Thursday, June 6, 2024

NEGERI DI BAWAH BAYU....Aku Tiba Akhirnya.... 28 Ogos - 2 September 2023

          Menangguh keinginan selama 3 tahun memang renyang jadinya. Tatkala terpandang gambar yang berkaitan dengannya, asyik membarakan semangat. Kemudian terpaksa dilupakan lagi. Apa tidaknya..... Era Pendemik sejak tahun 2019 menghalang banyak perancangan mengembara. Bukan setakat kembara ke luar negara, malah dalam negara pun disekat. Tiket penerbangan telah pun dibeli untuk bulan April 2020, bukannya jauh... ke Negeri Di Bawah Bayu je. Namun terpaksa dibatalkan hasrat ke Sabah dek kerana bimbangkan wabak Covid-19 masih belum reda. Akhirnya 4 tiket penerbangan pesawat  Air Asia terpaksa ditukarkan ke penerbangan ke Langkawi sahaja pada Jun 2022. Alhamdulillah, tiket tidak "Burn".

Mama Hasnah, Aya & Imah

imfo awal tiket

        Anak bongsuku terpaksa melayan kehendak ibunya setiap kali urusan pembelian Flight Ticket. Siap segala urusan dokumen perjalanan dan kelengkapan diri, 3 warga emas berserta 1 yang berusia 40an pun memulakan kembara pada 28 Ogos 2023. Jam 11.00pagi sudah berkumpul di KLIA 1. Selesai check in kami menjamu mata sekitar ruang legar KLIA sementara menunggu penerbangan. Jam 1.00pm pesawat MAS MH2616 membawa kami menuju ke Kota Kinabalu International Airport. Jam 3.40pm selamat mendarat. Alhamdulillah. Di lapangan sudah menanti pemandu pakej yang ditempah untuk menguruskan perjalanan kami.

KLIA 1

       Oleh kerana waktu solat di Sabah berbeza dengan di semenanjung, membuatkan kami mudah keliru. Baru selesai urusan bagasi di Airport Kota Kinabalu dah jam 4.20pm, sudah memasuki waktu Asar sebenarnya. Waktu Zohornya jam 12.30 tengahari manakala waktu solat Asar jam 3.30pm. Kami terus dihantar ke Masjid Negeri untuk melakukan solat jamak takhir. Alhamdulillah, dapat merasakan beribadah dalam Rumah Allah nan tersergam indah. Masjid yang  juga dikenali dengan nama Masjid Sembulan ini terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sembulan, Kota Kinabalu. 

        Hari pertama hanya sempat berkenalan di dalam kereta dengan pemandu kereta, Azmal merangkap pemandu pelancong kami. Namanya Azmal pemuda tempatan beranak dua. Sudah lama bekerja di Kacio Holidays Travel & Tour di Kota Kinabalu ini. Agensi pelancongan ini milik Mr Karman. Kami telah membuat tempahan pakej dengan Karman pada April 2020 selepas menempah tiket penerbangan. Walaupun tertangguh lantaran Pandemik Covid-19, kami masih terus melanggan pakej Kacio. Pakej ground selama 5 hari 4 malam berharga RM999 seorang untuk penginapan, kenderaan dan pemandu sepanjang perjalanan  di Bumi Di bawah  Bayu. Azmar juga merangkap pemandu pelancong kami. Tiket penerbangan dan makanan kami urus sendiri. 
                                                                                                                                   
Masjid Negeri Sabah/  Masjid Sambulan

Masjid Negeri Sabah

Pejabat MUIS mendepani masjid

        Oleh kerana servis Pakej Kacio Holidays yang kami tempah bermula dari 29 Ogos, justru segala hal lain pada hari ketibaan kami yang tanggung sendiri. Antaranya penginapan pada 28 Ogos di KK Waterfront Hotel ditempahkan oleh Kacio tapi kami yang bayarkan. Alhamdulillah, hotel yang didiami pada hati tiba sangat dekat dengan pusat penjaja. Untuk makan malam itu kami hanya berjalan kaki ke Medan Selera Dataran Todak mencari juadah malam. Banyak gerai yang menyajikan pelbagai masakan berasaskan hasil laut (Sea Foods). Terlalu ramai pengunjung yang datang menjamu selera. Kami memesan menu Lobster masak goreng pedas dan celup tepung, ikan cencaru sumbat dan sayur goreng. Sambil  menikmati juadah pengunjung dapat menyaksikan panorama malam di tepi laut dengan udara yang nyaman.

Dataran Todak KK

Banyak bot nelayan berlabuh di sini



Lobster masak cili




Kereta yang disediakan pakej

Private driver & tour Azmal dari Kacio Holidays &Travel

        Pagi 29 Ogos kami melangkah sekitar  Jalan Gaya mencari port makan. Banyak kedai makan sekitar sini yang menyediakan masakan yang pelbagai. Akhirnya singgah di sebuah kedai makan yang agak ramai pengunjungnya. Rasanya itulah petanda kedai makan di situ disukai ramai. Ada yang memilih menu nasi lemak, sup mi dll. Aku memilih roti canai telur dan kopi tarik kurang manis sahaja. Alhamdulillah, enak juga makan di Restoran Pak Haji ini. Lepas makan kami teruskan meneroka kawasan sekitar. Oleh kerana masa masih panjang sebelum driver menjemput kami jam 9.00 pagi nanti,  kaki-kaki tua dipaksa juga terus berjalan kaki.

        Kami melewati dataran lokasi pasar malam di Jalan Gaya. Kemudian memasiki pusat bazar di Dataran Todak. Di bazar ini menjual aneka barangan antaranya pakaian, beg-beg, kasut, snek makanan dan barangan cenderamata. Kelihatan dengan jelas Pasar Manila di belakang Medan Selera Dataran Todak ini. Sepanjang berjalan menemukan kami banyak hotel tersohor di sekitar Water Front Dataran Todak. Jika jenis pelancong sederhana seperti kami ini, amat selesa menginap di hotel-hotel sekitar Water Front kerana banyak kedai dan pusat jualan yang berdekatan. Penat meronda akhirnya kami balik ke hotel untuk check out jam 9.00 pagi.

Sarapan di Cafe di Jalan Gaya

Dataran pasar malam

Ikon Dataran Todak

Replika seekor ikan todak di tengah bulatan jalan

Penempatan bot para nelayan berlabuh


Dataran Todak Water Front



        Tepat jam 9.00 pagi Azmal datang menjemput kami. Bermulalah kembara seperti dalam itenari yang ditempah. Tidak lama perjalanan kami disinggahkan di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri Sabah. Dalam bahasa Kadazan dusun dipanggil Lamin Koundangan Pogun Sabah. Tidak berjaya memasuki kawasan tersebut, hanya merakamkan gambar di depan pintu masuk sahaja. 

      Kemudian singgah berfoto di depan bangunan Yayasan Sabah. Juga dikenali dengan nama Kumpulan Yayasan Sabah.  Dipanggil juga dengan nama Menara Tun Mustapha yang tingginya 122 meter.  Menara yang miliki 30 tingkat  berbentuk silinder  yang dibina dengan menggunakan aluminiun & glass. Bangunan ini  dibina pada tahun 1976 merupakan bangunan kedua tertinggi di Pulau Borneo.

Dewan Undangan Negeri Sabah

Menara Tun Mustapha 

Menara Kinabalu
Kompleks pejabat-pejabat  kerajaan


        Lama berjaga perut pun terasa lapar. Apa tidaknya, bersarapan seawal jam 7.30pagi lalu terus berjaga setelah bersolat subuh. Wajarlah perut merengek lapar. Jam 12.00 tengahari singgah di sebuah gerai makan di tepi Jalan Sulaman, Tuaran. Mencuba menu makanan lokal di Gerai Kelapa & Lokan Asia. Lokasi gerai di  No 59 & 60, KKIP, Jalan Sulaman Tuaran. Gerai kampung yang menyediakan masakan lokan yang dibakar bersama sos rendang, memang menjilat jari. Minum air kelapa bakar juga antara pilihan terbaik di sini. Mencuba rasa puding kelapa dan puding kastad dalam cuaca panas memang menakjubkan tekak. Alhamdulillah... semuanya enak tika di perantauan.



Air kelapa salai/ bakar


Resepi lokan bakar sos rendang

        Ada banyak gerai di kiri dan kanan Jalan Sulaman ini. Ada gerai makan dan juga gerai buah-buahan.  Singgah pula di gerai buahan yang tidak jauh dari tempat makan tadi. Bermacam buahan tempatan yang dijualkan. Bau buah durian memaksa aku singgah di situ. Ada aneka spesis buah durian yang ditanam penduduk tempatan. Paling istimewa dapat melihat varieti baru buah durian. Bukan Musang King atau Udang Merah atau Black Thorn yang popular di Pahang. Tetapi varieti Durian Mas Pahang yang ditanam di Sabah. Membeli sebiji untuk cuba rasanya. Alhamdulillah, enak dan isinya tebal. Berkenalan pula dengan buah Durian Ralit Pelangi yang isinya merah. Buah Tarap juga pertama kali ditemui tapi tika di sini belum sempat mencuba rasanya. Tunggu.....









        Setelah 2 jam perjalanan kami check in Chalet Bonda Rasmin & Mt Beach Lodge. Lokasinya di Kampung Rampaian Laut, Kota Belud. Jaraknya kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu. Sebuah kawasan peranginan tepi laut yang damai dalam suasana kampung. Kesemua tempat penginapan di sini di tepi pantai yang panjang. Pantai yang bersih dan landai itulah Pantai Merdeka. Terasa amat syahdu berada di pantai yang menghadap Laut China Selatan. 

      Banyak masa dari petang hingga ke malam kami hanya bersantai di Pantai Merdeka. Bermain ombak di pantai yang telah lama tidak dilakukan. Berjalan-jalan sekitar pantai untuk terapi kaki dalam pasir dan air masin. Walaupun set makanan BBQ sudah diletakkan Azmal di anjung chalet, namun semangat nak bersama sunset sangat kuat. Alhamdulillah, dapat juga melihat sang suria terbenam di ufuk barat. Sun set di Laut China Selatan.


Chalet kayu ala-ala mendiami
rumah kampungku

Chalet kayu untuk 4 orang




Pantai Merdeka Kota Belud






Sabarlah tubuh... bukan selalu menikmati saat begini

Sun Set di Laut China Selatan


        Jam 4.40pm Azmal dan seorang staf chalet membawa kami untuk aktiviti menjejak buaya dan monyet hidung merah  (proboscis). Lokasi dituju merupakan kawasan Riverside Ecology & Firefly Center di Sungai Kinabatangan. Kami menaiki kereta hingga tiba di entrans khas bernama Marampayan. Dari situ memasuki laluan titi berbumbung hingga ke tepi sungai. Banyak bot nelayan dan bot penumpang berlabuh di situ. Tika tiba di pelantar untuk menaiki bot sangat sunyi. Hanya kami berlima sahaja berada di lokasi. Sesungguhnya bermacam perkara terfikir dalam kepala... keselamatan... Apa tidaknya, kami 3 wanita bersma 2 lelaki asing, berada di tempat asing, menaiki bot tanpa memakai jaket pula... Pelik!!. Namun, doa dan yakin niat kami bahawa pemusafir Allah sentiasa melindungi kami.

        Pak Mat staf Chalet mengemudi bot membawa kami menyusuri tebing Sungai Rampaian Laut. Pergerakan bot mulanya laju, kemudian diperlahankan. Rupa-rupanya Pak Mat melihat lokasi anak buaya. Ia mematikan enjin bot untuk kami melihat anak buaya di tepi sungai. Kelihatan muncung mulut buaya sahaja. Sambil menjejak buaya, Pak Mat juga meninjau kemunculan Sang Monyet hidung merah. Di pertengahan perjalanan, barulah ketemu dengan beberapa bot pelancong lain di sungai itu. Akhirnya terjumpa buaya kedua di lokasi lain. Namun monyet tidak ditemui. Aku masih kagum dengan suasana sekitar yang masih belum tercemar. Selain melihat hutan paya bakau di kiri dan kanan laluan sungai, dapat juga melihat puncak Gunung Kinabalu dari sungai itu.


Entrans ke Sungai menjejak buaya

Laluan berbumbung ke sungai untuk menaiki bot


Allah sentiasa  memelihara keselamatan kami 

Bot2 pelancong menjejak Sang Bedal


Sang Bedal terapung dibawah akar pokok Bakau


       Jam 5.30pm selamat balik ke Chalet penginapan. Masih belum puas bermain di pantai. Kami bertiga masih meneroka di sepanjang pantai di depan chalet sambil menantikan saat terbenamnya Sang Suria. Pasir pantai yang halus sangat selesa tika berjalan berkaki ayam di atasnya. Bayu Laut China Selatan meniupkan angin dingin nan menyegarkan. Tidak terasa tubuh berusia ini keletihan kesan menjalani aktiviti sepanjang siang hari. Akhirnya jam 6.05pm matahari selamat pulang ke ufuk barat. Barulah kami masuk ke penginapan.

        Sudah lama bahan-bahan masakan BBQ menungu kami di anjung chalet. Chef  Rohaya mengetuai sesi penyediaan BBQ malam tu. Kami bertiga membantunya sahaja. Ada udang besar, sotong, lokan,  sayuran, ikan, sup BBQ serta sambal. Semuanya  Chalet Bonda Rasmin yang sediakan. Nasi putih, bihun rebus dan minuman serta peralatan memasak  pun diberikan sekali. Waduh... kami berlima menghadap kesemuanya... tak mungkin. Terlalu banyak untuk kami perut tua ini habiskan. Walaun pun mencuba makan sebanyaknya, namun masih berbaki makanan malam itu. Kami simpan juga untuk ulang makan sekembali dari kembara menjejak kelip-kelip nanti.


Opah-opah sibuk memasak Akmal
sibuk merakamkan gambar

Menu BBQ Chef Rohaya

        Selesai makan malam, kami mandi lalu bersiap untuk aktiviti seterusnya. Aku mengenakan seluar panjang dan T Shirt tidur sahaja untuk keluar malam itu. Akmal dan Pak Abu membawa kami ke lokasi sama untuk menaiki bot. Jika tadi ronda-ronda di Sungai Rampaian Laut tika hari siang, tapi kali ni rondaan waktu malam pula. Suasana gelap pada malam itu kerana cahaya bulan belum mengambang penuh dan kekadang bulan ditutupi awan gelap. Hanya lampu suluh Pak Abu dan lampu telefon masing-masing digunakan. Tapi dilarang mengeluarkan cahaya tika berada di dalam bot. Cahaya yang banyak mengganggu kehadiran kelip-kelip.

        Kami diberitahu Pusat Riverside Ecology & Firefly di Kota Belud, Sabah mempunyai misi untuk melindungi populasi kelip-kelip di dunia. Telah wujud lebih 10 tahun lalu merupakan pusat yang pakar dalam pengkajian makhluk kecil yang cantik ini. Kelip-kelip ini dikenali penduduk tempatan dengan nama Tungtung. Ia mengeluarkan cahaya kuning dari perutnya. Setelah setengah jam menaiki bot di sepanjang sungai berhabitat hutan bakau itu, barulah ketemu kelip-kelip yang menerima respons dari cahaya lampu Pak Abu. Daripada gerakan cahaya lampu itulah kelip-kelip yang berada di pohon bakau pun mengeluarkan cahaya masing. Memang indah momen tersebut. Malah ada kelip-kelip yang terbang kepada kami di dalam bot. Teringat sewaktu zaman kanak-kanak dulu, kelip-kelip kerap memasuki rumah pada malam hari. Riuhlah satu rumah mengejar  kelip-kelip berterbangan. Alhamdulillah.. Tika berusia emas ini menjejak kelip-kelip di bahitatnya pula.
  
Ni baru betul pakai Life Jacket




             Seawal jam 6.00 pagi kami bertiga sudah turun ke pantai Merdeka. Mama Hasnah jarang keluar bilik. Ia tidak seperti kami, spesis yang tidak boleh berkurung dalam bilik. "Bayar pakej mahal-mahal, rugi jika terperap di bilik sahaja", itu moto kembara opah. Kelihatan suasana sekitar sudah cerah, hening dan sangat mendamaikan. Cuma kedengaran bunyi gerakan ombak di pantai. Diselangi siulan sang unggas keluar mencari makan. Walau pun dah jauh menapak pada pagi dingin itu, namun tidak ketemu sesuatu yang istimewa di sini. Jam 7.45pagi kami menuju ke dewan makan. Sarapan yang disediakan pihak chalet tidak banyak pilihan. Mungkin disebabkan hanya 3 keluarga yang bersarapan bersama kami pagi itu. Hidangan nasi lemak, bihun goreng dan sedikit kuih serta minuman panas. Alhamdulillah, bolehlah buat mengalas perut untuk kembara seterusnya. Bagusnya moto perut ni "Makan tika merautau semuanya sedap".

Suasana tika jam 6.00 pagi


Ombak bermain di pantai


Dawai berduri memagari kawasan chalet
untuk keselamatan tetamu

Dewan serbaguna untuk pelbagai majlis

sarapan yang disediakan chalet

Dewan makan bangunan warna kuning

        Jam 8.30 pagi sudah bersedia untuk berangkat ke Kundasang pula. Masih menyaksikan panorama indah sepanjang perjalanan. Menghampiri jam 10.00 pagi singgah pula di Rumah Terbalik. Rumah Terbalik 3D Wonders Museum terletak di Kampung Telibong, Batu 21, Tamparuli, Tuaran. Dibuka kepada awam sejak Februari 2012 yang mampu menarik pengunjung lokal dar luar negeri. Bukan sahaja bumbung rumahnya terbalik, malah lantai rumah, peralatan di dalam rumah pun semuanya dalam situasi di atas kepala. Manakala siling bangunan di kaki kita. Garaj kereta pun situasi yang sama, kereta di atas kepala. Senibina menakjubkan ini telah direkodkan dalam Malaysian Book of Records kerana rumah terbalik pertama di negara dan di Asia tenggara. Hebat orang Sabah!

         Tarikan pengunjung terbaru di sini ialah 3D Wonder Museum. Terdapat pemeran lukisan 3D unik yang dalam bentuk 3 dimensi. 3D Wonder Museum ini yang ketiga terbesar di Malaysia Timur. Pengunjung boleh bergambar dengan pelbagai gaya  dengan headhunter Sabah. Bergambar bergayut dengan orang utan pun boleh. Tapi dikenakan bayaran. Banyak imfo di dalam muzium ini untuk mendidik orang ramai perihal menjaga biodiversiti, ekosistem dan sumber  alam semula jadi.


Staf Rumah terbalik


        Selesai 40 minit meneroka Kompleks Rumah Terbalik. Perjalanan seterusnya selama 40 minit kami sudah tiba pula di Jambatan Gantung Tamparuli.  Kami turun menyaksikan persembahan mainan alat muzik tradisional gamelan dan tarian tradisional oleh Persatuan Seni Budaya Tuaran. Sambil menonton pengunjung boleh menghulurkan derma di dalam bekas yang disediakan. Kami diberikan peluang mencuba bermain alatan muzik mereka. Jambatan Gantung Tamparuli menjadi lokasi disukai ramai untuk bergambar. Menurut sumber arkib Sabah jambatan sebenarnya adalah  jambatan konkrit tetapi telah roboh tika air sungai deras. Jambatan gantung sejauh 200meter menyajikan panorama indah tika kita berada di atasnya. Kemasyhuraan jambatan Gantung Tamparuli ini telah diabadikan dalam lagu "Jambatan Tamparuli" dalam bahasa Kadazan Dusun oleh penyanyi Justin Lusah.

        Kami juga mengabadikan kenangan tika berada di tengah-tengah Jambatan Tamparuli dengan merakam banyak gambar. Berjalan di atas lantai kayu jambatan memaksa pengguna berpegang pada kabel kerana jambatan bergoyang. Tika berada di puncak jambatan kelihatan view menarik air sungai mengalir dan kehijauan tumbuhan sekitar. Di bawah jambatan ada jalan raya yang sibuk dilalui  pelbagai kenderaan. Menuruni hujung jambatan ketemu pasar awam Tamparuli. Berbagai barangan jualan di pasar ini. Serupa di pasar pagi di semenanjung juga. Tiada jualan yang memikat hati, lalu kami menaiki semula kereta tika tiba di hujung pasar. Rupa-rupanya Akmal menunggu kami di situ setelah menurunkan kami di jambatan.

Melalui entrans sini sebelum menaiki jambatan

Persembahan kebudayaan PESTA

Pengunjung diberikan peluang bermain alatan muzik



Lantai jambatan daripada kepingan kayu

View dari atas jambatan

Jalan raya bertar merentangi Sungai Tamparuli

Pasar Awam Tamparuli

        Tiba di Pekan Nabalu, Kota Belud jam 12.45pm. Memang perut berbunyi dek kelaparan. Sarapan pagi tadi sedikit sahaja yang dimakan kerana tidak banyak pilihan. Azmal membawa kami menjamu selera di Restoran Nur Cafe pekan Nabalu. Menikmati nasi berlauk dan jus ABC tempatan. Dah lama teringin merasa minuman Air Batu Campur di Sabah ni. Hari ini ada dijual di restoran ini, order je lah. Alhamdulillah, makanan di sini sedap-sedap dan banyak pilihan. Lepas makan kami berjalan-jalan meninjau sekitar gerai-gerai di tepi jalan di pekan Nabalu. Lagi banyak buahan yang pelik ada dijual di sini. Ada dijualkan isi buahan yang siap dipek untuk pengunjung. Ada Durian Ralit isinya kuning dan merah, isi buah Tarap dan isi buah Bambangan. Paling popular di Sabah ini  snek  kuih Cincin. Paling best adalah pengunjung diberikan peluang merasakan buahan di situ sebelum membelinya. Semua spesis buahan itu kubeli serba satu pek kerana nak merasakan buahan  tanaman orang tempatan. 



Deretan kedai di Pekan Nabalu

Kelihatan puncak Gunung Kinabalu

Deretan pelbagai gerai makanan dan buahan


Gunung Kinabalu aku datang


Isi Durian Ralit kuning


Isi buah Tarap

Isi buah bambangan

Kuih Cincin rangup dan manis

        Akmal amat penyabar melayani karenah 4 warga emas ini. Kami dibawa dari Nabalu menuju ke Kundasang. Tatkala tiba di Pekan Kundasang dah jam 1.50pm. Kami singgah bersolat di Masjid Jamek Kundasang. Masjid yang berkembar dengan kedai makan. Kami mengambil wuduk selepas memasuki entrans masjid. Memasuki ruang dalam masjid sudah terasa dingin sekitarnya. Selesa bersolat kerana tidak ramai jemaah di dalamnya. Puas hati dengan pakej Kacio Holidays kerana setiap hari pasti ada masjid yang kami singgah untuk bersolat. Itu antara permintaan kami kepada Akmal. 

Masjid Jamek Kundasang

       Bombon Fish & Spa Kampung Marakau, adalah destinasi seterusnya. Terletak di Kampung Marakau, 15 minit dari Ranau. Dibuka dari jam 8pagi hingga jam 5 petang. Setelah membeli tiket kami diberikan sebungkus makanan ikan. Memasuki entrans Bombon lalu menuruni tangga untuk pergi ke tebing sungai. Ada ikan Koi, Kelah, Lampam dan lain-lain ikan air tawar. Tika mencecahkan kaki di dalam air sungai, ikan-ikan akan datang menghampiri kaki kita. Semasa menaburkan bijirin makan, lagi banyak ikan datang. Tatkala ikan-ikan itu mengigit kaki kita, terasa geli sedikit. Jika disediakan tempat duduk di situ, mungkin duduk lama lagi berterapi dengan ikan-ikan di sungai ini.


Pengunjung berdiri di dalam air sambil
memberikan makanan ikan

ikan-ikan mengerumuni kaki setelah
ditaburkan makanan


        Setengan jam kemudian kami singgah di Ranau Rabbit Farm & Mont Sky Bike Kigiok Vilage terletak di Kampung Kigiok, Ranau. Di entrans setiap pengunjung akan disambut oleh sepasang Pak Bunny(Arnab putih). Puluhan ekor arnab putih yang dipelihara di sini sangat jinak. Boleh bermain sambil memberikan makanan kepadanya. Boleh merakamkan gambar berlatar belakang Gunung Kinabalu. Selain itu pengunjung boleh juga bergambar di sekitar lokasi farm yang cantik lanskapnya. Tika membeli tiket pengunjung diberikan sebungkus makanan untuk arnab. 

      Pengunjung yang sukakan aktiviti lasak boleh mencuba aktiviti Thrilling Mont K SkyBike. Merupakan yang pertama ada di Borneo. Ketinggian cuma 100 meter dengan berbasikal  di udara.  Boleh mengayuh basikal secara solo atau berpasangan. Panjang rail 200 meter sehala. Dengan mengayuh sendiri basikal, pengguna boleh berhenti atau mengambil masa sendiri untuk berada di udara. Tika di udara ini pengguna boleh menyaksikan panoramaa sekitar dari atas. Rakaman gambar boleh dibuat oleh staf di situ. Bayaran dikenakan RM90 seorang. 

Memberi arnab-arnab makan






Latar belakang Gunung Kinabalu

             Lama perjalanan di dalam kereta hari ini, badan dah mula terasa kurang selesa. Jam 4.40pm tiba di Rocky Mountain Lodge untuk check in. Penginapan kami 1 malam sahaja  di sini. Lokasi Rocky Mountain Lodge di Jalan Cinta Mata Mesilou, Kinabalu Park Village, Kundasang. Tika tiba di laman penginapan sudah terpesona dengan panorama sekeliling yang menakjubkan. Hotel yang dikelilingi pergunungan nan menghijau  bagaikan taman nan indah di  Kinabalu Park Village ini. Bilik ditempahkan di tingkat 1 yang mendepani Gunung Kinabalu. Manakala bahagian belakangnya memaparkan deretan banjaran serta penematan penduduk. Terdapat juga kebun-kebun pertanian di sekitarnya. Udara dingin sentiasa bertiupan, tidak memerlukan pendingin hawa  tika berada di sini. 

Pelbagai bentuk chalet ada di sini

Bilik kami di tingkat atas




View dari balkoni belakang 




Balkoni depan penginapan



view dari laman hotel

        Sementara cahaya mentari masih cerah, kami bertiga cuba berjalan kaki di jalanraya di depan hotel. Kaki tua melangkah menuruni bukit ok sahaja. Namun pabila menapak di jalan yang mendaki sedikit sudah mula ketat dada. Ada yang lututnya jem. Cuaca redup dan udara dingin memang selesa berada di luar. Malangnya tubuh tidak mengizinkan.  Gagallah cubaan meneroka sekitar Chalet Rocky.

            Jam 6.30pm sudah gelap sekitar  Kinabalu Park Village ni. Kami dibawa untuk makan malam di lokasi lain. Setelah 15 minit perjalanan  melalui jalan berliku tibalah di Benjamin Residence Restaurant. Makan malam di ambang Hari Kebangsaan esok. Restoran ini bersekali dengan bangunan hotel penginapan untuk pelancong. Letaknya 1700 meter tinggi dari aras laut. Restoran ini menyajikan menu lokal dan barat. Bilik-bilik hotel juga ada di sini. Pengunjung disajikan dengan tiupan bayu dingin, view menarik dan  penginapan di kaki Gunung Kinabalu, gunung yang tertingi di Asia Tenggara. Subhanallah, Alhamdulillah tika berada di sini sungguh mendambakan!

Restoran dibuka mulai jam 7 malam

Dekorasi luar memang cantik sempena
sambutan Hari Kemerdekaan esok




Sibuk rakam gambar tak sedar gambar
sendiri orang rakamkan

        Jam 5.30pagi suasana sekitar sudah cerah.  Selesai bersolat, apa lagi nak buat selain merakam foto.  Puas ambil gambar di belakang chalet kemudian ke depan pula. Hari bertuah 31.8.2023 kami mnyambut Hari Kebangsaan di Malaysia Timur, di Sabah. Lagi menyeronokkan di kaki Gunung kebanggaan rakyat negara kita.... Kinabalu.  Kami bersarapan di Kundasang Golf Club yang jarak 10 minit pemanduan dari penginapan. Lokasi di Lot B4, Golf Club Mount Kinabalu, Mesilou, Kundasang. Menu sarapan pada pagi tersebut banyak , tapi  menu  lokal sangat enak rasanya. 

            Selesai makan di D'Lengkuas terus ke sesi bergambar di sekitar. Memang tidak akan puas dapat bergambar dengan latar belakang Gunung Kinabalu yang terserlah wajahnya. Sebelum tiba di sini asyik kelihatan di tutupi awan pada puncaknya. Hah.... puaskan hati masing-masing dengan pelbagai gaya berfotografi. Aku memilih berjalan kaki keluar melalui entrans Golf Club untuk meneroka setiap view pada setiap arah pandang. Puas hati ... memang puas hati walau pun tidak dapat menyentuh gunung Kinabalu, namun berada di depannya pun berbaloi. Alhamdulillah. 

         Akmal memberitahu kami pagi itu telah terjadi gempa bumi di Sabah. Dia merasakan sedikit kesannya tika berada berada di hotel pagi itu. Gempa berlaku sekitar jam 7.13pagi tidak jauh dari Ranau. Kami berempat tidak merasakan apa-apa...haha. Allah peliharakan kami daripada merasakannya kerana khuatir mengganggu mood bercuti di sini. Amat bersyukur dijauhi segala bala bencana.

Jam 5 pagi dari balkoni belakang hotel

Sun Rise Kundasang Village


Wajah Gunung Kinabalu pagi hari

View dari depan hotel oleh wajah belum mandi

D'Lengkuas Kundasang Golf Club Mont Kinabalu

Kundasang Golf Club


Sarapan bekalan hingga lunch nanti

Gunung Kinabalu dari Kundasang Golf Club

Terserlah wajah sebenar

Kundasang Golf Club

Salam Merdeka dari G Kinabalu


View dari entrans

Berjalan kaki menuruni jalan di GC
untuk merakam gambar

Gempa bumi tika kami berada
di Kundasang 31 Ogos 2023

        Kami kembali semula ke Hotel untuk check out. Jam 8.30am sudah bersedia menuju ke Desa Dairy Farm Kunadasang. Setengah jam perjalanan dah tiba. Oh... dingin sekali ...lagi bertambah dingin tika bayu berhembusan. Lokasi Desa Dairy Farm terletak di Jalan Cinta Mata, Mesilou, Kundasang. Manakala Desa Cow Farm adalah ladang tenusu di kaki Gunung Kinabalu milik Desa Cattle (Sabah) Sdn Bhd.  Merekalah pengeluar produk hasil tenusu utama di Borneo. Desa Dairy Farm memiliki ladang tenusu seluas 199 hektar di Mesilou, Kundasang.  Panorama  menarik ladang ternakan lembu tenusu di sini lebih dikenali di kalangan pelancong sebagai The Little New Zealand of Sabah. Pemandangan alam sekitar nan menghijau yang dihuni lembu-lembu dan kambing di kaki gunung sungguh menakjubkan. Apakan tidaknya, Gunung Kinabalu hadir sebagai latar belakang kawasan ladang ini. Sangat sesuai membawa famili berriadah di sini yang menyajikan kedamaian. Selain bersiar-siar boleh juga memberikan makanan kepada anak-anak lembu dan kambing. Ada ditontonkan juga cara memproses susu keluaran ladang sini.

          Penat berjalan, pengunjung boleh berehat sambil makan dan minum di  Restoran Desa Gelato. Aneka produk ais krim, yogurt, snek berasaskan susu yang mereka jualkan. Pengunjung boleh makan di dalam restoran atau bersantai di luar. Ole-oleh produk tenusu boleh dibeli dari gerai-gerai di situ. Walaupun bukan musim cuti sekolah, namun cuti Hari Kebangsaan pun mereka datang beramai-ramai ke sini. 





Lembu tidak banyak tika kami di sini, tapi
Gunung Kinabalu lebih menyerlah


Menjual aneka produk tenusu di dalam bangunan ini

Desa Galato 

Aneka yogurt





         Selesai merakamkan gambar kami keluar untuk ke destinasi yang berhampiran. Walaupun tidak jauh namun tidak mampu juga untuk berjalan kaki. Singgah di Pasar Ranau merupakan pasar pagi yang tidak ramai pengunjung tika kami tiba. Seperti pasar minggu dan pasar tani di tempat lain juga. Peniaga menjual aneka makanan tempatan, pakaian, aksesori perhiasan diri, buahan dan sayuran. Mutiara yang dijual di sini agak murah, tetapi hanya jauhari kenal manikan! Kami beli je. 

        Roundabout  banyak sekali diketemukan di Negeri Di Bawah Bayu ini. Di setiap daerah terdapat  roundabout yang berbeza dibinakan. Mercu tanda atau replika yang besar dan kelihatah bagaikan hidup.  Ada replika tengkolok, haiwan, bunga, sayur dan bermacam lagi. Bertambah menarik dihiasi air pancut dan pancaran cahaya lampu. Tambah indah tika malam hari. Di Ranau terdapat replika teko terapung. Replika kubis hijau pula terdapat di Kundasang. Replika kuda gagah berwarna putih dan perang kita temui di Tuaran. Roundabout Alamesra diKota Kinabalu adalah yang terbesar di Sabah. Sungguh mengagumkan,  kelihatan Ohsem!   Kekadang terbayangkan diri berada di Tanah Seberang, Indonesia.  Kredit kepada Aya dan Akmal yang terpaksa memandu berkali-kali di roundabout untuk merakamkan gambar.                                          . 

Pasar Ranau berlatar belakang Gunung Kinabalu

Pasar Ranau



Bulatan di Kundasang

Bulatan Desa Dairy Farm Kundasang


Roundabout Tuaran



        Dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu, singgah di Gerai Kak Tini di Kampung Salut, Tuaran.  Hanya 25 km dari Kota Kinabalu. Menikmati makan tengahari nasi dan   lokan bakar. Banyak gerai yang menjual menu serupa di deretan kedai di Jalan Sulaman ini. Lokan dipanggang di atas kepingan zink menggunakan kayu api. Lokan dibakar bersama pes khas turun-temurun menghemburkan bauan enak yang melecurkan air liur. Isi lokan yang dicicahkan sambal kicap disuapkan ke dalam mulut bersama nasi. Oh, tidak terkata lazatnya.  Tambah enak disulami minuman  air kelapa tika tengah hari yang panas. Gitulah... memang datang ke Sabah ni untuk menikmati keindahan alam dan merasai makanan orang tempatan. Maka... rezeki yang Allah takdirkan untuk kami nikmati semuanya sedap! Alhamdulillah.

Menu lunch kami sempena hari merdeka

Puding kelapa pencuci mulut


        Singgah menyerah diri kepada Maha Pencipta jam 3.20pm. Menyempurnakan solat jamak Zohor dan Asar di sebuah masjid yang tersohor di ibu kota Sabah. Itulah Masjid Terapung Kota Kinabalu yang juga dikenali dengan nama Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Terletak di Persiaran Likas dengan keluasan tanahnya 14.83 hektar. Masjid ini boleh menampung 12000 orang jemaah pada satu massa. Dibuka pada Februari tahun 2000 bersempena Kota Kinabalu dimasyhurkan sebagai bandaraya. Masjid ini memiliki ciri-ciri Masjid Nabawi dengan 70 peratus kawasan masjid dikelilingi air. Sangat menakjubkan keindakan rekabentuk dan lanskap masjid ini.

Masjid Terapung/ Masjid Bandaraya  Kota Kinabalu







        Untuk hari-hari terakhir berada di Sabah, kami bermalam di Hotel Sangri-La Kota Kinabalu.  Pakej Kachio Holidays  menyediakan penginapan selama 2 malam di sini. Hotel yang terletak di 75, Bandaran Berjaya, di tengah-tengah Kota Kinabalu mudahlah kami meronda sekitar menjamu mata. Hotel ini  agak tua sedikit, dibuka pada tahun 1976 tetapi masih menjadi  pilihan ramai pengunjung untuk menginap di sini. Memiliki 120 bilik yang masih cantik serta terjaga. Tempat makan di Cafe Trivoli dibuka sepanjang hari. Ini menjadi tarikan pengunjung ke sini. Cafe ini menyajikan menu barat, Asian dan tempatan.         

        Jam 4.00pm kami check in ke bilik. Dapat dua buah bilik bersebelahan sahaja yang ditempah oleh Karman, pemilik Agensi Pelancongan Kachio Holidays. Siang masih panjang, badan masih kuat lagi. Seluar jeans memang sudah dirancang untuk dibeli tika di sini. Mahu tak mahu... kena keluar juga. Lagipun dah beberapa tahun trip ke Sabah ini tertangguh dek wabak Covid-19, justru terokalah selagi mampu. Mama Hasnah tidak bersama kami meronda ke Mall berdekatan. Berjalan kaki kami bertiga menuju ke Imago Shopping Mall. Menaiki lif meninjau dari tingkat bawah hingga ke tingkat 4 untuk  mencari hajat di hati. Akhirnya terjumpalah jeans biru, terpaksa  beli untuk dipakai keesokan hari. Ada yang membeli pakaian dalam di sini dek harganya murah.

Jalan pintas yg diberitahu staf hotel
untuk ke Mall

Ronda2 pasaraya dekat hotel

Kamar di Hotel Sang-Ri La


        Pagi 1 September keluar awal dari kamar untuk merakamkan gambar di sekitar hotel. Dah jam 6.40am menjengah jendela hotel, maka tidak sempat melihatkan sunrise di KK. Kami turun bersarapan di Cafe Trivoli. Banyak pilihan makanan disajikan di sini untuk bersarapan. Ada menu pilihan barat, Asean  dan lokal. Pelanggan yang turun makan pun belum ramai, mudahlah kami memilih menu yang disukai. Oleh kerana nak ke pulau pagi ni terpaksalah mengambil makanan berat untuk bekalan tenaga, Jam 8.15am kami sudah bersedia untuk jeti menaiki bot laju pula.




Cafe Trivoli sentiasa dibuka untuk pelanggan


        Akmal tiba menjemput kami yang sudah siap memakai pakaian berkelah. Disamping membawa juga sepasang pakaian lain, tuala dan  air mineral. Bimbang juga membawa Begpack berat tika menaiki bot kerana badan tak kuat. Jam 9.00am tiba di Gerbang Jesselton Point yaitu lokasi berkumpul untuk naik dan turun bot ke pulau peranginan. Segala hal tiket kami tak ambil tahu, diuruskan Akmal. Kami hanya  berlegar-legar di terminal jeti membeli plastik kalis air untuk fon. Banyak barangan berkaitan perkelahan dijualkan di gerai-gerai di sini.

Bangunan sekitar Jesselton Point


Entrans ke pelabuhan Jesselton

        Jam 9.40am barulah tiba giliran kami dipanggil menaiki bot. Menggunakan khidmat bot laju milik agensi  Classic Hallmark yang membawa kami meneroka pulau. Setelah mengenakan jaket keselamatan warna merah kemudian memasuki ruang tempat duduk penumpang di dalam bot. Tidak ramai penumpang yang dibawanya. Memang banyak syarikat lain yang menyediakan perkhidmatan bot laju untuk ke pulau-pulau. Kami dipandu laju menuju ke Pulau Mamutik dahulu. Terlalu laju hinggakan percikan air terkena penumpang. Kekadang seolah-olah bot sedang melambung tika bertemu ombak besar. Namun tetap menyeronokkan bukan menakutkan sang warga emas ini.

          Tiba di Mamutik jam 10.00am, hanya 20 minit pelayaran. Pulau Mamutik adalah pulau terkecil dalam Tunku Abdul Rahman Marine Park. Bertentangan lokasinya dengan Pulau Manukan. Pulau yang paling hampir dengan Kota Kinabalu. Justru paling digemari pengunjung untuk beriadah di pulau yang terdekat ini. Terdapat kemudahan disediakan di pulau ini. Antaranya hotel, restauran, tandas awam, gerai jualan dan stesen diving. Ramai peminat snorkeling gemar ke sini. Namun pantainya tidak luas dek kerana pulaunya kecil. Tika di sini kami hanya membasahi kaki di dalam air laut dan berjalan-jalan di pantai. 

Seat 6 seater sebaris

Bumbung bot warna merah,
semua rona merah


20 minit menaiki bot laju dari KK ke Mamutik


Entrans ke Mamutik Island



Antara penginapan di Mamutik


Kelihatan bandar Kota Kinabalu


Beli khas untuk ke pulau

        Tidak banyak aktiviti untuk kami warga emas lakukan di sini. Justru jam 12.00 tengahari kami menaiki bot menuju ke pulau kedua. Kami tidak memilih Pulau Sapi dek kerana lebih jauh. Pulau Sapi paling sesuai untuk peminat skuba dan snorkling... orang muda. Mencecah kaki di pantai Pulau Manukan  jam  12.16pm. Oh memang dekat antara Mamutik dan Manukan. Gitu pun ada sahabat yang termuntah akibat mabuk laut. Di pantai Manukan barulah berpeluang membentangkan tikar dan duduk-duduk santai di atas pepasir halus. Bertambah selesa berteduh di bawah pepohon pokok di pantai dengan tiupan bayu laut yang mendamaikan. Pabila dah duduk tiada makanan pula. Kami ke gerai comel di situ membeli snek dan minuman. Alhamdulillah, segala pujian kepada Allah Maha  Pencipta yang telah mengizinkan kami tiba di sini dengan damai dan selamat.                                                       

        Pulau Manukan paling memikat hatiku. Ia mmerupakan pulau kedua terbesar dalam kumpulan Taman Tunku Abd Rahman Nasional Park. Telah diiktiraf sebagai Taman Laut Negara. Pulau ini paling popular di kalangan pelancong kerana  ada beberapa pantai nan luas terbentang. Terdapat terumbu karang sesuai kepada peminat selam. Tersedia di pulau ini chalet, rumah kelab, restoran dan pusat menyelam. Kemudahan  bekalan eletrik dan bekalan air bersih turut ada di Manukan.

Ke Pulau Manukan


Bot laju seakan terbang di permukaan air laut

Tiba di jeti Pulau Manukan

Dari dalam bot view Pulau Manukan

Air laut kehijauan di tepi pantai Manukan




Entrans ke Pulau Manukan



Dua orang semenanjung bersantai di pantai




"Jangan ambil apa-apa kecuali bergambar;
Jangan tinggal apa-apa kecuali jejak kaki"



Kota Kinabalu view dari bot 

Sekitar Jesselton Point KK tiba jam 1.40pm

Jam 1.35pm balik ke KK tiba 5 minit kemudian


        Perut dah mula berkeroncong. Bukannya tak cukup makanan tika bersarapan di Sangri-La pagi tadi, tapi dek kesan ubat cair darah yang dimakan. Lepas 2  jam makan perut pasti berbunyi angkara gastrik. Kami singgah makan lunch di  D'Dhabita Restoran & Catering di Jesselton  Point. Di sini sambil makan nasi berlauk ikan dan sayur dapat menikmati view laut. Harga makanan pun berpatutan. Tika kami tiba makanan sudah tidak banyak pilihan kerana dah jam 1.40pm. Alhamdulillah puas hati.



            Selesai makan kami dihantar pulang ke hotel. Berehat dan membersihkan diri serta pakaian yang basah terkena air laut. Jam 3.00pm kami ke Pasar Filipina di Dataran Todak. Akmal membawa kami ke gerai kenalannya untuk memudahkan pembelian. Di dalam pasar ini pelbagai produk hasil laut dijual. Selain gerai makanan ada juga gerai buahan dan sebagainya. Singgah di gerai menjual ikan bilis dan ikan masin. Masing-masing memborong ikan bilis, udang kering dan ikan masin untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. Barangan yang dibeli dimasukkan ke dalam kotak atau dibungkus rapi supaya tidak mengeluarkan bau tika dalam pesawat. 

         Pasar Filipina terletak di Jalan Tun Fuad Stephen, Pusat Bandar Kota Kinabalu. Memasuki ke dalam pasar kedengaran riuh dengan suara manusia. Terdapat ramai etnik yang mendiami bumi Sabah berniaga di sini. Di pasar ini berjaya menyatukan hati pelbagai etnik dan budaya yang menjelmakan erti perpaduan yang unik dalam kehidupan. Dulu di kenali dengan nama Pasar Merdeka. Sekitar tahun 1950an kumpulan besar warga Filipina memulakan perniagaan di sini untuk puak mereka. Sejak itu sudah berkembang pesat menjadi sebuah pasar besar. Hubungan etnik Filipina dan etnik tempatan bergabung di bawah satu bumbung di pasar ini. Ada kalanya dapat menyaksikan ciri-ciri perayaan serta kebudayaan Filipina melalui makanan, pakaian tradisional dan hiburan. Menjadi tarikan pelancong ke sini untuk berbelanja dan menyaksikan silang budaya antara etnik yang saling berperanan dalam pembangunan ekonomi setempat.

          Kaki tua tidak mempu melangkah lebih jauh untuk meneroka pelmacam gerai di sini. Berfokuslah kepada kehendak kedua, hanya membeli mutiara. Terlalu banyak kedai yang memujuk kami singgah berbelanja. Namun rakan Akmal membawa kami terus ke kedai mutiara kenalannya, MS Premium Brooch. Murah ke tidak bukan masanya memikirkan hal itu. Belilah rekaan terbaik dan harga mampu beli untuk dihadiahkan kepada anakcucuku.

Borong ikan bilis, ikan masin dll
di Pasar Filipina


Aneka mutiara keluaran Sabah

Aksesori perhiasan diri

            Selesai berbelanja kami menuju ke pantai pula. Hajat untuk melihatkan matahari terbenam kali akhir sebelum meninggalkan bumi Sabah. Jam 5.50pm tibalah di Pantai Tanjung Aru. Cuaca mendung dek kerana di ufuk barat dipenuhi awan gelap. Lama menunggu di pantai itu namun tidak juga dapat melihatkan Sang Suria membenamkan dirinya di kaki langit senja. Menghampiri gelap malam kami mengalah lalu menuju ke pasar malam Tanjung Aru yang terdapat bersebelahan dengan pantai itu. Hanya berjalan-jalan meneroka pasar tempatan. Hmm... mungkin suatu hari nanti akan ke sini semula bersama famili kerana tarikan pantainya.

           Pantai Tanjung Aru sepanjang 2km paling popular di kalangan pengunjung lokal dan luar negera. Jaraknya 6 km dari Kota Kinabalu atau 15 minit pemanduan. Pantainya berpasir putih bersih dan panjang amat sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan. Paling mencuri tumpuan pengunjung ke sini untuk melihat Sun Set. Dikatakan suasana Sun Set di Pantai Tanjung Aru adalah yang tercantik di Asia. Pantai pertama Tanjung Aru paling ramai pengunjung kerana disediakan pelbagai kemudaham awam. Di pantai Tanjung Aru kedua pula ada sedikit kemudahan awam disediakan. Manakala pantai ketiga hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Justru di kedua-dua pantai ini amat sesuai untuk berehat dan mencari ketenangan diri.

Tidak dapat melihat jelas Sunset
dek langit berawan gelap

Pantai tercantik di Asia

Pasar malam Tanjung Aru

            Mengakhiri aktiviti pada 1 September 2023 di Negeri Di Bawah Bayu dengan menjamu selera di KK Garden Seafoods, Jalan Tugu KK. Tika itu baru jam 6.50pm tetapi sudah mencecah kepekatan gelap malam.  Memasuki entrans sudah terpukau melihatkan suasana dalam restoran. Sangat cantik dekorasi keseluruhan restoran ini. Di satu sudut diletakkan beraneka hidupan laut seperti yang bercengkerang, ikan-ikan, udang dan sotong. Sambil menantikan pesanan makanan siap bolehlah meronda di sudut pameran tersebut sambil merakamkan gambar. Makanan di sini sangat enak, berbaloi dengan harganya. Layanan para petugas pun amat mesra tetamu.                   

KK Garden Seafoods 





Bekas-bekas akuarium berisikan hasil laut untuk tetamu

Aneka siput

Tiram Laut


View depan restoran

       
          Malam-malam terakhir menginap di Hotel Sang Ri-La sememangnya mendapat lena yang terindah. Keletihan disebabkan banyak berjalan sepanjang hari menyebabkan mudahnya lena sesudah Isyak.   Pelbagai mimpi indah menjelma sepanjang pertiduran. Cuma terjaganya dek bunyi alarm panggilan Solat Subuh. Setelah solat subuh, kami turun bersarapan tika jam 6.40am. Pelbagai juadah terhidang meraikan tetamu untuk menjamu selera pagi hari. Memilih makanan berat dan kopi susu buat bekalan perut separuh hari 2 September. Tidak lupa makan ubatan kardio sebelum melakukan sebarang aktiviti. Sementara menunggu masa check out jam 8.00pagi, kami merakamkan gambar beberapa lokasi menarik di sekitar hotel Sang Ri-La.                                                                                                             
                           



              Tepat jam 8.00pagi sudah selesai urusan check out hotel. Pak Supir kami sudah tampil di depan hotel  menjemput ke destani pada hari terakhir di Kota Kinabalu. Lokasi pertama adalah membuat repeat ke Pasar Filipina. Ada rakan yang masih belum cukup belian ole-ole untuk dibawa pulang. Ketemu pula gerai menjual mutiara yang menarik. Hati terpaut lalu terbelilah satu set pin mutiara di situ. Kemudian kami di bawa pula ke Kampung Warisan

          Heritage Village lokasinya di Jalan Kampung Warisan , Kota Kinabalu.  Terdapat di Kampung ini pelbagai rumah contoh penduduk pribumi dari aneka suku kaum yang mendiami di Sabah. Setiap pengunjung boleh memasuki setiap rumah yang disediakan untuk melihat sendiri keadaan dalam rumah serta barang-barang keperluan di dalamnya. Barangan keperluan kebudayaan, keagamaan  dan adat turut dipamerkan. Memang amat menarik tika berada di dalam rumah-rumah tersebut. Dapatlah mengimbau memori silam tika kecil yang juga mendiami rumah kayu di desa. Banyak melangkah dan turun naik rumah-rumah memang menyakitkan lutut. Kami mengalah dengan segera mencari laluan keluar untuk ke muzium pula.



Rumah Bonggi





Cenderamata turut dijualkan






Terjumpa buah Binjai


            Di penghujung Kampung Warisan terdapat laluan khas di Taman Etnobotani untuk ke Muzium Sabah. Terpaksa melalui jalan berbatu yang terdapat pelbagai tumbuhan flora di kiri dan kanan jalan. Terasa nyaman melalui lorong yang teduh dan panorama menghijau. Kemudian pengunjung akan melalui jambatan gantung pula. Kicauan para unggas bagaikan bunyian yang menghiburkan. Manakala hembusan bayu nan sepoi-sepoi bahasa menghilangkan lelah kaki melangkah. Subhanallah sangat mendamaikan! Meneruskan langkah akhirnya kami bertemu dengan entrans ke Muzium Sabah.

Jambatan gantung di Taman Etnobotani

Jambatan melintasi tasik



            Muzium Sabah asalnya terletak di bangunan kedai di Jalan Gaya, Kota Kinabalu.  Rasminya dibuka pada 15 Julai 1965. Muzium ini terus berkembang tahun demi tahun tetapi masih kekal di Jalan Gaya. Bangunan Muzium Sabah kini berada di Bukit Istana Lama, Kota Kinabalu. Ia digunakan secara rasmi sejak April 1984 di tapak berkeluasan 17 hektar. Di dalam kompleks muzium ini terdapat Taman Etnobotani dan sebuah Kampung Warisan. Di dalam bangunan utama Muzium Sabah menempatkan galeri seni. Terdapat juga di dalamnya imformasi berkaitan tamadun Islam, arkeologi dan sejarah. 

            Memasuki ke dalam Muzium ini dikenakan tiket RM2 untuk warga negara Malaysia dan RM15 pengunjung dari luar negara.  Dikecualikan tiket masuk kepada warga emas, pelajar dengan uniform, pemandu teksi  dan pengunjung OKU. Waktu melawat antara jam 9.00 pagi hingga 5.00petang. Melangkah ke ruangan entrans yang berhawa dingin menemukan dengan rangka reptelia yang panjang. Kemudian pengunjung boleh melihat pelbagai imfo kehidupan dan kebudayaan pelbagai etnik di Sabah. 

Depan pintu masuk utama muzium








            Jam  12.00 tengahari kami menuju ke Cocoa Kingdom pula. Terletak di Lorong Bunga Telur, Tanjung Aru. Dahulunya dinamakan Simply Chocolate, sudah lebih 10 tahun mengeluarkan produk coklat di Sabah. Dekorasi menarik di dalam dan di luar bangunan memikat hati pengunjung untuk berbelanja sambil bergambar. Terdapat replika pokok koko, pameran biji koko yang boleh disentuh dan dipamerkan juga proses membuat coklat. Pengunjung boleh membeli aneka produk keluaran kilang ini di kedai yang terdapat di entrans. Selesai berbelanja bolehlah bergambar pula. 

Bahagian luar Cocoa Kingdom






Kedai Aneka Cokelat


          Amat teringin melihatkan keretapi di Sabah. Kami dibawa singgah di Stesen Keretapi Kota Kinabalu jam 1.00pm. Sebuah stesen yang kecil di Kota Kinabalu. Sempat merakamkan beberapa gambar di situ. Kemungkinan trip akan datang boleh mencuba menaiki keretapi dari KK ke Putatan atau mungkin ke Tenom.  Hah... dengan famili je!        




         Destinasi dalam kejaran masa hari terakhir, singgah di D'ita Kek Lapis Borneo. Lokasinya di Lot C7, Blok Cyber Square 3, Cybercity Perdana Panampang, Kota Kinabalu. Bermacam bentuk kek dan pelbagai perisa ada dijual di sini. Boleh juga dibuat pesanan untuk di pos ke semenanjung... Tu dia, kek naik pesawat!!



          Tidak jauh dari situ kami singgah makan tengahari di Restoran Sun Thai. Terletak di B13A Cyber Square merupakan antara penyedia makanan terkenal di Kota Kinabau. Menu masakan Thailand memang tidak menjemukan walau berada di mana. Buah binjai yang ditemui di Muzium Warisan mereka tolong potongkan untuk dimakan bersama sambal belacan. Menu makanan yang kami pilih nasi putih,Tom Yam, ikan goreng dan buah binjai bersambal belacan. Waduh...menjilat jari.




            Selesai makan kami dibawa menuju ke rumah Allah pula. Kali ini kami dibawa menunaikan solat jamak di Masjid Daerah Putatan pula. Jam 3.00pm kami memasuki laman masjid. Jelas  kelihatan papan iklan Ustaz Kazim Alias, orang Ipoh. Ruang masjid yang luas dan di bangunan 2 tingkat ini amat selesa para jemaah bersolat di sini. Masjid ini terletak di Jalan Kompleks JKR Putatan, Sabah. Suasana aman penempatan pinggir bandar jauh dari kesibukan.




           Jam 4.00pm kami dihantar ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Jam 4.10pm tiba di lobi airport. Akmal banyak membantu kami mengeluarkan barang-barang untuk urusan check in. Kami merakamkan penghargaan kepada Akmal insan yang setia menguruskan kami selama berada di Negeri Di Bawah Bayu. Tahniah Kacio Holidays telah menyempurnakan pakej untuk kami dengan cemerlangnya. 5 bintang...Karman! Jam 4.30pm selesai urusan check in. Penerbangan ke KLIA jam 6.05pm dengan pesawat Air Asia MH2631 Surabaya- Kuala Lumpur. Aku mendapat seat 12D di belakang seat kawan. Kami berempat orang terpisah tempat duduk dalam pesawat.  Biarlah duduk di mana pun asalkan selamat sampai ke KLIA.



Balai berlepas



Pemandu pelancong 5 bintang


Mama Hasnah



Biji buah Tarap yang digoreng


Cara buka buah Tarap

           Sesungguhnya percutian ke Sabah Negeri Di Bawah Bayu memberikan 5 Bintang kepada Pakej Kachio Holidays. Menemukan kami dengan pengurusnya Mr Karman yang simple penampiannya namun mudah memahami jiwa kami warga emas. Sepanjang kembara yang dikemudikan oleh anakanda Akmal, pemandu merangkap pengurus semua hal berkaitan pakej kami; sangatlah disanjung tinggi. Tiada sekali pun ditemukan  keluhan atau rungutan daripada anak muda yang sudah memiliki 2 orang cahaya mata ini. Sepanjang perjalanan Akmal menampilan mood "Cool" sahaja. Terasa bagaikan famili sendiri. Alhamdulillah, Allah ketemukan kami dengan mereka. Tahniah Kachio Holidays berjaya memberikan servis cemerlang!

       Tambah melucukan pabila kekawan bertanya berkaitan harga tiket masuk ke tempat-tempat lawatan. Tiada jawapan yang mampu diberikan. Untuk memaparkan dalam coretan kembara di sini pun tidak berdaya mengongsikan. Maaf tersangat! Semua hal tiket diuruskan Akmal mewakili Kachio Holidays kerana termasuk dalam pakej. 

          Penghargaan jua kepada Akmal dan 3 sahabat kembara; Mama Hasnah, Rahimah dan Rohaya yang banyak berkongsi foto indah untuk blog ini. Tidak lupa terima kasih kepada pemilik asal beberapa foto menarik yang dikongsi daripada pengkarya-pengkarya hebat. 

          Karya "Aku Tiba Akhirnya" adalah sebuah perkongsian pengalaman yang berbulan-bulan untuk menyiapkannya. Asyik tertangguh sahaja kerana urusan kehidupan dan belum dapat semangat meneruskannya. Dalam usia senja 69 tahun ini memerlukan mood happy untuk berkarya. Selagi "Kembara Belum Bernoktah" selagi itulah Opah ni akan terus berpergian dan pulangnya mencoretkan pengalaman untuk tatapan anakcucu Waris Bonda. Insya Allah.







No comments:

Post a Comment