Wednesday, October 20, 2010

RAGAM BAKAL G.U.R.U. DC 41

     Sekitar Ogos aku menemani anak temuduga guru anjuran BSM di SM Alam Shah Putrajaya. Oh, ramai sekali yang nak jadi guru. Jam 7.30 pagi aku dah berada di kantin sekolah itu menunggu anakku menguruskan segala dokumen yang diperlukan.
    Semua bangku kantin dipenuhi . Rakan-rakan anakku sempat bertanyakan tentang Surat Pekeliling Iktisas berkaitan pengurusan panitia mata pelajaran. Ada yang bertanya tentang pengurusan kurikulum. Seorang lagi ingin tahu tentang tatacara tindakan disiplin dll lagi. Mereka dah menutup nota yang dibawa, panik kot tak mau membaca lagi. Fokus mereka lebih kepada penerangan aku. Kesian melihatkan mereka. Aku merasakan bahawa apa yang mereka baca jadi lain pula dengan yang mereka fahamkan. Benarlah kata pebilang adat"Berburu ke padang datar, dapat rusa berbelang kaki; berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak  jadi". Aku terasa macam pensyarah pulak yang sedang memberikan ceramah. Semua tu merupakan peluang untuk aku membantu anakku Az mengingat semula maklumat yang dia baca.
      Dalam banyak ragam mereka, hati aku tersentuh dengan seorang calon dari Sabah yang ditemani neneknya. Walaupun kelam-kabut bersedia untuk masuk temuduga, tapi masih mampu melayan kerenah neneknya dengan senyuman dan penuh manja.Rasanya aku tak akan dapat mengecapi senario demikian jika aku berada dalam situasi begitu. Aku yakin dia akan menjadi  GURU sebenar apabila mendapat penempatan nanti.
     Satu ragam pulak, seorang pemuda dengan rambut TERPACAK macam bulu landak, tiba-tiba duduk di meja depanku. Bajunya ok tapi seluar agar londeh, mungkin tak sempat pakai tali pinggaang kot. Ku bayangkan, bagaimana nak jadi guru jika penampilan demikian, tambahan pula kali  ini nak hadir temuduga. Ya Allah, nak jadi guru mudah tapi MENJADI GURU payah.
    Telah banyak aku melihat murid, baik di sekolah menengah maupun sekolah rendah yang sudah menggemari seluar londeh dan tanpa tali pinggang ketika hadir di sekolah. Rambut disapu gel jadi tegak seperti landak juga sudah ramai. Aku hairan, cikgu-cikgu  tak nampakke penampilan murid sedemikian? Adakah penampilan demikian dihalalkan berpandukan tatacara berpakaian murid sekolah? Situasi murid yang begini adalah di bawah didikan cikgu-cikgu yang masih akur dengan Peraturan dan Tatakelakuan Pegawai Awam (Perintah Am bab B).
     Aku cuba bayangkan pula, bagaimana jika bakal-bakal GURU seperti yang aku maksudkan di perenggan 4 di atas, 'berambut tegak dan berseluar londeh` masuk ke kelas mengajar murid?  Generasi  bagaimana yang akan mereka lahirkan pada masa depan. Perumpamaan kita menyebut" Guru kencing berdiri, maka murid kencing berlari " Oho.... lupa pula, aku dah bersara....
     Hanya yang terdaya, kupanjatkan doa moga mereka ini mendapat hidayah daripada Ilahi.... amin.

Tuesday, October 5, 2010

COBAAN ! ... ..SKSR (1)

     Tahun  1992 aku ditempatkan di sekolah baru di Ipoh. Bangunan tua, kusam sana-sini. Aku disambut seorang GB bernama U dengan ramah dan penuh bersemangat bercerita tentang visi serta misinya untuk sekolah tersebut. Kepala aku kosong tika itu, tiada sesuatu pun yang dapat kujadikan tarikan hati .
     Kemudian aku diketemukan dengan seorang guru baru seperti aku tetapi sudah senior sebagai guru, bernama D .Dia isteri orang ternama di Perak tetapi amat simple, aku menyenanginya. Dia anak tempatan dan mengharapkan aku dapat membantu anak-anak tempatan dalam akademik.Kami diberikan kelas tahun 4 di bangunan amat buruk tempat menyimpan perabot rosak. Beginilah nasib aku balik bertugas di negeri sendiri : dapat bilik  sebegitu teruk untuk dijadikan kelas.
      Aku bersyukur dapat memujuk hati pekerja sekolah itu bernama Pak D. Upah yang tak seberapa, kami minum bersama dan aku bawa dia keluar beli cat, alat bertukang dll keperluan untuk menceriakan bilik tersebut .Selama seminggu kami perbaiki kerusi dan meja murid , mengecat, baiki cermin tingkap dan membersihkan lantai, almaklumlah SETOR.....
     Kelas aku dinamakan Tahun 4 D. Murid-murid pula campuran kumpulan pelbagai prestasi . Aku kuat semangat kerana muridku seperti Omar, Syuhadah, Intan , Awie dan ramai lagi amat memahami visi & misi aku.Aku jadikan mereka kumpulan 20% ini sebagai kaki & tangan untuk segala hal kelas. Ada yang jadi ketua akademik, ketua kebajikan, ketua kecerian, ketua kelas dll. Majoriti murid dalam kelas ini dapat jadi ketua, walaupun ketua yang tidak penting. Niatku biar mereka merasakan ada tanggungjawab "besar" di kelas itu.
     Jamaliah, sebagai ketua murid 3M , bertugas menggerakkan 8 orang rakan kumpulannya dengan aktiviti pemulihan. Untuk mereka ini , ku berikan sebuah radio , kaset bacaan, kad-kad dan ABM mudah yang kupinjam daripada adikku di KL.Akhirnya mereka berjaya melepasi buta 3M, serta lulus BM dalam UPSR.
    Visi aku dan murid dikongsi bersama yaitu: "Kita Boleh Seperti  SK Sg Rokam".Setiap awal pagi murid menyanyikan lagu "Kau Boleh" yang dipimpin oleh seorang ketua serta berdoa sebelum memulakan P&P.
     Apa yang aku buat di kelas ini menjadi sindiran rakan-rakan "senior" di sekolah itu. Ada yang kata, "Alah.. emak bapa pun Bo.... takkan anak boleh pandai. Sejarah sekolah ni 5 orang je yang terbanyak dapat 4A UPSR, tak usahlah rajin sangat". Bila aku balik lewat kerana adakan kelas bimbingan BM dan SN, mereka kata," Hei, macam tak ada laki, asyik duduk sekolah, tak ingat balik ke?" Semua celaan itu tak pernah sekali merobek semangatku untuk membuktikan bahawa, anak murid jika kita DIDIK dengan sepenuh hati, jiwa raga insyaalah membuahkaan hasil. Kekadang hatiku berbisik,"Gini agaknya ORANG YG TAK PERNAH MERANTAU, tak pernah tengok kemajuan murid di tempat lain ,asyik fikir apa yang mereka buat selama ini  sudah terbaik". Dah berzaman dalam dunia "Comfort Zone dan katak bawah tempurung  !!!". Yalah ,  ketika ayat-ayat tu keluar aku sedang tension....
    Bila aku buat ujian diagnosis untuk murid selepas beberapa topik ajaran, mereka kata lagi,"KBSR tak perlu ada ujian-ujian, cukup dengan tanda (/ )pada kemahiran bila dah selesai ajar." Selesai menganalisis ujian, aku kumpulkan murid mengikut pencapaian. Yang ok terus diajarkan topik baru, yang tidak menguasai aku ajar semula dan test lagi. Setelah dapat markah ujian, murid sendiri melekatkan gambar masing-masing pada"Carta Payung Prestasi" yang diletakkan di pintu masu kelas. Ada murid yang di prestasi cemerlang A, tapi tak ramai.Lazimnya ramai di prestasi C & B. Melihatkan keadaan ini, mereka mendapat motivasi untuk naik kepada kedudukan lebih baik.
    Murid aku kumpulkan dalam kumpulan "Merit Demerit". Jika mendapat markah A diberikan merit 20.Jika meningkat dari gagal kepada lulus dapat merit 10. Jika aktif dan berjaya dalam aktiviti sekolah ada merit lagi disamping membuat kebajikan untuk menambah markah. Mereka akan Demerit markah secara kumpulan sekiranya ada ahli kumpulan yang gagal ujian, melakukan kesalahan disiplin dll. Justru setiap kumpulan telah mempastikan  tiap ahli masing-masing tidak kena Demerit. Kumpulan paling cemerlang dalan bulan berkenaan telah diberikan makan free ataupun hadiah .
    Untuk menambat hati murid suka datang sekolah amat payah lantaran mereka tinggal di luar bandar dan daripada keluarga bukan berada. Aku ajak mereka melukis mural pada dinding luar kelas pada waktu petang.Sambil tu kami berbual-bual sambil makan-makan.Dari situ aku lebih memahami dan menyayangi mereka. Mereka pula mudah mendekati aku ,malah antara kami seperti ibu dan anak-anak.Setiap kali melakukan aktiviti luar kelas ini, aku bawa anak-anak sekali membantu. Aku nak  mereka tahu pengorbanan seorang GURU bukan setakat dalam bilik darjah saja, malah di luar batasan waktu , yang cuma dipisahkan sementara oleh rasa penat.
    Aku suka balik petang kerana suami pun tiba rumah jam 5 petang. Maka jika aku tiba rumah jam 4 setelah selesai solat Zohor di sekolah, tiada masalah. Selesai menyediakan minuman petang, aku mengambil anak-anak pulang dari rumah pengasuh. Selepas minum petang, anak-anak kutemani bermain di padang di depan rumah bersama anak-anak jiran.Malam mereka membuah kerja sekolah di meja makan di tepi dapur. Ini memudahkaan aku memantau mereka atau membantu mana yang mereka tidak faham. Selesai makan malam, aku membuat kerja-kerja sekolah seperti memeriksa buku, kertas jawapan murid, menyediakan soalan dll. jika aku ketemu masalah murid, aku telah mencatatkan ke dalam buku khas untuk dibawa berbincang dengan guru BI (F), guru MT (MI) dan guru Pendidikan Islam (S).
     Kalangan guru UPSR ada Contact Hour kami sendiri. Waktu inilah segala kelemahan murid yang kami temui dibawa berbincang. Aku cukup gembira dapat bekerja dengan Cikgu F, M dan Z.  Kebetulan aku selalu menghadiri kursus,seminar, konvensyen dll anjuran JN, JPN dan KPM. Semua dapatan dan pengalaman aku kongsi bersama mereka demi untuk murid2 kami. Jika ada bahan untuk digunakan oleh murid, mereka cari duit aku pula uruskan fotokopi di Taman Chempaka. Kekadang kami gunakan wang sendiri kerana nak guna Hak Kerajaan amat payah !..... Inilah pengalaman terindah dengan pentadbir.
     Sejarah menaikkan nama sekolah itu ,banyak orang tahu. Tapi kami menunggu juga jika  dipelawa makan free, diberi kad ucapan atau dihargai dalam mesyuarat. Memang bukan itu yang kami pinta. Lantaran anak2 kami semuanya berjaya memasuki sekolah berasramaa penuh, sesungguhnya itulah hadiah paling berharga daripada yang maha ESA.
     Tahun 1996 bermula politiking dalam pentadbiran sekolah itu, kami terasa payah bekerja . Bermulalah penghijrahan...... Cikgu M bertukar ke Pangkor kerana naik pangkat. Cikgu F pindah ke utara balik  kampung suami. Aku.... dipujuk oleh seorang GB , maka berehijrahlah pula ke sekolah lain pada awal 1997. Kami tinggalkan SR dengan pencapaian UPSR seramai 18 orang.( Pencapaian UPSR Paling tinggi
di sekolah itu)
      Pada tahun 2005 , ketika itu aku masih bertugas di KL, aku berkunjung ke SR kebetulan PK1nya  sahabat lama yang menjemputku. Dia sedih kerana prestasi menurun setiap tahun .Ketika itu hanya 2 orang dapat 5A UPSR. Dia memujuk, sekiranya aku balik ke Ipoh supaya membantunya  di SR.
      Baru teringat aku pernah menyebut dengan sahabat baik,"Jika mereka tak suka melihat kejayaan anak murid dan kemajuan sekolah, kita akan kembalikan sekolah ini kepada mereka seperti keadaan asal, sama seperti aku mula bertugas di sini."
      GURU lain jangan buat ya.......
   

Friday, September 10, 2010

Raya Pertama Hambar

   Alhamdulillah kupanjatkan syukur kepada Ilahi kerana diberikan peluang menghirup udara segar serta menikmati senario indah di raya pertama tahun 2010 ini. Memulakan tugas dengan sarapan lemang dan rendang Tok. Buat kerja kebersihan ala kadar. Menyediakan kuih raya, pun ala kadar.
   Kemudian mengadap FB mengintai perkembangan anak-anak. Aku melayan e-mail dan message kenalan dan mantan murid. Semangatku sedikit meningkat, membayangkan Natrah dalam perjalanan balik Ipoh. Menatap beberapa berita on-line di FB Utusasan, Kosmo, Star dan  yahoo mail. Kepala dah mula berat, mata sudah hampir rapat. Apalagi , ke dapur menyediakan makan tengah hari pula.
   Aku menelefon adik di kampung. Mereka mengajak pulang, entah apa yang aku jawab. Sebenarnya aku TIADA HATI nak ke mana-mana. Tiba-tiba Kak Yong telefon demam dan tak jadi balik. Allahuakhbar, miss cucu lagi.Lepas makan, Yumi sms gambar dia di pagi raya, berbaju melayu kuning dan samping hitam. Aku sayu jadinya, apa lagi kepala dah pusing maka tidurlah.
    Baru jam 3 petang, banyaknya masa lagi. Aku membersihkan tempat tanaman pokok sayuran di luar rumah. Tak terasa panas pun sebab dalam hati memang dah panas. Jam 6.15 petang Yumi ajak Skype dari New Zealand, wau!
   50 minit berlalu, macam-macam cerita kami bualkan. tapi anakku itu nampak keletihan selepas mengadakan ziarah raya di rumah kenalannya di sana. Aku memujuknya untuk tidur dulu, esok atau lusa boleh skype lagi. Inilah raya yang kulalui dengan hambar.

Thursday, September 9, 2010

Aidil Fitri 2010 dalam dakapan kesayuan

Hari ni genap sebulan aku menyempurnakan ibadah berpuasa, Alhamdulillah. Allah kurniakan aku tubuh yang sihat dan selera makan yang kian meningkat.... sama meningkatnya obes diri. Apa tidaknya, sebelm ini lauk-pauk dibeli. tapi kali ini masak bersama Azi. Semua sedap....
   Aku masih tercari-cari, apa kekurangan sambutan kali ini. Mood .. memang menurun. Persiapan ...ala kadar je. Baju raya rasanya macam tidak penting.Kuih raya, beli mana yang mudah dapat. Rumah, aku guna yang kenduri kahwin anak-anak dulu.
   Entahlah, apa nak lagi dicoretkan pun dah tak tahu... menarik atau leceh!
   Tadi petang anak bongsu menelefon , "New Zealand raya esok, mak" sama kita. Dia tak beraya sebab ada kelas dan lab hingga lewat 4 petang.  Kak Yong (Nad) beraya di Kedah bersama keluarga mertua. Kak Yang(Ala) beraya di Kelantan juga bersama mertua. Kak Uda (Azi) , hah... beraya bersama mak bapa la di Ipoh.Yumi lagi jauh, di Wellington. Kesian ...dia.
   Siang amat panjang. Untuk menghilangkan kebosanan melampau, aku masak rendang Tok kegemaran anak-anak semasa raya. Sambil mengacau dan menunggu rendang masak, aku melayari FB. Aku mengirim salam Aidil Fitri kepada rakan, mantan anak murid dan sesiapa je yang ada dalam list. Sesekali tengok gambar anak-anak dan gambar cucu (Natrah) untuk menyulam semangat menunggu rendang masak . Akhirnya semua selesai.
   Adik-adik mengajak aku beraya di kampung BD. Entahlah, tawar hati nak ke mana-mana.Tambahan pula Ala tiada di sana .Azi sibuk menukar langsir, mengemas rumah mana perlu. Mujurla dia ada, kalau tak entahlah aku jadi apa....
   Banyak pulak SMS yang nak dijawab. Pun aku tiada idea bagus nak jawab , hanyalah catatan yang amat biasa "Salam Aidil Fitri, moga bahagia bersama keluarga".Dulu akulah yang petah berpuisi semasa SMS. Kini dah tak boleh lagi.... SODIH
  Aku berdoa moga, hari-hari mendatang aku tidak begini lagi. Kepada semua umat Muhammad, Salam Aidil Fitri . Wassalam
  

Wednesday, September 1, 2010

maksud HATI

Segala peristiwa yang dipaparkan adalah pengalamanku sendiri. Nama-nama yang digunakan adalah BUKAN nama watak sebenar. Aku TIDAK bermaksud untuk mengaibkan sesiapa sepanjang perkisahan ini, cuma sekadar berkongsi kisah suka duka untuk pedoman anak-anakku Ala dan Azie yang juga seperti aku bergelar G.U.R.U.Juga buat renungan bekas anak-anak  muridku sejak tahun 1975 hingga 1Jun 2010.
     Tahun 1994 sekitar bulan Ogos, datanglah seorang Ketua Nazir Sekolah ke sekolahku di Ipoh,SKSR. Orangnya memang terkenal tegas,garang dan cerewet. Aku dipanggil ke bilik GB, masa tu lagi 10 hari nak UPSR. Katanya,"Saya nak lantik cikgu jadi GC. Sebelum tu saya nak tengok cikgu ajar".
Dalam kepalaku  berserabut; marah, geram , tak faham-fahamke nazir ni budak nak periksa, ABM dah masuk almari sebab sedang buat latihtubi UPSR.
      Hoh! Aku memang jenis yang cakap terus terang(cakap lepas), tak peduli siapa depanku.Aku menjawab, "Saya tak minat, tuan cari orang lain. " Dia bertegas juga nak tengok aku ngajar, kononnya tidak mahu balik tangan kosong. Akhirnya dia memujuk aku dengan pelbagai cerita dan memberikan masa untuk bersedia, "Eh, lembut hati nazir ni."
      Selepas 1 jam aku dicerap, akhirnya nazir ni mengatakan,"Saya dah 5 tahun jadi nazir sekolah. Cikgulah orang pertama menggunakan aproach"P&P Berpusatkan Murid , tahniah.saya suka dengan cara cikgu'
Hari tu aku pulang ke rumah dengan seribu keinsafan, tidak boleh label orang dengan hanya dengar cakap-cakap kawan. Tak kenal maka tak cinta. Maka aku pun bergelar GC kumpulan pertama.
     Sejak itu aku menjadikan jemaah nazir sekolah sebagai pakar rujuk dan tempat mengadu hal. Dengan tak malu aku minta dicalonkan berkursus, menghadiri seminar, bengkel dll. Aku mula belajar daripada mereka menyediakan dokumen-dokumen penting seperti fail meja, kertas minit , pengurusan kurikulum dll. Aku menganggap bahawa Allah mempertemukan aku dengan nazir sekolah ini sebagai satu peluang dan kekuatan untuk terus cemerlang. Aku dan rakan GC sudah boleh membentangkan kertas kerja dalam seminar-seminar pendidikan, menyediakan pelbagai modul pembelajaran dan bank item. Semua ini dikongsi dengan rakan-rakan guru sekolah lain. Inilah juga merupakan  peluang membawa pelbagai perkara baru dalam pendidikan pulang ke sekolah untuk dipraktikkan oleh rakan-rakan. Apa yang membahagiakan aku dan rakan-rakan ketika itu ialan; SKSR meningkat daripada 4 orang mendapat 4A UPSR kepada 16 orang tahun 1996.
       Aku amat menghargai pengorbanan para sahabatku di SKSR, antaranya  Cikgu Mgt, Zie, dan Kak Z. Tahun 1997 aku dipindahkan ke SKSA, cikgu Mgt naik pangkat, dan Zie pindah ke utara. Sebagai G.U.R.U biasa, inilah sekolah paling aku sayang. Latar belakang luar bandar, orang-orang  susah, ramai M dan bangunan lama. Banyak lagi alkisah di SKSR ni, tapi tu..ng...gu.

Saturday, August 28, 2010

Bermula Segalanya...

       Alhamdulillah, kupanjatkan syukur kepada ILAHI, dalam usia emas ini aku dipertemukan dengan laman ini. Kepada Cikgu Normah SKTD, terima kasih , kerap kali memberi semangat untuk aku  berkarya . Anakanda Nazmi dan Azie , yang membakar semangat untuk aku menarikan tinta kisah silam sepanjang perjalanan bergelar G.U.R.U. Azie kerap mengatakan,"Mak banyak pengalaman sebagai GURU, baik mak tulis buku ka dalam blog ka, biar jadi panduan kami atau orang lain. Kalau tak tulis nanti lupa, rugi."
       Jam dah 11.15 malam, baru pulang terawih di surau Al-Falah. Aku buka FB, tiada yang menarik. Apa nak buat? Huh... esok mesti ada coretan yang boleh dibaca. Azie tolong setkan segala, jariku mula menari .
Di surau tadi Tok Imam menyebut antaranya " Solat terawih tu SUNAT, ramai yang duduk solat. Tazkirah ni WAJIB, tapi tak ramai yang tunggu". Moga aku diperteguhkan iman untuk bijaksana memilih antaranya.