Friday, February 14, 2020

BARTAUT KASIH DI TANAH SEBERANG

          Punyalah sukar nak menjadikan nyata hanya mampu menitip rindu saban hari. Akhirnya 19 Mac 2019 berjaya menempah tiket Air Asia untuk terbang ke bumi di seberang Selat Melaka. Ikah anak saudaraku membelikan tiket untuk 2 orang. Pergi dengan berat bagasi kami cuma 20 kg...... Aku keliru. Kenapa 2 orang membawa cuma 20 kg muatan  ke sana. Banyak buah tangan nak dibawa untuk saudara-mara di sana. Bibik menitipkan pakaian baru buat anak menantu dan cucunya. Yanti dan Wati pula ingin sekali kuhadiahkan ole-ole lantaran menginap di rumah mereka. Aduh.... Akhirnya pada bulan Oktober aku bayarkan tambahan berat bagasi menjadikan pergi 30 kg dan pulang 40 kg. Membayar kos tambahan bagasi RM196.00. Ooooo , baru lega untuk travel.


Yanti dan famili di Desa Sudan, Kragen, Rembang
Wati dan Mila anak bibik di Desa Jati ,Subah
        10 Oktober siap kubelikan Insuran Perlindungan "International Tripcare360 Takaful" buat kami 3 beradik. Tika di perantauan, sudah ada skim perlindungan jika ditimpa kecelakaan. Membayar RM180 melindungi 3 orang. Mudah mendapatkan insurans kerana Ashikin kawan setaman menjadi agen insurans. Setiap kali nak melancong, telefon je memberikan imfo tentang trip. Setelah siap menerima dokumen, terus kupindahkan duit on-line ke dalam akaunnya.

         31 Oktober cuma membawa 2 jean, 3 baju jalan, 3 tudung dan 1 baju tidur. Merancang untuk membeli baju tambahan dan jean tika tiba di destinasi. Separuh bahagian beg pakaian diisikan hadiah kiriman Bibik Kuswati. Semuanya makanan berbungkus; Milo, cili kering, biskut kering, pes tomyam dan pakaian buat familinya . Dah siap-siap menimbang bagasi tika di rumah. Woow 27 kg, itu baru  1  bagasi, nasib baik dah tambah berat bagasi sebelum berangkat. Pakaian sendiri aku muatkan di dalam beg Hand Carry.
3 daerah dijelajah , Rembang, Semarang dan Batang
         Seawal jam 3.30 pagi Nazmi menghantar aku dan  Nab ke KLIA2. Memang aku  tidak biasa dengan airport ini, kerana selalunya travel bermula di KLIA. Nasib baik 2 adik mahir dengan lokasi airport di KLIA2. Jam 4.30pagi bertemu dengan  Nizam dari Bagan Datuk di ruang check in bagasi. Selesailah check in yang mudah dan sangat cepat kerana tidak ramai penumpang. Menuju ke Gate L13 terpaksa pula berjalan agak jauh . Akhirnya duduk seketika di Zon 3 menanti penerbangan jam 6.55pagi. Tepat jam 7.00pagi pesawat AK328 menerbangkan kami ke lapangan terbang Bandarharjo Jenderal Ahmad Yani di Semarang. Kami bertiga terpisah tempat duduk di seat 7B dan 7D. Nizam duduk di belakang kerana membeli tiket kemudian. 

       Tiba di airport Semarang jam 9.00pagi. Selesai mengambil bagasi terus menunggu Yanti menjemput kami dengan kereta sewa khas. Jam 10.00pagi Wak Dur tiba lalu memuat naik bagasi kami ke dalam keretanya.  Sewa kereta dari Kragen ke Semarang Rp850ribu pergi balik. Walaupun ada 3 bahagian tempat duduk di dalam kereta , namun terpaksa berhimpit . 3 bagasi memenuhi ruang paling belakang. Ada gembira, ada sedih tika bertemu mereka 4 beranak, adik angkat kami ini. Anaknya Sheila dan Fikri dilahirkan di Bagan Datuk dan membesar di depan famili kami. Dah terasa macam cucu sendiri. Yanti pula berkahwin dengan suaminya Zahid disaksikan famili kami.

Airport KLIA2
Airport Jenderal Ahmad Yani, Semarang



Yanti menerima kunjungan kami
            Perut amat lapar tika tiba di airport. Yanti siap membawa nasi lemak untuk dimakan bersama-sama. Wak Dur membawa kami singgah makan di Rumah Makan Melati, Genuk, Semarang. Menambah kepada menu makan tengahari dengan membeli  telur goreng, ikan goreng dan minuman. Makanan yang dijual di sini agak biasa , ala kampung. Bolehlah sekadar mengalas perut yang amat lapar. Membayar Rp96 ribu bersamaan RM29.00 amat murah. Selesai makan terus menuju ke Desa Sudan, daerah Kragen.

Rumah Makan Melati, Genuk


         Sepanjang jalan Mojowarno, Kaliori dan banyak lagi lokasi  kelihatan hamparan petak berisi garam daripada air laut. Jika sawah padi menghijau pemandangan, tapi di sini memutih sepanjang  kiri jalan yang kami lalui. Garam disejatkan di dalam petak menyerupai petak sawah padi. Di situ ada  didirikan bangunan beratap batu genting lama dan berdindng buluh tempat simpanan garam. Kami melewati replika kuda-kuda putih di Plangitan, daerah Pati. Melalui Pelabuhan Tanjung Mas, Semarang Utara. Terlihat nama-nama jalan dari Semarang Utara ni ke Semarang Barat seperti Tambakharjo, Tawang Sari dll.

       Pemanduan Wak Dur amat menakutkan. Memecut sesuka hati , sama dengan perangai pemandu-pemandu lain di jalanan . Memotong kenderaan lain di lorong paling kiri, walaupun jalan raya di situ cuma 2 lorong. Setiap kali Wak Dur memotong kenderaan lain, Nab beristigfar panjang, amat menakutkan. Aku mengalihkan stress perjalanan dengan merakamkan gambar dan memandang ke luar tingkap. Dengan hanya  membunyikan hon kuat-kuat, kenderaan berat seperti bas atau lori akan memperlahankan sedikit kenderaan mereka. Seolah-olah membenarkan kereta kami memotong.

Tawangsari, Semarang Barat
Bandarharjo ,Semarang Utara
Tanjung Mas ,Semarang Utara
Bintoro, Demak
Plangitan, Pati
Stor Garam Mojowarno, Kaliori
Ladang garam di Mojowarno

Tanjong Mas,Semarang Utara
Tasik Agung ,Rembang
           Setelah melalui beberapa pekan ,kami  dibawa singgah di  Ramayana Mall. Konon nak beli beg kulit dan baju blouse, tapi terbeli jeans sehelai. Barangan kulit yang dijual di sini jauh lebih baik yang dijual di Mydin Meru Raya. Pasaraya 3 tingkat ini seakan Mydin Mall. Wak Dur memberhentikan kami untuk bersolat di Masjid Jami' Darul Solihin , Desa Sudan. Masjid yang masih dalam pembinaan ini hasil daripada sumbangan orang ramai. Dapat disaksikan ada beberapa orang memegang sauk di tengah jalan raya di depan masjid. Orang yang lalu-lalang di jalan akan meletakkan sedekah mereka ke dalam sauk. Seorang jemaah duduk di pondok dekat lokasi sambil membacakan ayat Quran dan lagu-lagu Islamik.

          Banyak yang diceritakan Wak Dur tentang pembinaan masjid di Rembang. Boleh dikatakan setiap desa memiliki masjid sendiri. Walaupun bersaiz kecil namun pembinaannya daripada bahan konkrit dan dihiasi batu marmar memang menarik. Seolah-olah para netizen berlumba-lumba mencari dana menyiapkan masjid di desa masing-masing. Kami dimaklumkan memang sukar mendapatkan pembiayaan daripada pemerintah. Usaha para nitezen mencari dana sehingga siap berdiri megah sebuah rumah Allah, amat mengkagumkan. Jam 4.30pm tibalah di rumah Yanti, setelah 7 jam perjalanan.
Mendepani Laut Jawa, Bonang, Lasem
Bonang, Lasem
sekitar Kongsi (bagan) Bonang, Lasem

Manggar, Sluke
Leran, Sluke
Pelajar Sekolah  menengah
Masjid Jami' Darussholohin



         Satu perkara yang amat mengkagumkan Allah perlihatkan di depan Masjid Darussolihin ini. Menyaksikan beberapa orang wanita memegang sauk berdiri di tengah jalan raya. 2 buah tong merah sebagai pendinding mereka daripada dilanggar kenderaan di situ. Pengguna jalan di situ akan meletakkan wang sedekah ke dalam sauk. Wang kutipan setiap hari dikumpulkan untuk pembinaan masjid tersebut. Terdapat seorang lelaki duduk di pondok di tepi jalan di hadapan masjid. Lelaki ini membacakan ayat Alquran atau berselawat menggunakan pembesar suara. Pasti dari jauh sudah kelihatan dan kedengaran panorama insan-insan mencari dana membina Rumah Allah. Amat menyentuh hati, melihatkan pengorbanan mereka!


Wanita memegang sauk menerima wang
sedekah dari pengguna jalan raya
Rumah Yanti Zahid (adik angkat) di Desa Sudan, Kragan, Rembang
        Jam 5.00pm Sheila menemani aku ronda-ronda sekitar kawasan rumah Yanti di Desa Sudan. Melihat ada majlis keagamaan yang berlangsung di Masjid. Di laluan ke masjid ramai penjaja aneka barang dan makanan. Tercari-cari makanan atau buah yang boleh dibeli, namun tidak menarik minat. Berjalan kaki bersama Sheila dan adiknya Mat Fikri, telah merangsang perhatian nitezen di situ. Sesekali ada yang bertanyakan Sheila sesuatu dalam bahasa Jawa. Mungkin pelik melihatkan ada orang baru di kampung mereka.

Jualan sempena program agama di Desa Sudan



         Menu makan malam pertama di rumah Yanti menikmati udang galah masak cili, ikan goreng, dan sayur campur. Udang galah digoreng separuh masak yang dibawa Izam menjadi masakan pertama Nab di rumah ini. Yanti meminta kami masak kerana Izam sukar menerima masakan Yanti. Menikmati buah mangga yang amat enak. terasa seperti buah mangga Harum Manis Malaysia. Kami bersarapan dengan mangga, minum petang pun bersama mangga. Pokok mangga ini banyak ditanam penduduk dan buahnya mereka jual di pasar.


         Rumah desa 3 bilik milik Yanti tempat kami menetap sepanjang 5 hari berada di Desa Sudan. Walaupun bilik berkatil double dan ada sebuah kipas , namun terasa kurang selesa lena di situ. Memohon keizinan Yanti untuk tidur bersama dengan anak-anaknya di ruang tamu. Dengan 2 kipas diri mendinginkan kami sepanjang malam. Walaupun tidur di atas tilam sahaja, namun kepenatan badan menyebabkan tidur mati sepanjang malam.

      1 November 2019, jam 3.50am dah kedengaran laungan azan Solat Subuh  dari masjid Desa Sudan. Jelas sekali laungan azan bersahutan antara masjid-masjid yang berada sekitar. Indah sekali subuh meraikan kami dengan laungan azan, kokokan ayam jantan dan kicauan unggas yang hinggap di pepohon sekitar . Waktu solat Zohor jam 11.16am, Solat Asar jam 2.40pm, Solat Maghrib jam 5.30pm dan Solat Isyak jam 6.46pm. Usai solat subuh , keluar meninjau sekitar rumah Yanti. Oh. sudah cerah walaupun jam baru 4.30am. Sudah kedengaran bunyi lembu dari kandang, bunyi embek sang kambing dari rumah jiran tanda mereka kelaparan. Mentari pagi menjengah kami dari ufuk timur, mewarnai langit Allah dengan indah.

Jam 4.30am di Desa Sudan
Mentari pagi menyapa mewarnai keindahan sekitar
        Jam 5.00am aku menemankan Yanti ke Pasar Pandangan, Kragen. Sebelum bergerak Yanti menghantar anak kecilnya kepada ibunya untuk dijaga sementara dia ke pasar. Menaiki motorsikal, Yanti memecut laju melalui jalan kampung. Amat dingin suasana pagi , matahari baru menjengah dari celah-celah bukit. Membonceng motor melalui beberapa kampung sambil menikmati panorama pagi  akhirnya tiba di pasar. Bermula meninjau pasar terbuka yang menjajakan aneka sayuran kampung dan buah-buahan . Barang jualan diletakkan di atas lapik plastik di tanah. Tawar-menawar sering kedengaran antara pembeli dengan penjual. Aku tak faham bahasa mereka, namun boleh meneka apa yang mereka perkatakan. Mengingatkan aku pasar pagi di desa sendiri ketika berada di pasar sini. Dah lama tidak menaiki motosikal namun Allah pinjamkan keberanian. Boleh berselfie tika motor bergerak, sesuatu perilaku yang baru ku temui dan alami.

Membonceng motosikal ke Pasar Pandangan
Suasana pagi di Pasar Pandangan, Kragen

       Barangan dibeli disangkut Yanti pada penyangkuk motor. Tiada bakul barang pada motosikal di sini. Berjalan lagi meninjau pasar berbumbung pula. Masih belum ramai penjual di sini kerana kami datang agak awal. Yanti menempah apam balik buat sarapan kami. Aku memilih beberapa kuih tradisi dari gerai menjual kuih. Kemudian terus meninjau di kawasan belakang pasar ini. Kelihatan penjual ikan, ayam dan barangan masakan. Penjual di pasar sini masih menggunakan penimbang antik yang menggunakan batu pemberat. Terasa berada di era tahun 60an, tika berada di pasar sini.

Tertarik kepada bakul pada motorsikal
Penjaja kuih-muih
Penimbang antik menarik perhatian
       Tiba di rumah aku dan Nab menggoreng nasi. Nasi di sini enak, seperti makan nasi beras Siam. Terasa macam makan pulut pun ada. Ni antara spesis padi yang ditanam pesawah di sini. Bersarapan nasi goreng, kuih tradisi dari pasar dan air kopi tempatan. Amat indah dapat makan beramai-ramai dengan Yanti dan anak-anaknya.  Jam 7.45am Izam menghantar Sheila dan Fikri ke sekolah dengan motor. Tetiba teringatkan cucu-cucu di Malaysia yang masih bersekolah tika ini. Motorsikal menjadi kenderaan utama buat penduduk . Membonceng lebih daripada 2 orang memang perkara biasa di sini. Memakai topi keledar juga bukan kewajipan, cuma atas rasa tanggungjawab keselamatan diri. Untuk menaiki kereta, terpaksa menyewa daripada jiran yang memilikinya.

Uniform murid sekolah dasar (rendah)

        Jam 6.00am aku dan Nab berjalan kaki meneroka sekitar Desa Sudan . Melalui rumah-rumah penduduk, kandang lembu dan kambing serta reban ayam. Semua ternakan wajib dikurung, itu imfo daripada  nitezen sini. Membiarkan haiwan ternakan berkeliaran menjadi kesalahan. Semua rumah menggunakan air telaga/ sumur yang dipasangkan pam . Ada rumah berdinding batu, ada berdinding papan bercampur buluh. Memiliki rumah batu bermakna pemiliknya pernah keluar merantau di luar Indonesia . Wang diperolehi dibinakan rumah di kampung halaman. Jika rumah papan dan buluh, menandakan pemiliknya belum merantau lagi.  Kehidupan mereka ini umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Demikianlah rezeki diperolehi bekerja sebagai petani atau nelayan di desa sini.

       Buluh memang banyak tumbuh di sekitar desa sini. Buluh yang tebal, ruas pendek seolah-olah menunjukkan daya tahannya. Patutlah buluh dijadikan bahan binaan rumah dan juga menggantikan besi konkrit dalam binaan jambatan atau bangunan batu. Buluh-buluh yang ditebang dijual kepada bengkel kraf untuk dijadikan dinding, perabot, serkap ayam dll. Setiap desa memiliki masjid sendiri. Masjid amat indah binaannya dan sentiasa ada aktiviti dibuat di situ.

Lorong masuk ke Desa Sudan melewati padang bola sepak
Rumah ibu Yanti dan rumah Yanti

Kandang lembu milik jiran di belakang rumah Ibu Yanti
Reban ayam milik Ibu Yanti
Kandang Lembu dan Kebun jiran di depan rumah Yanti
laluan depan Rumah Yanti
Buluh dibawa penduduk menggunakan motor roda 3
Pokok mangga yang enak buahnya
Masjid Desa Sudan

Rumpun pokok buluh
buluh digunakan penahan konkrit
Tali menggantungkan pam
di dalam sumur 
      Jam 8.30pagi bermotor lagi . Kali ini naik berempat menuju ke rumah Wak Aslan. Lek Warisah isteri Wak Aslan adalah adik kepada ibu Yanti, Siti Khotimah. Mereka tinggal di Desa Narukan. Tika ke sana  melalui Jalan Pandangan-Sudan dapat menyaksikan panorama kampung nan indah. Sawah padi yang ditanamkan jagung, kebun pokok jati, kebun pokok kayu Sengon, kebun rumput makanan haiwan dan kebun sayuran. Tidak kelihatan haiwan ternakan berkeliaran. Jauh sekali nak melihatkan anjing-anjing .

      Tiba di rumah Wak Aslan jam 9.00am. Mereka meraikan kami dengan buah mangga, kerepek dan air kopi. Bangunan di sekitar rumah Wak Aslan amat rapat. Lorong bersimen hanya memuatkan motosikal lalu sahaja. Jarang kelihatan mereka memiliki kereta. Amat rapat antara rumah nitezen sini. Kandang lembu dan kambing , betul-betul di depan rumah. Kandang kecil yang memuatkan beberapa ekor haiwan di dalamnya. Amat sukar haiwan-haiwan di dalam kandang berjalan-jalan. Cuma boleh duduk dan berdiri di dalamnya. Makanan haiwan diberikan pemiliknya 2 kali sehari. Rumput-rumput segar yang diambil oleh pemiliknya di sekitar desa. Kekadang diberikan makan daun pokok Geti yang banyak ditanam di sekitar sawah. Setiap haiwan peliharaan dibela sejak kecil dan membesar di dalam kandang. Pabila cukup usia dan saiz sesuai , haiwan-haiwan itu dijualkan.

       Tujuan ke rumah Wak Aslan kerana nak meminjam motorsikalnya. Dia memiliki 2 buah motor tapi sebuah sahaja yang digunakan. Wak Aslan ni bapa saudara Yanti yang paling rapat dengannya. Kami pulang ke rumah Yanti dengan 2 motosikal. Kali ni naik bertiga setiap motor. Aku singgah membeli air kelapa muda di tepi jalan. 2 biji berharga 30 ribu Rupiah. Mataku terusik dengan cara peniaga mencungkil isi kelapa. Menggunakan penutup botol yang diikat pada kayu.  Improvasi mudah !


Kediaman Wak Aslan (berkain pelikat) di Desa Narukan

Sudu mencungkil isi kelapa
      Makan tengahari kami nasi putih dengan ikan masak gulai kari, ikan goreng dan sayur sawi. Rempah kari dibawa khas dari Malaysia. Gulai kari diberikan semangkuk buat ibu Yanti yang tinggal di sebelah rumahnya. Ibunya tinggal sendirian, namun Yanti anak-beranak sentiasa bersama Ibu Siti, Gembira ibu Siti mendapat kari orang Malaysia. Katanya, "Dah lama kepingin gulai kari Malaysia". Ibu Yanti pernah bekerja di Terengganu sebagai pembantu rumah tika usia mudanya. Hasil kerjanya dapatlah dia  membeli tanah dan membina sebuah rumah batu di sebelah rumah Yanti.

Rumah Siti Khotimah ,Ibu Yanti

        Duduk di dalam rumah, suhu panas amat meresahkan. Lantaran badan dah terbiasa dengan kesejukan pendingin hawa . Nizam pun alami stress kepanasan . Jam 4.00pm Nizam mempelawaku meninjau sekitar Desa Sudan. Bercadang nak melihat view dari bukit, namun tak jumpa laluan masuk ke bukit. Sepanjang perjalanan dapatlah menikmati panorama desa nan indah waktu senja. Ada perusahaan batu-bata di bekas petak sawah. Batu-bata yang dibuat dijemur di situ juga. Ada beberapa kilang membakar   batu-bata dibina berdekatan. Pertanian sayuran, kebun buahan dan kediaman penduduk yang pelbagai rupa dinikmati tanpa rasa bosan.





Pondok membakar batu-bata



sawah gersang dek kemarau berbulan-bulan






        Bermotor berempat dan sebuah lagi bertiga ditunggang terus menuju ke Pantai Balongan, Kragan pula. Pantai nan indah menghadap Laut Jawa.  Perlu membayar 30 ribu Rupiah untuk memasuki pantai ini.Tidak ramai pengunjung di hari Jumaat mungkin bukan hari  cuti umum. Kebanyakan binaan gerai mahupun replika seni dibuat  daripada buluh. Buluh ditanam untuk membuat binaan rumah tradisional seperti tiang rumah, dinding dan  lantai . Melihatkan pokok buluh memiliki ruas pendek lagi tebal, wajarlah mereka gunakan dalam pembinaan. Merakamkan gambar sekitar, meninjau gerai jualan di situ. namun jualannya bukan citarasa diri. Lepas sejam di pantai, kami berangkat pulang.

Jalan ke Pantai Balongan












           2 November, Sabtu bersarapan bihun goreng pada jam 6.00am. Selesai bersarapan masih belum jemu  berjalan-jalan sekitar kawasan di belakang rumah Yanti. Melalui padang bola dan beberapa rumah jiran tetangga Yanti. Masih serupa, terlihat rumah bersebelahan dengan kandang haiwan ternakan, kebun pokok kayu jati, dan kebun pisang. Amat mendamaikan tika berada di desa sini. Kicauan sang unggas beraneka bunyi. Bersahutan kokokan ayam jantan. Sesekali diselangi bunyi ayam betina berketuk kerana bertelur. Deruman bunyi kenderaan jarang kedengaran di sekitar kediaman, kecuali sesekali bunyi motosikal. Di jalanraya yang menghubungkan Desa Sudan dengan tempat lain, kelihatan lori-lori membawa muatan bongkah batu keluar masuk. Tossa kerap dilihat mengangkut barang pertanian penduduk dan membawa penumpang juga. Tossa memudahkan netizen sini bergerak ke tempat jauh.

        Jam 8.00am bersiap nak ke Kongsi (Bagan Ikan) di Karang Anyar. Setelah menghantar Fikri dan mengiringi Sheila ke sekolah jam 7.00am, Nizam pulang ke rumah. Yanti menggunakan motor Wak Aslan membawa ibunya dan anak kecil Yanti. Kami 3 beradik membonceng motor Yanti. Memang jauh perjalanan ke kongsi tempat pendaratan ikan. Lenguh segala sendi duduk di tengah  motorsikal dengan kaki terjuntai. 20 minit bertarung kelenguhan , kekejangan kaki. Dengan bertautkan semangat akhirnya tiba di jeti Karang Anyar.

      Sebuah kawasan persisir pantai di tepi Laut Jawa, berlabuhnya ratusan bot dan perahu nelayan. Jauh di tengah laut kelihatan sayup-sayup gerakan bot nelayan yang masih menangkap ikan atau pun mahu pulang ke daratan. Memandang  ke arah daratan kelihatan beberapa buah masjid berwarna-warni terbina agak berdekatan. Kubah Rumah Allah nan indah  berselang-seli dengan bumbung rumah penduduk memang seronok memandangnya. Mengalih pemandangan ke bawah jeti, kelihatan paras air laut rendah . Nelayan-nelayan menaiki tangga khas dari bot untuk naik ke jeti. Sampah-sarap juga kelihatan berselerak di sekitar pantai. Mungkin dibawa ombak lalu menghempaskan sampah-sarap di pantai, macam negara kita juga!

Opah-opah dan atuk naik motorsikal












Tangga kayu untuk naik ke jeti



      Sesuatu yang amat menyentuh rasa tika melihatkan beberapa orang wanita menerpa ke arah nelayan yang turun dari bot. Nelayan-nelayan yang memikul peti-peti kayu berisikan ikan akan melalui di depan wanita-wanita ini. Mereka merendahkan badan membenarkan wanita-wanita mengambil ikan-ikan dari dalam peti kayu yang mereka pikul. Ikan-ikan yang diambil wanita tersebut dimasukkan ke dalam bekas di tangan. Kemudian wanita-wanita ini akan memunggahkan ikan-ikan ke bekas lain di tebing berdekatan jeti. Diberitahu, wanita-wanita itu akan menjual semua ikan-ikan yang diambil untuk menyara kehidupan. Walaupaun perbuatan mereka "Kurang bermoral" namun masyarakat nelayang sudah pasrah , seolah-olah sudah jadi amalan kemestian pula!!!

Beberapa wanita mengambil ikan dari peti-peti ikan
 yang dibawa nelayan

       Tidak lama tiba di Kongsi, Sari rakan Zahid (suami Yanti) menyambut kami. Sari membawa kami ke lokasi ikan didaratkan. Beberapa orang  pemborong ikan sedang menerima serahan hasil laut  daripada para nelayan. Ada juga peti-peti ikan yang dihantar terus ke pasar berdekatan. Di situlah berlakunya borong-memborong hasil lautan. Kami singgah di pondok simpanan ikan Sari. Isteri dan kakak iparnya menyambut kami di situ. Kelihatan sotong besar, ikan-ikan besar disimpan di dalam tong berisi ais.  Sari sudah menyediakan 5 ekor ikan Tongkol besar buat kami. Membeli bebrapa ikan Siakap, ikan Kerapu dan sotong untuk dibawa pulang. Harga pun macam harga kekawan yang Sari tawarkan. Tika di Malaysia kami tidak membeli ikan dan sotong sebesar itu.

Sari  nelayan tempatan rakan baru kami

Pondok simpanan hasil laut Sari



Sotong dan beberapa ekor kerapu dan siakap Rp19000

     Belum sempat membonceng motor, tetiba hujan lebat menerpa kami. Yanti menyewakan sebuah Becak membawa Aku, Nab dan anak Yanti ke rumah Sari. 15 minit kayuhan Becak dalam hujan berjaya menghantar kami di rumah Sari di Desa Kragan. Sebuah perkampungan nelayan laut dalam. Ramai yang mampu memiliki rumah batu para nelayan di sini, hebat. Kedudukan rumah yang rapat-rapat hanya memuatkan lorong sebuah kereta sahaja melaluinya. Nampak harmoni dan damai para penduduk di sini. Ini berasaskan keramahan mereka menyapa kami. Terasa kami amat diraikan netizen di sini. Berehat sebentar menanti hujan teduh di rumah Sari. Dia menjamu buah mangga yang sama seperti di rumah Yanti.

Becak dari Kongsi Kragen ke rumah Sari di Desa Kragen



       Jam 10.00am Yanti terpaksa pulang ke rumahnya di Desa Sudan kerana menjemput Fikri pulang dari sekolah. Dia meminta adik saudaranya (anak lelaki Wak Asnan) menghantar kami pulang dengan Tossanya ke rumah Yanti. Sepanjang perjalanan pulang ke Desa Sudan, banyak lagi panorama desa dinikmati. Melihatkan kesibukan petani di kebun mengusahakan tanaman dengan gigih. Ada penternak memungut dedaun pokok turi dan memotong rumput di tepi jalan buat makanan haiwan ternakan mereka. Setengah jam perjalanan , akhirnya selamat tiba di rumah Yanti. Sepatutnya tambang sebuah becak sejauh itu 35 ribu Rupiah, namun kuberikan 50 ribu Rupiah. Pemandu Tossa enggan menerima tambang diberikan. Ia menyuruh aku memberikan kepada ibu Yanti, sedekah kepada ibu saudaranya. Indahnya Hidup ini!!! Alhamdulillah.

Tossa milik anak Wak Aslan


        Makan tengahari masih menikmati bihun goreng pagi yang masih banyak. Tika inilah perut lapar. Agaknya hujan di luar rumah membuatkan perut cepat berkeroncong. Kepenatan ke Bagan Kragan dan meredah hujan amat memenatkan tubuh yang tua ni. Merebahkan badan di ruang tamu  dengan berdinginkan 2 kipas , bolehlah melelapkan mata seketika. Bila petang menghampiri, Yanti sudah sibuk menanak nasi. Masakan lauk-pauk dan sayuran untuk malam itu aku dan Nab yang sediakan. Menu makan malam nasi putih dengan ikan kerapu goreng bersambal. Sayur campur goreng dengan telur  pun jadi enak, walaupun simple je. Ditambah lagi makan 3 biji mangga masak pencuci mulut, memang enak.


Motorsikal wajib diparkir di dalam rumah supaya tidak dicuri
        Semua bangun awal pagi 3 November Ahad. Cuti sekolah hujung minggu, anak-anak Yanti bercuti. Sudah dalam perancangan nak ke pekan Lasem, mencari kain batik dan barangan kulit. Ibu Yanti awal-awal lagi sudah memanggilkan Tossa datang ke depan rumah Yanti. Pemilik Tossa itu kenalannya di Desa Sudan. Jam 7.30am sudah bersedia Tossa menunggu kami . Membawa kami 7 orang ke pekan Pandangan. Yanti, Sheila, Fikri, Baby Hilmi, Nab dan Nizam bersama menaiki Tossa. Yanti amat cepat bab membayar tambang kenderaan yang kami naiki. Tak sempat aku menggunakan wang tabung beradik kami. Ya Allah, murahkan rezeki Yanti sekeluarga, bahagiakan mereka dan permudahkan segala urusan kehidupan mereka di Desa Sudan ini. Mereka amat baik kepada kami. Aamiin!

        Tossa menurunkan kami di suatu sudut di tepi jalan di Pandangan. Di situlah kami menunggu bas berikutnya. Tiada pondok menunggu bas disediakan. Cuma berdiri di pinggir kedai untuk menunggu bas awam . Kemudian Yanti menahan sebuah bas mini  yang memuatkan 20 penumpang . Aku membayar 35ribu Rupiah untuk tambang kami bertujuh ke pekan Lasem. Pekan Lasem merupakan sebuah penempatan yang banyak mengusahakan industri batik tradisional. Batik keluaran Lasem memang terkenal di tanah Jawa ini. Tapi di kalangan pelancong Malaysia, lebih mengenali Batik Pekalongan yang menjual aneka batik di bazaar khas. Namun, batik di Lasem ini dijual di kilang-kilang cetakan dan di kedai-kedai sekitar. Harga batik tulis sehelai Rup300ribu kerana kualiti penghasilannya. Jika batik cetak dalam puluh ribu Rupiah sahaja. Oleh kerana Ahad cuti, banyak kedai di sini ditutup. Kecewa juga tidak dapat memenuhi rancangan asal.


Dalam Tossa ke Pandangan
Dalam bas Pandangan ke Lasem
        Jam 9.00am tiba di entrans ke perkampungan Batik Lasem. Berjalan kaki di jalan masuk yang sunyi kurang kenderaan dan pengunjung. Terdapat barisan gerai menjual makanan dan lain-lain cenderamata di kiri jalan masuk ke kilang batik. Memasuki Kilang Batik Griya Batik Gajah yang paling hampir dengan entarans. Seorang lelaki meraikan kami. Hanya batik tulis yang ada di depan showroom kedainya. Harga sehelai batik lepas di kilangnya 300ribu Rupiah. Memang cantik bikinannya, cantik juga harganya. Namun aku nak membeli kain  sarung batik cetak, untuk dipakai harian dan untuk dihadiahkan kepada keluarga.

        Tika berjalan balik menuju ke pintu gerbang entrans, melewati sebuah Tokong Cina. Kali pertama bertemu tempat ibadah penganut agama lain. Bermakna di Lasem terdapat kaum Cina tinggal di sini. Mungkin banyak lagi perkara baru yang ditemukan jika kami datang ke sini pada hari bekerja. Hanya merakam beberapa gambar sekitar sebelum berjalan ke tempat menunggu bas.Terasa bersalah berjalan bersama kanak-kanak, terutama anak kecil Yati yang baru berusia 18 bulan. Walaupun dikendong Yanti di dalam kain  melekat pada badan, namun panas sekitar amat tidak selesa. Dia anak kecil nan terbaik, tak meragam pun.

Pintu gerbang entrans ke Desa Wisata Batik Tulis Lasem
Showroom Batik Tulis Lasem
Kilang Griya Batik, Gajah

Lokasi perusahan Batik Tulis Lasem



       Kami menyeberangi jalan raya nan sibuk untuk menanti bas ke tempat makan. Akhirnya bas membawa kami ke Pasaraya Pantes di Lasem. Sebuah pasaraya 2 tingkat menjual aneka tekstil, barangan mainan, kelengkapan bersukan dll. Di suatu sudut di tingkat 2 menyediakan permainan berbayar buat anak-anak. Yanti melayan anaknya Fikri bermain di situ. Aku membawa Sheila membeli pakaian buat dia dan adik-adiknya. Berhajat nak belikan Yanti kendong moden supaya mudah dia membawa si kecil menaiki motor. Dia menolak sebab sudah biasa dengan kendong kain.

      Kami menjamu selera di sebuah gerai makanan segera Nasi Geprek di tingkat bawah pasaraya ini. Nab dan aku menikmati nasi Geprek berlauk ayam, sambal belacan dan sayur timun. Anak-anak Yanti makan Kuey Tiew dan nugget. Merasai jus buah Naga Indon, memang enak. Jus Naga buat mencuci dalam perut yang dah lama disumbat aneka makanan. Dikenakan bayaran makan kami Rp83500 sahaja. Siap makan, kami menunggu bas  di depan pasaraya untuk pulang ke Pandangan.

Bas Lasem ke Pandangan
Pasaraya Pantes, Lasem



Nasi Geprek ayam dan sambal

EEEEDDIT>>>>>
       Tiba di Pandangan kami terpaksa berpecah. Melihatkan keletihan anak-anak Yanti sudah keletihan. Yanti pulang ke rumah dahulu membawa anak kecilnya . Kami berlima menjengah Pasar Pandangan. Tetiba terasa dadaku sesak , ketat dan amat sukar bernafas. Aku cuba buat latihan tarik nafas dan hembus. Banyak sekali angin sendawa yang keluar dari mulut. Barulah terasa lega untuk bernafas. Belum pernah merasai situasi sukar bernafas seperti ini. Sempat, ku panjatkan doa, pohon Allah peliharakan kesihatanku tika bermusafir ini. Tika itu jam 12.30pm, banyak gerai di pasar yang menjual pakaian, makanan kering dan lain barangan sudah tutup. Hanya terjumpa beberapa kedai yang masih  menjual kain batik. Singgah membeli 10 helai kain batik cetak  sarung keluaran Lasem. Bimbang jika tidak jumpa kedai batik lain selepas ini, terpaksa beli juga kain batik di sini.

       Sebelum pulang singgah pula menikmati air kelapa muda Pandangan di kedai ibu Saudara Yanti. Berkenalan pula dengan mereka ini yang sudah mengenali Nizam. Tidak sibuk gerai ini tika kami berada di gerai disini. Sambil berbual, berkenalan, menikmati air kelapa muda dalam cuaca panas, memang cepat habis. Melihatkan lengang pasar Pandangan ini, tika tengahari pula, ramai pengunjung dah pulang berehat di rumah agaknya. Tambahan pula hari Ahad mereka melakukan aktiviti selain aktiviti rutin.

     Jam 1.00pm menaiki Tossa dari pekan Pandangan ke Desa Sudan. Seorang anak muda membawa kami bertiga sahaja dalam Tossanya. Aku meminta izin pemandu Tossa untuk duduk di seat bersebelahannya. Dia malu-malu mengizinkan  aku memenuhi permintaan. Mungkin dia merasakan pelik orang tua nak duduk di situ, hahaha. Puas merakamkan foto dari depan Tossa tanpa hadangan. Kelihatan aneh, namun peluang menaiki Tossa cara berbeza, seronok pula.

Zaman sekolah berdiri dalam bas begini,
merasa lagi tika usia 65 tahun
Naik bas bersama nelayan yang baru pulang dari laut
Pekan Sluke

Pasar Pandangan
Batik Lasem
Gerai kelapa Lek Yanti


Duduk disebelah pemandu  Tossa dari Pandangan ke Desa Sudan


Produk daripada buluh

        Membayar 10ribu Rupiah kepada pemandu Tossa yang baik budi dan peramah. Anak muda yang menjadikan kerja sampingan waktu cuti memandu Tossa. Moga Allah murahkan rezeki dan dipeliharakan keselamatan serta kesihatan  anak muda ini. Menghampiri Desa Sudan terlihat rombongan berkereta dan bermotosikal  berarak mendepani laluan kami. Oh, rupa-rupanya  perarakan kempen pemilihan peminpin desa. Dapatlah melihat cara mereka berkempen memilih ketua kampung. Selain mengadakan ceramah di lokasi terpilih, perang banner juga dapat disaksikan. Panorama baru   disaksikan sebagai penutup kembara kami di tanah Kragan ini.

       Petang itu kami menerima hujan lebat setelah sekian lama tidak turun. Maka kami tidak ke mana-mana. Sudah penat ke Lasem, masing-masing memanjakan tubuh di atas tilam. Jam 4.00pm sudah senja kerana Maghrib jam 5.30pm.  Yanti sibuk menyediakan tempat membakar ikan  dan udang. Seekor ikan siakap, seekor ikan kerapu dan 10 ekor udang besar dipanggang di atas bara api. Sos air asam disediakan juga untuk dimakan bersama ikan dan udang. Sos air asam tak boleh dibuat enak seperti di tempat sendiri. Tiada belacan dan cili merah serta asam jawa pun berlainan. Justru, gunakan bahan apa yang ada dirumah Yanti sahaja.

Ikan bakar Rp81ribu

Sekilogram Rp200ribu



        4 Nov aku menemani Yanti ke Pasar Pandangan jam 5.00am.  Masih belum jemu ke pasar ini walaupun tak banyak yang minat untuk dibeli. Cuma aku  mahu Yanti berbelanja dengan duit aku. Suasana hening dengan kedinginan udara menghentam pada pipi. Habuk kering masih tersedut dek kerana musim kering dan kemarau panjang . Sudah hampir 7 bulan tidak hujan di Jawa Tengah ini. Tidak membawa mask penutup hidung dan mulut , malah tidak ingat membelinya di farmasi sini. Samalah perangai kami dengan orang di sini. Tak berasa bersalah tidak memakai topi keledar semasa menaiki motor. Memang takut jika ditimpa kemalangan. Walaupun insurans dah dibeli sebelum datang ke sini, namun berbekalkan doa ditempuh jua. "Doa orang musafir Allah angkat terus ke langit" bisik hati kecil ini. Alhamdulillah, Allah peliharakan kami sepanjang bermusafir di Jawa Tengah ini.

       Membeli nasi putih berlauk tempe goreng, telur goreng, sambal kelapa dan ikan masak sambal, baki lauk malam. Entahlah, gimana perut dan tekak mudah menerima masuk makanan menu nasi, namun masih  menolak kuih-muih di sini. Minum air kopi tempatan setiap pagi merangsang kesegaran mata dan badan. Ibu Yanti juga makan nasi yang kami beli , namun ia enggan makan bersama kami di rumah Yanti. Ibu Yanti yang hidup berseorang, makan pun berseorang. Tapi pasti keluar melepak bersama kami di luar rumah tika lapang. Macam-macam cerita digobrolkan kepada kami.


         Masih meneroka sekitar kawasan di depan dan belakang rumah Yanti. Sempat melihat kandang lembu jiran Yanti , yang selang 2 rumah jaraknya. Berdinding buluh, tiang buluh dan beratap daun rumbia kering. Longgokan rumput kering tersimpan di suatu sudut kandang. Najis haiwan ternakan lembu dan kambing sentiasa dikumpulkan oleh penternak. Najis-najis haiwan ini digunakan sebagai baja ditapak pertanian mereka. Rupa-rupanya siang hari lembu-lembu ini dipindahkan ke kandang lain untuk makan . Pabila petang dan malam dipindahkan ke dalam kandang bersebelahan rumah gembalanya. Diberitahu supaya lembu tidak dicuri. Suka melihatkan telatah anak lembu tika keluar berjalan ke kandang di belakang rumah Yanti. Melompat-lompat kegembiraan seperti sebuah tarian. Di dalam kandang pun masih ia menari-nari pabila melihatkan kami menghampirinya. Tetiba teringatkan cucu-cucu . Pasti mereka suka melihat telatah anak-anak lembu sini.

Anak lembu dan ibunya keluar dari kandang
Kandang lembu jiran Yanti
Anak lembu menari-nari di depan kami
Gembala membawa ternakan ke kandang
lain untuk makan
Lampu depan rumah Yanti
         Terasa bersyukur juga, jalan memasuki kediaman penduduk di sini dipasangkan lampu jalan. Walaupun bermentol kecil, bertiang rendah namun membantu mencerahkan sekitarnya. Bekalan air minuman pula penduduk membeli sendiri. Air minuman dijual di dalam botol besar. Sekali beli 4 atau 5 botol. Botol air diletakkan di atas bekas khas yang dipasangkan alat seperti pili untuk mengeluarkan airnya. Untuk memasak nasi dan masakan berkuah, menggunakan air yang dibeli ini. Letrik pula membayarnya dengan penggunaan Kad BayaranTambah Nilai (Top Up). Jika kreditnya habis, bekalan letrik terputus, maka bergelaplah. Jadi pemilik rumah perlu tambah nilai..... hahaha macam top up fon bimbit pula. Paling indah, melihatkan sikap berjimat pengguna letrik dan air . Banyak guna banyaklah bayar! Di negara sendiri, air berlebih-lebihan hingga membazir digunakan.

            Siaran Televisyen pun disediakan pemerintah. Melihatkan pring parabola di atas bumbung , mengingatkan zaman kanak-kanak dulu. Namun jarang menonton Tv di sini, dek kesibukan meneroka sekitar dan banyak aktiviti siang hari. Lebih selesa  merehatkan badan di malam hari. Seperkara lagi, tong gas mereka lebih kecil dan mudah diangkat. Mungkin berpadanan dengan taraf ekonomi nitezen sini.
Botol air minuman dibeli diletakkan
diatas pasu berpaip
Piring antena televisyen
diatas atap rumah
      Jam 7.00 pagi Izam menghantar Fikri dan Sheila ke sekolah. Kami dilarang memberitahu tarikh nak ke rumah Wati di Subah. Bimbangkan anak-anak akan bersedih dan enggan ke sekolah. Kami masakkan Tomyam udang besar dan sotong untuk menu makan hari terakhir bersama famili Yanti. 4 November, hari terakhir menetap di tanah Desa Sudan. Entah bila boleh datang ke sini lagi, belum pasti. Ikan Tongkol yang dihadiahkan Sari dari Kongsi Kragan, dipotong untuk digoreng. Masih masak sayur sawi yang berbaki . Ibu Yanti diberikan semangkuk besar Tomyam untuk dia makan dua kali, tengahari dan malam. Aku menyaksikan sendiri tekunnya ibu Yanti menghirup kuah Tomyam. "Dah lama tak makan Tomyam'" katanya dengan wajah kepuasan.

        Nizam mengambil peluang membaiki atap rumah Yanti yang bocor. Tika hujan semalamnya , banyak tempat pada atap yang bocor. Izam memanjat atap lalu menampal kebocoran dengan Silikon. Basikal anak-anak Yanti pun dipasangkan pengayuh baru kerana rosak. Tidak terasa dihati kami, Yanti dan keluarganya bukan keluarga kami. Namun kasih sayang bersemi diantara kami saudara seagama sejak arwah emak Leha masih hidup lagi. Selama emak menyemaikan kasih sayang kepada Yanti, tidak menampakkan kelainan kasihnya. Justru kami pun terasa macam adik sendiri. Tambahan pula suaminya Zahid  seorang mualaf yang memeluk Islam tika di kampung kami. Kerja-kerja di kebun keluarga kami di kampung , banyak yang dibuat oleh Zahid. Moga kasih kami bertaut hingga ke Jannah.


          Selesai Solat Subuh 5 November, masing-masing bersiap . Bersarapan nasi putih berlaukkan telur goreng dan tempe goreng bercicahkab sambal tumis cili. Enak pula disulami air kopi suam pepagi itu. Fikri dan Sheila mengenakan uniform sekolah. Merakamkan gambar hari terakhir bersama famili Yanti. Sedih pula melihatkan anak-anak Yanti, yang beranggapan kami nak ke pekan berjalan-jalan. Pada hal kami akan meninggalkan mereka, entah bila bersua semula!!!! Yanti terpaksa menipu anak-anaknya, supaya mereka tidak bersedih dan enggan ke sekolah. Selesai makan mereka di hantar Izam ke sekolah jam 6.30pagi. Jam 7.00pagi sebuah Tossa sudah sedia menunggu kami di depan rumah. Siti Khotimah ibu Yanti menelefon Tossa untuk membawa kami ke Pandangan .

Bergambar pada hari terakhir di Desa Sudan



Siti Khotimah dan Hilmi
        Jam 7.06pagi Tossa membawa kami bersama Yanti, anak bongsunya dan ibunya menuju ke Pekan Pandangan. Perjalanan mengambil masa 6 minit. Menunggu seketika di sebuah hentian bas di Pandangan untuk menaiki bas seterusnya. Jam 7.30am sebuah bas dari Surabaya ke Semarang singgah mengambil penumpang . Yanti menyuruh kami menaiki bas tersebut. Selesai bersalaman dan  mengucapkan kata-lata akhir, kami menaiki bas. Bas kali ini lebih besar daripada bas yang kami naiki sebelum ini. Pelbagai perasaan muncul. Sedih teramat terasa seperti berpisah dengan anakcucu sendiri. Ada juga perasaan suspens sebab nak pergi ke tempat baru pula.

Dalam Tossa ke Pandangan
Menunggu bas di Pandangan untuk ke Semarang 
         Bas PO Indonesia ICHA, Surabaya-Tuban-Semarang tertulis pada belakang seat bas. Membayar tambang 50ribu Rupiah membawa kami menikmati pelbagai panorama selama 4 jam perjalanan. Melewati pekan Lasem, Pati, Kudus, Demak, Genuk dan akhir jurney kami di pekan Temboyano, Semarang. Sebuah stesen bas terbuka di Semarang. Suatu pengalaman baru dinikmati sepanjang berada di dalam bas ini. Menyaksikan beberapa penjual makanan dan cenderamata silih berganti menaiki bas tika bas berhenti dilampu isyarat . Mereka  menjual barangan jualan kepada penumpang didalam bas. Mereka turun pabila bas berhenti di lampu isyarat seterusnya. Kekadang naik pula pemain gitar memetik gitarnya sambil menyanyi lagu-lagu dangdut tempatan. Terasa terhibur tika berada di dalam bas yang sedikit  dingin ini walaupun badan bas kelihatan  "buruk" jika dibandingkan dengan bas ekspress di Malaysia.



Tiket bas Pandangan ke Semarang
Penjual cenderamata & jajan di dalam bas
Pemuzik gitar menghiburkan penumpang
Penjaja minuman














        Tiba di Stesen Bas Temboya jam 11.30am. Sebuah stesen bas yang kelihatan sederhana , belum dibangunkan seperti di tempat kita. Gerai-gerai pondok banyak ditepi jalan menjual makanan buat pengunjung di stesen tersebut. Singgah di sebuah gerai membeli minuman panas dan adik makan mi goreng. Nizam bertanyakan lelaki pembantu gerai pelbagai perkara sementara kami menanti ketibaan Wati dan Wak Abadi. Lelaki itu amat peramah, pernah bekerja di malaysia, katanya.

        Tidak menjangkakan keadaan Bandar Semarang, pembangunannya jauh ketinggalan dibandingkan dengan bandar di negara kita. Tidak menduga stesen bas  di sini tiada bangunan khas buat kemudahan para penumpang. Usah impikan dapat relax2 di sini  ataupun  makan-makan sementara menantikan bas dinaiki. Nak menggunakan tandas juga sukar di sini. Wati tiba 10 minit kemudian dengan menaiki motor. Pembantu gerai membawa kami ke stesen Bas untuk Subah. Berjalan kaki agak jauh ke situ. Nasib baik bagasi kami ditumpangkan digerainya. Sebuah tempat berbumbung menyediakan sebuah kaunter jualan tiket. Di situ ada 4 pintu tandas berbayar. Bas yang akan berangkat ke Subah agak lewat. Kami dicadangkan menaiki teksi sahaja. Jam12.10pm pembantu gerai bersama kami menaiki teksi kembali ke gerainya mengambil bagasi kami yang ditinggalkan di gerainya.

lelaki pembantu kedai banyak membantu kami di stesen Temboyano
Hentian teksi ditepi jalan Temboyano sahaja
Pekan Semarang
Kereta sewa dari Semarang ke Desa Jati, Subah
       Amat terharu, amat bersyukur, Allah permudahkan perjalanan kami. Allah hadirkan insan-insan yang berhati mulia membantu kami tika kepayahan. Moga Allah merahmati kehidupan mereka dan melapangkan rezeki. Meninggalkan peniaga kedai dengan harapan moga bersua dilain masa! Musafir masih diteruskan di bumi Jawa Tengah ini. Membacakan doa musafir dan doa menaiki kenderaan menyuntik semangat ke destinasi berikutnya.

        Teksi dipandu lelaki separuh abad membawa kami ke Desa Jati, Banyo Putih daerah Subah, kediaman Wati Wak Selamat. Jam 2.30pm tibalah di rumah Wati, sebuah desa di kawasan berbukit dan dingin udaranya. Dua setengah jam perjalanan melalui berbagai rupa penempatan desa dan pekan, ditambah 4 jam perjalanan dari Desa Sudan; amat  meletihkan seluruh badan. Keluarga Wati dan jiran sedia berada di rumah Wati meraikan ketibaan kami. Tari, Sari dan anak-anaknya (famili Abadi) dan Amanda anak Wati , merekalah saudara baru kami di Desa Jati ini. Masih teruja di lokasi baru di desa ini, banyak yang ingin di teroka. Banyak perkara nak dialami dan panorama nak dirakamkan.
Jiran dan kerabat Wati di rumah Wati
Rumah wati Wak Selamat
Alur mata air dari bukit di tepi rumah Wati

laluan susunan batu bukit ke rumah Wati sedikit curam
       Perut amat berkeroncong lantaran makan jam 6.00pagi tadi. Wati siap menyediakan makanan sebelum berangkat bertemu kami di Temboyono. Makan nasi putih, berlauk rendang daging, pergedil, sayur lemak pucuk ubi dan kek coklat. Semua lazat masakan Wati buat mulut kami, kebetulan Wati biasa masak maakan orang Malaysia. Pemandu teksi juga makan bersama kami. Siang masih panjang, memikirkan apa lagi perlu dibuat lepas ini.

Pemandu bas menikmati jamuan Wati
        Hari masih cerah tika jam 3.00pm. Tari mempelawa kami berjalan-jalan sekitar desanya. Mulalah memaksa kaki memijak permukaan  susunan batu-batu bulat pada jalan yang dilalui. Jalan yang mencuram keadaannya memaksa beberapa kali berhenti kerana dada terasa sempit untuk bernafas. Amat terasa kelainan pada jantung kiri , tika meneruskan pendakian kekadang dia meragam. Setelah menarik nafas dan menghembuskan beberapa kali, barulah terasa lega. Namun aku lupakan keadaaan tersebut!! Tika usia 40-an jantung terasa sakit juga semasa menaiki tangga di Institut Aminudin Baki, Genting. Maka terus aku abaikan sakit pada jantung walaupun itu signal dari Tuhan, Allah Maha Pancipta.
      Menyaksikan rumah-rumah desa binaan daripada batu-bata, menandakan pemiliknya pernah merantau mencari rezeki. Melihatkan rumah tradisi berdinding dan bertiangkan buluh dan berlantaikan tanah, petanda pemiliknya orang susah, belum pernah merantau . Di lereng-lereng bukit penuh ditanam pokok Sengon untuk pembinaan rumah. Pokok Belinjo juga banyak ditanam di sekitar untuk perusahaan keropok. Pokok kopi, buah-buahan seperti rambutan, manggis, nangka dan lain-lain juga banyak ditemui. Diselang-selikan dengan view sawah padi bukit yang dipenuhi tanaman jagung dan sayuran. Pabila tiba musim menanam padi pada awal Disember barulah kelihatan lautan padi pula di sini. Jauh dari hingar-bingar , jauh sekali kesibukan kenderaan, cuma kedengaran kicauan burung dan kokokan ayam menghiasi jalanan kami. Amat tersentuh hati , tika berada di desa sini dek melihatkan kehidupan mereka. Paling bersyukur mendiami di negara tumpah darahku yang aman makmur!!!
Menikmati panorama Desa Jati

Kebun pokok Sengon
Pokok Belinjo
Buah Belinjo Muda digoreng dibuat keropok
Kebun  sengkuang






      Sambil berjalan terdengar bunyi ketukan batu dari rumah kejiranan. Bertanyakan Tari bunyi apakan itu, seolah-olah berbalasan bunyi ketukan keluar dari rumah-rumah yang dilalui. Singgah di dua buah rumah yang menghasilkan bunyi. Seorang wanita tua duduk bertinggung di atas tanah. Di sebuah pondok buluh hanya sebuah pelita minyak meneranginya di situ. Dia menumbuk buah belinjo yang sudah digoreng di atas kuali. Api kayu menggaringkan buah Belinjo muda. Alas batu dan tukul besi khas digunakan untuk menumbuk buah Belinjo sehingga garing kehitaman. Bermula dengan sebiji buah diketuk nipis, dilapiskan buah kedua pula. Terus diketuknya sehingga buah ketiga melengkapkan ketukan menjadikan kepingan bulat nipis , keropok. Wow.... menarik!

     Irama ketukan buah Belindo, kedengaran bermula dari terbit matahari, hinggalah Maghrib menyapa. Beginilah warga tua dan wanita membantu ketua keluarga mencari rezeki. Tidak kenal erti nak goyang kaki, bimbang perut tak berisi. Tidak kira upah mahal, asalkan dapat rezeki halal. Aku melihatkan batang pokok pisang pun berharga. Kepingan kulit batang pisang dikeringkan untuk dijual. Kepingan kering ini digunakan membalut tembakau untuk membuat rokok.

Memanggang buah Belinjo diatas kuali
Kepingan buah Belinjo sudah diketuk
        Jam 4.30pm kami dibawa ke rumah bibikku di Desa Salamango. Tari memboncengkan aku, Wati membawa Nab dan Izam menaiki sendiri motosikal. Di rumah Kuswati(bibik) bertemu Mila anak Kuswati. Melalui lorong dan jalan kecil selama 10 minit tibalah ke destinasi . Bertemu anak saudara Kuswati, Norwati dan suaminya Ali . Dia membawa kami ke rumah belakang, yaitu rumah Kuswati. Mendapat keizinan adik Kuswati untuk masuk ke dalam rumah. Mila menyambut kami di dalam rumah. Kami berpelukan sambil menangis. Amat menyentuh hati pabila melihat anak dara 14 tahun hidup sendirian , lantaran ibunya merantau mencari rezeki. Ayahnya sudan lama meninggal dunia.

       Menyerahkan barangan kiriman ibu Mila  antaranya Milo, biskut, pakaian untuk Mila dan Anak saudaranya. Kami berbual di luar rumah bertanya khabar Mila dan adik lelaki Kuswati . Melihatkan rumah bibik ku yang amat usang, berlantaikan tanah, berdinding papan dan sebahagiannya buluh, air mataku tanpa paksaan terus mengalir. Allahuakbar... Umpama awan dengan bumi, bezanya kediaman kami. Mendiami rumah Banglo serba lengkap dengan kemudahan, berbanding mendiami rumah berlantaikan tanah dengan serba kekurangan, terasa amat PILU!!!!!

     Dalam benak hati , muncul SUATU Perasaan.... nan PELIK . Kenapa begini keadaan kehidupan Bibik? Diluar dugaan ku selama lebih setahun Bibik menjadi ahli famili kami. Amat terusik hati melihatkan anak gadis yang tinggal sendiri di rumah ini. Berputar otak ... gimana keselamatan gadis ini. Gimana persekolah anak ini?. Melihatkan gaya pakaian, apa terjadi dengan dirinya. Apa hubungkait pembelajaran gadis ini di Pesanteran dengan kehidupan terkini???? Hati terdetik "Oh, aku kena buat sesuatu". Tapi entah apa nak dibuat. Hilang pula kegusaran dek kesegeraan nak ke rumah Seri anak saudara Bibik.

Rumah berjiran nan berbeza binaannya
Rumah Bibikku 



Mila dan adik Kuswati


       Mengejarkan senja semakin hampir. Bermakna pabila tiba jam 5.45pm Maghrib menyapa pula. Jam 5.15pm tiba di rumah Seri , tidak jauh dari rumah Bibik Kuswati. Sebuah banglo kecil di puncak anak bukit. Rumah Seri ini di pinggir selekoh jalan desa, agak sibuk lokasi ini. Kami menaiki tangga batu untuk memasuki ruang tamu rumah Seri. Kecil namun menarik susun atur rumah batu berwarna biru. 3 beranak mendiami rumah ini, seri, suami dan anak lelakinya. Di rumah ini Mila menikmati makanan 3 kali sehari dan mendapatkan wang saku. Seri menyediakan makanan dengan wang yang dihantarkan Bibik pada setiap bulan.

      Aku memilih duduk di sebelah Milah anak Bibik. Wati dan Nab mula bertanyakan aneka soalan berkaitan hal Mila. Pelbagai nasihat pula yang disuruh Mila dengarkan. Tumpuan lebih pula kepada masalah Milah berhenti sekolah. Kenapa? Nak jadi apa? Tak kesian mama ke? Macam-macam lagi soalan ditujukan kepada Mila. Aku kelu tidak berkata-kata. Mata terpukau melihatkan serangan kata-kata kepada Mila. Kesian, belas, sedih!!!. Aku memilih berbual kisah kiriman Bibik untuk Seri. Untuk mengalihkan tumpuan kepada Mila. Aku menyampaikan kiriman peribadi bibik kepada Seri. Menerima kiriman oleh-ole kerepek buah belinjo sekotak besar untuk dibawa pulang ke Malaysia, ! Alhamdulillah. Sebelum azan Maghrib kami pulang ke rumah Wati.


Rumah Seri

       Malam pertama di Desa Jati, kamar tidur nombor 3 sukar melenakan. Kepala berputar memikirkan kisah Bibik, anaknya dan rumah usangnya!!! Keluar ke beranda berborak bersama keluarga Wati. Suasana dingin menyegarkan tubuh . Ris, suaminya Abadi dan anak-anak mereka melayan kami berbual dari kisah famili hingga ke kisah pengalaman Abadi . Rupa-rupanya Abadi dan Ris pernah merantau ke Malaysia mencari rezeki. Hasilnya mereka dapat membina rumah batu  banglo nan tersergam indah. Kisah pelik pabila mengetahui Abadi mengerjakan sawahnya sendirian pada malam hari . Demikianlah anugerah Allah, hanya kepada insan yang terpilih!

       6 November. usai solat Subuh jam 4pagi melihatkan  suasana sekitar sudah cerah. Melangkah sendirian keluar rumah Wati menikmati panorama pagi pertama di daerah Subah. Terserempak dengan beberapa orang lelaki yang berkain pelikat. Memasuki anak sungai yang mengalirkan air deras dari puncak bukit. Duduk mencangkung berendam separuh tubuhnya. Aku kehairanan kerana tika itu dingin , aku sendiri pun mengenakan sweater. Hmmm rupa-rupanya di situlah tandas terapung kepada sebahagian penduduk sini.

       Pada situasi lain pula, ada penduduk yang menggunakan air yang mengalir ini untuk mencuci pakaian dan pinggan-mangkuk. Bezanya, tika cuaca sudah cerah. Sudah pasti air baru sudah membawa jauh najis manusia dari lokasi tersebut. Hahaha... masih ada panorama begini pada era digital  ini. Amat indah berjalan-jalan sekitar desa ini, terhibur dengan kicauan unggas. Kekadang berselang-seli dengan bunyi teriakan lembu kelaparan dari kandang. Kokokan ayam dan bunyi ketukan buah belinjo  mencelah antara bunyi-bunyi semula jadi . Indah menikmati muzikal desa.

      Jam 5pagi Wati mempelawa bersarapan Nasi putih, rendang daging semalam dan pergedil. Sementara menanti siang meningkat, kami berbual-bual di meja makan. Pelbagai cerita lama dan baru daripada mulut Wati didengari. Kisah Wak Selamat, suami wati yang berada di Bagan Datuk diselitkan sekali. Jika Wati mengadukan kisah sedih, kami 3 beradik menukarkannya kepada cerita positif. Kami cuba membina keyakinan Wati terhadap suaminya yang berada jauh diperantauan.

sarapah pagi pertama di Desa Jati


       Jam 7 pagi 6 November, Tari membawaku ke rumah Bibik Kuswati. Terlupa menyerahkan kiriman pakaian buat keluarganya. Mengejutkan Mila yang masih di kamar tidurnya. Kemudian kami menuju ke jalan utama untuk ke destinasi bershopping. Jam 8pagi kami sudah berada di perkarangan tempat menunggu bas. 3 buah motosikal yang membawa kami, diparkir di rumah kawan Wati. Menunggu bas dari Desa Kalimanggis, Subah untuk ke Pekalongan. Sebuah bas mini dipandu lelaki Melayu singgah menjemput kami naik.

      Aku memilih tempat duduk depan , tetapi dapat seat di belakang pemandu bas.  Agak sukar merakamkan gambar dari posisi sini. Teri mencadangkan aku duduk di kerusi paling depan di sebelah pemandu. Alhamdulillah, mudah merakamkan gamgar dari posisi kiri dan paling depan. Tambang bas Rp50 ribu untuk  5 orang  dibayarkan kepada pemandu bas. Teri nan peramah menanyakan kereta sewa kepada Mat , pemandu bas. Alhamdulllah Mat sudi menawarkan khdimat sewa kereta untuk membawa kami keesokan harinya.


jalan desa memudahkan pergerakan kami





Menunggu bas ke Pekalongan
Bas mini ke Pekalongan


Mat pemandu bas juga pemandu kereta sewa kami




Pasar Batik Pekalongan





     Mat menghantarkan kami terus ke pintu masuk di belakang Perkampungan  Batik Pekalongan. Awal pagi kami tiba, banyak kedai belum dibuka lagi. Penat juga menapak , berpusing-pusing di sekitar pasar mencari barangan diperlukan. Mencari telekung buat 2 cucu puteri dan diri sendiri. Akhirnya terjumpa yang berkenan di 2 kedai berbeza. Berjalan lagi mencari baju batik buat 4 cucunda putera. Melangkah lagi walaupun kaki dah surrender. Nasib baik Teri membawakan baraganan yang dibeli . Aku menghadiahkan Teri kardigen batik, kesukaannya. Akhirnya menghadiahkan diri dengan 2 blouse batik. Buat puteri-puteri dan adik-adik perempuan, dibelikan beberapa kain batik sarung. Empat tangan sudah terasa amat berat menggalas beg-beg plastik koleksi batik. Namun, penerokaan di Pekalongan di teruskan juga.

     Pabila perut berkeroncong , kami singgah di sebuah gerai makan. Menikmati makan tengahari di Ayam Penyet Nini dan Teh Jawa Cafe. Ada yang makan nasi putih berlauk tapi aku memilih makan soto ayam. Selesai membayar harga makanan Rp97 ribu kami bergerak ke jalan utama Pekalongan untuk pulang. Wati menahan sebuah Tasso untuk membawa kami ke stesen bas Pekalongan. Berjaya menaiki sebuah bas mini menuju ke Desa Jati, Subah. 1 setengah jam perjalanan dibawah sinaran mentari terik, amat memanaskan dalam bas. Namun inilah pengalaman sukar kehidupan diluar kota yang dah lama tidak dirasai.
Teh Jawa Cafe


View perjalanan balik dari dalam bas





















       Tiba di rumah Wati jam 5.40petang. Semua sibuk  mandi untuk meredakan kepanasan badan berada di  Pekalongan. Selesai  bersolat tetiba pili di rumah  tiada berair. Wati mengamuk sakan memarahi entah siapa, "Ada orang dengki kepadanya". Wati mengesyaki ada jirannya memotong bekalan air dari mata air di puncak bukit. Masing-masing berebut air, musim kemarau kini menyebabkan sumur mereka kering. Akhirnya Abadi membenarkan menarik air dari pili rumahnya untuk diisikan ke dalam kolah dan besen air. Kami mandi berdikit-dikit malam itu sementara menunggu siang hari esoknya.


Ole-ole Pekalongan
       Malam itu Mila datang tidur bersama aku di rumah Wati. Sebenarnya aku mencadangkan untuk tidur dengan Mila di rumah sepupunya Seri Ali, tetapi Wati dan Teri mencadangkan sebaliknya. Selepas makan malam kami lepak diberanda. Membawa keluar lebihan makanan yang ada di meja . Makan beramai-ramai memang seronok. Terasa seperti bersama dengan famili sendiri. Walaupun ramai berada di beranda, namun Mila memilih duduk sendirian di bilik. Mila ada konflik dengan Manda... hal remaja.

     Aku meminta izin tidur awal menemani Mila yang duduk di bilik sejak petang lagi. Bibik Kuswati menghantar pelbagai rayuan, supaya Mila balik tidur di rumahnya. Dia kata Mila nak balik sebab tak selesa berada di rumah Wati. Sedangkan Mila OK sahaja di situ. Semua mesej ku abaikan saja. Sambil berbaringan di kamar tidur, aku mula mengorek kisah Mila. Aku bercerita kisah anak-anak ku semasa zaman persekolahan , hingga mereka menamatkan pengajian di Universiti. Sengaja aku kisahkan perkara yang terbaik sahaja untuk merangsang semangat Mila. Mila selesa mendengarkan celoteh aku.

     Pabila Mila menampakkan kepercayaannya,  aku, mengubah topik. "Mila, bolehkah ceritakan kepada opah kisah bersekolah di pesantren". Mila mula membuka cerita kisah belajar, kisah makan dan kisah tidurnya. Mila kata seronok belajar di sana, ada kakak senior yang baik melayannya. Kekadang dia terpaksa tidur di luar bilik jika lambat memasuki bilik tidur. Mila beritahu dia ada menjual barangan keperluan remaja secara on-line. Tidak banyak kesulitan yang Milah ceritakan. Tetiba Mila mengatakan," Mila selalu teringat mama bila malam nak tidur. Mila nak mama balik. Mila sanggup hidup susah asalkan mama ada bersama". Aku terkedu!!

      Akhirnya aku mencadangkan kepada Mila . "Mila mesti sambung persekolahannya. Mila boleh pilih sekolah yang disukai asalkan dekat dengan rumahnya. Opah akan membiayai kos perbelanjaan awal persekolahan Mila, yuran, dll yang diperlukan semasa pendaftaran nanti. Opah tak suruh Milah belajar hingga ke Universiti, asalkan tamat pendidikan kemahiran di SMA. Hingga bulan Jun 2020, jika Mila tidak mahu juga bersekolah, opah akan suruh mama Mila balik ke Indonesia". Suara aku amat tegas. Sama ketegasanku pabila bercakap dengan staf di sekolah yang bermasalah suatu ketika dulu. Mila terdiam lama.... Aku tidak tanya kenapa dia berhenti sekolah, kenapa tukar cara berpakaian, kenapa selalu keluar rumah dll seperti digossipkan . Penutup bual-bicara kami malam itu, dengan persetujuan Mila untuk bersekolah semula tahun 2020. Alhamdulillah, aku lega.

      Jam 5.00pagi 7 November, aku menemani Wati ke pasar Limpong. 15 minit perjalanan menaiki motosikal yang dipandu laju . Melalui celah-celah rumah , lorong-lorong dan kawasan tani memang mengasyikkan. Suasana kelam , udara dingin dipagi hari amat  menyegarkan. Sudah ramai penjual menjaja jualan di dalam gerai dan di kiri kanan jalan masuk ke pasar. Pengunjung juga riuh-rendah tawar-menawar harga barang belian. Wati memilh jualan dari penjaja di atas jalan sahaja. Membeli jagung, siput sudu, udang, dan sedikit sayur.

     Sebelum meinggalkan pasar, Wati membayar wang parkir motosikal kepada petugas di situ. Di jalan keluar terjumpa gerai makanan. Membeli nasi putih berlauk goreng tempe dan telur goreng. Banyak makanan yang siap dimasak untuk jualan. Ada juga pelanggan yang makan di situ. Jualan makanan di sini tampak menyelerakan.

Pasar Pagi Limpong




Belum banyak gerai makanan di buka pagi itu


Sarapan pagi 7 November

        Jam 6.50pagi kami terpaksa mandi di sumur. Puluhan tahun sudah meninggalkan mandi di telaga, sejak di desaku ada bekalan air paip. Berbekalkan pakaian kering, tuala, baldi kecil dan sabun mandi turun ke sumur. Terpaksa menuruni bukit, menapak dicelah-celah akar pokok besar. Amat berhati-hati bimbang terjatuh. Tiba di sumur yang terletak di kaki bukit. Kelihatan sebuah pam besar warna biru sedang mengepamkan air dari mata air di situ. Dari tangki pam dipasangkan batang paip untuk mengeluarkan air . Mandi-manda dan mencuci pakaian menggunakan air yang keluar dari sebatang batang paip. Wati , Mila, Nab dan aku  bergilir-gilir kami mandi, kerana tempat di situ agak sempit dan curam. Seronok juga mandi di situ, airnya dingin , udara bukit berhembusan , dimeriahkan bunyi-bunyi unggas dan cengkerik.


Sesekali Ok hari-hari tidak OK

Pam air warna biru mengepam air ke rumah penduduk

       Tiba dirumah, masing-masing bersiap dengan pakaian berjalan. Mila yang menurut kata mamanya tidak mahu ikut kami berjalan-jalan, tetapi masih mengenakan pakaian cantik. Jam 8.00pagi Mat pemandu bas ke Pekalongan, sudah sedia menunggu kami dengan kereta Alza hitam. Nizam duduk di seat depan. Tari duduk diseat belakang , memisahkankan Mila dan Manda yang tidak bersapa sejak semalam. Mereka dah sekian lama perang dingin kisah remaja...hahaha! Dek kerana opah-opah datang ke desa mereka, semuanya terpaksa berbaik. Wati dan Nab menemani aku duduk di seat tengah. Agak selesa kereta Alza ini  dengan sewaan Rup500ribu.

       Mat membawa kami ke ke Pos Express, di Desa Sempu. Nizam ingin mengepos hadiah dari pekalongan untuk anak-anak Yanti di Desa Sudan, Kragen. Desa Sempu ni sebuah pekan kecil di daerah Subah. Terdapat pelbagai bentuk bangunan kedai ,bank, masjid dll. Masjid tersergam indah di depan Pos J&T memukau mata yang melihatnya. Jalan raya 2 lorong memang sibuk tika pagi begini. Jika meningkat hari, mungkin lebih sibuk lagi.

Kereta sewa 7 November dan ke Airport

Mila berbaju kuning, Tari dan Manda
Pos J&T Express



        Jam 8.40am Mat meneruskan pemanduan menuju ke Air Panas Agro Wisata, Pagilaran. Menyaksikan panorama lautan tanaman pertanian penduduk  di sepanjang jalan yang ditempuhi. Menghijau sepanjang perjalanan. Jalan raya berbelok-belok, menaiki dan menuruni bukit membuatkan pemanduan Mat penuh berhati-hati. Akhirnya tiba di situ jam 9.00pagi. Tiket masuk Rup5ribu seorang. Tidak ada pengunjung kecuali kami sahaja. Menapak melalui beberapa buah rumah desa hinggalah tiba di lokasi air panas. Bertemu beberapa petugas di situ, ada yang pernah bekerja di Malaysia. Setengah jam berada di situ merakamkan foto sahaja.







Agro Wisata Pagilaran

jalan masuk melalui tepi rumah penduduk






Titi gantung daripada buluh


Gerai jualan makanan ringan


Kolam air panas

Tabung bayaran gunakan tandas
Tandas publik

Klinik Desa
Pam minyak
      Meneruskan kembara kami ke Ladang Teh Pagilaran, Keteleng, di daerah Blado. Jam 10.46pagi dah tiba. Di entrans ladang teh ini ada sederetan kedai desa.  Nizam mengajak kami menikmati pecal / rojak Pagilaran. Resepi yang mudah, dengan bahan-bahan murah. Cili padi /cili hantu dilenyek di atas lesung batu, dimasukkan kacang tanah dan gula kelapa . Pabila dah hancur dimasukkan hirisan timun, mangga muda dan sengkuang. Memang enak dimakan begitu sahaja.

Gerai pecal / rojak
Bahan di atas lesung batu bukan ditumbuk tapi dileyek

       Jam 11.20am menaiki Odong, sebuah kenderaan khas bagi meninjau ladang teh. Setelah membayar Rup100,000 kami dibawa melawat selama 1jam setengah. Jalan batu lombong yang sempit dan berlopak-lopak, membuatkan penumpang sentiasa bergoyang-goyang. Lorong-lorong antara barisan pokok teh dilalui. Kelihatan menghijau pemandangan sekitar. Beberapa pokok Sengon tumbuh menaungi tumbuhan teh. Dari puncak ladang teh  kelihatan penempatan penduduk berdekatan. Terdapat kilang teh dibina di ladang tersebut. Pabila berada di sini , terasa berada di Ladang Teh di Cameron Highland.

        Semakin tinggi pendakian semakin menghijau pokok-pokok teh di sini. Menyaksikan ramai pekerja ladang sedang melakukan kerja memungut daun teh. Ada yang mengangkut guni-gini berisi daun teh lalu meletakkannya di tepi jalan. Ada sebuah hentian hampir di puncak bukit tempat meletakkan guni-gini teh sebelum diangkut dengan lori ke kilang. Melihatkan rupa pekerja ladang teh di Pagilaran ini, terserlah kepayahan kehidupan mereka. Singgah di situ merakamkan gambar view dari atas bukit. Memang indah!

Barisan kedai desa dientran ke ladang teh

Odong memuatkan 12 penumpang










Guni berisi daun teh di tepi jalan ladang






      Jam 1.20pm Mat membawa kami menikmati  Nasi Ambangan di Rumah Makan Wow Brado, Blado. Sebuah kedai makan di tepi jalan utama Padang. Kedai-kedai makan di sini dibina di atas parit di tepi jalan. Mendepani tempat makan ini terdapat sekolah, bangunan-bangunan  pejabat dan rumah penduduk. Nasi putih disajikan bersama ayam goreng, tempe, sambal cili dan  ulaman. Lokasi kedai dibina di atas parit ini  memang menarik. Sambil makan mendengar aliran air parit di bawah kedai. Menyaksikan kesibukan jalan raya utama menghubungkan Padang ke Pekalongan. Membayar harga makanan kami semua Rup112ribu. Makan di sini  bolehlah mengalas perut lapar, tapi bukan kepuasan makan.
Rumah Makan Wow Brado









           Selesai makan Mat membawa  kami menaiki Alza ke arah Pekalongan pula. Masih menikmati panorama di sepanjang jalan utama Padang ke Pekalongan. Menghijau kawasan pertanian jagung, padi dan pokok buah-buahan. Masih belum melihat haiwan ternakan yang berkeliaran. Banyak rumah batu tersergam indah dekorasinya petanda pemiliknya pernah merantau. Ada juga rumah desa nan daif binaan daripada buluh dan kayu , petanda kepayahan hidup mereka.

      Aku menjanjikan Mila dan Manda untuk membelikan baju. Justru Manda memilih berbelanja di Transmart Pekalongan. Sebuah pasaraya mirip Tesco di Malaysia. Tiba di situ jam 3.00pm. Sebuah gedung beli-belah 3 tingkat. Tidak ramai pengunjung di situ, kebetulan bukan hari cuti. Terus menaiki escelator ke tingkat 2, tempat menjual pakaian, kosmatik dan kelengkapan rumah. Di tingkat 3 tempat mainan indoor dan Mini Studio. Satu jam setengah kami melayan Mila, Manda dan Wati memilih baju kesukaan. Tari pula memilih pakaian buat 3 puterinya. Dua orang anak Ris Abadi juga dibelikan T Shirt buat mereka. Total dibelanjakan Rupi500,000, rezeki buat rakan-rakan di tanah seberang. Semua tersenyum mendapat ole-ole daripada opah.





Tingkat bawah lokasi menjamu selera paraa pengunjung

          Jam 4,20pm bergerak pulang ke rumah Wati. Singgah membeli durian di sebuah gerai dalam perjalanan pulang. 4 biji durian Rup50ribu. Tetiba terasa buah durian di tempat sendiri lagi baik. Tiba di rumah sudah Maghrib. Selesai solat Manda dam Mila ingin makan durian. Pabila dibuka isi durian mangkau, buah belum cukup tua. Memang mengecewakan! .Sebiji durian diberikan kepada Mat buat berkongsi rasa sebelum dia pulang tadi. Entah gimana isinya!.  Selepas makan durian, Manda menghantar Mila balik ke rumahnya.




        Tari membawa anak-anaknya berkumpul bersama kami di rumah Wati. Tika itu jam 8.00 malam, sudah sunyi sekitar Desa Jati. Anak Tari mengenakan baju yang dibeli dari Transmart. Aku, Nab dan Izam sibuk mengemaskan barangan untuk dibawa pulang ke negara sendiri. Malam kedua terakhir  di tanah seberang, lusa kena pulang . Paling stress pabila nak memuatkan semua kiriman waris Bibik ke dalam bagasi. Kain batik 15 helai dan baju cucu pun sudah separuh beg. Keropok belinjo 10 pek terpaksa disumbat juga . Pakaian diri diisikan ke dalam beg sandang. Setelah ditimbang, bagasi yang padat dengan muatan mencecah 19kg. Beg Nab juga menghampiri 18 kg . Kedua beg kami sudah mencapai berat maksimum 40 kg. Beberapa pek keropok kiriman Wati terpaksa ditinggalkan , walaupun terasa sedih berbuat demikian.

         Selesai berkemas, keluar ke beranda rumah bersembang dengan keluarga Wati, Abadi dan Tari. Sambil makan lebihan makanan malam dan keropok jajan serta buah mangga masak. Hening malam ,jarang kedengaran bunyi kebisingan kenderaan. Kediaman jauh dari kesibukan jalanraya amat mendamaikan dan menyuburkan ketenangan. Terfikir juga, entah bila boleh datang lagi ke sini...  bagi menjawab soalan yang sering diajukan saudara di tanah seberang ini. "Usah serik datang ke sini lagi, ya ibu!"
Puteri Tari mengenakan blouse baru
dari Transmart
        8 November, hari Jumaat sudah terbangun awal jam 3.00pagi. Sempat bersolat sunat Tahajud, Solat Hajat dan Solat Witir. Membaca surah Al-Harsy seperti rutin subuh sementara menanti azan. Jam 4.10am selesai menunaikan solat Subuh. Menjengah keluar dari pintu rumah, sudah cerah sekitar Desa Jati, Mangunharjo, Subah. Membantu Wati menakung air di dalam bilik mandi. Tetiba bekalan air dari batang paip lama ke rumah Wati mengalir seperti biasa. Alhamdulillah!. Segala persoalan terjawab sudah. Rupa-rupanya kolam takungan air di puncak bukit kekurangan air. Banyak sangat rumah yang menggunakan bekalan air tersebut. Tambah meruncing tika ini musim kemarau di Jawa Tengah, Sudah lebih 6 bulan tiada hujan. Justru air dalam takungan di bukit kerap berkurangan.

      Bersarapan nasi goreng, cucur jagung bercampur udang dengan air kopi memang menyelerakan.  Tak sedar bertambah nasi dan cucur dimakan. Jam 6.00am membawa fon meronda-ronda sekitar kediaman Wati. Beramah dengan beberapa  jiran Wati sedang membasuh pinggan-mangkuk di anak sungai yang mengalir di tepi rumah Wati. Ada juga yang membasuh pakaian di situ. Pabila airnya mengalir laju, semua kumbahan dibawa turun ke muara atau ke tempat rendah. Cuma agak mengecewakan, anak kecil buang air besar di situ juga. Pelik buat diriku tapi kebiasaan buat penduduk di sini. Walaupun cuma membayar Rup8ribu setahun kepada kepala Desa, namun kepada netizen desa ini, sukar!!

Cucur jagung campur rempah biji, buah keras, udang dan bawang
     Jam 7.22pagi Wati mempelawa kami berjalan kaki sekitar desanya. Desa Mangunharjo, Kecamatan Subah yang berbukit dan dipenuhi kawasan pertanian desa, Mentari menyinar terik tika kami keluar rumah. Memakai payung namun terasa tidak selesa tika berjalan di laluan batas-batas kebun di situ. Melewati kebun jagung nan luas. Ada yang sedang berbuah, menghijau pada pandangan mata. Ada buah jagungn yang sudah tua dibiarkan kering pada batang pokok. Belum ada jawapan kenapa buah jagung tersebut dibiarkan tua pada pokoknya. Tidak pula diganggu haiwan pada buah jagung tua tersebut.

       Terdapat kebun-kebun sengkuang yang diusahakan penduduk di situ. Tanaman padi belum banyak diusahakan kerana kurang bekalan air dek musim kemarau panjang. Pokok pisang, Belinjo dll ditanam dilereng-lereng bukit . Saliran air ke lokasi pertanian sini diambil dari mata air yang mengalir dari puncak bukit. Banyak paip PVC digunakan untuk memasukkan air untuk kegunaan para petani. Penat melangkah di atas batas sawah yang kecil dan  penuh berhati-hati takut terjatuh. Memandang dari atas  ke bawah bukit , ke kiri dan kanan ,memang indah.  Panorama desa  mudah dicernakan oleh anak jati desa seperti kami!

Permulaan jelajah desa
Tak jumpa papan tanda besar terpacak memberikan imfo begini



Batas petak pertanian dilalui
Pokok sengkuang


buah jagung dibiarkan tua pada pokoknya





Salur PVC mengalirkan air
Jalan simen memuatkan sebuah kereta melaluinya


       Meneruskan berjalan pulang melalui tepi-tepi rumah penduduk. Ada yang dibina daripada batu konkrit, indah berciri sebuah banglo. Itu petunjuk pemiliknya pernah merantau ke luar negara mencari rezeki. Wang yang diperolehi digunakan untuk membina rumah secara beransur-ansur. Wang dikirimkan kepada waris di desa untuk menempah bahan binaan rumah. Jika sudah mencapai Rupiah50juta, barulah tukang memulakan binaan bumbung dan lantai rumah.  Setelah mendapat kiriman wang bertambah  ke Rupiah 100juta, barulah tukang menyambung kerja-kerja binaan dinding hingga siap sebuah rumah ibu sahaja. Pabila melewati rumah berdinding buluh dan berlantaikan tanah, menunjukkan pemiliknya tidak pernah merantau. Mereka mendiami rumah pusaka yang diwarisi beberapa generasi. Rumah ibu Abadi dan mertua Wati antara rumah warisan berdindingkan kayu dan buluh serta berlantaikan tanah. Wajarlah kerja keras pendatang Indonesia yang bekerja di Malaysia sanggup melakukan macam-macam pekerjaan. Target mereka cukup kental. Buat persekolahan anak-anak dan membina rumah kekal buat keluarga.













        Nizam mengajak kami singgah ke rumah ibu Abadi, mertua Ris. Wajahnya mirip arwah Bondaku Zaleha. Jam 8.00pagi kami menyapanya yang tinggal dengan anak angkatnya dan 2 orang cucu. Memasuki kediaman ibu Abadi mengingatkan aku rumah Bibik Kus dan Mila. Hati tersentuh melihatkan keadaan dalam rumah. Anaknya Abadi tinggal di banglo batu yang besar sedangkan ibunya tinggal dirumah lama. Mungkin kekadang "Orang tua-tua hendakkan privasi, tinggal di rumah sendiri. Tempat menyimpan himpunan memori sepanjang hayat". Mungkin aku pun begitu, pabila tiba masanya!!!

       Pabila ibu Abadi keluar, memang wajahnya mirip Bonda Zaleha. Aku memeluknya melerai kerinduan kepada bonda. Air mata mengalir tanpa henti. Suasana menjadi hiba seketika. Kami berbicara kisah famili masing-masing. Membandingkan usia, aku lebih 10 tahun tua daripada ibu Abadi. Dek kerana keperitan hidup dan kepayahan membanting tulang mencari rezeki untuk menyara kehidupan, menyebabkan dia kelihatan lebih tua. Amat bersyukur kami dilahirkan di negara sendiri, membesar dan berkerjaya untuk melangsungkan kehidupan sederhana.

Wajah ibu Abadi

      Jam 9.50pagi Wati membawa aku dan Nizam ke pekan Limpong. Aku hendak mengeluarkan wang di mesen ATM dan mencari kedai untuk Top-Up fon Indon. Menaiki 2 buah motosikal kami bergerak ke destinasi. Jam 10.15am kami tiba di Bank Republik Indonesia (BRI). Tak boleh beroperasi pula mesin ATM di situ. Di luar bank ada penjual cendol kesukaan Nizam. Kami minum Cendol ES Dawetayu, Banjarnegara. Segelas berharga Rup5000, memang segar cendol memasuki rongga mulut yang kering dek panas terik.

           Membonceng motosikal Wati menuju ke bank BRI yang lain. Berjaya mengeluarkan wang yang diperlukan. Singgah ke sebuah kedai Toko Ubat Tradisional. Nizam membeli beberapa produk yang dipesan rakannya . Menghampiri lokasi terdapat sebuah pasar, Pasar Limpong . Kemi bertiga memasuki pasar mencari buaian tali untuk dibawa pulang. Wati membeli beberapa barang dapur. Sebelum pulang , singgah di Pondok Ikan Bakar Tirta Asri, di Desa Sempu, Limpong. Menjual pelbagai jenis ikan yang dipanggang. Ikan-ikan bakar prlu ditempah mengikut saiz dan menu masakan. Ikan -ikan segar diambil dari kolam ternakan ikan air tawar  di tepi restoran ini. Kolam-kolam ternakan  juga kepunyaan pemilik Pondok Ikan Bakar sendiri. Panorama di kawasan sini memang menarik. Menyediakan ruang makan mini dan ruang makan ramai. Mengakhiri perjalanan kami, singgah pula di kedai bakeri. Membelikan beberapa roti buat sarapan kami dan Mila.

Berselfie bermotor kali akhir di Limpong





Kedai Jamu
Pasar Limpong


Pondok Ikan Bakat Tirta Asri


Antara ruang makan Tirta Asri

Kedai Bakeri 

        Kemarahan Wati semalam berkaitan paip air terputus bekalan, belum kesudahan. Walaupun pagi ini sudah ada air yang keluar dari paip di rumahnya, namun masih mengesyaki ada orang khianat kepadanya!!! Nab mencadngkan untuk membiayai kos dan upah membaiki pam air sumur di belakang dapur rumah. Wati bersetuju dengan syarat Nab berikan supaya tidak memotong bekalan air paip ke rumah ibu mertuanya. Jam 1.20pm menyaksikan tukang paip menuruni ke dasar sumur untuk membersihkan kotoran. Sambungan letrik dari pam ke suis dalam rumah diganti baru. Setelah siap, pam itu berjaya mengepam air ke dalam saluran paip di rumah Wati. Tersenyum lebar Wati. Dia sudah tidak marah lagi!
Pekerja sedang membersihkan dalam sumur/ telaga batu

Tali menggantungkan pam air
di dalam sumur




      Jam 2.45pm Mat sudah datang dengan kereta merah seperti yang dijanjikan . Parkir di jalan masuk depan rumah Wati. Oleh kerana sewaan kereta 24 jam, justru Mat mencadangkan membawa kami berjalan-jalan buat hari terakhir di Subah.  Kami berempat  bersesak duduk di seat belakang. Jam 4.05 pm tiba di  Pantai Sigandu, Karangansem Utara, Batang . Sebuah lokasi riadah di tepi pantai. Keadaan pantai berpasir hitam ,ditambah dengan sampah-sarap di merata tempat mematikan minat nak bermain air laut. Tidak ramai pengunjung di situ. Sempat merakamkan foto buat kenangan.








     Dalam perjalanan pulang. terjumpa orang menjual buaian tali di tepi jalan . Tika itu jam 4.30pm sudah redup , selesa berada di luar. Diberitahu buaian itu mampu menanggung berat 80kg. Membeli 2 unit buaian buat  cucu-cucu. Kali pertama ternampak buaian dijual di kedai di jalan Padang ke Pekalongan. Walaupun sudah melalui jalan tersebut, tidak ditemui kedai berkenaan, mungkin tutup hari itu. Akhirnya berjaya juga mendapatkan buaian tali untuk dipasangkan pada rangka buai besi.

Penjual buaian tali


       Tiba di rumah hari masih cerah, kami berehat di beranda rumah Wati. Nizam memujuk Wati menyediakan pecal , kebetulan buah mangga muda, timun dan kacang tanah ada di rumah. Tari pun datang bersama anak-anaknya memeriahkan suasana. Seronok juga lepak-lepak petang hari sambil makan pecal atau "rojak" kata penduduk sini. Menambah keenakan makan  pecal, dicampurkan hirisan cucur udang pagi tadi.



nasi kenduri dibawakan Ris buat kami merasa
       Selesai makan malam, kami berehat santai di berandah. Ris dan keluarganya datang memeriahkan kami. Anak-anak Ris mengenakan T Shirt yang dibelikan tika di Transmart Pekalongan. Suka budak-budak itu walaupun jenama biasa saja. Banyak pula alkisah yang kami bualkan pada malam terakhir di tanah seberang ni. Tidak banyak merakamkan gambar pada malam itu. Minta izin masuk tidur awal untuk merehatkan tubuh. Malam penamat di desa seberang , memang mudah lena dek keletihan.

Anak Ris dan Abadi
       Hari Sabtu 9 November hari yang memaksa  kami pulang ke pangkuan keluarga. Sudah 10 hari di Jawa Tengah tidak terasa menjalani kehidupan musafir  dek layanan hebat keluarga angkat di sini. Kenalan baru seperti Tari, Mat, Ris, Adabi dll  juga amat baik terhadap kami 3 beradik. Jam 3.30pagi mata mudah terjaga lalu   bersiap diri dan bersolat. Bersarapan roti yang dibeli semalam dari kedai bakeri dan air kopi. Tetiba hilang selera makan, pilu nak meninggalkan mereka di sini. Masih terngiang-ngiang ayat "Kapan kita ketemu lagi Ibu?". Insyaallah!

       Mat pemandu kereta sewa sudah sedia parkir keretanya di tepi rumah Wati. Semua bagasi kami dia muatkan terus ke dalam kereta. Jam 4.45pagi Mat membawa kami bertujuh. Membayar Rup500000 buat sewaan seharian kereta Alza kelabu . Wati, Tari dan anak bongsunya menemani kami ke Ahmad Yani Airport. Merakam beberapa foto sekitar sepanjang perjalanan ke airport.

















       Jam 6.30pagi tibalah di Bandara Jenderal Ahmad Yani Internasional Airport, Semarang. Mendaftar masuk untuk Flight AK329 dan seat 7B. Selesai check in masih banyak masa untuk lepak bersama Wati dan Tari. Duduk di sebuah Cafe menikmati kentang goreng, minuman kopi dll dengan menggunakan baki duit Rupiah di tangan. Terasa berat pula nak berpisah dengan Wati , entah bila boleh ketemu lagi. Acap kali Wati mengingatkan kami "Datang lagi ya kakakku"... Insyaalah.

      Kami bertiga beradik memberikan lambaian terakhir buat saudara di seberang ni. Jam 9.00 pagi memasuki pesawat. Nak merasakan menu makanan yang dijual di dalam pesawat. Kebetulan perut belum kenyang dengan makan roti pagi tadi. Kami memesan Roasterd Chicken dengan sos Black Pepper dan kentang goreng  serta minuman air kelapa. Roasted Chicken  berharga RM15. Minum Air kelapa yang menyegarkan RM6. Cukuplah  bekalan perut hingga tiba ke tanah air.





     Tiba di KLIA2 jam 12.20 tengahari. Pesawat Air Asia menerbangkan  dan mendaratkan kami dengan selamat, Alhamdulillah.  Menolak2  bagasi di atas troli amat membebankan. Tetiba terasa sesak dada di sebelah kiri. Terpaksa berhenti menarik nafas panjang. Pabila reda menolak semula troli ke sebuah kedai makan. Jam 1.20pm  perut berkeroncong lagi. Kali ini memesan menu nasi lemak dan teh tarik mamak KLIA.



      Memberikan Nizam duit poketnya, kemudian kami berpisah. Nizam menuju ke tempat menunggu Bas Ekspress ke Teluk Intan. Mencuba beberapa kali menghubungi Grab's Car , namun gagal mengekses taliannya. Akhirnya Nab bersamaku menempah Teksi KLIA untuk cepat sampai ke rumah. Membayar RM62.40 untuk dua orang di kaunter tiket. Jam 2.10pm bermulalah perjalanan pulang ke Cyberjaya . Tiba dengan selamatnya jam 3.00pm, Alhamdulillah. Mulalah memunggah kiriman dari seberang untuk Bibik Kuswati. Terkejut besar dia melihatkan banyaknya pek keropok Belinjo yang dikeluarkan dari bagasi kami. Kami memberikan kepada adik-adik dan jiran rapat ole-ole dari Jawa Tengah.

        Pabila balik dari perantauan, seringkali aku mengingati panorama terindah dibawa pulang. Kemodenan pembangunan disaksikan, keenakan masakan yang pelbagai pilihan dapat dimakan. Menemukan pelbagai budaya daripada etnik yang menuturkan pelbagai bahasa dan menganuti aneka agama. Merasai berada di dalam bermacam kenderaan hebat dari kereta , bas besar berhawa dingin, Bullet Train, pesawat dan berlayar di dalam kapal besar di lautan. Menginap di dalam hotel paling lekeh 3 bintang hingga ke 5 bintang. Menyaksikan aneka rumah kediaman sederhana hinggalah kediaman mewah tersergam  di kiri kanan jalan. Kediaman setingkat hinggalah berpuluh tingkat dengan berlainan rekabentuk dan warna. Demikianlah memori sepanjang bermusafir di 32 negara di dunia sebelum ini.

         Namun pulang dari tanah Jawa kali ini banyak menjentik perasaan halus dalam diri. Payah menemukan kereta besar di jalanan. Jumlah jalan raya mengatasi lebuhraya yang dilalui. Bangunan daripada batu dilihat sama banyak dengan jumlah bangunan daripada kayu dan buluh. Keluasan tanah pertaniaan mengatasi keluasan kawasan pembangunan. Mendiami rumah-rumah desa belantaikan tanah, berdindingkan  buluh dan papan menitipkan keinsafan tentang kedaifan kehidupan mereka. Tiada shower air panas atau bekalan air paip terawat dirasai penduduk di kawasan pedalaman. Jika dapat air dari bukit memang terbaik, tetapi jika air dari sumur yang berkeladak dan berbau itulah pilihan untuk bersuci. Sukar melihat kondo mewah buat yang berada ataupun rumah Flat PPRT buat marhaen yang miskin. Makanan ruji nasi putih hanya berlaukkan tempe goreng, telur goreng dan sambal cili tanpa belacan. Nak ke mana-mana memaksa diri jadi berani menaiki motorsikal tanpa helmet . Menaiki motor tanpa lesen atau naik bertiga itu biasa, berempat OK kata mereka. Nak ke lokasi pekan atau bandar perlu  menaiki bas mini dari jalan utama. Demikianlah perbezaan yang dirasai.

       Amat bersyukur mendiami tanah tumpah darah sendiri yang aman makmur. Amat menghargai segala kemudahan yang disediakan pemerihtan dapat dinikmati hingga ke usia tua begini. Benar kata pepatah 'Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri' . Hati kecil yang usianya lebih separuh abad ini, belum kenal erti SERIK untuk bertandang ke Tanah Seberang. Insya Allah jika panjang umur dilapangkan rezeki dan dianugerahkan tubuh yang sihat pasti menjengah saudara-mara di Tanah Jawa suatu hari nanti. Aku nak menyaksikan Bibik Kuswati memiliki rumah sendiri. Nak melihat Mila (anak bibik) menamatkan persekolahannya hingga memegang sijil melayakkannya memohon pekerjaan. Moga Allah melapangkan rezekiku untuk berkongsi dengan Bibik Kuswati yang berjasa kepada famili kami. Walaupun dia cuma seorang pembantu rumah, namun pengorbnanya mengasuh 4 cucu tidak terbalas. Justru bantuan perlu diteruskan  hingga tercapai impian aku dan mereka. Kerana ' Kembaraku belum bernoktah!' INSYAALAH!!












































































   
















              

   

No comments:

Post a Comment