Sunday, January 2, 2011

Kehidupan Ini SEMENTARA

     Disember ini, aku berharap akan mengakiri usia emasku di era 2010 dengan kedamaian hati . Aku menjangkakan akan meninggalkan tahun 2010 dalam dakapan kenangan manis , sambil meniti terowong  masa bagi kunjungan sinar mentari 2011 penuh kegembiraan nan berterusan. Aku leka diulit belaian kasih orang-orang tersayang di sekeliling; 4 anakku, 2 menantu, 1 cucu dan teman hidup. Seketika aku terlupa, bahawa ada sanak saudara dan kenalan rapat yang jarang ku jengah di utara, di selatan ,di desa, dan di merata lurah penghidupan bumi bertuah ini.
      Disember hari Ahad, kami berangkat ke  P memeriahkan  kenduri kahwin anak rakan karib . Aku kagum dengan persiapan majlis, keramaian jemputan, dan kelancaran aturcara. Paling gembira dapat bertemu sanak-saudara dan para sahabat yang sekian lama tak ketemu. Tampak masing-masing agak berwajah berbeza dek kerana diulit usia. Selesai majlis pulanglah kami ke Ipoh dengan sedikit kepuasan dapat kumelerai rindu persaudaraan yang panjang.
      Disember, Khamis - aku mendapat panggilan telefon mengkhabarkan berita kedukaan..... Abang kepada pengantin perempuan yang bernikah pada Ahad Disember telah pulang ke rahmatullah, Alfatihah.  Arwah merupakan   anak tunggal lelaki  kenalan karibku . Usia muda awal 40an , menyebabkan menjadi yatim  4 puteri yang  sedang dalam gembira percutian di Taiping. Tubuh gagah ,sihat montel dengan  tiba-tiba rebah di hadapan isteri dan anak-anak. Ahad  Disember berikunya akan menyambut mempelai di rumah pengantin lelaki pula... Berputar kepala otakku menggambarkan perasaan  N dan kak Z untuk menerima ketentuan Ilahi ini.
     Baru mendapat menantu lelaki, dalam masa yang sama kehilangan anak lelaki pula. Secara kebetulan pada malam itu juga seorang Ustaz di TV9 menyebutkan bahawa," Jangan engkau bersedih, seungguhnya Allah bersama kita. Allah maha perkasa, maha bijaksana," .... Surah At-Taubah , ayat 40. Beliau menghuraikan panjang lebar maksud ayat tersebut. Ini telah membuat kepalaku mula menerima ketentuan Ilahi. Pasti ada yang dirancangNya di luar ruang lingkup pemikiran kita. Ada banyak hikmah di sebalik semua rencanaNya untuk menguji kita atau untuk memberikan kita peluang untuk berhijrah.
     Rentetan pernikahan anak perempuan kenalan ku ini, banyak sekali omelan yang kurang enak kudengar atau tidak sepatutnya diperlaku seperti demikian 'gosi' itu. Memanglah kenalanku ini golongan orang kaya, banyak kenalan orang ternama dan sebut saja melancong, tak cukup jari 10 menamakan negara yang telah mereka lawati. Aku kagum dengan kemewahan dan style hidup mereka, tiada perkataan SUSAH. Anak nak wang, call saja 4 digit diakaunkan. Oh.. rupa-rupanya wang ringgit tidak boleh menjamin kebahagiaan yang kekal abadi. Jauh di lubuk hati mereka sayu rupanya dek kurang zuriat untuk berkongsi menikmati segala kemewahan hidup dan mewarisi segala peninggalan mereka kelak.
    Di era pertunangan, menantu lelaki ini tidak semudah yang lazimnya untuk mereka terima, tapi dek kerana pilihan hati anak maka orang tua pasrah walau pun dalam hati ...... Beberapa tahun anak ini menanti dengan kesabaran dan kesabaran  moga teruna pujaan diterima sebagai ahli keluarga baru. Seperkara lagi, apabila tetamu mengajukan soalan ;agak sukar untuk kenalanku ini  menceritakan latar belakang calon menantu, mungkin ada sebab tersendiri....Pada Ahad hari menyambut mempelai di rumah pengantin lelaki, aku diberitahu yang kenalanku ini  terpaksa  terbang   ke AS kerana mendapat tajaan melancong oleh insan tertentu. Aku jadi hairan... 'dahlah anak 2 kerat, kenduri kahwin yang terakhir pula tu, calon menantu yang... , bagaimana perasaan anaknya ' .Aku ajak anak2ku berfikir; apa perasaan anak dan menantu jika di hari bersejarah dalam sebuah perkahwinan begini ibu bapa tiada (melancong bukan dharurah kukira) untuk turut meraikan bersama. Sementelahan menantu bukan calon pilihan ibu bapa?   ..... Anak2ku kata,"Mak jangan buat kepada kami dan keturunan ini..... "
      Demikianlah kuasa Yang maha agung pencipta bumi serta langit, sekelian isi alam ini , Qadho dan Qhadar .Tidak tercapai hajat melancong kerana anak lelaki kenalanku ini telah pulang ke rahmatullah 2 hari sebelum bonda dan ayahandanya  sempat terbang ke AS. Di hari pengkebumian jenazah, dapat kutatap wajah mereka berdua..... tiada kata-kata dapat ku ungkapkan ........., begitulah mereka.
     Sebelum pulang kami menziarah ibu saudara yang berusia 85 tahun, badan sudah bongkok 3, masih sihat berjalan dan petah bercerita. Dia menatap amat lama wajah suamiku. Mungkin rindu dek amat lama tak jumpa... Mungkin ada rahsia anak-beranak antara mereka.... Biarlah Allah sahaja yang tahu.
    Allahuakbar!  Hayat kita ini umpama buah kelapa. Bukan semestinya buah kelapa tua sahaja yang gugur ke bumi, tapi kelapa muda juga boleh gugur sebiji demi sebiji .Malah apabila  patah tandannya, maka lebih banyak buah muda yang jatuh berguguran. Demikian juga hayat KITA.... justru gunakanlah kesempatan ,
"Masa lapang sebelum masa sempitmu , Masa sihat sebelum sakitmu, , Kaya sebelum miskinmu, Muda sebelum tuamu" Hidupmu sebelum matimu.. "
   Anak-anakku, para menantuku, cucu-cucku dan malah keturunan ini... jadkan teladan.

1 comment:

  1. Coretan ini sekadar luahan kedukaan hati, buat familiku . Tidak bermaksud memberi rasa terhina atau mengguris rasa hati sesiapa secara sedar atau tidak . Sila menjadikan iktibar untuk kehidupan mendatang

    ReplyDelete