Friday, July 3, 2015

Labaikallahummalabaik....Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu

     Penantian, pengharapan serta pendoaan melusuri keyakinan diuliti kerinduan   nan memuncak, akhirnya melerai suatu pendaman hati untuk menatapmu Baitulllah Al-Haram. Menghamparkan segunung hajat membawa bersama putera dan puteri-puteri tercinta, Allah makbulkan walaupun cuma bersama seorang putera sahaja, Alhamdulillah. Janji hati, janji jiwa, janji cinta,dan simpulan sanubari akan pasti ke sana lagi memperutuskan 3 puteri, Insyaalah.
Memandang  Baitullah menghayati nikmat
Mensyukuri segala yang Allah permudahkan 
putera penyempurnaan hajat ke Al-Haramain
Nazmi,Fadil,Noriza,Hazwani dan Faizal
      12 tahun mengumpul semangat sejak pemergian ke tanah suci pada tahun 2003 mengerjakan Haji, berterusan memanjatkan doa ,hanya termakbul hajat pada 29 Mei hingga 8 Jun 2015. Pemergian dengan pakej Intifada Travel & Tour menuntut kami menjelaskan RM14 ribu bersama RM1500 wang saku buat kami berdua beranak. Selesai pendaftaran Umrah, aku mengukir janji dengan puteraku Nazmi untuk melebihkan beribadah dan berbelanja untuk menikmati menu makanan Arab serta meminimakan membeli-belah tika di sana. Alhamdulillah, Allah makbulkan. Kami membawa bersama dalam permusafiran ini adikku Norizah serta anak-anaknya (yatim) Hazwani, Faizal dan Fadil .

     Penerbangan Saudi Arabian International Airline dari KLIA mengambil masa 8 jam. Kami check in jam 6 petang 29 Mei dan tiba di Jeddah jam 9.30pm (2am waktu Malaysia). Agak selesa menaiki pesawat Saudi Air ini, yang juga kali kedua buatku. Seat 37F , dalam Flight SV835 berada dikedudukan selari dengan sayap tetapi seat di posisi tengah. Waktu pulang pula seat 48J di posisi tepi tingkap. Jam 12.04am barulah selesai urusan imegresen dan tuntutan bagasi di Lapangan Terbang Jedah yang baru .Dari Imegresen kami dibawa keluar dengan meniki kenderaan khas  bagi kawasan lapangan terbang, menuju ke sebuah bas mini (coaster putih) yang tersedia menanti  di luar entri  untuk kami  ke Mekah. Perjalanan malam bermandikan sinaran cahaya lampu-lampu jalan yang agak  sunyi kenderaan selama hampir 2 jam. Kami dimaklumkan akan menginap di Hotel Baity, hotel 3 bintang yang jaraknya 100 meter dari entri Al-Haram.

     Kami melaksanakan niat Ihram Umrah tika  pesawat terbang  di Qarnul Manazil ,kira-kira 45 minit menghampiri Jeddah setelah dimaklumkan Kepten pesawat melalui pembesar suara. Justru 13 pantang -larang Umrah dipatuhi sepenuhnya...."Labaikallahhummalabaik labaikallasyari kalakalabaik...." Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu yang tiada sekutu bagi-Mu. Demikian lafaz Talbiyah sepanjang perjalanan dari Jeddah menuju ke Mekah.Tarikh 30 Mei,pukul 1.04am kami check in di Hotel Baity, Holy Makkah, Misfalah,Ibrahim Khalil St. Mendiami bilik 1301 paling atas ,bersama Wani dan Iza. Apa lagi.... sambung tidur untuk mendapatkan rehat sebeluam bangun untuk solat subuh jam 3.00am. 3 anak teruna telah selesai tawaf rukun, bersaei dan bertahalul bersama mutawif Haji Ismail pada jam 2pagi.

       Tanggal 30 Mei, jam 7.00pagi- 3 teruna bersama mutawif dibawa ke Tana'em miqat untukiat ihram berUmrah Sunat (Badal). Nazmi dan Fadil menghadihi umrah sunat mereka untuk arwah Tok Muhamad , manakala Faizal menghadiahkan Umrah untuk arwah bapanya Azaha ( mereka berniat sendiri tanpa memberitahu kami). Jam 8.30 pagi , anak-anak teruna memimpin kami mahram perempuan menyempurnakan rukun umrah dengan bertawaf, bersae'i dan bertahalul. Alhamdulillah, walaupun terlalu padat jemaah pada masa itu, para mahram kami mampu melaksanakan tanggungjawab mereka buat julung2 kalinya. Bangganya dan amat bersyukur hati ini dianugerahi seorang putera Nazmi, nan bijaksana mengetuai semua aktiviti ibadah kami sekeluarga berenam  sepanjang 3 hari permulaan berada di Makkah.

        Dalam perjalanan pulang ke hotel , kami singgah menikmati ais krim yang murah berharga 2 Rial di sebuah  gerai yang terletak di kanan jalan .Aku  membeli kebab yang berharga 3Rial buat bekalan makan tengahari di masjid kerana tidak pulang  makan di hotel. Barisan kedai di laluan antara hotel ke Masjidil Al Haram banyak menyajikan pelbagai makanan Arab; aneka nasi beryani, Bukhari, aneka kebab dan sandwich serta aneka minuman... memang laris.

Dapat solat depan Multazam tawaf rukun
Selesai Tawaf Umrah kedua sambil tunggu
                  emaknya solat sunat Tawaf                         

Ramainya jemaah hari pertama kami
Selesai Tahalul Umrah Rukun pd 30,5.15
Ais Krim idaman tika di Malaysia dinikmati setelah
 selesai Umrah Rukun

Kedai Al Samah Ice Cream & Juice
       Memenuhi ruang masa sepanjang hari dari jam 5.00am hingga 7.00pm dengan rutin yang serupa selama diri berada di Mekkah. Demikian rupa menjaga kesihatan dek penangan suhu panas melampau 42C tika siang hari nan panjang selama 14jam. Pancaran sinar suria tika siang hari seumpama semburan kepanasan pengering rambut ke arah kulit tubuh..... .Justru kami banyak raikan masa berada di Masjiil Haram dari jam 2am hingga selesai solat Subuh jam 4.10am ,dari Zohor hingga ke Asar dan dari Maghrib hingga ke Isyak. Keberadaan di hotel hanya untuk bersarapan dan makan malam selepas Isyak. Waktu tidur malam dan rehat di hotel amat sedikit antara jam11pm hingga 1.00am dan pada siangnya antara jam 5pm hingga 6pm. Alhamdulillah, diri yang berusia 60an ni masih mampu bertahan seiring dengan kecergasan puteraku.

HARI KEDUA 31 MEI 2015:
  
         Suhu di Mekah pada hari kedua keberadaan kami mencecah 42C, sinaran sang suria terang benderang seawal jam 5am hinggalah mencecah waktu Maghrib jam 7pm. Memakai 2 lapis sun glass hanya mampu mamandang laluan pejalan kaki sahaja, tidak termampu membuka bola mata memandang ke langit. Bola mata semakin merah dan terasa membengkak. Tekak mula terasa perit, telinga berbahang dan hidung mula membersin sabankali berada di lapangan. Tika melangkah untuk beriktikaf di masjid  jam 1.30am suhu menandai 34C, entah bila bertemukan suhu yang sedikit dingin..(Selepas mendaftar umrah banyak sumber memberitahu bahawa di Masjidil Haram berhabuk, laluan masuk terhad. bising, panas, hotel terhad, jemaah ramai dll..) "Tak mengapalah, ini takdir Allah, aku memilih tarikh kenjunganku tika begini, inilah ujian daripadaNya.... aku boleh,aku amat menghampiriNya, insyaalah," sering  hati kecil berbisik memujuk . 

         Selesai tawaf sunat bersama puteraku Nazmi, kami memilih lokasi beriktikaf yang berbeza. Nazmi di dataran Kaabah manakala aku membawa diri bermunajat kepadaNya di ruang solat wanita di Tingkat 2 yang berselari dengan dataran mataf berbumbung. Ruang solat ini menjadi favourite kerana tidak ramai jemaah yang membawa anak dan boleh memilih menggunakan  askelator untuk eksess ke sini. Jika terlalu ramai, aku memilih menggunakan tangga di bawah perpustakaan masjid . Dalam sedikit waktu sebelum solat subuh di dalam masjid aku sempat melakukan solat2 sunat, mengkhadokan solat2 5 waktu dan mengaji Quran surah Al-Hasyr. Amat menakjubkan..... suasana bingit kebisingan kerja2 pembinaan yang berlangsung 24 jam, tetiba senyap bergantikan laungan azan subuh....tangisan anak2 pun tidak kedengaran, cuma tika solat berlangsung barulah anak-anak ini menangis mengiringi persolatan kami. Terharu melihatkan ibu-ibu muda bersolat sambil sebelah tangan mendukung anak kecil yang menangis!

         Menuruni anak tangga dari tingkat 2 ke tingkat bawah sambil mencelah-celah himpitan pelbagai jemaah lelaki perempuan, tua muda, aneka bangsa; namun Allah sentiasa mempermudahkan semua urusan, Alhamdulillah. Bersarapan di hotel menu Indonesia yang simple dengan menu utama seperti set nasi goreng bersama buah, telur goreng, sosej dan minuman panas serta sejuk, begitulah setiap hari. Kekadang diselangselikan dengan mi segera goreng, bihun goreng dan nasi lemak. Demikianlah takdir Allah rezeki kami di sini.

      Jam 7.00am kami bersiap bergerak ke Tana'em untuk berniat ihram umrah kedua. Nazmi menyewakan van berharga 70 Rial membawa kami pergi dan balik ke lokasi bermiqat ihram. Selesai mendirikan solat Tahiyatul Masjid, solat Dhuha dan solat sunat Ihram di Masjid Aishah di sini , kami pulang ke Al-Haram bagi menyempunakan tawaf, sa'ei dan bertahalul. Hampir 3 jam semua urusan Allah telah permudahkan kami selesaikan. Umrah ketiga bagi anak2 teruna kali ini, mereka menghadiakan kepada arwah Tok Hussin (Nazmi), Opah Cik Esah, Tok Mohd Ayet, Opah Aminah,Tok Mansor dan untuk Opah Zaleha (yg uzur). Terima kasih Allah atas segala nikmat yang Dikau berikan.

Dalam Van ke Tana'im
Coaster tika Miqat di Tanaim Umrah Badal kedua
Masjid Tana'im
Masjid Tana'im Miqat umrah 

HARI KETIGA 1 JUN 2015:
   
          Seawal jam 1.00 am alarm handfon mendering memujuk ke Al-Haram menunaikan tawaf sunat bersama 6 famili kami. Suhu dinihari masih kekal 30C bagaikan berada di Malaysia . Kebingitan kerja-kerja pembinaan menyumbat liang telinga sepanjang masa. Jam 2am sudah memulakan tawaf sunat di dataran Kaabah dengan penuh keyakinan mampu menyudahkan 7 pusingan. Allah mentakdirkan, jemaah semakin bertambah bertawaf, pinggangku mula terasa kejang hingga ke kaki pada pusingan keempat. Aku memujuk anak teruna untuk menghantarku keluar laluan tawaf akibat sudah tidak tertahan kesakitan. Hanya selepas asar barulah dapat disambung semula, itupun bertawaf di tingkat 1 ,yang berbumbung dan tidak ramai jemaaf di situ.

            Jam 7.40am kami dibawa menziarahi lokasi bersejarah tempat Rasullulah dan Saidina Abu Bakar bersembunyi  di Jabal Thur. Kami melewati Padang Arafah yang memaparkan panorama kusam, cuma bangunan tandas2 terbiar dan pokok2 yang kurang subur. Akhirnya kami memijakkan kaki di Jabal Rahmah tika jam 8.24am dengan suhu 37C. Masa nan agak panjang, aku dibawa Nazmi mendaki Jabal Rahmah yang tidak kujejaki tika menunaikan Haji tahun 2003 dulu, Alhamdulillah. Panorama sekitr memang indah, tetapi unta2 berhias sudah tiada lagi. Melayan selera dengan menikmati ais krim kun, yang amat cepat cair selesai kami menuruni bukit.

      Jam 9.48am kami diturunkan di Masjid Ja'aranah lokasi bermiqat umrah, tetapi aku tidah berihram di sini . Hanya menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid dan Dhuha .Kemudian menjinak-jinakkan kaki di sekitar kawasan masjid, mencari2 jka ketemu buah kurma segar dari ladang. Tiada yang indah dibawa pulang ke hotel melainkan kanikmatan beribadah di rumah Allah. Jam 11am tiba di hotel, lalu bersiap ke Masdil Haram untuk beriktikaf sementara menantikan solat Zohor dan Asar. Macam hari2 sebelumnya, membeli kebab buat alas perut makan tengah hari sebelum ke masjid. Kelucuan diri pabila memasukkan bungkusan kebab di lapisan paling bawah beg galas,dilapiskan pula dengan telekung, stoking dan beg selipar untuk mengelak dikesan semasa pemeriksaan keselamatan di pintu masuk masjid. Tetapi jarang berlaku jika melalui pintu ke tingkat 2 depan Library Masjid, kerana petugas lelaki tidak membuat pemeriksaan.

Padang Arafah nan kesunyian
khemah-khemah urusan Haji di Mina 
Jabal Rahmah
16 orang jemaah amat selesa beribadah


Keiginan tahun 2003 terlerai kini
Masjid Ja'ranah miqat umrah
Jabal Nur (turunnya surah Iqra')

HARI KEEMPAT 2 JUN 2015:

        Suhu dinihari jam 1.20am tika melewati laluan ke Al-Haram masih 43C. Mutawif memandu kami menuju ke Hijir Ismail dengan merentas laluan jemaah nan ramai yang sedang bertawaf. Walaupun aku kurang setuju dengan cara mutawif ini, namun terpaksa ikut sebab dia ketua. Lama juga nak mendapatkan posisi terbaik mendekati pintu masuk ke Hijir Ismail... yalah tempat barakah, doa yang cepat diangkat ke langit, impian semua jemaah. Akhirnta dapat jua kami melepasi himpitan jemaah di dalam ruang yang sempit. Mulutku tanpa disedari menyebut-nyebut,"Allahhuyassir wallatuassir robbitim bilkhoir" tanpa henti sehinggalah dapat ruang untuk bersolat. Mutawif dan aku mendinding Nazmi, Wani dan Iza bersolat, kemudian barulah membuat giliran diri, Alhamdulillah. Kami dibawa menyusuri laluan tawaf untuk ke Pintu Kaabah, akhirnya berjaya dengan mudah. Allah telah beri kami ruang nan lapang untuk berdoa betul2 di depan pintu Kaabah, Alhamdulillah. Mengakhiri destinasi sebelum solat subuh  kami berhenti di tempat bekas tapak kaki  Nabi Ibrahim, lama juga menatapnya, puas hati.

        Dek kerana hadir awal, maka Allah takdirkan kami dapat tempat bersolat di dataran Kaabah, ruang solat wanita betul-betul di hadapan pintunya. Selesai bersolat sunat Tahiyatul Masjid,solat hajat, aku membacakan kiriman doa kaum keluarga dan rakan serta jiran . Sempat jua menyelesaikan solat khado 5 waktu di sini sementara menantikan solat subuh. Alhamdulillah... semua doaku selama sebulan sebelum tiba di sini Allah makbulkan. Sempat merakamkan ketibaan imam solat subuh...terima kasih Allah atas segala nikmat yang Kau berikan.

Menyaksikan ketibaan Imam Masjid Alharam (tudung putih)
 dikawal polis untuk solat subuh
Kepuasan selepas semua hajat & kiriman
doa dilaksanakan
Solat subuh dipersada Kaabah setelah  solat hajat
 di Hijir Ismail & Multazam

Hijir Ismail suatu sudut sukar dimasuki cuma 1 pintu 
di kanannya tetapi betapa nikmatnya tika berada di dalamnya

     Jam 8.20am itinerary pakej meneruskan ziarah berikutnya di Muzium Al-Moudi di Hudaibiyah.Kami disambut dengan girang oleh staf di sana. Dibawa melawat sekitar ruang pameran di luar , kemudian memasuki dalam muzium pula. Pelbagai peralatan berperang zaman kenabian ,alatan memasak dan replika Kaabah dahulu dipamerkan.

      Jam 9.00am kami singgah di ladang unta di Mursyadia, Hudaibiyah. Nazmi  membeli sebotol kecil susu unta untuk dirasatnya. Jam 9.40am kami diturunkan pula di Masjid Hudaibiyah yang merupakan lokasi bermiqat umrah. Kami menunaikan beberapa solat kemudian menyaksikan jualan di luar masjid. Rezeki terpijak pula, kami diberikan beberapa buah buku percuma terjemahan beberapa surah Al-Quran serta minuman air mineral. Alhamdulillah.

Masjid Hudaibiyah

Inner Masjid Hudaibiyah
Percuma dari Masjid Hudaibiyah

Muzium Al-Moudi di Hudaibiyah








Panorama di dalam premis muzium

Ladang Unta di Mursyadia Hudaibiyah
Muzium Mekah di Hudaibiyah


HARI KELIMA 3 JUN 2015:
Suhu  jam 1.00am-  Subuh 34C, jam 1.00pm 43C

     Seperti biasa menyelesaikan tawaf sunat bersama anak teruna, tetapi kini dia bertawaf di dataran Kaabah manakala aku di mataf tingkat 1 bersendirian dengan keizinan puteraku. Selesai solat sunat tawaf, aku terus menuju ke ruang solat jemaah wanita di tingkat 2, yang amat selesa. Alhamdulillah, bersendiri tika melaksanakan ibadah amatlah mudah, tak perlu fikirkan rakan lain. Selesai solat-solat sunat dan solat hajat, mengkhadokan solat fardu   lima waktu pula demi memperbaiki solat2 fardu dahulu tika kejahilan diri. Terima kasih Allah masih menerima kunjunganku kali kedua di rumahMu.

       Masih suka memilih  berniat ihram umrah di Tana'im yang dekat dan tambangnya murah. Jam 7.00am hingga 8.00am selesai perjalanan kami ke Tana'im dan kembali lah semula di Masjidil Haram . Bermula jam 8.30am hingga 11.30am  semua urusan umrah ke-3 jemaah wanita selesai dan umrah ke-4 jemaah lelaki. Target 3 jam menyempurnakan tawaf,dan sa'ei memang mencabar tetapi kami lakukannya bagai bersantai. Terima kasih Allah.

       Dengan menyarungkan 2 stoking tebal dan kasut khas untuk tawaf, mampulah tapak kaki bertahan melaksanakan 9 kali  tawaf  rukun dan sunat serta  4 kali sa'ei. Panik mencari stoking tebal sebelum ke Mekah, rupa-rupanya melambak dijual di merata gerai kaki lima sepanjang laluan ke Masjid. 


3 lipisan sarung kaki
Ruang solat Masjid Tana'im Umrah wanita 
Siap untuk Umrah ke 4 Nazmi


Anti habuk semasa tawaf di Tingkat 1
Pembangunan nan rancak hanya berhenti waktu solat
wajah diri selesai tawaf
Bukit Safa mulaan sa'ei
Laluan lampu hijau sa'ei
Alunan tubuh tika bersa'ei
Bukit Marwah akhir sa'ei
Gate 97 King Al Fahad kesukaan
rindu cucu peluk anak Arab
HARI KEENAM 4 JUN 2015:
Suhu jam 2am 38C jam 1pm 47C
      
         Membawa diri ke Al-Haram seawal jam 1.15am untuk bertawaf dan beriktikaf sebelum solat subuh sudah menyebati hati menyerasi tubuh. Alhamdulillah semuanya dilakukan sendiri di mataf tingkat 1 ,manakala puteraku memanfaatkan dataran Kaabah untuk bertawaf dan bersolat. Esok merupakan hari terakhir berada di Mekah, justru sepanjang hari keenam ini banyak masa berada di Masjid Al-Haram. Lebih tenang, lebih selesa, lebih hampir dengan Maha Pencipta dan paling  seronok beriktikaf di masjid daripada berehat di hotel nan panas.. Rutin beribadah dilakukan lebih puas pada hari-hari terakhir gini. Terasa sedih akan meninggalkan masjid ini, entah bila akan datang lagi....tetapi di benak hati masih berbisik  "pasti akan ke sini lagi" insyaalah. Aku merakamkan foto kenangan di beberapa ruang sebagai kenangan abadi buat diri. 

     Tika di hotel berehat sementara menunggu waktu solat Dhuha di Masjid,  pintu bilik diketuk. Pabila pintu dibuka,  terpaku pandangan mataku pada seorang teruna,puteraku. Alhamdulillah, terlaksana jua keinginan ibu nak melihatkan suatu kelainan pada rambut di kepala puteranya tika bertahalul.  Anak teruna pulang ke pangkuan ibunya setelah selesai melakukan umrahnya yang ke-5 dengan kepala yang gondol, botak yang pertama kalinya.. Syukur kehadrat Ilahi, mengurniakan putera yang bertanggungjawab sepanjang umrah ini.

Tawaf sunat jam 2.00 pagi amat menyeronokkan terasa amat mendekatiNya
Selesai umrah kelima barulah botak
kamar 4 orang lelaki


Laluan kesukaan ke Al Haram
gaya melangkah di laluan ke
 Masjid Al Haram tiap hari
Panorama menghala ke Al Haram dari depan hotel Al Baity
panorama depan dan kiri hotel

solat Jumaat 5 Jun  hingga depan hotel

HARI KETUJUH  5 JUN 2015:

       Buat kali terakhir umrah pada musim ini, terasa amat berat nak mengakhiri langkah bertawaf sunat di pusingan ke-7 pada jam 3.10am. Ruang nan lapang, udara nyaman, dan masa masih panjang menantikan solat subuh dan jemaah pula berkurangan, amat menyeronokkan. Namun Allah mentakdirkan segalanya, tetiba perut pula meragam. Sempat juga melengkapkan solat sunat tawaf, kemudian kaki bergegas menuruni tangga menuju tandas yang agak jauh juga . Alhamdulillah, masih diberikan Allah kesempatan dan segala kemudahan bagi meneruskan solat Subuh berjemaah . 

        Memilih pulang ke hotel dengan segera lantaran perut yang masih meragam. Ujian Allah sekali lagi pada subuh ini. Boleh pula tersesat jalan pulang ke hotel.... innalillah. Bertanyakan  kepada sekumpulan Polis yang sedang berbual,"Excuse me sir. May I know which way to Al-Rahjhi Bank or KFC chicken?"..Jawapan yang diharapkan, "No English, Arab, Arab!". Rupa-rupanya bukan ujian Allah, tetapi Allah beri aku peluang mengenali Petugas Keselamatan di Al-Haram   yang sepatutnya Mesra kepada Tetamu Allah. Entah kenapa, entah bagaimana..... tetiba mataku terpandangkan papan tanda Kedai KFC yang tadinya tidak terlihat pun. (Inilah antara banyak nikmat yang Allah hamparkan buatku sepanjang permusafiran Umrah ini). Akhirnya selamat tiba di hotel dengan hati amat sayu.

        Hari Jumaat, jemah wanita bersolat Zohor di hotel kerana memberikan ruang selesa bersolat Jumaat kepada jemaah lelaki. Kebetulan pula Arab Saudi baru bermula cuti sekolah, justru pertambahan jemaah secara mendadak amat ketara. Jam 2.00pm kami menyempurnakan Tawaf Wida (selamat Tinggal). Amat cantik urusan kami, selesai sahaja pusingan ke-7 tawaf, azan Solat Asar berkumandang. Kami segera meninggalkan Masjid untuk urusan check out hotel . Lagi berat kaki nak melangkah keluar dari rumah Allah ini....entah bila boleh ke sini lagi..Air mata berlinangan lagi,  namun aku teruskan berdoa selagi termampu.

    Jam 4.40pm jemmah seramai 16 orang bergerak ke Madinah menaiki coaster yang sama tetapi pemandu yang berbeza pula. Menikmati makan malam nasi bungkus di dalam coaster sahaja namun tetap enak buat penggalas perut .Singgah menyempurnakan solat Jamak Maghrib dan Isyak di Masjid Al-Qadimah yang terletak di tepi highway. Puteraku Nazmi dijadikan imam solat oleh para jemaah ,Alhamdulillah itulah janji Allah buat putera ku. Di sini aku dipertemukan dengan saudara seIslam bernama Ummu Walid penduduk Madinah bersama keluarganya . Dia mempelawa kami ke rumahnya makan-makan dan berkenalan dengan familinya. Kami bertukar nombor telefon, dan hanya beberapa kali menelefonnya menyatakan tiada ruang untuk ke rumahnya lantaran itinerary kami yang padat. Hingga kini kami masih berhubungan.Jam 11.00 malam check in di Hotel Al Naeem tempat menginap di Madinah.
Masjid R&R Di Al Qadimah

anak Ummu Walid Madinah
HARI KELAPAN  6 JUN 2015:

      Bersolat Subuh di hotel sahaja kerana belum tahu jalan ke Masjid Nabawi. Jam 8.00am kami dibawa melawat kawasan Masjid Nabawi dan Maqam Baqi' .Buat kali keduanya aku memijakkan kaki ke dalam  masjid ini, sambil mata memfokus laluan ke Raudhah. Bibir tak putus-putus berselawat kepada junjungan besar Rasulullah, tanpa disedari air mata melilih pilu. Selesai solat Tahiyatul Masjid, solat Dhuha ,dan membaca surah Al Hasyr ,aku bertanyakan kedudukan Raudhah kepada  petugas pembersihan di situ. Tiba-tiba perbualan kami terputus kerana mereka menyuruh aku dan adikku mengikuti sekumpulan jemaah yang dipandu petugas masjid ke Raudhah. (Inilah antara banyak nikmat yang Allah berikan.... baru bertanya arah ke Raudhah, sudah dihantarNya insan untuk membawa kami ke sana). Memang tidak ramai jemaah di Raudhah tika jam11.00am itu. Puaslah kami bersolat hajat, memanjatkat doa diri, menyampaikan salam dan doa kaum keluarga serta sahabat2 dengan penuh ketenangan.Terima kasih Allah

       Sebaik selesai solat Zohor para petugas masjid meletakkan label untuk jemaah wnita berkumpul mengikut bangsa dan negara. Antaranya kumpulan Arab, Pakistan, India, Iran,dll. Jemaah  Malaysia bersama Indonesia dakam kumpulan yang terakhir. Masyaalah !!! dapat disaksikan gimana "kekasaran" kumpulan kaum Arab dll bergerak menuju ke Raudhah. Patutlah jemaah Malaysia dan Indonesia digiliran terakhir kerana kelembutan dan kesantutan masih menebal yang kurang dipraktikkan oleh kumpulan kaum  sebelum ini. Sekali lagi rezeki dapat memijak hamparan hijau Raudah, menghadapkan diri dekat Rasulullah, menghamparkan doa dan hajat kepada Maha Pencipta. Terima kasih Allah.

       Kami makan kebab di dalam masjid sambil menantikan solat Asar. Dalam kedinginan, dalam kesunyian, dalam kedamaian susana masjid ,kami mengabadikan masa sepenuhnya dengan amalan-amalan rutin. Selesai Asar Nazmi membawaku melewati kedai-kedai dan bazar bawah hotel di luar masjid . Kami membeli kebab jeju juadah baru sebagai makan malam. Melepasi solat jemaah Maghrib dan Isyak, aku bergegas pulang ke hotel akibat terlalu letih seharian dan belum lagi melabuhkan tubuh di katil. Justru, ,dengan keizinan mutawif, aku dikecualikan dari urusan ke Raudah bersama ustazah pada jam 10.00 malam itu.
Depan Gate Abu Talib Masjid Nabawi
Suatu subuh

Luar Laman Raudhah
pemisah ruang solat wanita dgn lelaki

 Maqam Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar di Raudah

 setiap kali berada di lokasi karpet hijau ini terasa
diri hampir dengan Baginda

Di karpet hijau  sini kaki berpijak memanjatkan doa
 diri, keluarga serta  kiriman sahabat




di Karpet HIJAU ,Allah permudahkan permintaanku


Menatap sepuasnya tika di laman Raudhah ,Allah
hamparkan buatku mengabadikan kenangan
Gerakan jemmah ke Raudhah selepas solat mengikut bangsa ,
 huh bangsa Arab!
Malaysia & Indonesia
ruang kubah bergerak dibuka  tika solat Zohor

laluan keluar masuk Masjid diletakkan tong Air Zam-zam
Pelbagai gaya penjual jalanan "Melambung bahan jualan"
Jualan longgok selepas setiap waktu solat di luar  gate Affan


HARI KESEMBILAN  7 JUN 2015:

        Solat Subuh di Masjid Nabawi jam 4,26am. Jarak perjalanan kaki nan dekat terasa seronok berulang-alik  antara hotel ke masjid. Jam 7.30am kami dipandu ke Masjid Quba', sebuah masjid besar tersergam. Selesai solat Tahiyatul Masjid dan solat sunat Dhuha kami menuju  ke Ladang Kurma Quba. Tiba di sini jam 8.30am. Kebanyakan ketugas di kedai berbangsa Indonesia yang memang ramah melayan tetamu demi melariskan jualan aneka makanan ringan daripada kurma. Tercari-cari lagi  buah kurma masak ranum yang segar, tetapi hanya diketemukan dengan buah kurma muda. Membayar RM80 sekilogram Kurma Ajwa (kurma Nabi) sebagai ole-ole yang dibawa pulang . Sekitar ladang ini amat subur, ada kolam mata air nan jernih dan sentiasa mengalir.

       Perjalanan kami dihentikan pada pukul 9.00am  di Bukit Uhud tempat berlakunya Perang Badar, Sebuah kawasan makam yang berpagar yang dipasang papan tanda biru dan disiarkan melalui rakaman pembesar suara tentang perkara2 larangan tika berada di situ. Bertentangan dengan makam ini adalah Bukit Uhud yang meriah di daki ramai pengunjung .

        Jam 10.30am kami singgah di Kilang Quran Madinah di Quba. Jemaah berbaris panjang semata2 nak mendapatkan naskah percuma Quran Madinah dan menyaksikan dari luar operasi percetakan Qur'an di sini. Cuma jemaah lelaki sahaja yang dibenarkan mengambil bahagian, manakala jemaah wanita meninjau-ninjau jualan lambak di luar kilang. Iza membawa balik sekilogram buah kurma segar dari ladang, yang memang kuhajati sejak menapak di Mekah. Alhamdulillah, Allah makbulkan hajat menikmati buah segar yang rasanya seperti memakan jambu madu bersama ciku dan baunya pula harum.

      Kami meneruskan musafir ke Masjid Qiblatain atau Masjid 2 kubah. Diberitahu bahawa tika di masjid ini Rasulullah bersolat Zohor 2 rokaat dengan menghadap Qiblat ke Baitulmaqdis. Kemudian turun wahyu lalu baginda bersolat 2 rokaat lagi menghadap ke Baitullah Al-Haram yang menjadi kiblat umat Islam hingga kini.

       Selesai bersolat sunat di masjid Qiblatain, kami berhenti seketika di kaki Bukit Sala' yang menempatkan Masjid 7 atau masjid Sab'ah atau Masjid Khandak. Merupakan gabungan  6 masjid kecil di kawasan ini dan yang ketujuh ialah Masjid Qiblatain. Masih kekal beberapa  binaan asal masjid antaranya Masjid Fatimah Az-Zahra. Terdapat juga disini Masjid Umar Al-Khatab, Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Masjid Salman Al-Farisi,Masjid Ali Abu Talib, dan Masjid Al-Fath (adalah yang terbesar). Pancaran suria amat terik, kami merakamkan foto yang terpenting sahaja di sini. Jam 12.00 tengah hari sudah tiba di hotel untuk persiapan solat Zohor. 

          Kembali menjejaki di Raudhah selepas solat Zohor mengikut giliran kumpulan bangsa dan negara. Terasa masih belum puas berada di Raudhah, dan setia mencari-cari ruang untuk berada lebih lama di situ untuk merasakan lebih dekat dengan kekasih Allah. Alhamdulillah... terima kasih Ya Rabbil Jalill segala  kurniaan, limpahan kemudahan kepada hambaNya.



Masjid Quba


Panorama dalam masjid Quba
ladang kurma Quba
Kolam air dari mata air diladang kurma nan subur di Quba
laluan masuk ke Ladang Kurma
buah kurma muda
Separuh pendakian di Jabal Uhud
View Jabal Uhud

Maqam para syuhadah perang Uhud
Perkuburan Para Syuhadah Perang Uhud
papan tanda perbuatan larangan di Jabal Uhud



Panorama Bukit Uhud
kilang Quran Madinah di Quba


Quran Free
Masjid Fath ,utama dpd 7 buah Masjid  Tujuh / Khandaq di Quba
Antara masjid asal diMasjid  7 di Quba
Binaan asal masjid lama antara Masjid 7 di puncak bukit Sala'


Ketemui idaman hati tika di perkarangan
Kilang Quran Madinah di Quba
Segar dari ladang
1 kg je segar ,ranum terasa buah
jambu madu bersama ciku
Tidak seindah Jus Delima Palestin

HARI KESEPULUH  8 JUN 2015:

       Tanpa disedari kami sudah mencecah hari terakhir keberadaan kami di Madinah. Gate 25 Affan dan Gate Abu Talib adalah kesukaanku untuk ke dalam masjid. Jam 11.00am kami melakukan ziarah terakhir di Raudhah. Gate terbuka luas,  ruang solat jemaah lelaki sudah kosong. Justru itulah pintu laluan ke Raudhah. Peluang terakhir ini kurakamkan foto karpet hijau dan sekitar Raudhah buat pedoman anak-anak cucu yang akan datang ke sini kemudian hari.

        Menantikan solat Zohor dan Asar, aku berlengah-lengah di sekitar masjid, mengabadikan kenangan terindah di sini. Jam 5.08pm kami diarah check out hotel . Coaster yang sama membawa kami bersama bagasi yang berganda jumlahnya daripada masa datang ke King Abd Aziz Airport, Madinah. Setelah selesai Check in bagasi dll pada sekitar jam 6.30pm lalu merayau-rayau sekitar flatform 1 sementara menantikan penerbangan pulang jam 10,00pm. Penerbangan Saudi Air SV828. singgah di Lapangan Terbang King Khalid Riyhad tika jam 1.10am mengambil penumpang . Allah mentakdirkan pengalaman baru buat kami, terpaksa bertukar ke kapal terbang lain kerana ada kerosakan pada pesawat asal. 3 jam penantian, akhirnya selamat menempuhi peberbangan pulang  selama 8 jam ke KLIA yang bermula jam 3.32am (waktu Saudi) dan tiba di KLIA pada 9 Jun jam 5.30pm  waktu Malaysia .Sesungguhnya kehidupan ini terindah tatkala kita bermusafir, percayalah. 

Gate 25 Affan kesukaanku
waktu solat Masjid Nabawi
waktu solat Al Haram
Penginapan di Mekah
Penginapan di Madinah
           Sepanjang perjalanan ini, banyak kenangan ditemui..semuanya kekal dalam lipatan memori. Pabila jemaah berkarenah, banyak menjadi halwa mata, vitamin hati....

Pesawat Saudi Arabian memang mesra tamu


Bas Yoyo dari Hentian Amanjaya Ipoh ke KLIA
Nah ... Hand Luggage pun guna troli
Masa pergi bagasi 7 buah je baliknya bertambah 3
Memakai ihram Umrah di KLIA
Menanti flight jam 10pm di King Abdul Aziz  Airport Madinah
Penerbangan balik ke KLIA seat tepi tingkap


Dalam bas Yoyo perjalanan balik jam 10.00pm dari KLIA ke Ipoh

      Memang hiruk-pikuk sekali ; kebingitan bunyi pelbagai jentera binaan nan rancak berlangsung dari bumbung, dari bawah dari hadapan dan dari kanan ruang bersolat Al-Haram. Tambah dimeriahkan lagi dengan suara tangisan anak-anak kecil yang pinta didakap ibu. Namun semua itu bukan gangguan lantaran semuanya berfokus kepada ibadah sendirian. Tatkala azan berkumandang, semuanya sepi berehat diri ,seperti demi masa menghadap Ilahi , amat keramat moment begini. Selesai sahaja solat... nah semuanya diputar semula bagaikan suatu rakaman rutin. 

        Yang tahan  lasak  berpanas mentari bersolat di dataran Kaabah, ada pula memilih keteduhan kawasan berbumbung berdekataan Kaabah yang memang terhad, siapa cepat dia dapat. Yang suka bertawaf memilih ruang mataf berbumbung di tingkat 1. Yang bawa bersama anak-anak merebut ruang solat khas berhampiran dengan pintu masjid. Jemaah yang amat mementingkan privasi , bersama denganku memilih ruang solat khas di tingkat 2 bersebelahan dengan Library Al-Haram. Jika malam ramai pula yang selesa bersolat di dataran luar masjid hingga ke depan barisan kedai. Para pekedai pula bersolat di depan kedai masing-masing. Yang uzur bersolat di penginapanlah. Demikianlah... bahawa Islam itu Indah.... Sederhana.



   Keindahan dalam Bermunajat Kepada Maha Pencipta, walaupun diulit Konstruction nan rancak berlangsung.



View dari kamar hotel

Laluan ke Masjid Al Haram terdekat dari hotel
View Al-Haram dari tingkat 1302 Hotel Al-Baity 
         Makanan yang disajikan dalam Peswat Saudi Arabia memang terbaik dengan layanan mesra para petugas. Juadah di Hotel Al-Baity yang disediakan oleh tukang masak Indonesia menerima 3 bintang, manakala di Al-Naeem Madinah amat sederhana menerima 2 bintang. Namun juadah makanan bukan keutamaan selera, kerana banyak memilih makanan yang dibeli dari luar untuk dimakan di dalam masjid sudah melengkapkan keperluan diri..

Menu penerbangan pergi
Menu penerbangan pulang
Nasi Arab (Bukhari) kesukaan


Menu sarapan di Hotel Baity


Makanan  malam dalam coaster ,nasi bungkus tika ke Madinah

 Aksesori kembara :
Pemakluman untuk berniat ihram dalam pesawat



INDAHNYA AL-HARMAIN milik tersendiri kepada yang terpilih, tiada bandingannya...


view malam selepas Isyak
Jutaan jemaah setelah solat Isyak 
Tangga di Librari Masjid selesa
untuk  turun naik setiap hari
Hajarul Aswad... kali kedua belum diizinkanNya mengucup
Bekas tapak kaki  Nabi Ibrahim 
Lokasi sukar untuk mencelah gini ragam jemaah
Jam 2.45pm sebelum Asar kepanasan 42C ,demi nan Esa..
Malam ke Dinihari  tiada erti sunyi di laluan ke Al-Haram

        "Asytaghafirrullahillazim"  Sesungguhnya tiada niat terdetik di hati untuk mendabik dada ,beriaksangka, berbangga atau  seumpamanya dengan segala coretan kenangan yang dipaparkan di media ini . Nawaitu hati cuma ingin berkongsikan pengalaman nan sekelumit  sebagai bukti bahawa bahawa "Allah nan Maha Pencipta bumi dan langit ,cakerawala, makhluk dan sekalian alam semesta ini" amat Pemberi, amat Pengasih, amat Pendengar, amat Pemaaf dan amat memahami setiap permintaan hati umatNya. Pintalah, tadahkanlah tangan ,panjatkan doa siang dan malam tanpa jemu, berkeyakinanlah kepadaNya bahawa Allah pasti memakbulkan hajat diri. Yang paling  menakjubkan, kita pinta sedikit sahaja tika di tanah air ini, tetapi tika  di Tanah Haram milikNya; Allah berikan berganda-ganda nikmatNya ,malah tanpa kita pinta pun dihamparkanNya di depan mata. Lalu terasa amat MALU diri kepadaNya, sedih lantaran kurang mendekatiNya sebelum ini, terasa jahil nan amat tidak merinduiNya, menyesali betapa sombongnya diri kepadaNya dan teramat bersyukur masih diberikan peluang oleh nan Maha Esa mengubati virus hati . Amat mengharapkan moga koleksi  bicara hati ini buat menyuntik nilaitambah ketaqwaan diri kepada warisanku, keturunanku  ;4 putera-puteri dan cucu cicit, insyaalah.

     Ya Allah, rupa-rupanya inilah hadiah sepanjang hayat untuk diri sendiri tika menyambut hari kelahiran ke 60 tahun pada Mei 2015. Ameen,