Presin.... hinggalah presint 11, aku tak nampak bayang stesen bas pun. Penumpang sorang demi sorang turun hingga habis. Aku mula memikirkan peristiwa gadis melayu dibunuh driber bas di KL beberapa tahun lalu. Aku baca doa dan ayat macam-macam minta Allah selamatkan aku. Terkedu aku pabila pemandu bas tu bersuara,"Kak duduk mana?" dan pelbagai soalan yang telah aku jawab. Tapi aku terlupa banyak soalannya  lantaran takut agaknya. Keindahan Putrajaya aku dah tak peduli, aku cuma nak nampak stesen bas je. Akhirnya tepampang tunjuk arah ke Putrajaya Central, aku bernafas panjang, terima kasih Allah.

Bas Ekspres Plus Liner
    Aku ternampak kiosk Bas EkspressTransnasional ,kakiku tanpa di arah terus melintas jalan ke sana. Aku meminta tiket ke Ipoh untuk 25 April 12 jam 9 pagi. Kerani bertugas memberitahu, "Hairan tak boleh booking pulak kak," Aku lagi hairan, kata Ticket On-line. hisss... cubaan untuk aku belalar lagi. Kaki terus melangkah ke stesen teksi di sebelahnya. Di kaunter aku membayar RM34 untuk perjalanan ke rumah kak Yong. Aku diberikan kupon lalu menaiki teksi yang setia menanti penumpang. Menghampiri Puchong Permai aku minta dihantarkan ke Kiosk Transnasional untuk membeli tiket balik Ipoh.

    Alhamdulillah.... aku memiliki tiket dihajati dan diberikan pelan lokasi hentian bas Plus Liner di restoran Seri Bandung di belakang Tesco Puchong. Setelah menaiki teksi yang ku tempah semalamnya, aku tiba di depan Restoran Seri Bandung seperti diberitahu kerani kaunter semalam. Aku bersarapan sementara menanti ketibaan bas sambil menikmati bahan akhbar Kosmo. Apabila bas tiba aku memilih duduk di sit paling depan di tingkat atas bas. Luas pemandangan.... tak ramai penumpangan... selesa. Alhamdulilah... selamat dan selesai semua urusanku.

     Terima kasih Allah .... alhamdulialah..... syukur Allah.... telah mempermudahkan semua urusan yang kulakukan seorang diri . Allah telah memberikan aku  puluhan keberanian, ratusan ketabahan,  ribuan keyakinan, dan jutaan keikhlasan dalam mengharungi semua liku sepanjang menguruskan isu tuntutan gantirugi pembeli rumah di Cyberjaya ini. Aku hanya mengusahakan , Allah jua yang mentakdirkan. Walau apa pun, kupanjatkan doa moga segala yang Allah SWT  takdirkan nanti hanya untuk anak-anak tersayangku yang berempat itu.


     

No comments:

Post a Comment