Thursday, January 27, 2011

" Melabel Pelajar " dulu dan kini......

    Baru hari pertama Az melangkahkan kaki ke sekolah pertama ia mula melabuhkan benih karier sebagai guru. "Hah, hang dapat kelas second last.... budak teruk. Bukan nak belajar pun , asyik pegang cermin dan gincu tiap saat.," melantun daripada mulut tak berlesen guru senior sekolah tu. "I dah berbelas tahun ngajar sini, mengajar depa macam bercakap dengan dinding. Apa cakap pun tak faham, tak minat belajar." hujah bernas oleh guru senior kedua. Demikianlah doa para guru pada hari pertama apabila lebih 600 pelajar mula melangkah ke sesi persekolahan tahun baru 3 Januari 2011.
  
     Dulu, sekitar tahun 1987 ketika Az lahir di Perlis, demikian juga komen para guru di sebuah SR. "Hang tok sah dok rajin sangat, buat lagu mana pun depa tu tak buleh mengaji. Mak pak depa dulu pun aku ngajak lagu tulah, macam anak depa ni , ketegak, penyegan....." kemudian ,Tahun 1991 aku bertukar mengajar di SR Ipoh pula. Ayat-ayat guru untuk murid-murid ...... lebih kurang sama yang  hanya bermaksud "sumpahan" buat anak murid.....
  
    Kemudian tahun 2006 aku berpindah semula dari Kuala Lumpur  ke sebuah sekolah di tepi pagar PPD K.(setelah bertugas di KL dari tahun 2000-Jun 2006) .Lagi hebat komen seorang Penolong Kanan Kurikulum sekolah tu. "Puan GB, sekolah ni dari dulu lagi  SPR (Sekolah Prestasi Rendah), PPD tak kisah pun. Usahlah buat susah-susah tak siapa peduli. Murid-murid sini orang susah, ramai duduk rumah flat, jadi pelajaran mereka pun flat juga. Guru-guru merungut yang  you nak buat macam-macam untuk murid, takkan berhasil, penat je. Mak bapa tak bagi sokongan, malah pegawai angkat sekolah ini di PPD pun tak pernah jenguk kami di sini."
   
    Tambahnya lagi ,"Kalau semua budak sekolah ni pandai nak jadi doktor atau lawyer, siapa nak kerja tukang kebun atau buruh DBI .Hoola...hoola..."Aku hairan bagaimana dia dapat   jadi PK1 jika perangai begini? "Kesilapan PPD yang menaikkan pangkatnya !!!. Aku jawab mudah," Puan PK1, saya tak kisah mereka ini nak jadi buruh DBI ke tukang sapu ke, tetapi biarlah lebih sikit . Biar mereka jadi Mandor DBI .Atau pun mereka jadi Pengurus Syarikat Pembersihan yang mengelolakan urusan tukang kebun.Hah, macam mana?" PK1 itu terdiam.
    
     Kini tahun 2011, dah 24 tahun berlalu masih ujud di dunia pendidikaan, malah di sekolah menengah, di bandaraya dan dari kumpulah guru berijazah pula tu. Bukan semua murid yang melangkah ke sekolah pada tahun baru mambawa sekali perangai negatif mereka yang dahulu. Mungkin mereka sudah sedar dan ada azam baru dan bersemangat berkobar-kobar untuk belajar.Malah ada ibu bapa mereka turut mengiringi anak-anak ke sekolah dengan jutaan doa moga anak-anak itu dipermudahkan menerima pengajaran guru mereka.  Malang sekali , baru hari pertama di sekolah, sebilangan 'GURU naif ' ni membacakan doa-doa negatif serta diaminkan pula oleh rakan-rakan guru lain . Aku kira mereka ni silap memilih profesion sebagai guru.
   
    Apa kata antara murid-murid tersebut anak mereka, adik atau ahli keluarga mereka?   Oh.... jika semua murid pandai, atau lahir saja dah pandai, maka tak perlu ada sekolah. Justru tak perlu ada guru. Lagi pun nak jadi guru ni, kita pohon dan ada akadjanji dengan Kementerian Pelajaran. Malah yang beragama Islam pula memegang amanah Allah yang wajib disempurnakan dengan sehabis baik serta sehabis ikhtiar agar murid-murid semuanya pandai, pintar ataupun bijaksana' macam guru yang mulut celupar tu.
  
    Az pulang untuk hari pertama persekolahan dengan muka letih, kecewa, lemah dan .... 'hilang semangat' aku kira. Aku pernah menjadi guru sandaran, guru tetap , guru cemerlang , guru besar malah pada akhir perkhidmatanku sebagai guru besar cemerlang. Semua onak, duri ,ranjau, racun dan sebagainya telah menjadi asam garam perjalananku sebagai guru. Semua kerumitan yang ku temui ku jadikan  peluang dan cabaran untuk ku rongkaikan menjelma menjadi pelbagai  kejayaan untuk murid-murid. Manakala semua keselesaan bukan suatu nikmat tetapi penjadah haram yang bisa membantutkan perjuangan. Semua kemudahan yang ku temui ku jadikan hikmah daripada Allah nan esa yang merestui sepanjang perjuangan. Justru, aku pun gunakan semua pengalamanku selama 35 tahun itu untuk memujuk Az dan menyuntik semangat untuk dia meneruskan hari kedua dan seterusnya dengan azam atau Az yang baru.
  
    "Apa kata Az gunakan semua cacian guru-guru yang negative terhadap murid-murid tu sebagai peluang untuk Az perbetulkan sikap murid. Bantulah mereka sayang .Atur strategi bagaimana nak menggantikan  perangai negatif kepada perangai  suka belajar, suka membuat latihan, suka sekolah dan suka kepada Az. Buat analisis SWOT... bincang dengan guru yang rajin dan berpengalaman serta yang positif dan  minta pendapat mereka. Kemudian laksanakan. Selalu bersangka baik dan berbuat baik dengan murid terutama sewaktu PJK dan kokurikulum. Jika mereka buat salah tegur mereka dengan membahasakan diri sebagai kakak. Tegur mereka dengan ayat-ayat kasih sayang seperti (Adik jangan buat begini../ bagus adik boleh buat sebegini baik, apa kata tingkatkan  lagi yang.... / wah, adik cikgu ni dah rajin buat home work... dll). Tiap malam doakan biar murid-murid mendengar ajaran, mudah faham pengajaran dan menyayangi kita, insyallah Allah akan makbulkan dan permudahkan semua kerja Az." Demikian pujukan aku sambil berbuai di luar rumah.
    
    Kepulangan hari kedua Az tiada komplain tentang anak murid lagi. Tapi katanya,"Mak, Az naik pangkat lagi, jadi SU Peperiksaan dan Su Head Count." Aku jawab baguslah tu, baru bertugas dah dapat jawatan paling penting di sekolah. Itu bukan beban tetapi peluang menimba ilmu. Ilmu tak datang menggolek, tapi kita kena cari atau kita terima apa yang Allah takdirkan datang kepada kita. Setelah aku ceritakan segala kebaikan menjadi SU tersebut, Az tampak ceria.
  
    Hari ketiga, Az amat gembira. Turun dari kereta terus menyatakan, " Mak, pengetua tengok Azi ngajar PJ tadi di padang. Az takut pada mulanya sebab suara Az kuat sangat.  Dalam mesyuarat dia memuji pengajaran PJ Az tadi. Sampai kepada guru sesi petang pun dia ceritakan. " Alhamdulilah, tengoklah kan semua murid Az baik-baik sebab Az anggap mereka adik-adik. Gunakan pujian pengetua itu sebagai dorongan untuk kekalkan prestasi ngajar PJ. Buat pula untuk pelajaran lain terutama Biologi. Jika nama Az sudah ada di hati pengetua, itu sudah baik ma.....
  
    Hari keempat pula, "Az dah jadi macam pengetua pulak. tambah lagi tugas. SU panitia, penyelaras tingkatan dan paling best penolong SU Sukan. Tapi semua jawatan kokurikulum digugurkan...." Alhamdulillah. "Wah, itu sudah bagus. Aktif dalam sukan pulak. Nanti dapatlah melihat sekolah lain semasa membawa murid keluar bertanding. Dapat jumpa ramai kawan baru. Dapat berbincang dan bertukar-tukar idea dengan mereka.. Bestnya dapat lihat apa sekolah lain buat untuk kecemerlangan murid mereka.

    Hari kelima, tiada lagi rungutan , laporan dll daripada Az. Balik rumah  terus makan, solat dll . Malamnya Az menyediakan bahan-bahan untuk pengajaran hari berikutnya di samping melengkapka buku persediaan mengajar. Aku kira Az dah menjiwai kerjaya nya .... "GURU". Alhamdulilah... moga Al dan Az menjadi GURU yang lebih hebat daripada aku yang dah bersara ni. Doaku Allah makbulkan.

No comments:

Post a Comment