Thursday, September 6, 2012

ZIARAH PERSAHABATAN DARUL AMAN

   Cikgu Hajjah Maimunah dan abang Haji Johar menanti penuh debaran ketibaan kami ke mahligai mereka di Air Hitam, Kodiang Kedah Darul Aman. Setiap jam pastinya kak Munah menyampaikan keresahan penantian dengan menelefon kami. Kepastian hatinya mengetahui di mana kami tika itu. Pasangan pesara guru yang pernah bertugas di SM Perempuan Jalan Pudu Kuala Lumpur dan pesara tentera ini , telah menetap di desa mereka setelah bersara wajib sebagai anggota Perkhidmatan Awam. Usia kak Munah dan abang Jo dalam lingkungan 65 tahun tidak menampakkan keuzuran pada wajah dan tubuh kedua-dua mereka. Pancaran keriangan wajah  di wajah mereka melayan kerenah kami tika bersama , melupakan aku bahawa mereka sebenarnya bukan kenalan karibku, tapi buat Imah.

    3 Julai 2012,  jam 9 pagi Imah memandu kereta ........ dari rumah kakaknya di Manjoi Ipoh. Tiba di depan rumahku Imah melepaskan peninjauan sekitar laman rumah. Aku memetik beberapa tangkai buah longan yang terakhir di pokok untuk dinikmati Imah. Sebelum meneruskan perjalanan aku mambawa Imah ke rumah Aishah , adikku  untuk memperkenalkan Imah kepadanya. Setelah sedia, kami meneruskan perjalanan ke utara. Hebatnya Imah dia memandu dan terus memandu tanpa aku menggantikannya. Oleh kerana kami sudah bersarapan, kami tidah singgah ke mana-mana R&R sepanjang Highway PLUS. Kami bercadang untuk makan tengahari di Kedah sahaja.

     Sampai di Toll Juru aku mencadangkan Imah untuk singgah di kampung temanku di Tikam Batu. Aku telah mendapat maklumat awal daripada Yasmin supaya kami exit Bertam untuk lebih mudah ke sana. Imah menyetujui cadangan, manakala aku pula  dengan penuh yakin aku tahu jalan ke sana. Sebenarnya aku pun tak pasti, tapi kena cuba juga kali ini sebagai detik kekuatan untuk aku hadir lagi pada masa depan dengan visi yang lebih mencabar. Mataku melilau memerhatikan papan tanda jalan menuju Sungai Petani. Alhamdulillah , Allah permudahkan semua usaha. Aku bertambah yakin apabila ternampak Jambatan Merdeka.

     
  Kami menyusuri jalan kampung yang sempit menuju ke rumah Mak Lang Ma. Beberapa kali salam kami tidak disahut lalu kami ke belakang rumah meninjau jika ada penghuni di belakang. Pintu rumah terbuka, aku meninjau di dalam . Terlihatlah Lang Ma sedang terbongkok-bongkok menuju kepada kami. Aku memeluk dan menciumnya kerana lama tak jumpa. Lantaran banyak rasa terhutang budi aku dan Nadia ketika tinggal dengannya sekitar tahun 1981. Setelah memujuk Lang Ma supaya duduk barulah kami memperkenalkan diri. Beberapa kali Lang Ma masih bertanya "Kamu siapa". Kami tak jemu menjawab pertanyaannya.... kerana usia dan keuzuran diri menyebabkan Lang Ma demikian.


    Lang Ma mengajak kami makan tengahari sebab juadah telah siap disediakan oleh menantunya Liza. Tapi kami menolak ajakan deangan berhemah , alasan sudah makan. Kami menghabiskan masa 30 minit menemani Lang Ma sambil menantikan kepulangan Liza. Akhirnya kami mamilih untuk meneruskan perjalanan kerana tidak mahu menempuhi hujan dalam perjalanan. Aku menyampaikan sedekah RM50 pemberian puteriku Azie untuk Tok Langnya. Lang Ma yang berjalan terbongkok-bongkok tetap nak menghantar kami hingga ke kereta .

      Aku cuba menelefon Mah Majid untuk ke rumahnya yang berdekatan dengan rumah Lang Ma (ibunya) Panggilan aku tidah dibalas lalu ternampak Fendi di depan rumahnya. Imah terus memandu masuk ke laman rumah menyebabkan Fendi terpinga-pinga melinatkan gelagat kami. Aku lantas keluar merungkaikan kemusykilan, Fendi tersenyum lebar,"Haaaah, kak Kamariah, ingatkan sapa tadi!". Sofiah dipanggil keluar oleh suaminya Fendi sambil memberitahu kadatangan kami. Mereka pun tinggal berdua sahaja dek kerana berpencen. Kami dijemput masuk berbual seketika di ruang tamu rumah itu. Imah memberitahu destinasi kami seterusnya. Fendi mempelawa kami bergerak bersamanya kerana mereka pun nak ke Kodiang,dan  akan melalui jalan yang sama . Aku menolak dengan pelbagai alasan kerana aku punyai agenda maha penting selepas ini. Sopiah sempat memaklumkan kami temanku itu pergi ke Johor kerana ada perkahwinan. Aku tak hairan dengan kisah temanku.

     Melalui jalan lama ke Sungai Petani, masih kelihatan pemandangan kampung seperti dulu. Kami melepasi  pekan Tikam Batu, aku memberitahu Imah jalan ke kampung Datok K suami Siti Nurhaliza. Kami meninjau tempat makan tengahari sepanjang perjalanan . Ternampak sebuah gerai kampung lalu kami singgah makan mihun sup dan teh ais. Tumpuanku lebih kepada Taman Sri Pinang yang kami temui semasa mencari kedai makan tadi. Selesai makan, kami menuju lokasi penting berpandukan alamat pada diari yang kubawa. Tersilap pulak pada alamat itu tercatat Lorong 3/4... aku panik seketika kerana tiada jalan seperti itu. Imah mencadangkan kami masuk ke Lorong 2/3A. Alhamdulillah...... Allah permudahkan segala urusan dan memakbulkan solat hajatku semalam kerana kami temui rumah nombor 76,Jalan 2/3A.

    Inilah rumah yang telah aku lawati bagi kali ke-3 tapi Allah belum takdirkan aku menemui pemiliknya "Betina" Aku pernah dibawa Fendi dan Sofiah pada tahun 2009 ke sini , hanya berjumpa 2 anak lelakinya. Pada awal tahun 2010 aku datang sendiri tapi sempat menemubual anak keduanya Ramzan. Rumah murah , didepannya ada perabot dan sofa usang , kotor dan tak terurus. Sedang aku  mengambil gambar ,rupa-rupanya jiran di depan rumah memerhatikan gelagat kami. Aku berkenalan dengan jiran tersebut. Dia memberitahu "Suami Betina tu , Rosli sudah lama tidak balik rumah. dah bercerai. Betina tu  kerja kilang. Anak-anaknya bersekolah, petang baru balik. Dia belum kahwin lagi. rumah itu milik bekas suaminya"...  Aku memperkenalkan diri sebagai rakan"betina" tu. Kami meninggalkan Taman Sri Pinang untuk mencari lebuhraya. Aku menyesal tidak mengambil nombor telefon jirannya itu.... Adalah perancangan Allah untuk aku seterusnya, demikian aku memujuk hati sendiri.

     Rahimah kebingungan dengan gelagat aku yang pelikkkkkkk. Akhirnay aku menceritakan kisah sebenar.
Imah ketawa besar.... tak menyangka aku pandai berlakon.  Menyusuri jalan lama ke Sungai Petani, mengimabau banyak sekali memori silam.Ketika berulang alik dari Kangar keTikam Batu, kampung temanku. Tika itu mandi air perigi dan menggunakan tandas lubang yang bertangga tinggi, baunya memecahkan rongga hidung dan jauh pula dari rumah. Itulah prasarana tika itu, mula-mula kahwin orang bendang padi.

     Kami bertanyakan pemilik gerai cara termudah ke utara memandangkan langit mendung menantikan hujan petang, semasa makan di gerainya tadi. Kami memerima pendapatnya supaya menggunakan highway supaya lebih selesa dalam waktu  terdekat itu. Kami exit Alor Setar Utara menuju ke Air Hitam. Telefon kak Munah berdering lagi tanda kerisauan hatinya yang kami tak sampai-sampai lagi. Namun kami mencadangkan kak Munah agar tidak masak untuk kami sebab sudah makan.... Sebenarnya perut kami masih perlukan makanan yang padat,tetapi demi tidak menyusahkan kak Munah kami berbuat demikian.

     Akhirnya pondok Polis Air Hitam kami temui di sebelah kiri Jalan Putera (Jalan lama ke Kangar dari Alor Setar). Dalam tercari-cari antara rumah kampung, yang mana satu rumah kak Munah, tetiba terlihat lambaian tangan seorang wanita ke arah kami. "Hah... itu pun kak Munah, melambaikan tangannya di tepi jalan tu." Imah meleraikan kebuntuan kami. Lega amat hati kerana pencarian nan suspens dah terrungkai, tepat jam 12 tengahari.Kami sudah memijak bumi Kampung Lubuk Pinang, Air Hitam, Kedah. Keramahan Kak Munah dan susminya Abang Jo menyambut ketibaan kami, amat terasa mereka seperti keluarga sendiri. patutlah Imah suka berkawan dengan mereka, teramat frendli.


  

  Teratak pesara guru dan tentera warna hijau serona dedaun pohon palma dan sawah padi di sekitar kediaman nan mendamaikan ini. banyak pokok bunga kesukaan aku dan pokok buah2an yang berbuah lebat dan bertumbuh subur ditanam di keliling pagar teratak ini. Di tepinya sebuah kereta antik "             " dan motor Vespa antik kesayang abang Jo menjadi kegunaannya menghantar cucu ke sekolah dan menziarahi saudara-mara di desa itu.



   Petang itu kami ke Pasar Kerpan di Simpang Empat, mencari-cari bahan masakan malam .Aku inginkan ikan atau apa-apa bahan yang tiada di Ipoh atau dah lama tidak dimakan. Tapi , serupa saja....Akhirnya kami memilih ikan biasa saja untuk dimakan dengan kari ikan masakan Abang Jo.

    Malam pertama di Air Hitam, kami dibawa menziarahi adik kak Munah di Taman Mahsuri, Bandar Darul Aman, Kak Robiah dan suaminya Ibn Hajar. Kami melalui jalan kampung sambil menikmati penorama sawah padi nan menghijau sepanjang jalan dari Air Hitam ke rumah kak Robiah. Sepanjang jalan yang dibina berpuluh tahun dahulu selari dengan parit besar yang dipenuhi air bagi keperluan sawah padi. Anak-anak ikan berlompatan di air petanda belum tercemar lagi air di situ. .

      Di lokasi   perumahan awam kos rendah, tapi amat sibuk sebab rumah kak Robiah adik kepada
kak Munah terletak di tepi jalan utama ke taman itu. Kami berbual panjang sambil abang Hajar menyediakan buah durian, manggis dan rambutan buat santapan kami. Walaupun durian kecil-kecil tapi banyak ulas dan isinya tebal, juga kerana buah durian kampung. Selesai solat malam, kami minta diri pulang ke rumah kak Munah semula.

    5 Julai, Khamis kami berpuasa sunat kerana  Nisfu Syaaban . Pagi-pagi lagi kami bersiap ke Kuala Jeruju, Mukim Jerlun. Di sana ada adik abang Jo dan emak saudaranya  tinggal di perkampungan nelayan. Dalam perjalanan kami singgah dipinggir kunci air yang banyak gerai desa menjual hasil tangkapan nelayan dan menjual makanan. Abang Jo membeli makanan buat buah tangan , manakala aku dan kak Munah ke gerai ikan. Ikan, udang, siput dll amat segar sebab baru tiba dari lautan, dan rezeki para nelayan pada pagi itu. Mereka ramah sekali dan sangat berkerjasama antara satu sama lain semasa memunggah hasil tangkapan .


                                                     

    Menyusuri jalalan kampung yang muat untuk  sebuah kereta , kami menikmati panorama desa nan masih indah kedaraannya. Belum dicemari pembangunan batu konkrit dan lebuhraya melebar. Kampung Jeruju bersempadan antara pantai laut air masin dan bendang air tawar . Rumah-rumah desa yang berselerak , sunyi mungkin awal pagi kami tiba. Akhirnya kami tiba ke teratak kak Hinzun.

 
 Pemilik teratak desa ini ialah Hinzun bte Ismail, beralamat di lot 19, Penempatan Semula Kampung Jeruju,Air Hitam, 06150 Alor Setar. Selain menyediakan Home Stay, kak Zun juga mengusahakan IKS Sos Cili buat pasaran tempatan dan luar daerah jika ada pesanan. Pengalaman menyaksikan sendiri cara memproses sos cili, tidaklah sesukar mana pun. Tambahan pula bagi perusaan IKS desa seperti kak Zun banyak bantuan daripada kerajaan. Khidmat nasihat, bantuan pemasaran product, bantuan penyediaan keperluan bahan dll. Jiran Kak Hinzun pula mengusahakan kuah rojak buah. Harga sebekas kecil RM5. Sos kak Hinzun pula sebotol RM2... huh... murahnya. Kami membeli 10 botol masing-masing buat ole-ole dibawa pulang.


    Seleai solat Dhuha kami ke Muzium Padi , destinasi nan menjadi idaman jika aku ke utara. Sebelum ni aku lihat foto muzium ni di FB Yasmin, memang menarik dan mengagumkan. Masih terfikir hingga ke hari ni, bilalah Perak nak bina Muzium Kelapa pula?... Moga suatu hari nanti menjadi kenyataan.

 

                                                                                                         
 
        Selama sejam kami di bawa berputar di menara muzium sambil duduk menikmati panorama sawah padi dan desa tradisional serta dihembusi kedinginan udara meredup pemandangan mata. Aku terlena    seketika dibuai lamunan semalam, kelmarin, dahulu dan sebelum sejarah diri aku kenali. Tambahan pula kesan berpuasa, keletihan mata meredakan kepenatan berjalan-jalan dimuzium itu.

       Hari masih panjang, waktu berimfak masih jauh dan boleh dipenuhi pelbagai aktiviti. Setelah cucu sulung kak Munah tiba di rumah, kami berlima menuju ke Alor Setar. Walaupun kemungkinan hujan menemani kami sepanjang destani, kami teruskan jua kerana Imah belum pernah ke sana. Banyak perubahan sekitar Pekan Rabu dibandingkan tahun1987, kali terakhir aku menjejakinya. Alhamdulillah... Allah masih beri aku peluang sampai di situ lagi walaupun dengan situasi dan niat berbeza. Dulu aku bersantai bersama keluarga tercinta, tapi kini aku menemani Imah sambil mengisi kekosongan diri.



    Tak banyak berubah senario gerai-gerai di Pasar Pekan Rabu ni, cuma lebih sibuk berbanding tahun 1987. Ramai peniaga daripada pengunjung yang membeli barangan dagangan di situ. Aku mengabadikan dodol, kuih bangkit kelapa untuk buah tangan pulang ke Ipoh  disamping  beberapa kuih keperluan Suhaiz cucu kak Munah. Aku menemani Imah memilih jubah idaman dari sebuah gerai ke gerai lain. Banyak sudah yang dicuba pakainya, namun banyak juga yang tak melekat di hatinya. Syafiq cucu sulung Kak Munah amat berhemah, menampakkan identiti atau jati diri sebagai penuntut sekolah agama swasta di Kangar, Perlis, kerana sabar mengiringi kami. Di hujung jejantas yang kami gunakan , aku terpanggil membeli buah berangan goreng, yang telah lama tidak dirasa untuk dibawa pulang.

      Kami berbuka puasa bertiga kerana Abang Jo dan cucu-cucunya tidak berpuasa. Lazat sekali gulai asam pedas, pari panggang cecah air asam dan sambal belacan bikinan kak Munah. Menambah selera berbuka dengan ulaman yang dipetik di tepi rumah . Jam 9 malam itu aku mengalah dengan keletihan diri yang berjalan sepanjang siang. Imah masih bertahan dapat menemani Kak Munah berbual untuk malam terakhir kami di terataknya.

    Pagi terakhir aku ditemani Suhaiz membeli sarapan  juadah kampung yang dijaja ditepi Jalan Putera tidak jauh dari rumah kak Munah. Sambil berjalan kaki, aku puas menikmati panorama kampung sawah padi yang damai, tapi jalan raya tetap sibuk dengan kenderaan berulang-alik antara Alor Setar dan Kangar. Kami memilih nasi lemak, nasi kerabu, nasi dagang, kuih putu piring, karipaf, pau kelapa dan pulut panggang untuk dimakan bersama pagi itu. Memang enak makan juadah masakan orang kampung dan harga pun murah. Aku menikmati nasi kerabu dan beberapa kuih. Selesai bersarapan kami perlu bersiap untuk ke dusun adik kak Munah pula sebagai menghargai jemputan keluarga mereka.

Rumah Dusun kak Robiah
Jamuan Roti Kuah Durian






Menikmati manggis








                            Kak Robiah (bertudung perang)                                                                                                                   








      Seronok amat tika berada di dusun kerana lokasinya di tepi jalan raya , selalunya dusun jauh di tengah kebun atau berbukit-bukit. Banyak kemudahan di dusun kak Robiah ini, lantaran memang menjadi sewaan kepada peminat Home Stay yang pinginkan panorama dusun. Semua pokok berbuah lebat, terutamanya durian dan rambutan. Selesai bermahabah di dusun kak Robiah, kami dibawa oleh Tuan Haji Shahabudin ke Home Stay miliknya di Guar Napai, Air Hitam Kedah. Memang menarik penempatan di kawasan itu yang merupakan penghuni tanah rancangan FELDA. Kenangan bersama adik-beradik kak Munah amat menggembirakan dan akan kekal dalam lipatan memori indah .

Haji Ibn Hajar pemilik dusun
Home Stay Hj Shahabudin

    Alahai.... sudah tiba di hujung pertemuan kami dengan keluarga kak Munah di Kampung Lubuk Pinang,Air Hitam ni. Pengalaman terindah sepanjang semusim bersama  keluarga adiknya serta abang kak Munah dan keluarga Abang Jo menyimpulkan banyak memori manis. Sukar dibalas atau dilupakan. Aku mempelawa kak Munah bercuti di Ipoh awal cuti sekolah November ni sebelum mereka ke Kuala Lumpur. Mereka setuju sebab cucunya minat ke Lost World of Tambun. Insyaalah, moga Allah jua mempertemukan kita di Ipoh pula.
      
        Jam 1 petang kami meminta diri pulang ke Ipoh . Kak Munah membekalkan buah durian, rambutan dll sebagai buah tangan kami. Aku turut dibekalkan anak pokok nona dan pelbagai benih  sayuran. Sudah kutanam kesemuanya, moga kak Munah dapat menyaksikan pokok-pokok tersebut bertumbuh subur pada kunjungan mereka November ini. Sesungguhnya.... Darul Aman.... memori indah.


      

                                                                                                                                                                    




                                                                                                                                                  




                                                                                                                                                  











                                                          
                                                                                                                                                           


                                                                                                                                                                 
   

Thursday, July 26, 2012

INDRA KAYANGAN MEMORI SILAM

Iwan & YB Mustafa


        Allah nan mentakdirkan aku hambaNya cuma merancang. Tidak terduga pelawaan seorang teman rapat untuk menemaninya ke utara negara dapat menrealisasikan hasrat yang lama tersorok di lubuk hati. Tanpa memikir panjang aku memperkenankan hajatnya sehingga sempurna sebuah kembara di bumi bertuah Perlis Indra Kayangan. Aku mengiyakan pelawaan teman itu demi keyakinan kononnya aku mahir perjalanan ke sana. Allahhuakbar, teringatkan keluarga angkatku di sana, yang tak pernah lupus dalam lipatan hati, anak-anak arwah Kak Asmah Hashim di Taman Sena, Kangar.

        Puteri kedua kak Mah, Salina menyambut riang hajat bertandang ke rumahnya. "Kak, arwah mak pesan, kena berbuat baik dengan semua sahabat emak," ungkapan Salina amat  menyentuh hati nurani ku. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal... Keesokan harinya aku menghubungi Dik Iwan ,adik kepada Salina  memaklumkan bahawa aku ingin menziarah Pak Mail, ayahandanya , yang lama tidak aku temui.

Pak Mail
   Pak Mail rakan karib temanku, pesara Pejabat Tanah Kangar memang ceria selama sepetang bersama keluarganya. Semasa kami tiba , dia tiada di rumah kerana belum pulang dari masjid. Menerjah saja di pintu rumah, aku terlihat senyuman paling lebar Pak Mail yang lama sekali tidak kulihat. Begitulah keceriaan wajah Pak Mail ketika menyambut anak-anakku  setiap pagi apabila aku menghantar anak-anak di pintu rumahnya, sekitar tahun 1981 hingga 1988. Anakku  yang paling dekat di hatinya ialah Nadrah. Sepanjang 2 jam bersama keluarga angkatku ini, Pak Mail berulang kali menyebut, "Dalam banyak-banyak anak cikgu , Nadrah paling lekat di hati saya."

         Apa tidaknya, sepanjang 5 Tahun Nadrah belajar di Sekolah Sains Tuanku Syed Putra Kangar , semusim lagi keluarga Pak Mail mengambil peranan menjaga keperluan Nadrah. Setiap hujung minggu ,datanglah kereta membawa pulang Nadrah ke rumah Pak Mail. Pelbagai juadah disajikan, pakaian kotor dimesinkan, membeli keperluan barangan ditemankan, kesedihan dan kedukaan mereka rongkaikan, umpama anak mereka sendiri. Pada Salina, Nurain dan Iwan, Nadrah bagaikan adik kandung mereka.  Siang tidak berpanjang selamanya.......merantau  tidak menetap  selamanya....demikianlah dengan kami. Tahun1988 kami terpaksa berpindah ke Kuantan lantaran tuntutan perkhidmatan temanku . Namun kami masih berhubungan melalui telefon dan kiriman kad ucapan. Akhirnya aku mengakhiri penziarahan Pak Mail dengan meninggalkan azam bahawa aku akan berkunjung lagi bersama anak-anak dan cucu, insyaalah.

      Rakan kembaraku juga tidak menampakkan kekekokan apabila    
berada bersama keluarga Pak Mail. Tampak macam sudah kenal
lama dengan famili Pak Mail. Imah cekap memandu dari Ipoh hinggalah ke Air Hitam, Kedah, tempat kami  bermalam hari pertama. Malam sebelumnya Iwan menghantar sms meminta kami memandu hingga ke Hotel Putra Palace sahaja. Iwan  menggunakan Pajero ayahanda mertuanya Yang Berhormat Wakil Rakyat DUN Chuping Encik Mustafa sepanjang  kembara kami di Perlis. Aku terkejut dengan jawapan Iwan," Kak, saya akan bawa kak melawat esok. Saya dapat off dari boss." Aku cuba menolak tawaran Iwan kerana tidak mahu mengganggu kerjanya, namun pelbagai alasan yang Iwan berikan petanda kesungguhannya melayan kami bertiga.

     Suspens aku membayangkan wajah Iwan, maklumlah kali terakhir kami bertemu semasa perkahwinan Nadrah Mei 2010. Hujan renyai-renyai  mempertemukaan kami dan melerai kerinduan kepada adik angkatku. Iwan menawarkan kami mengambil sarapan sebelum meneruskan penjelajahan di Perlis. Dalam perjalanan ke tempat bersarapan, Iwan mengakui bahwa ia menantu kepada YB Chuping. Jadi mertuanya adalah bossnya juga yang  membenarkan Iwan menguruskan kembara kami dan menggunakan Pajeronya. Aku terkejut juga,sebab memang tak mengetahui siapa mertua Iwan kerana sepanjang kami berhubungan dalam facebook tiada maklumat sedemikian. Persinggahan kami yang peertama di Restoran Sarang Burung yang terletak di Jalan Kaki Bukit. Semasa turun dari kenderaan dan melangkah masuk ke restoran , semua mata tertumpu ke arah kami.. hairan juga.... Tapi aku tak hiraukan kerana tak sabar-sabar nak lihat menu yang disajikan... lapar.

                                                                                                 

      Sedang khusyuk menikmati juadah, pengurus restoran itu membawakan Buku Pelawat untuk kami merakamkan coretan. Saling berpandangan kami bertiga, kehairanan.... macam VIP jadinya. Sambil menikmati nasi campur kerabu jantung pisang, kerabu daun kaduk , kerabu mempelam, SomTam (kerabu betik) dan ikan bakar, tetiba terfikir juga jawapan kepada buku pelawat itu. Yalah... menantu siapa yang memandu Pajero dan pemandu pelancong kami.... Pajero siapa ..... "Menantu YB" Alhamdulillah. Bertambah-tambah pula kelazatan makan di situ dengan keramahan pekerja restoran  serta ada yang menawarkan diri  menjadi jurugambar kami.

Gua Kelam



     Hujan merenyai sepanjang perjalanan ke Gua Kelam. Pembangunan     prasarana oleh kerajaan negeri sedang rancak di sana sini. Ke mana
sahaja Pajero dipandu menyerlah pemandangan kawasan hutan nan
masih dara, belum ternoda dek pembangunan. Asyik bersembang , tau-tau dah tiba ke destinasi yang cantik pemandangan, dikelilingi desa, ladang
mempelam dan sawit. Gua Kelam . Tiada pengunjung, menguatkan telahan
aku bahawa tempat itu sedang dalam pengubahsuaian seperti yang ku dengar dari berita Tv beberapa bulan lalu.Hanya kami bertiga, namun kami tetap manaiki tangga untuk merakamkan  gambar , kenangan bukti kami tiba di sana.  Aku tidak terasa terkilan tak dapat menakluki Gua Kelam kerana semasa Nadrah belajar di Sekolah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar , aku dan anak-anak pernah ke sini




Gerai Pakaian
Perjalanan kami terus ke sempadan tanah air pula. Apa lagi Padang Besarlah. Rahimah dan kak Munah menampakkan keceriaan sebab .... macam pelancong lain lah "Shopping". Aku memang tidak berniat  demikian lantaran budget tak membenarkan berbuat begitu. Kami melalui kampung,  ladang getah, sawit dan kebun buah-buahan.Tak banyak barangan jualan yang menarik untuk aku berbelanja. Rahimah dan kak Munah masing-masing memilih pakaian untuk diri dan cucu. Aku memilih kekacang dan makanan kering untuk puteriku Azie yang gemar mengunyah sambil menonton Tv. Tambahan pula Azie  memberikan aku RM200 untuk berbelanja.  Pemberian nan mengetuk hati nuraniku sebagai seorang ibu.
                                              
Ladang Tebu Chuping
        Kembaraan kami dipandu Iwan melalui ladang tebu di Chuping
ke kediaman bapa mertuanya di Chuping . Kami dicadangkan
bersolat sambil berkenalan dengan famili mertuanya yang belum
pernah ku kenali sejak Iwan berkahwin. Luas amat ladang tebu, tapi kami sependapat itu tidaklah macam ladang tebu pun , macam sawah padi je. Bezanya sawah padi ada batas tapi tiada di ladang tebu. Pokok-pokok tebu  yang ketinggiannya ke paras pinggang aku, memenuhi semua sudut  pemandangan di sepanjang jalan yang kami lalui. Terasa kami berada di ladang gandum di luar negara .


       Iwan membayangkan sedikit tentang kediaman bapa mertuanya          
yang disebutnya, "Rumah pak mertua saya rumah kampu ngbiasa je. Dia suka low profile." Aku kurang percaya, manalah ada YB yang mahu duduk di rumah kampung. Akhirnya kebenaran kata-kata Iwan terbukti. Kami disambut oleh isteri YB, Wan Zuriati bt Ibrahim. Senyuman nan melebar dan keramahannya mempelawa kami masuk ke rumahnya, membuatkan kami hilang malu. "Ewah, macam berkunjung ke rumah arwah kak Asmah saja," bisikan sendiri.  Ya, memang semuanya sederhana, aku kagum menemui seorang pemimpin yang berjiwa sederhana begini. Ada juga orang-orang kampung yang datang berjumpa YB semasa kami di sana. Dengan senyuman dan kelembutan bahasa YB melayan tetamu tersebut.

        Selesai menunaikan hajat dan bersolat, kami disajikan teh susu serta kuih kampung. Kami mengakhiri pertemuan penuh kemesraan dan berjabat salam.  Kini Iwan menukar pelan dari terus ke rumah ayahnya Pak Mail, kami dipandunya ke kuala Perlis pula. Sesiapa saja menyebut tentang Kuala Perlis, maka akan terlintas di kepala masing-masing laksa dan ikan bakar . Perjalanan lancar hingga tak terasa masa kembara kami sudah menghampir senja. Banyak jalan baru yang tak pernah ku lalui ketika merantau di Kangar dahulu. Oh, Kuala Perlis... kita bersua lagi, Alhamdulillah.
                                                            
        Hujan semakin lebat pula semasa tiba di Restoran Kak Su               Laksa. Jika ada yang bertanya cara nak pergi ke Kedai Kak Su
Laksa, sampai semput pun aku tak ingat. Iwan memandu sambil
bercerita tentang pembangunan di Kuala Perlis sejak pemerintahan
MB Shahidan Kassim. Kedai ini di hujung jalan atau jalan mati.
Walaupun tersorok namun pengunjung tetap ramai menjamu selera
di situ. Melihatkan banyaknya kereta dan motosikal yang diparkir
di luar kedai, yakinlah aku memang terbaiklah laksa Kak Su ini.


      Nyum....Tu dia laksa Kak Su. Mi laksa segar di proses sendiri daripada tepung beras. Kuahnya pekat, banyak isi ikan,  dan terasa kesegaran ikan kerana daripada ikan segar dari laut sekitar Kuala Perlis.
"Tak pedas, tak kawlah." komen Imah dan kak Munah. Tapi aku lain pula."Waw best , tak pedas , kurang masam ,ya menepati cita rasa." Aku membelek-belek pulut udang atau pulut panggang yang comel rupanya. Iwan memberitahu pulut itu dimakan dengan laksa , amalan biasa peminat laksa di situ.

  
Laksa & Teh O Ais
Pulut panggang di potong kecil-kecil lalu digaul bersama laksa,    
barulah dimakan. Demikianlah cara makan laksa pulut udang.         
Aku memilih menyuap laksa disulamkan pulut udang. "Waw....
sedapnya!...." Ditambahkan lagi suapan kuah laksa lagi terasa
keenakan laksa kak Su Kuala Perlis. Aku jarang menyukai laksa
tapi jika kuahnya ngam.... dua mangkuk pun aku boleh selesaikan
dalam satu masa. Antaranya laksa kesukaanku adalah yang dimaak
oleh Mak Encik Saadah, ibu saudaraku dan adikku Aishah.
Kekadang aku masukkan cucur udang dalam laksa.... Cubalah
pasti menjilat bibir. Kali ni Iwan memenuhi hajatnya membelanjakan kami.  

       Meredah hujan renyai_renyai-renyai kami dibawa ke bengkel                  
Mini Putrajaya
kereta milik Iwan di Simpang Empat , semasa perjalanan menuju
ke Taman Sena Indah, Kangar. Terlupa aku merakamkan gambar di situ sebab aku tidak turun kereta, keletihan konon. Kemudian kami
menghala ke Kangar. Aku terpukau melihatkan sebuah kompleks
jabatan persekutuan, yang turut menempatkan pejabat kerajaan negeri Perlis. Iwan memberitahu,"Pak mertua ofisnya di sinilah." Sudah bagus amat Perlis kini, banyak perkara ,pemandangan, pembangunan baru yang belum aku ketahui. Syabas... Perlis Indera Kayangan!

     Menghampiri jam 5 petang barulah kami tiba di rumah Pak Mail.
Tiada penghuni menyambut kami kerana Pak Mail masih di masjid manakala Salina masih di rumahnya yang tidak jauh dari rumah  bapanya. Kemudian muncul seorang gadis manis, anak Salina rupanya, melayan kami semenrata menanti ahli keluarga lain pulang. Kemudian pulanglah Pak Mail dengan penuh girang menerima kunjungan kami. Salina kemudiannya menyusul bersama suaminya Azmi . Iwan memandu Pajero keluar menjemput pulang isterinya dari tempat kerja. Perbualan semakin rancak antara kami. seolah-olah macam keluarga jadinya.


     Pak Mail menceritakan kisah keluarganya di Penang. Dia banyak bercerita tentang  roti bantal."Cikgu kena rasa, buatan tangan ni. Saya bawa dari Penang, " Penerangan Pak Mail menunjukkan makanan kesukaannya itu walaupun jauh akan dicarinya. Salina menghidangkan kami roti bantal dengan kuah durian... Waw! Kegemaranku, tapi aku makan roti sedikit saja sebab kekenyangan laksa. Tetapi aku menceduk kuah durian dimakan seperti bubur, barulah "kaw...kaw", sebagai menghargai tuan rumah menerima kunjungan kami. Tetiba aku teringakkan arwah Kak Asmah. Di ruangan inilah kami menonton tv sambil berbual-bual , mengimbau kenangan semasa arwah memelihara anak-anakku. Mendengarkan cerita arwah membuatkan kita asyik... asyik, lalu terlupa masa nan berlalu begitu pantas.

           
    Di rumah inilah Nadrah sering berulang-alik pada hujung minggu sewaktu outing, ketika dia menuntut di SM Sains Tuanku Syed Putra, Kangar. Keliling rumah ini dipenuhi tumbuhan subur kebanyakannya kategori herba, bekas tangan arwah kak Asmah. Pajero pacuan 4 roda yang membawa kami menjelajahi sekitar Perlis hari ini, memang selesa untuk kami 4 orang . Setelah memunggah semula barangan , kami pulang ke Air Hitam kediaman Kak Munah.

                                              Berat hati meninggalkan Kangar.... lantaran aku belum lagi menziarahi makam arwah Puteraku  Nasran. Aku pasti akan datang lagi..... suatu hari nanti.... insyaalah.                  




  


   









                                                      


      
                                               



    


Saturday, June 30, 2012

Keringatku.. Bicara Hatiku... Bersemadi di Kebun Pesara (siri 1)



    Sesiapa yang melalui Jalan  Chepor Indah 44,  pasti terjuling mata mereka lantaran tarikan megnet bunga-bunga raya dan  ros jepun yang kembang mekar nan pelbagai warna mulai jam 9 pagi.Turut menggamit perhatian para pengguna jalan itu ialah lambaian manja dedaun pisang dan petikan jarijemari dedaun pokok sukun. Setia menyambut kunjunga tamu ke sini si pokok cempedak, pokok limau dan bunga siantan dan banyak lagi.


Entrans ke Kebun Pesara
Pohon bunga raya meneriahkan pagar kebun
Laluan masuk kebun Pesara tahun 2007
Aliran anak Sungai Chepor
     Melangkah saja ke dalam kebun, akan terdengarlah  kicauan sang unggas  meriah  berterbangan menikmati buah-buahan dan tumbuhan di situ. Alunan muzik alam ini diselangi nyanyian  burung-burung terkukur di tebing sungai . Mata pengunjung pastinya terpukau menyaksikan air sungai nan mengalir penuh kelembutan serta dapat melihat aksi akrobatik hidupan air... anak-anak ikan . Jika menapak ke dalam sungai ketika bukan musim hujan, airnya cuma ke paras lutut, sebaliknya di musim hujan hingga ke paras dada. Pada hujung minggu lebih ramai peminat "Galeri Alam" ini datang mamancing, manjala atau mamukat ikan. Talapia, ikan putih, haruan dan spesis yang aku pun tak faham namanya bebas hidup di habitat yang masih dara  ini.

       Lama sungguh hayat topi yang digunakan, sejak tahun 2007. Cuma boot hitamku sudah berlubang  lalu ditukar kasut baru Mei lalu.Tshirt dan seluar kebun... koleksi pakaian sukan anak-anak yang mereka tak gunakan lagi , yalah mereka dah dewasa. Kena pakai 2 lapis Tshirt kerana terlalu terik cahaya matahari, akibatnya kulit ku semakin menggelap kini.  Tuala kecil pun kena 2 helai, satu di kepala dan satu lagi keliling leher untuk menyerap peluh. Huh... peluh bekerja di kebun ni rupa-rupanya  jika dikumpulkan boleh dapat sebotol 1 liter,bagi tempoh jam 8.15 hingga 11.30 pagi. 2 liter air beku yang dibawa pasti cair dalam masa 10 minit diletakkan di meja di bawah pondok. Kekadang tak cukup air jika cuaca terlalu panas.  Apa lagi , aku merendamkan kaki di dalam air sungai nan sentiasa dingin. Tiap kali berendam kaki, terasa lapang kepala, macam ia kosong tanpa sebarang memori atau sifar masalah.

           Cuba lihat asal-usul kebun ini, gimana ku dapat kederat dan kekuatan untuk membersihkannya sehingga menjadi sebuah tapak untuk menabur bakti kepada bumi Allah ini. Teman hidupku hanya memandang kosong sahaja, pada setiap kali aku meneroka tapak ini berseorangan dengan berbekalkan sebilah parang panjang dan sabit rumput.  Ada juga petanda sokongan daripadanya, dia paling suka MEMBAKAR himpunan rumput dan pokok-pokon yang telah aku potong. Aku jadi "Badangnita" mungkin kerana temanku tak berminat berkebun sebab dia dibesarkan sebagai pesawah kot. Aku bersyukur kerana ibu bapa dan opahku pernah ketika aku kecil dulu membawa kami adik-beradik berkebun di Bagan Datoh. Maknanya "Strong Determination" mengatasi "Hard Burden" .

                     


       Sejarah awal penerokaan tapak kebun ini dilakukan oleh Wak Idris, seorang pekerja Indonesia yang aku upah awal tahun 2006 .Ketika itu tiada laluan masuk  ke kawasan ini, hutan seluruhnyanya dan sungguh menakutkan. Keluasan tapak asal yang dibukanya 30 meter persegi yang merupakan  rintis untuk aku meneroka kawasan sekelilingnya  dan  aku buat bersama keluarga, gitu harapanku. Memulakan tanaman kami ialah pokok buah-buahan yang asas sepeti pokok kelapa, pisang, nangka, cempedak, rambutan dan tumbuhan herba. Tika itu aku masih bekerja, hanya selepas jam 5 petang dan hujung minggu baru aku boleh berkebun. Hairan bila difikirkan.... tak penatkah? Pagi kerja hingga jam 5 pm, balik rumah memanaskan lauk-pauk yang dibeli semasa di sekolah untuk makan malam. Lepas itu ke kebun.... dari mana datang segala tenaga .. semangat juang...idea...  Aku pun tak mampu mencari jawapan. Allah maha mengetahui , ada perancangan dan persediaanNya untuk masa depan aku rupanya . Alhamdulillah ... lagi kasih aku kepadaMu.

     Terima kasih anak-anakku Azie, Yumi dan Ala yang pernah bersamaku di peringkat awal menrealisasikan idea berkebun ni. Mereka suka memetik buah-buah  rozel yang ditanam di tebing sungai. Teramat banyak buahnya hingga dapat kami kongsikan kepada jiran-jiran sebagai tanda perkenalan dan memulakan persahabatan. Sewaktu cuti semester sekolah, lama jugalah  anak-anak menemaniku berkebun. Pabila mereka masuk semula ke asrama, maka tinggallah aku keseorangan. Adalah  temanku  tapi di mana dia?   Sibuk entah ke mana, surau konon....walau pun pencen banyak masa terluang  ....... Aku memujuknya untuk menjaga kebun hasil usaha anak-anak  , lama baru dia menerima cadanganku. Alhamdulillah.

      Lama kelamaan temanku itu  sudah menampakkan minat berkebun dengan usahanya membersihkan hutan di sekitar kebun kami. Dia membelikan Yumi pancing untuk digunakan pabila Yumi balik bercuti hujung tahun. Pernah Yumi memancing ,ikan tak dapat tapi mata kail tersangkut di pokok seberang sungai..ha...ha... Banyak sudah anak pokon yang dibeli dan ditanam oleh temanku  . Kebun kami semakin luas hingga melepasi 4  lot rumah bunglo . Ramai pulak kekawan temanku ini yang meneroka reserve sungai berdekatan kebun kami. Akhirnaya kami dikenali 'Pekebun Pencen" . Temanku sudah mula menjual hasil taninya serai, lengkuas, daun limau purut dan  pisang, ke "Kedai Keluarga "milik Encik Azhar, rakan karibnya. Aku menambah pendapannya dengan membekalkan bunga kantan untuk dijual. Pendapatan yang menjangkau RM60 seminggu cukup untuk temanku ini menjamu selera digerai Yob di seberang taman kami, selain duit poket  dan duit rokoknya.

Nangka madu
    Benar kata pepatah.."Kita tuai apa yang kita semai". Menikmati keenakan buah nangka madu yang pertama amat teruja  . Buahnya tak besarmana pun  tapi isinya banyak dan tiap ulas isinya  tebal berwarna kuning kunyit.Tidak termakan kami berdua buah nangka ini. justru jiran-jiran terdekat pasti dapat merasa sama . Tika ini adikku Aishah masih tinggal di Grik , cuma hujung minggu baru mereka dapat menikmati buah yang aku simpan uktuk mereka sekeluarga. Melihatkan banyak pokok sudah berbuah,lebih-lebih lagi 8 pokok betik yang berbuah lebat , aku pernah membawa Penolong Kanan sekolah Fair Park ke kebun ini. mereka suka dengan senario di situ malah memetik sendiri buah betik dan ulam-ulaman untuk dibawa pulang.

 
       Memikirkan baja yang sesuai memang tak perlu pening kepala. Kenalanku   seorang wanita Cina yang menjual baja merupakan penasihat tetapku malah pernah kubawanya  ke kebun untuk meninjau situasi dan memberi pendapatnya. Baja campur N5P5K10 menjadi pilihan tetapku supaya pokok cepat berbunga dan berbuah. Disamping itu baja organik asli "najis ayam" aku gunakan untuk tumbesaran pokok. Setiap kali bertandang ke kedai tani, 2 guni baja yang dipesan pasti menuntut RM300 dikorbankan untuk tumbuhan di kebun dan laman mini di tepi rumah.

        Hujan.... amat membantu untuk menyiram tumbuhan yang ditanam,tapi kekadang memerangkap aku  sehingga basah kuyup kerana tidak sempat balik . Aku berjaya mengumpulkan sekitar RM400 untuk menempah sebuah dangau murah dari kedai logam di taman ini. Rahmat Ilahi, aku tidak perlu lari balik ketika hujan atau tidak lagi duduk di tunggul pokok ataupun menumpang teduh di bawah pokok. Semuanya dipermudahkan dengan dangau kecil yang kelihatan  pelik rekabentunya ini. Sebuah meja kecil diletakkan di dangau  untuk
memudahkan kami meletakkan barangan dan tempat bersarapan tiap pagi. Inda dan Ira, anak buahku suka bersantai di dangau ini sambil menikmati bekalan makanan yang dibawa oleh emak mereka.

       Sebelum bulan ramadhan 2011, banyak sayuran yang ditanam dikebun. Aku mencangkul sendiri batas sayuran. Sehari dua batas sepanjang 10 kaki dan lebarnya 2 kaki mampu kucangkul. Allah memberikan aku tenaga yang super sepanjang berkebun  sebagai pelali kepada "segala kemelut " yang ditanggungi. Sayuran yang ditanam mendatangkan hasil yang menggembirakan dan menjadi penyuntik semangat untuk terus berkebun. Sekali lagi jiran-jiran dan kenalan-kenalan yang singgah ke kebun dapat berkongsi hasilan ini. Alhamdulilah.

            terung panjang                                         kailan                                           lobak merah



 Jagung                                  Labu Air

Keasyikan  menjaga anak ku Nadrah dalam pantang dan menatang cucu kedua Daria Aleesa menyebabkan pokok sayuran di kebun semuanya merajuk. Selesai aku mengasuh Daria selama 3 bulan,aku menerima kehadiran cucu ketiga seorang   putera pula, Izz Faris  pada Disember. Justru bergandalah merajuk pokok-pokok di kebun. Akhir Mac  anakku Nazmi pulang ke Wellington setelah sebulan balik bercuti di rumah, barulah aku dapat menjengah semula di kebun. Banyak sekali perlu dirombak, layout kebun, tanam semula pokok , membaiki tebing sungai di kebun yang runtuh akibat arus sungai nan deras dan banyak lagi yang perlu aku fikirkan serta selesaikan.

Momot kemanjaan Nazmi
     Nak tahu rahsia kemaksimum staminaku  tika berkebun?     Nah... Teman setia yang sentiasa menemaniku di kebun. Setiap pagi dan petang Momot menantiku di pondok untuk mendapatkan nasi  ikan rebus . Nampak saja kereta berhenti, suara Momot dah kedengan dengan manjanya. Tuhan hanya meminjamkan temanku sementara.... Momot telah diambilNya setelah sebulan menghidap pneumonia. Walaupun telah menerima rawatan doktor haiwan, Momot tetap pergi...... Kini aku keseorangan meneruskan aktiviti...

     Kekadang adikku dan anak-anaknya datang, sambil makan kami  berbual. Kenalan juga ada yang datang berhajatkan buah sukun, serai, lengkuas  atau sayuran kampung. Ada juga yang datang menjamu mata melihatkan pemandangan di pinggir sungai. Tidak dinafikan ada juga yang memandang " sinis" ke arahku  yang berpakaian macam nyonya kebun sayur... kotor... Itu bukan alasan untuk aku tunduk dengan "onak , sindiran, keperlian dll kata negativ insan-insan nan tak sihat minda. Diri aku milik aku, susah senang sendiri tanggung,Allah sentiasa bersamaku walau di mana berada ;  pedulikan.....

       Bercerita tentang kebun pesara ini belum tiba ke noktanya selagi aku bernafas. Ada banyak lagi ingin aku titipkan dan kongsikan buat tatapan insan yang sudi meneroka pengalaman seorang peneroka wanita yang meniti hari-hari pencennya. Semoga anak cucuku dapat menikmati coretan hati  ini apabila aku dah tiada . Insyaalah .                              



    Kisah Berbudi di bumi Allah.... suatu anugerah  buat insan sepertiku. Lama dah tak mengUpdate kisah kebun ni... Jun 2014 nak sambung lagilah  citra para penghabitat kebun di pinggir Sungai Kuang. Aku bermulakan dengan  foto-foto sepanjang tahun 2013.... Natrah tinggal denganku sejak 2011 manakala Izz Faress pula sejak April 2013. Merekalah paling suka memeriahkan kebun ini pada waktu pagi dan tika pokok mangga berbuah lebat.


 
20.10.13 memungut buah mangga di kebun


        April Tahun 2013 tugasan di kebun hanya pada hujung minggu Sabtu dan Ahad sahaja, lantaran mengasuh 2 orang cucu di rumah, Natrah dan Iz Farees. Banyak pokok sudah mengeluarkan hasil terutamanya nangka dan cempedak. Bunga kantan, pisang, serai dan daun limau purut boleh dijual di kedai Keluarga, dapatlah membeli baja untuk kebun ni. Jika ada saudara-mara dan kekawan datang ke rumah, mereka pasti mengajak ke kebun.

Liza Husin anak saudara dari Kedah 29.9.2013

memproses serai Mak Cho jual di teluk Intan

Imah memungut bunga kantan 2013



Bunga kantan sekali pungut tiap minggu

Buah markisa dibuat jus

Jantung pisang

mempelam padi

      Sekitar tahun 2014 banyak pokok berbuah lebat terutama pokok nangka. Aku sudah boleh membaja dan punya lebih masa terluang buat berbakti di kebun ini, lantaran ada Bibik Ton yang menjaga cucu-cucu di rumah.

20.2.14 cempedak terakhir


                  
 8.6.14 mengejar rerama di kebun


          nangka ke 7 sepanjang bulan Mei 2014

 Rezeki terdampar di tebing sungai


Juadah dihantar   Jiran Ina ke  Kebun  

        Lebih 3 tahun mengusahakan kebun ditepi jalan 44 ini, rupa-rupanya menjadi tarikanan  insan yang lalu-lalang malah ada yang berani mencuri buah pisan dan kantan. Ada juga jiran pemilik tanak bersebelahan yang membuang sisa buangan rumahnya di tepi kebun ini. Amir pemilik tanah juga amat berani mananam pokok durian di dalam kebun ini. Bukan sahaja manusia najing liar pun minat tinggal di dalam kebun ini. Kekadang ada beberapa kucing datang menemaniku tika berkebun sebelah pagi. Demi keselamatan.... Jun 2014 aku mengupah Din suami Ning memasang pagar berduri mengelilingi kebun ini. 


PENCEROBOH MOKHTAR  & AMIR 


Mokhtar membuang runtuhan tembok batunya ke kebun

sisa runtuhan Mokhtar

Bahan berbomoh Mokhtar di tepi kebun


pokok durian Amir tanam di dalam kebun kami


WAJAH BARU KEBUN




Laluan masuk ke pondok

Tangga menuruni ke sungai

Laluan ke tepi sungai


BENCANA ALAM

    Pabila hujan lebat di hulu sungai Kuang, maka kebun- kebun di pinggiran sungai ini jadi sasaran rempuhan arus kuat bersama bongkah kayu dan sampah lalu memusnahkan tanaman dan apa saja yang berada di laluannya. 







      Musuh kebun kedua penyangak atau pencuri buah pisang, bunga kantan dll.Apa saja yang boleh dijual mereka kebas semua.... walaupun haram memakannya. Kecurian ini rancak tahun 2014 ini, tetapi sebelumnya tak pernah terjadi. tak apalah.... Allah jua membalas perbuatan khianat mereka.




14.6.2014 curi pisang yang ganas ,musnahkan pokok lain

Laluan curi 14.6.2014

Pisang dipotong terus dari tandan guna sabit 26.6.14

laluan curi sama kali kedua, buka pengikat dawai duri

     Tidak boleh marah, tapi banyak sabar dan memikirkan alternatif yang menguntaungkan diri. Mulai esok 1 Ramadhan semua hasil kebun dipungut untuk dikongsikan bersama jiran-jiran dan keluarga.



      Tika kemarau , musim Al Nino maka terpaksa mengangkut air dari rumah dengan kereta. Penat tu kurang tetapi sakit lutut itu yang banyak. Kesihan kepada makhluk Allah yang banyak berjasa memberikan kami nikmat rezeki, maka giliranku membalasnya dengan menyiramkan dengan air paip dari rumah.

gambar tong air