Monday, June 25, 2012

ADAKAH INI MENGHAPUS DOSA SEMALAM....

     Kegelisahan terus-terusan  meruntun jiwaku selama dua minggu. Aku biarkan ia berlalu dengan meneruskan aktiviti rutin sebagai pesara wanita. Pelbagai helah imaginasi  kubuat demi memadamkan memori ngeri tahun 1999 , walau sekali try pun aku tak ingin. Semua kepedihan lalu  itu telah lama ku delete dari hard disk ciptaan Ilahi. Saban hari menatap wajah emasku di cermin...semakin menambah kegusaran hati. Anak-anak dan adikku memujuk untuk menamatkan segera segala spekulasi.

     Jumaat 15 Jun 2012 meredakan sedikit keresahan dengan pandangan "tak seberapa meyakinkan" daripada seorang pengamal perubatan dari klinik di Klebang. Penangan pil antibiotik selama 5 hari menampakkan reda segala demam, keresahan dan sakit-sakit di sekitar leher. Malah bonjolan semakin mengecil... Alhamdulillah. Dr Puvin Vijayakumar, mantan anak didikku yang bertugas di Hospital Ipoh menasihatkan aku berjumpa pakar ENT. Yang terdekat dengan rumah ada  di sekitar Fair Park. Aku teringat akan Dr Pakar ENT  Dr Yoong yang pernah merawat emakku. Berpaksikan doa dan solat hajat, hatiku mungkin Allah telah gerakkan bertemu Dr Yoong... nekad ... pasti...tak takut lagi...

Thyroid Nodule
      Jam 10 pagi 21 Jun  aku memparkir kereta Honda City di depan sebuah klinik .Dalam hati dipenuhi keyakinan akan dapat berjumpa pakar serta mesti cepat selesai semua masalah sebelum tiba bulan puasa nanti. "Oooo, Dr Yoong jam 1 petang baru mari," jawapan ringkas petugas di klinik itu kepada soalan kemarukku. Berdiri lesu di depan klinik... berfikir apa entahlah. Aku 
terpandang "Klilik Pakar ENT George Thava ". Langkah kakiku  maju sendirinya  menyeberang Jalan Fair Park. Ramai  pula  fakir rawatan  seperti aku menanti giliran. Selepas mendaftar ,teringin nak ambil angin di luar klinik, tapi  tak berani sebab jerebu kuat tika ini.

        Pembantu doktor memberi keyakinan kepadaku bahawa dengan kupon parkir 1 jam sempat selesai aku membuat pemeriksaan dengan doktor. Menghampiri jam 11.50 am aku dipertemukan dengan Dr George A. Thavarajah, Consultan ENT Surgeon. Peramah dan meyakinkan, Dr G memeriksa leher aku sambil mnyuarakan beberapa soalan sejarah kesihatanku. Dr G mencadangkan dua pilihan ; membuat ujian darah "thyroid" dan ultra sound. Mulutku bertubi-tubi melontarkan soalan-soalan cemas sehingga Dr macam resah nampaknya. Aku menerima cadangannya menjalani ujian kesihatan di Hospital Fatima di Ipoh Garden. Aku jadi bingung seketika....  patutkah  aku bertanya pembantu Dr pelan nak ke hospital itu, sedangkan aku memang selalu melalui jalan itu semasa bertugas di SK Kepayang sekitar tahun 2007. Aku malu sendiri.... 

Hospital Fatima Ipoh
Alhamdulillah.... Allah permudahkan perjalananku ,lalu disambut pengawal keselamatan di pintu masuk. Mungkin aku kelihatan 'pucat... keletihan... kelesuan dll.. ia menemani aku terus ke kaunter Unit Radiologi. Malang sekali tidak diterima kerana sudah menghampiri waktu rehat jam 12.45 pm. Pemuda Melayu nan baik hati itu memotivasiku ," Kak tak pa, kita pergi lab, kak boleh buat ujian darah dulu kan." Aku yang dah jadi "bingung" akur dengan cadangannya. Hanya ucapan terima kasih mampu ku hadiahkan kepadanya." Ya Allah, berilah nur rahmatMu kepada pemuda yang membantu aku tadi," amin.
      
Makmal Ujian Darah
      Sesi ujian darah penuh kemesraan. Tak terasa 
darah dah siap diambil dalam masa amat singkat.
Selalunya ,sukar nak cari urat yang sesuai di tangan 
kiriku untuk dicucuk jarum. Bijaksana jururawat 
warga emas tu.. Aduhai, sempat pulak dia mengumpat
bahawa petugas di unit radiologi tu malas sebab
sepatutnya dia boleh terima pendaftaraan aku tadi.
Aku tak terkata.... Yalah, sorang diri hadapi
situasi sedemikian... menjadikan aku setaraf anak
                                             kecil .... yang ikut perintah saja.

     Pandainya jururawat ni. Selesai ujian darah ia mengesyurkan aku berehat-rehat sambil makan tengahari  di kafeteria, sementara menanti temujanji jam 2 pm nanti. Mujurlah semasa datang tadi aku sempat menjeling ke tempat makan yang dimaksudkannya itu. Aku membayar RM89 untuk ujian darah yang keputusannya akan diketahui dalam tempoh 3 hari. Keputusan itu akan dihantar ke klinik George. 

     Aku memang lapar, ada pelbagai lauk  dijual di kafeteria .   Aku cuma mampu memilih nasi putih berlauk ayam masak kicap dan sayur campur mayonis. Murahlah... RM 4 sahaja. 
 Mengelamun sambil menjamu selera sendirian, kebetulan
 staf hospital belum ramai rehat di situ. Sempat aku 
 melayari Facebook meninjau-ninjau berita terkini. Namu 
 aku masih  tak mampu juga  merongkai kelesuan dan
 kegusaran hatiku.  Jam 1.35pm aku menuju ke tandas ,
 masih mencari-cari tandas yang ada getah paip  untuk 
 bersuci . Akhirnya ketemu jua. 


Laluan Unit X-Ray
    Jam 1.45 pm aku dah berada di kaunter unit          
radiologi. Tiada seorang pun di situ. Aku melayan 
diri dengan menonton Tv 8 yang setia bersiaran
walaupun tiada penonton. jam 2.05pm barulah datang seorang wanita, terus mengadap komputernya. Setelah 2.10 pm aku masih tak dipedulikan oleh 2 orang petugas 
di situ.Lantas  aku menanyakan, berapa lama lagi harus aku tunggu.Si wanita tu cepat-cepat membelek borang-
borang pesakit di mejanya. Barulah dia nak bertanya  
Unit Radiologi
petugas di bilik radiologis, Dr Minsyeh Kimin.  
            
     Sekali lagi aku disuruh tunggu "SEKEJAP" lagi walau pun jam  dah 2.45pm. Aku terpaksa menunggu lagi di luar bilik radiologi 5 pula kerana ada pesakit termuntah di dalamnya. Mujurlah aku tak jadi berpuasa sunat hari ni,jika tidak hanya  dapat "lapar dan dahaga saja". Jam 3.15pm barulah giliran aku tiba. Berkali-kali radiologis wanita itu meminta maaf kepadaku sepanjang  pemeriksaan dijalankan. Mungkin dia lihat wajahku yang "tension" menanti giliran. Kena bayar lagi RM100, tapi servis macam hospital kerajaan saja. Tapi hospital kerajaan  lama pun kita redha sebab menawarkan secara percuma lantaran aku "Pesara Kerajaan".

     Jumaat 22 Jun panggilan telefon memaklumkan agar aku ke klinik ENT George kerana keputusan ujian darah sudah diperolehi. Jam 11 pagi aku baru belik dari kebun.. letih nak tunggu rebah je. Mindaku kembali perputar-putar , semua kenangan pahit muncul semuanya tanpa kubuka fail lama tersebut. Aku memilih untuk pergi keesokannya S,abtu pagi. Aku memberitahu Azie sekiranya ia ingin keluar bersama, bolehlah aku jadi penumpang je. Oh , jawapannya tidah menyebelahiku.

     Kegawatan parkir pada 21 Jun mengetuk-ngetuk rongga ingatan agar mencoret kupon parkir 1 jam, walaupun keretaku parkir depan klinik. Tidak lama mendaftar, aku pun memberikan laporan ujian darah kepada petugas di kaunter, sambil meninjau-ninjau pengunjung klinik itu. Oh, tak sampai 5 orang... Semuanya dalam usia 60-an...

   Aku dipanggil menghadap tuan doktor.. Beliau menerangkan dengan ringkas," Oh, ujian darah tiada tiroid. Hormon pun ok, tak perlu susah hati lagi." Aku menarik nafas lega... terima kasih Allah, "Love U more''... Doktor  sekali lagi menarik perhatian ku dengan berkata," Saya cadangkan you  perlu berjumpa Dr Loo .Dia pakar surgical , ada peralatan laser untuk mengambil sample tisu  dalam "nodule" ketulan di leher itu. Saya tak punya peralatan bagus itu di sini . Saya refer you kepadanya, Boleh jumpa dia bila-bila masa." 


    Aku melontarkan soalan bodoh ," Perlukan saya jumpa Dr Loo dalam masa terdekat? Saya bimbang". Setelah menerima jawapan yang kurang motivasi daripada Dr G, aku pun membuat keputusan balik rumah je.  Aku nak ikut cara adikku Noriza yang menangani kes "Cyst" yang dia dan Wani ada di leher masing-masing. Kami bertiga senasib kini. Aku akan cuba merawat secara Islam. Aku mula membaca semua doa yang aku pelajari untuk semua penyakit. Antaranya, Bismillah 5, Ayat Syifa', surah an-Anbia ayat 83 "Inni massannidhurru anta arhamurrohimin" yaitu doa Nabi Ayyub AS, 3 Qul serta ayat Qursi. Cuma air Zam-zam belum diminum kerana dah habis .Kini aku bertawakal. Semakin hari aku lihat ketulan itu semakin kecil... Alhamdulillah.








No comments:

Post a Comment