Thursday, March 21, 2013

BEIJING 10 JUN 2010 suatu muqaddimah

    Memendam hasrat sedari kecil   nak  melancong ke negara-negara yang memiliki keindahan alam semulajadi..... kecantikan bungaan.... keunikan lokasi rekreasi dan riadah ..... keistimewaan buah hasil pertanian dan ingin menghayati  keajaiban Ciptaan Tuhan. Bila dah kerja, kusangkan dapat memenuhi segala impian, namun  memenuhi keperluan keluarga menjadi pilihan diutamakan. Berkahwin pula tahun 1980 ..... ku angankan nak melancong bersama pasangan. Oh malang , takdir tidak menyebelahiku. Dia tak berminat , jauh sekali nak bercuti keluar negara. Jangankan melancong ... berbulan madu kami pun dia tak ambil pusing. Tersimpan kemas di  hati..... terhambar segala idaman.... lantas terpendam menjadi sebutir DENDAM.

    Cerita kawan-kawan  yang sering bercuti bersama keluarga tersayang... bersama teman... atau bersama staf sekerja , menyemarak lagi semangatku nak pergi jauh.... menyedut udara baru dari benua baru, destinasi baru. Entah gimana puncanya pada 10 Jun 2010 hati aku terpanggil untuk mengikuti pakej pelancongan daripada kawan ke China. Masa tu aku baru menikmati musim pra persaraan, yang bermula 1Jun 2010. Baru juga menyambut menantu kedua Mohd Noor Azim dan menyambut kelahiran cucu pertama Nur Natrah. Keberanian, kecekalan, ketabahan, kesabaran dan dendam yang lama terperdam ..... sanggup aku tinggalkan puteri sulungku (Nadia) dalam pantang dibawah jagaan bapanya. Temanku merestui pemergianku bersama puteri ketiga (Azie) .Restu yang kumiliki aku manfaatkan sepuasnya merasai kenikmatan percutian ini. Kak Normah serta keluarga, Rahimah, Cikgu Ramlah & keluarga  turut memeriahkan rombongan kami .
                      

Peserta Rombongan Halal Tour
Ketua Tn Hj Alias memegang sepanduk
    

             Seramai 15 orang yang  diketuai oleh Tuan Haji  Alias, kami dibawa terbang dengan   menaiki pesawat Singapore Air Line. Aku bersyukur cita-citaku sudah dimakbulkan Allah.  Kami transit di Singapura selama 6 jam sebelum memulakan penerbangan ke Beijing dengan pesawat China Air pula. Peluang berada di bumi singa kami manfaatkan dengan berjalan-jalan di Geylang untuk menjamu selera sambil meninjau-ninjau panorama Kota Singa yang telah 30 tidak kukunjungi. Aku memilih makan nasi padang bersama puteriku Azie. Ronda-ronda juga di sekitar Bazar Geylang, banyak yang  memikat hati, menggoda mata. Tapi aku tak boleh milikinya  kerana destinasi sebenar belum dikunjungi lagi.


Bazar Kain di Geylang
Bersama Kak Mazni Di Airport

Bersama Kak Normah & Rahimah di Airport

      Tetiba aku teringat akan Cikgu Rahimah Abu Bakar yang sekitar tahun 1980 pernah membawa aku bercuti di Singapura . Aku dan Cikgu Samsiah  telah mendapat layanan istimewa daripada keluarganya yang menetap di sini. Tapi entah di mana mereka kini, gimana keadaan mereka, tak mampu aku jawab lantaran kami telah terputus hubungan sejak 2001 . Semuanya angkara telefon bimbit aku dikebas penyanyak di sekolah. Pemandangan sekitar Airport Kota Singa amat tenteram, pengunjungannya penuh disiplin......terutamanya kebersihan dan beratur dalam barisan memikat tumpuanku.


       Penerbangan selama 8 jam, dipenuhi dengan aneka karenah badan. Adakalanya aku tertidur, kemudian terjaga..... mengeluh pula,"Oh jauh lagi". Menonton video kecil di depan sambil menyulam pandangan mata dengan peta digital pesawat yang menunjukkan lokasi pesawat kami berada. Makanan halal disajikan 2 kali sepanjang penerbangan itu. Aku memilih makanan yang tidak akan mengganggu keamanan perut kerana sukar nak ke tasdas dalam penerbangan ini. Akhirnya kami tiba di Beijing tengah malam , sunyi, dingin dan semuanya seperti nak cepat sahaja.

     Kami disambut Puan Lee , pemandu pelancong dari Halal Tour Agency di Beijing. Kami dibawa ke tempat menginap dengan menaiki Coaster khas.
                                                                            
Beijing Airport Tengah Malam

Coaster 20 penumpang

     Tempat menginap kami  di sebuah hotel di pinggir kota Beijing, tapi dekat dengan restoran hahal.  Pemandu pelancong yang memang peramah dan dan amat  penyabar dengan ragam kami yang usia dari  15 tahun hingga 60 tahun. Banyak tempat dilawati, tapi lokasi membeli-belah menjadi pilihan utama semua peserta. Tiap satu destinasi lawatan memakan masa agak lama kerana jauh. Tempat-tempat lawatan pula sudah ditetapkan dalam pakej selari dengan peraturan kerajaan pemerintah di Beijing. Memang menarik , berpuas hati dan utamanya banyak perkara baru yang aku temui di sana. Masalah utama cuma mendapatkan makanan halal. Justru tempat makan kami terhad, hanya beberapa restoran hahal sahaja yang dikunjungi. Kami  terpaksa memilih makan di sana juga walaupun kami sudah jauh berpergian. 

    Antara restoran halal yang kami kunjungi memang menyajikan makanan yang lazat dan amat mengenyangkan.  Lagi banyak berjalan semakin kerap perut ni lapar.Di tempat orang semuanya sedap!

Restoran Halal


Pemilik restoran


Menu di Steam Boat Restoran.. ada surau disediakan


 
        Alhamdulillah, tempat solat mudah pula diketemukan. Kebanyakannya masjid-masjid tua, sunyi, dingin, tapi amat syahdu pabila berada di dalamnya. Aku terasa amat damai melakukan ibadah solat walaupun dalam  situasi bermusafir.

Masjid 1


Masjid 2



  Kebanyakan masjid di Malaysia indah tersergam, ceria, cantik dihiasi lanskap memukau mata memandang. Berbeza amat dengan masjid di Beijing yang kelihatan sudah lanjut usia, warna suram, kemudahan bilik-bilik ibadah sederhana dan kecil-kecil. Warna dinding bangunan bercirikan alam yang malap. Jemaah tempatan menutup aurat lebih baik daripada diriku. Setiap gerak laku mereka, keramahan  melayani persoalan kami, dan ketertiban tika bersolat, memang  memaparkan kesantunan timur yang tinggi.

Masjid 3


Masjid 4
                                                                                                                             
         Pepohon kayu yang tumbuh subur di sekeliling masjid turut membuktikan usia masjid. Kerimbunan dedaunnya menghalang tumbuhan renek membiak bebas, lalu permukaan bumi masjid ditelanjangi seluasnya. Seni ukiran tradisional China menghiasi setiap bumbung dan sudut bangunan masjid. Hasil seni zaman silam 
ini yang amat memikat hati. Ciri-ciri ukiran bangunan sama di kebanyakan bangunan tua, baik pada rumah ibadat  agama lain, istana raja mahupun bangunan perniagaan.
                                                   
    Destinasi lawatan kami amat banyak, tapi hanya beberapa koleksi foto mampu dirakamkan memandangkan yang lainnya telah hilang semasa aku memformat PC ini. Di Muzium Tembikar hati terhibur dengan pelbagai  koleksi tembikar zaman silam, koleksi terkini, bermotif flora fauna dan abstraks. Di Muzium jade duit melayang lantaran 8 utas rantai tangan sebagai ole-ole buat famili. Pakaian untuk cucu , anak saudara perempuan dan diri turut dibawa pulang sebagai kenangan, semuanya dari beberapa shopping destinasi.. Kami dibawa menonton persembahan akrobatik yang pertama kali kusaksikan  .... amat menakjubkan. Dapat juga menikmati teh jenama Dr Tea yang amat terkenal di China. Di  menara tangga 244 dapat kusaksikan keunikan Tembok Besar China seperti yang kupernah baca dalam sejarah China dan menikmati panorama nan indah sekitarnya.


Kilang Tembikar
                                                                                                          
Kilang Teh

Istana Maharaja China






Muzium Permata, Milik Rakyat Malaysia

Dataran Tiannanmen


Muzium Reflexiologi



Shoping Mall


Shopping Center


                                                                                                                                                       
Wholesales Market


Berjaya hingga ke Tangga 244
????


       Pengembaraan selama   seminggu tidak terasa lantaran padat dengan pelbagai  aktiviti  yang mengisi setiap minit kami berada di sana. Kepuasan berbelanja sakan diterjemahkan dengan membawa pulang cadar, alas meja makan, set katil kelamin daripada sutera, set pakaian  sutera ,bantal tahi ulat sutera dan beg pakaian  dari Beijing. Semuanya  telah melerai kemelut dendam melancong nan berzaman terpendam di lubuk hati. Alhamdulillah, selamat sampai di KLIA dan pulang ke rumah dengan Bas Yoyo yang disewa khas untuk kami oleh penganjur. Aku amat pasti,  yakin penuh...akan meneruskan penjelajahan ke benua lain pula... Yang pasti aku akan ke New Zealand  pada hujung tahun 2012 nanti, sempena majlis konvokesyen puteraku , insyaalah.