Tuesday, October 5, 2010

COBAAN ! ... ..SKSR (1)

     Tahun  1992 aku ditempatkan di sekolah baru di Ipoh. Bangunan tua, kusam sana-sini. Aku disambut seorang GB bernama U dengan ramah dan penuh bersemangat bercerita tentang visi serta misinya untuk sekolah tersebut. Kepala aku kosong tika itu, tiada sesuatu pun yang dapat kujadikan tarikan hati .
     Kemudian aku diketemukan dengan seorang guru baru seperti aku tetapi sudah senior sebagai guru, bernama D .Dia isteri orang ternama di Perak tetapi amat simple, aku menyenanginya. Dia anak tempatan dan mengharapkan aku dapat membantu anak-anak tempatan dalam akademik.Kami diberikan kelas tahun 4 di bangunan amat buruk tempat menyimpan perabot rosak. Beginilah nasib aku balik bertugas di negeri sendiri : dapat bilik  sebegitu teruk untuk dijadikan kelas.
      Aku bersyukur dapat memujuk hati pekerja sekolah itu bernama Pak D. Upah yang tak seberapa, kami minum bersama dan aku bawa dia keluar beli cat, alat bertukang dll keperluan untuk menceriakan bilik tersebut .Selama seminggu kami perbaiki kerusi dan meja murid , mengecat, baiki cermin tingkap dan membersihkan lantai, almaklumlah SETOR.....
     Kelas aku dinamakan Tahun 4 D. Murid-murid pula campuran kumpulan pelbagai prestasi . Aku kuat semangat kerana muridku seperti Omar, Syuhadah, Intan , Awie dan ramai lagi amat memahami visi & misi aku.Aku jadikan mereka kumpulan 20% ini sebagai kaki & tangan untuk segala hal kelas. Ada yang jadi ketua akademik, ketua kebajikan, ketua kecerian, ketua kelas dll. Majoriti murid dalam kelas ini dapat jadi ketua, walaupun ketua yang tidak penting. Niatku biar mereka merasakan ada tanggungjawab "besar" di kelas itu.
     Jamaliah, sebagai ketua murid 3M , bertugas menggerakkan 8 orang rakan kumpulannya dengan aktiviti pemulihan. Untuk mereka ini , ku berikan sebuah radio , kaset bacaan, kad-kad dan ABM mudah yang kupinjam daripada adikku di KL.Akhirnya mereka berjaya melepasi buta 3M, serta lulus BM dalam UPSR.
    Visi aku dan murid dikongsi bersama yaitu: "Kita Boleh Seperti  SK Sg Rokam".Setiap awal pagi murid menyanyikan lagu "Kau Boleh" yang dipimpin oleh seorang ketua serta berdoa sebelum memulakan P&P.
     Apa yang aku buat di kelas ini menjadi sindiran rakan-rakan "senior" di sekolah itu. Ada yang kata, "Alah.. emak bapa pun Bo.... takkan anak boleh pandai. Sejarah sekolah ni 5 orang je yang terbanyak dapat 4A UPSR, tak usahlah rajin sangat". Bila aku balik lewat kerana adakan kelas bimbingan BM dan SN, mereka kata," Hei, macam tak ada laki, asyik duduk sekolah, tak ingat balik ke?" Semua celaan itu tak pernah sekali merobek semangatku untuk membuktikan bahawa, anak murid jika kita DIDIK dengan sepenuh hati, jiwa raga insyaalah membuahkaan hasil. Kekadang hatiku berbisik,"Gini agaknya ORANG YG TAK PERNAH MERANTAU, tak pernah tengok kemajuan murid di tempat lain ,asyik fikir apa yang mereka buat selama ini  sudah terbaik". Dah berzaman dalam dunia "Comfort Zone dan katak bawah tempurung  !!!". Yalah ,  ketika ayat-ayat tu keluar aku sedang tension....
    Bila aku buat ujian diagnosis untuk murid selepas beberapa topik ajaran, mereka kata lagi,"KBSR tak perlu ada ujian-ujian, cukup dengan tanda (/ )pada kemahiran bila dah selesai ajar." Selesai menganalisis ujian, aku kumpulkan murid mengikut pencapaian. Yang ok terus diajarkan topik baru, yang tidak menguasai aku ajar semula dan test lagi. Setelah dapat markah ujian, murid sendiri melekatkan gambar masing-masing pada"Carta Payung Prestasi" yang diletakkan di pintu masu kelas. Ada murid yang di prestasi cemerlang A, tapi tak ramai.Lazimnya ramai di prestasi C & B. Melihatkan keadaan ini, mereka mendapat motivasi untuk naik kepada kedudukan lebih baik.
    Murid aku kumpulkan dalam kumpulan "Merit Demerit". Jika mendapat markah A diberikan merit 20.Jika meningkat dari gagal kepada lulus dapat merit 10. Jika aktif dan berjaya dalam aktiviti sekolah ada merit lagi disamping membuat kebajikan untuk menambah markah. Mereka akan Demerit markah secara kumpulan sekiranya ada ahli kumpulan yang gagal ujian, melakukan kesalahan disiplin dll. Justru setiap kumpulan telah mempastikan  tiap ahli masing-masing tidak kena Demerit. Kumpulan paling cemerlang dalan bulan berkenaan telah diberikan makan free ataupun hadiah .
    Untuk menambat hati murid suka datang sekolah amat payah lantaran mereka tinggal di luar bandar dan daripada keluarga bukan berada. Aku ajak mereka melukis mural pada dinding luar kelas pada waktu petang.Sambil tu kami berbual-bual sambil makan-makan.Dari situ aku lebih memahami dan menyayangi mereka. Mereka pula mudah mendekati aku ,malah antara kami seperti ibu dan anak-anak.Setiap kali melakukan aktiviti luar kelas ini, aku bawa anak-anak sekali membantu. Aku nak  mereka tahu pengorbanan seorang GURU bukan setakat dalam bilik darjah saja, malah di luar batasan waktu , yang cuma dipisahkan sementara oleh rasa penat.
    Aku suka balik petang kerana suami pun tiba rumah jam 5 petang. Maka jika aku tiba rumah jam 4 setelah selesai solat Zohor di sekolah, tiada masalah. Selesai menyediakan minuman petang, aku mengambil anak-anak pulang dari rumah pengasuh. Selepas minum petang, anak-anak kutemani bermain di padang di depan rumah bersama anak-anak jiran.Malam mereka membuah kerja sekolah di meja makan di tepi dapur. Ini memudahkaan aku memantau mereka atau membantu mana yang mereka tidak faham. Selesai makan malam, aku membuat kerja-kerja sekolah seperti memeriksa buku, kertas jawapan murid, menyediakan soalan dll. jika aku ketemu masalah murid, aku telah mencatatkan ke dalam buku khas untuk dibawa berbincang dengan guru BI (F), guru MT (MI) dan guru Pendidikan Islam (S).
     Kalangan guru UPSR ada Contact Hour kami sendiri. Waktu inilah segala kelemahan murid yang kami temui dibawa berbincang. Aku cukup gembira dapat bekerja dengan Cikgu F, M dan Z.  Kebetulan aku selalu menghadiri kursus,seminar, konvensyen dll anjuran JN, JPN dan KPM. Semua dapatan dan pengalaman aku kongsi bersama mereka demi untuk murid2 kami. Jika ada bahan untuk digunakan oleh murid, mereka cari duit aku pula uruskan fotokopi di Taman Chempaka. Kekadang kami gunakan wang sendiri kerana nak guna Hak Kerajaan amat payah !..... Inilah pengalaman terindah dengan pentadbir.
     Sejarah menaikkan nama sekolah itu ,banyak orang tahu. Tapi kami menunggu juga jika  dipelawa makan free, diberi kad ucapan atau dihargai dalam mesyuarat. Memang bukan itu yang kami pinta. Lantaran anak2 kami semuanya berjaya memasuki sekolah berasramaa penuh, sesungguhnya itulah hadiah paling berharga daripada yang maha ESA.
     Tahun 1996 bermula politiking dalam pentadbiran sekolah itu, kami terasa payah bekerja . Bermulalah penghijrahan...... Cikgu M bertukar ke Pangkor kerana naik pangkat. Cikgu F pindah ke utara balik  kampung suami. Aku.... dipujuk oleh seorang GB , maka berehijrahlah pula ke sekolah lain pada awal 1997. Kami tinggalkan SR dengan pencapaian UPSR seramai 18 orang.( Pencapaian UPSR Paling tinggi
di sekolah itu)
      Pada tahun 2005 , ketika itu aku masih bertugas di KL, aku berkunjung ke SR kebetulan PK1nya  sahabat lama yang menjemputku. Dia sedih kerana prestasi menurun setiap tahun .Ketika itu hanya 2 orang dapat 5A UPSR. Dia memujuk, sekiranya aku balik ke Ipoh supaya membantunya  di SR.
      Baru teringat aku pernah menyebut dengan sahabat baik,"Jika mereka tak suka melihat kejayaan anak murid dan kemajuan sekolah, kita akan kembalikan sekolah ini kepada mereka seperti keadaan asal, sama seperti aku mula bertugas di sini."
      GURU lain jangan buat ya.......
   

No comments:

Post a Comment